Search This Blog

Saturday, September 5, 2020

Salah Siapa Sebenarnya? | Fiksyen


SALAH SIAPA SEBENARNYA?


Walaupun jam di tangan Jadid baru menunjukkan pukul sebelas pagi, tapi teriknya sang matahari memancar hari ini, peritnya lain macam. Mungkin juga kepanasan ‘extra’ yang Jadid rasakan sekarang berkesinambungan dari acara bertikam lidah antara Jadid dengan isterinya Pia awal pagi tadi. Mengenangkan perkara itu, Jadid hanya menggelengkan kepalanya perlahan sambil terus menyusun barang-barang yang dibelinya dari kedai borong sebentar tadi di atas tempat duduk belakang motosikalnya.

Salah Jadid ke bila Khamis tidak memulangkan kembali kereta mereka, yang sepatutnya Khamis pulangkan petang semalam? Pia naik angin dengan Jadid hanya disebabkan Khamis yang meminjam satu-satunya kereta yang mereka ada, tidak menepati janji. Jadid jenis cepat kesian dengan orang, dah Khamis datang menangis meratap kata nak pinjam kereta sebab nak melawat emaknya yang sedang nazak di kampung, Jadid tak sampai hati nak kata tak boleh.

Jadid dan Pia memang maklum yang Khamis punya kereta tidak begitu elok, tak boleh nak jalan lebih dari 30 kilometer, nanti berasap. Sebab itu dia kasi Khamis pinjam kereta mereka itu. Dan salah Jadid ke, bila Khamis tak dapat balik terus petang semalam, sebab emak Khamis tiba-tiba kembali sihat walafiat, dan nak buat barbecue dengan anak-anaknya yang sudah kebetulan berkumpul di rumah dia malam tadi. Salah Jadid ke?

Pia memang berang yang amat, habis Jadid dia jeling maut beserta pakej bebel bingit telinga malam tadi, bersambung sejurus Pia celik mata pagi tadi. Tapi Jadid faham kenapa Pia marah sangat. Hari ini memang dah dirancang, sepatutnya Jadid akan bawa kereta itu untuk ‘restock’ beberapa barang kedai runcit kecil mereka yang dah habis. Tapi kalau dah cuma boleh bawa motosikal ini saja ke kedai borong, memang terhadlah barang yang boleh Jadid beli. Tapi tak apalah, Jadid ambil setakat yang muat saja dulu. Melayang-layang fikiran Jadid ketika membawa motosikalnya pulang ke kedai runcit dia dan Pia, sehingga tak sedar Jadid lupa menyalakan ‘signal’ untuk menandakan dia mahu membelok ke kanan.

Piiinnnnnnnnnnnn..

Kedengaran bunyi hon yang amat panjang sebelum Jadid terlambung dari motosikalnya.

Gedegummmmm!

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

 

“Innalillahi wainnailaihi rojiun.. Sabar ya Pia, nanti aku bagitau abang Ri”, Yusri yang sedang ralit mengilatkan kasut di muka pintu rumahnya terhenti sejenak apabila terdengar namanya disebut.

“Panjang awak mengucap, siapa yang telefon tadi Ema?”, soal Yusri pada isterinya.

“Pia bang, dia suruh saya maklumkan pada abang, yang abang Jadid kemalangan tengahari tadi”, ujar Ema sugul sambil duduk bersimpuh di sebelah suaminya. Dia tahu Yusri pasti terkejut bukan kepalang dengan berita ini, sebab Yusri sangat rapat dengan Jadid sejak dari kecil lagi.

“Ya Allah! Teruk ke Ema? Jadid macam mana sekarang? Kat mana dia? Eh, ada lagi ke dia?”, bertubi-tubi soalan terpacul dari mulut Yusri, bahu Ema dipautnya kemas menanti jawapan.

“Abang Jadid hidup lagi bang, ada kat wad hospital. Buat masa ni, doktor tak benarkan abang Jadid terima sebarang pelawat dulu”, Ema boleh nampak ada sedikit riak lega di wajah Yusri. “Insyaallah esok kita boleh melawat dia ya bang”, sambung Ema. Yusri mengangguk perlahan.

“Teruk ke keadaan si Jadid tu”, tanya Yusri lagi.

“Talian telefon pun tak berapa nak jelas sangat tadi bang, tapi ada lah saya dengar Pia sebut, telur Abang Jadid pecah”, cemas wajah Ema menjawab. Yusri kehilangan kata-kata sehingga terduduk di atas kerusi malas yang ada di tengah-tengah ruang tamu rumah mereka, tangan kirinya menepuk dada sendiri sambil menghela nafas yang agak panjang. Sebenarnya Ema sendiri tak tahu nak komen apa berkenaan apa yang menimpa kawan baik suaminya itu ketika ini.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Apa lah nasib kau macam ni Jadid. Dahlah baru berkahwin awal tahun hari tu, Pia belum sempat mengandung lagi, dah sekarang itu pula yang terjadi.

Yusri sepertinya tak berapa nak berselera untuk makan pada malam itu. Fikirannya asyik terkenangkan Jadid, dan yang paling Yusri fikirkan sekarang adalah tentang kecederaan Jadid di bahagian badan yang paling ‘vital’ bak kata orang putih, bahagian paling penting untuk lelaki!

Otak Yusri penat berfikir, macam mana kemalangan yang menimpa Jadid itu boleh berlaku. Dari situasi A, sampai ke situasi entah ke abjad nombor berapa entah, Yusri tanpa lelah cuba bayangkan. Penat membayangkan secara satu dimensi di dalam minda, Yusri siap menterjemahkan bayangan situasi-situasi itu menjadi dua dimensi di atas buku nota sekolah anak sulungnya.

Tidak cukup luas untuk lakaran penuh setiap situasi, Yusri minta pula sekeping dua kertas lukisan dari anak tengahnya. Mendecit budak darjah tiga itu, dahlah dia minta tolong masa buat kerja sekolah matematik tadi ayahnya buat tak tahu saja.

Yusri bukan setakat melakar menggunakan pensel, diambilnya pula warna krayon anak bongsunya untuk menambah kesan lebih jelas dan jitu pada bayangan fikirannya tentang kemalangan yang menimpa Jadid. Begitu serabut fikiran Yusri mencari kesimpulan tentang apa sebenarnya yang memungkinkan Jadid mengalami kecederaan seteruk itu. Ema ajak makan malam pun, Yusri buat tidak endah. Menggeleng pun tidak.

Risaunya aku dekat kau Jadid!

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Kau ni macam tak cukup tidur je Ri, kau pun tak sihat ke?”, soal Khamis bila Yusri diam tidak bersuara sejak dia ambil Yusri di rumah tadi. Alang-alang Khamis nak pergi hantar semula kereta Jadid, Yusri cakap nak ikut sama. Tak ada selera dia nak memandu. Balik nanti dia minta Khamis hantar saja dia ke rumah semula, dengan motosikal pun tak apa. Nasib baik Jadid sudah dibenarkan balik ke rumah, dekat sikit jarak rumah Yusri dengan rumah Jadid berbanding dengan hospital di pekan situ.

Yusri mengerling sejenak pada Khamis yang berada di tempat duduk pemandu, “Aku tak berapa nak boleh lelap malam tadi Mis, risau aku kat si Jadid tu”, ujar Yusri. Khamis hanya terangguk-angguk seolah mengiakan kata-kata Yusri itu. Sejujurnya, Khamis pun risau juga pada Jadid. Sudahlah apa yang menimpa Jadid itu sedikit sebanyak berpunca dari dia. Tapi, salah Khamis ke kalau emak yang asalnya memang kelihatan terlalu nazak, tiba-tiba segar lepas nampak kesemua lapan orang anak dia balik dan berada di kampung? Salah Khamis ke?

“Jadid tu belum sempat ada anak lagi Mis..”, ujar Yusri sayu sambil mengetuk-ngetuk perlahan tingkap di sebelahnya.

“Anak? Tak apalah, kalau ada rezeki tak ke mana. Tak boleh anak kandung, boleh bela anak angkat. Apa susah, zaman sekarang semua boleh dah”, balas Khamis sambil tangan kanan menggaru-garu janggutnya yang sejemput.

“Kalau buah pinggang yang rosak ke, pecah ke, boleh jugak kita ni sebagai kawan sehidup semati nak derma kat dia”, sambung Yusri.

“Ok lah tu bukan buah pinggang yang pecah Ri. Sekarang ni pun kalau kau nak derma ke, nak tolong-tolong si Pia tu bagi dia ‘happy’, tak ada masalah pun, lagilah Jadid suka sebab ada orang nak bantu dia dengan Pia menghadapi kerugian dia dengan barang dia yang dah ranap tu”, jawab Khamis polos. Berkerut dahi Yusri mendengar jawapan Khamis.

“Kawan kita tengah ditimpa musibah tu Khamis, kita ni pun dah tua dah, tak payahlah nak berseloroh, bergurau benda bukan-bukan, benda tak elok macam tu!”, tegas Yusri.

Khamis menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Salah aku ke?

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Ibarat hendak terpusing biji mata Pia menjeling Khamis yang terjengul memberi salam di muka pintu. Buah oren yang dihulur oleh Khamis direntap sekuat hati oleh Pia, tanda protes dan marah Pia dengan Khamis. Hai la nasib, tadi tak pasal-pasal kena jerkah dengan Yusri, ini kena jeling pulak dengan Pia.

Yusri terus duduk bersila di sebelah Jadid yang berada di tengah rumah. Bau minyak gamat yang agak kuat menerpa hidung Yusri dan Khamis. Jadid yang terbaring sejak pulang ke rumah, menggagahkan diri untuk duduk melunjur, badannya disandarkan ke dinding. Kedengaran Jadid mengaduh kecil, kasihan, sakit benar nampaknya Jadid.

“Kau tak kerja ke hari ni Ri?”, Jadid memulakan bicara. Kedua tapak tangannya mengurut-urut pehanya yang masih terasa sengal-sengal.

“Aku ‘half-day’ hari ni. Sebab nak ziarah kau la Jadid”, Yusri berkata dengan nada yang sedih. Sedih yang tidak dibuat-buat, kasihan benar dia dengan Jadid. “Terima kasihlah Ri sebab datang ziarah aku ni, kau pun Mis”, Jadid tersenyum tawar memandang wajah dua kawan baiknya itu bersilih ganti, menampakkan jelas kesan calar balar akibat kemalangan di dagu dan pipinya. “Aku ok. Dah tertulis takdir aku nak kemalangan semalam. Nasib baik nyawa aku panjang lagi, cuma adalah calar-calar sikit, koyak-koyak sikit”, sambung Jadid.

“Pecah-pecah sikit”,celah Pia dengan muka mengejek sambil meletakkan dulang berisi kopi hitam pekat tiga cawan di sebelah tilam suaminya itu, sambil matanya menjegil kasar kepada Khamis. Khamis buat-buat tak nampak, tapi dalam hati punyalah seram! “Rugi aku tau. Rugi!”, tambah Pia.

“Pia..”, tegur Jadid. Pia memalingkan mukanya dari Khamis. Menyampah!

Yusri diterpa perasaan kagum dengan Jadid. Kagum yang Jadid masih boleh redha dan kelihatan tabah sekali menghadapi semua dugaan ini. Kalaulah benda yang sama terjadi pada Yusri, entah Yusri mampu atau tidak untuk hadap. Hebat sahabat aku ni.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Yusri nak sangat tanya berkenaan telur Jadid yang pecah itu. Tapi Yusri tak berani. Tapi nanti kalau tak tanya, Yusri risau dia akan terus terfikir-fikir. Setelah dua cawan kopi air tangan Pia dia teguk, dan setelah dia nampak yang Khamis ini dari tadi tidak ada sebarang tanda pun nak bertanyakan berkenaan  telur Jadid kepada Jadid, Yusri tekad untuk bertanya.

“Teruk ke telur kau pecah masa kemalangan tu Jadid?”, soal Yusri tanpa ragu, memotong percakapan Jadid dan Khamis tentang betapa emak Khamis tiba-tiba sihat sampai boleh ‘karok’ lima buah lagu pada malam mereka sekeluarga buat barbecue malam tempohari.

Serentak dengan itu, ketiga-tiga Jadid, Khamis dan Pia merenung muka Yusri. Yusri menelan air liurnya yang terasa seperti ada ketulan batu ketika itu.

“Dalam ramai-ramai orang yang ziarah aku dari pagi tadi, kau lah orang pertama yang tanya pasal telur aku Ri”, Jadid tersengih sumbing. “Teruk Ri, pecah habis, satu pun tak tinggal”, Khamis menambah. Jadid menggeleng-geleng perlahan kepalanya mengenang telurnya yang sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Memang satu kerugian yang besar.

“Macam mana boleh sampai pecah Jadid?”, mata Yusri mulai berkaca, jujur, dia sedih mengenang nasib Jadid.

“Aku khayal masa tu, hati teringat yang aku bertekak dengan Pia pagi tu”, Jadid memulakan cerita.

“Kau lah punya pasal!”, jerkah Pia pada Khamis di sebelahnya.

“Ish! Sudah-sudahlah salahkan Khamis ni, awak ni tak percaya qada’ dan qadar ke?”, Jadid memarahi isterinya.

“Tapi rugi saya bang!”, Pia turut tak mahu kalah.

“Rugi rugi, itulah yang asyik ulang. Biarlah rugi! Nanti saya bagi awak yang lain”, Jadid berkata tegas. Pia mencebik.

“Jadi, masa tengah berkhayal tu, aku lupa nak bagi ‘signal’ masa nak belok masuk simpang depan tu, sedar-sedar ada kereta dah sondol belakang motosikal aku. Apa lagi, terbang habis aku dengan barang-barang, dengan motor sekali. Nasib baik kereta tu sondol tak kuat”, terang Jadid panjang lebar.

“Pecah tu sebab kau jatuh terduduk ke?”, Yusri masih tak puas hati dengan senario yang Jadid ceritakan.

“Entahlah, tak ingat. Tapi aku ingatlah yang aku tergolek atas rumput”, sambung Jadid.

“Bila kau sedar yang telur kau pecah?”, soal Yusri lagi.

“Sedar masa tu jugak, boleh nampak”, jawab Jadid bersahaja sambil menghirup baki kopi dalam cawannya. Yusri terangguk-angguk sebelum menyambung, “Kau kisah tak, kalau aku nak tengok macam mana keadaan telur kau yang pecah tu?”.

“Berminat sungguh kau dengan telur aku yang pecah ni Ri?”, soal Jadid kepada Yusri setelah melihat semangat Yusri meluap-luap semacam.

“Elok jugak kau tunjuk, dari dalam kereta tadi dia macam tak percaya yang barang kau tu pecah”, sampuk Khamis sebelum menambah, “Dia nak tolong ganti bagi kat Pia kot”.

Yusri berasa berang sungguh dengan Khamis, lengan Khamis ditumbuknya kuat. Khamis mengaduh sakit sambil mengurut-urut lengannya yang ditumbuk Yusri.  Buat malu aku je Khamis ni!

“Sebenarnya molek jugak kalau kau nak tolong gantikan apa yang pecah tu, baru senyap mulut si Pia ni”, serentak Jadid dan Khamis ketawa. Pia memusingkan anak mata hitamnya ke atas, jengkel sungguh dengan perbualan tiga lelaki di hadapannya ini.

“Marilah aku tunjukkan, sebab kau nak tengok sangat”, Jadid berkata sambil perlahan-lahan berdiri dengan dibantu oleh Khamis. Yusri masih lagi bersila kemas, menanti sebarang kemungkinan kejutan yang bakal dia alami sebentar lagi.

Sebaik Jadid berjaya berdiri, Jadid mengangkat sedikit kain pelekat yang dipakainya ke paras lutut. Yusri meneguk air liurnya yang terasa kasar sekali sambil berdoa semoga hatinya kuat untuk menyaksikan apa yang bakal ditunjuk oleh Jadid.

Perlahan-lahan, Jadid berjalan menuju ke pintu rumahnya. “Jomlah, duduk apa lagi”, ajak Jadid kepada Yusri. Khamis yang sedari tadi berjalan memimpin Jadid hanya ketawa kecil.

Yusri sedikit pelik, Jadid nak tunjuk dekat mana? Bukankah di sini lebih ‘privacy’ dari dekat luar tu? Namun, Yusri hanya menuruti. Hatinya berdegup kencang, lebih-lebih lagi apabila memandang wajah Pia yang tersenyum senget sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Ha, tengoklah. Inilah kesan akibat aku kemalangan semalam”, Jadid menunjukkan apa yang Yusri nak tengok sejak tadi. Yusri terpinga-pinga, dia tidak dapat melihat dengan jelas, apa yang ditunjukkan oleh Jadid. Tidak faham pun iya jugak. Khamis memandang Yusri dan Jadid bersilih ganti sambil bercangkung di sebelah longgokan plastik-plastik sampah yang kotor dicemari kicap dan lendiran berbau hanyir.

Yusri menggaru kepala botaknya yang tidak gatal, sambil ikut mencangkung di sebelah Khamis. Eh tak fahamlah aku.

“Kau kata nak tengok rupa telur aku yang pecah kan, itulah telur aku yang pecah semalam”, Jadid menjulurkan jari telunjuk tangan kanannya ke arah longgokan plastik-plastik tadi. Baru Yusri perasan, selain plastik-plastik itu semua, ada bekas telur ayam dalam sepuluh papan yang diikat bersama-sama dengan tali raffia. Ya, Yusri boleh nampak telur-telur ayam itu semua pecah.

“Ada orang kampung tolong kutip dan hantar barang-barang ni, diorang longgok kat sini. Kot-kot ada yang elok lagi. Aku pun tak ‘check’ lagi, tapi setakat Pia tengok semalam, telur habis pecah”, ujar Jadid jelas sejelasnya.

“Oooooo”, panjang Yusri buat bunyi ‘O’.

Maksudnya, yang Ema dengar semalam, Pia beritahu tentang telur ayam sepuluh papan yang pecah. Telur ayam rupanya!

“Kau ingat apa yang pecah?”, soal Jadid dan Khamis serentak. Yusri ketawa terbahak-bahak sendirian sampai terduduk dan terguling di atas tanah, menambah keliru Jadid dan Khamis. Salah Yusri ke?

Ke salah siapa?

 

Syazni Rahim

04092020

PS: Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.

______________________________________________

 Sehari dua ni, rasa macam idea untuk menulis asyik datang.
Jadi agak keraplah aku up pasal cerpen di laman blog ini.
Elok jugak, dah banyak nanti boleh buat blog lain khas untuk cerpen.

Cerpen kali ni, inspirasi dari apa yang pernah jadi kepada arwah atok aku.
Rindu dekat dia harini.
Jadi balik dari kerja tadi, lepas makan terus mula ketuk keyboard.
Jadi kita olah dan garap cerita yang aku ambil dari penceritaan dia nak nenek tentang kisah ni kat aku masa aku kecik dulu, tambah imaginasi sikit kih kih  haha

Terima kasih pada yang sudi baca dan komen 😊

PS: AlFatihah atokku, Joned Bin Agam..

 


24 comments:

  1. dulu wak sukak baca cerpen camgini., hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. sekarang pun boleh baca wak, isi2 masa lapang haha

      Delete
  2. Ya Allah syaz, dari mula baca dah agak dah apa yg pecah tu, tapi yg tak boleh tahan tu pasal imaginasi si yusri tu, berair mata akk gelak, adoiii kelakarnya..
    Pukul 6.41 pagi tau akk baca ni.😂😂

    ReplyDelete
    Replies
    1. kikiki terima kasih kak azimah sudi baca hahaha :P

      Delete
  3. Fuyoo tulis cerpen. Terbaik laa Syaz. KakYa dulu2 pernah jugak tulis cerpen. Zaman dlu2 terlebih rajin hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihi itulah kak ya, sehari dua terlebih rajin pulak saya ni hahaa
      terima kasih sudi baca :D

      Delete
  4. Hahahaha! apa la Yusri ni, kalau telur 'tu ' pecah mesti la Jahid dah mati ! hahaha
    lawak gila..... atie dah dpt tangkap telur ayam yg pecah tapi suka bila baca reaksi and ragu2 si yusri tu .... sabaq ja la..
    ala kak syaz takyah la buat blog lain utk cerpen.... continue jer dlm ni :)

    ReplyDelete
  5. Gambar hiasan B&W tu pun Syaz edit sendiri?

    ReplyDelete
    Replies
    1. aah uncle, pakai apps dengan microsoft word je haha..
      gambar hiasan :D

      Delete
  6. Dari part Yusri tanya Jadid pasal telur tu sampai ke habis akak gelak berdekah..

    Hahaha..

    ReplyDelete
  7. uii cerpen! haha apa dia fikir pasal telur pecah tuuu.. adoiii.. tapi sampai 10 papan tu.. banyaknyaaa

    ReplyDelete
  8. Ramai manusia yang boleh dipersalahkan ni. kesalahan berantai gitu. Yusri pun kan..berminat sungguh dia..lawak betul bila baru tahu hal sebenar.

    ReplyDelete

Ada apa-apa nak tulis? ;)

Premium Flexible Related Post Widget for Blogger – Blogspot

Ya it's me