Search This Blog

Saturday, October 10, 2020

Telusur Nirmala | Fiksyen

 TELUSUR NIRMALA



“Ini semua ada berapa?”, belum sempat Mary duduk, aku sudah terjah dengan soalan. Aku sangat teruja sekarang ini!

“Ada enam atau tujuh, entahlah tidak pasti. Itu saja yang saya sempat buat salinan. Tak berani juga saya, kalau kantoi, naya saya Cik”, tercungap-cungap Mary menerangkan pada aku sambil menolak sampul surat bersaiz A4 yang dia letakkan di atas meja tadi ke arah aku. Matanya meliar ke kiri dan kanan, kegelisahan. Pantas aku capai dan terus aku masukkan ke dalam beg galas yang aku bawa. Rezeki ni, kena jaga elok-elok. Kalau tercicir, habis punah plan aku nanti.

Million thanks to you! Nah upah kau”, sampul kecil berwarna hijau lumut aku tolakkan ke arah Mary. Sama gaya macam dia buat tadi. Aku terasa macam aku mafia pulak buat benda-benda macam ni. “Aku dah kira tadi, tapi manalah tahu aku tersilap kira ke, toyol kebas ke”, sengaja aku berseloroh, meregangkan sedikit suasana yang boleh dikira mendebarkan.

“Tak payahlah Cik. Kalau ada apa-apa nanti Cik ‘text’ je la ye?”, Mary memasukkan sampul yang aku hulur tadi ke dalam kocek seluar ‘jeans’ yang dipakainya. “Cuma saya harap, Cik tak bagitahu sesiapa saya yang bagi semua ini, terutama pekerja sana, ya? Di sana nanti, Cik hubungi nombor yang saya beri, berurusan dengan Encik Hidawi. Dia akan uruskan semuanya”, terang Mary panjang lebar kepada aku. Aku angguk sambil angkat isyarat ‘ok’ sebelum Mary berlenggang-lenggok meninggalkan aku. Marilah balik, sebab serius tak sabar aku nak bukak sampul ni!

===== 

“Dapat?”, soal Elyas sebaik sahaja dia masuk ke ruang tamu sebelum meluru masuk ke dapur, entah apa nak dibuatnya tergesa-gesa semacam. Aku cuma mengangkat muka sedikit sambil menguntum senyum dan mengenyitkan mata sewaktu mata kami bertentang seketika tadi sebelum menyambung kembali pembacaan aku. Sejak sampai ke rumah tadi, aku masih tak berhenti menelaah dokumen yang aku dapat dari Mary tadi.

“Awal kau balik hari ni, kata ada ‘meet up’ dengan pelanggan?”, soal aku tanpa memandang ke arah Elyas, sekadar berbasa-basi tapi aku tau dia boleh dengar soalan aku dari dapur. “Terpaksa batalkan, mommy aku suruh aku balik malam ini juga. Lecehlah, tapi nak tak nak kejap lagi nak gerak dah, karang tak balik, tak larat aku nak dengar diorang bebel nanti”.

Urgent je bunyi?”, dokumen yang aku baca aku letak atas meja, dan jari telunjuk kanan menolak cermin mata yang aku pakai ke atas dahi. Terasa berminat pulak nak tau apa kes Elyas ni. “Tak nak cerita kat aku ke?”, tanya aku lagi.

“Agak ‘urgent’ juga, hal berkaitan harta peninggalan keluarga. Lecehlah nak bahagi harta ni, mengarut betul peratus-peratus yang nak kena ikut dalam pembahagian tu. Kolot betul”, jawab Elyas sambil terkocoh-kocoh bersiap. Sempat dia mendekat dan mengucup dahi aku. “Raf, aku pergi dulu ni. Kau jaga diri ya sepanjang aku tak ada. Rumah jangan lupa pasang palang tu malam-malam. Aku nak balik sini balik nanti, aku akan ‘call’ kau dulu”, pesan Elyas panjang lebar sebelum menghilang disebalik pintu.

=====

Aku Rafflesia Binti Remy. Berumur 25 tahun. Tidak bekerja tetap, menyara diri sendiri di Bandar Kaca Kuala Lumpur ini dengan menulis blog. Aku juga berasal dari Bandar Kaca ini. Di dalam bandar kaca inilah semuanya berlaku dalam hidup aku. Aku tak pernah menjejakkan kaki ke bandar kaca atau pekan kaca yang lain yang ada di Malaysia ini. Timbul juga keinginan untuk mengembara ke bandar-bandar kaca yang lain, tapi aku tak berani nak ambil risiko. Pihak tentera dan polis memang selalu ingatkan, kalau terjadi apa-apa semasa perjalanan ke bandar kaca atau pekan kaca yang lain, mereka tak bertanggungjawab, sebab kepergian tu atas urusan peribadi.

Adalah kawan aku pernah sampai ke bandar kaca yang lain, itu pun atas urusan kerja. Katanya penempatan di Bandar Kaca Alor Setar, lebih kurang saja dengan Bandar Kaca Kuala Lumpur, mungkin sebab masih di bawah pentadbiran satu negara. Tapi, ada sekali dia terpaksa pergi ke bandar kaca di Scotland, lain sangat katanya. Sebab di sana iklimnya lain, kaca yang digunakan untuk melitupi bandar kaca mereka pun lain jenisnya, dan aku tak boleh nak jelaskan lebih-lebih. Aku tak pernah pergi. Aku tak ada lesen perpustakaan global. Bacaan dan akses internet aku paling jauh adalah dalam Malaysia saja. Dapat tengok gambar dan baca berita berkenaan bandar kaca lain yang ada dalam Malaysia ini pun dah beruntung habis. Ada juga rakyat Bandar Kaca Kuala Lumpur ini yang hanya mampu dapatkan akses awam yang sangat terhad kepada berita dan sejarah dalam Bandar Kaca Kuala Lumpur sahaja. Apatah lagi untuk tahu kehidupan mereka-mereka yang berada di negara-negara lain. Kesian.

Rafflesia

9.13am

23 Julai 2085.

 

Mesti kalian semua tertanya-tanya, apa urusan aku dengan Mary tadi. Kisah dia begini, aku seorang penulis blog yang sangat mementingkan kemasukan trafik pengunjung. Ini kerana, semakin ramai pembaca blog aku, semakin tinggi harga yang aku boleh kenakan untuk membuat ulasan dan promosi produk, dan juga untuk para peniaga menyewa tapak iklan di blog aku. Jadi, aku perlukan modal cerita yang boleh menjadi ‘clickbait’. Cerita yang boleh meraih minat pembaca untuk klik pautan ke blog aku.

Tapi, aku dah naik buntu dengan cerita-cerita yang hanya boleh dikorek dari ruang lingkup Bandar Kaca Kuala Lumpur ni saja. Bosan! Blogger pun dah semakin ramai, cerita yang sama berulang-ulang dalam kebanyakkan blog. Siap ada yang pernah copy sebijik dari blog aku pun ada! Jadi aku sangat dahagakan cerita, lebih-lebih lagi ‘the untold one’. Paling bagus, cerita yang dihalang untuk dikongsikan. Tinggilah harapan aku, Encik Hidawi tu boleh tolong aku nanti.

Berulangkali aku baca semula pos pertama dari blog aku yang aku nukilkan beberapa tahun lepas ketika mula berjinak dengan profesyen ini. Semuanya sebab aku tak boleh berhenti berfikir tentang dunia di luar Bandar Kaca Kuala Lumpur yang aku diami sekarang. Tentang kenapa setiap bandar kaca ini sukar sekali untuk berhubungan. Tentang apakah erti akhir zaman. Tentang macam-macam lagilah! Semua ini mula menjentik kotak fikiran aku selepas aku luangkan masa bersama nenek aku, Tok Aida, beberapa hari yang lepas.

Tok Aida kata, kehadiran bandar kaca-bandar kaca ini semua lanjutan dari satu wabak penyakit yang melanda seluruh dunia pada tahun 2020. Kata Tok Aida, pada ketika mula wabak tu melanda, dia berusia 20an seperti aku. “Durjana punya penyakit, habis caca-marba hidup semua manusia”, kata Tok Aida sambil merenung jauh ke luar tingkap. Dia kata aku rugi, sebab sepanjang hayat aku, aku hanya terkurung dalam kaca ni.

Tok Aida juga beritahu, yang dulu semua manusia hidup bebas di atas muka bumi ni. Paling-paling pun, tertakluk kepada lingkungan sempadan negara masing-masing. Itu pun, tak jadi masalah untuk ke negara lain, asalkan mendapat kebenaran dan memiliki ‘passport’.

Hidup semua manusia berbumbungkan langit, tiada lapisan bumbung kaca seperti bandar kaca - bandar kaca seperti hari ini. Ilmu dan pengetahuan, hiburan serta maklumat yang diperlukan, hanya di hujung jari. Nak cari berkenaan apa, semua boleh dilakukan dengan pantas dan tak ada yang menghalang. Tiada akta aneh-aneh seperti hari ini. Semuanya mula menjadi terhad dan terbendung, setelah dunia memutuskan untuk hidup di dalam kaca yang berbentuk seperti kubah. Segala aktiviti hanya di dalam ruang lingkup kaca daerah masing-masing.

Pada awalnya, antara bandar kaca masih boleh berhubung. Lama kelamaan, untuk mengambil kira faktor keselamatan manusia, bandar kaca menjadi nadi kepada diri sendiri. Sistem maklumat atas talian sedia ada semakin lama semakin rosak, katanya kerana kekurangan pakar dan tenaga kerja dalam setiap bandar kaca. Kawasan-kawasan kaca terisolasi dalam kerajaan pimpinan sendiri, di mana hanya orang-orang penting dalam bandar sahaja yang boleh keluar untuk berurusan di kawasan kaca yang lain.

Nama-nama bandar yang dahulunya dikenali sebagai Bandaraya, atau Bandar, mahupun Pekan, semua telah diubah menjadi ‘Bandar Kaca’. Pekan dan bandar kecil mula bergabung menjadi satu Bandar Kaca.

“Masa tu, kami semua menangis berhari-hari mengenang nasib kami, ada yang terpisah dengan keluarga dan kawan-kawan. Walau semasa pembinaan semua Bandar Kaca lagipun, kami sudah dihalang untuk keluar dari sempadan kami. Selepas puluhan tahun, undang-undang dan ajaran agama pun semakin lama semakin longgar, mungkin sebab ‘ahli’nya sudah ramai yang tiada. Pergaulan macam dah tak ada batas, pakaian pun makin lama makin pelik. Mungkin dah akhir zaman. And the rest is history”. Dan aku boleh nampak Tok Aida menyeka air matanya. Sejak pertemuan itulah, aku jadi tak lena nak tidur!

=====

“Apa maksud kau dia kata pergaulan tak ada batas?”, soal Elyas sambil melabuhkan kepalanya atas peha aku. “Macam kita inilah, bebas buat apa saja pada satu sama lain, walaupun kita belum nikah”, balas aku malas-malas. Letihlah, aku letih berfikir sehari dua ini. “Nikah itu cuma untuk memastikan komitmen pasangan je kan, dan untuk pembahagian harta ke apa ke. Bila-bila pun boleh nikah. What a big deal?”, Elyas tergelak bila aku bangkitkan tentang nikah.

“Islam itu agama sepanjang zaman. Bukan agama kuno. Ini macam aku dengan kau ni, sepatutnya tak boleh hidup macam ni Yas, haram”, aku menolak kepala Elyas lembut. Entahlah sejak berborak dengan Tok Aida, hati aku mula berasa sesuatu. “Serius eh kau tolak kepala aku? ‘Chill’ lah sayang”, serentak dengan itu Elyas mengucup pipi aku sambal tersenyum manis namun wajah kacaknya aku tolak perlahan. Aku tau dia mesti pelik, sehari dua ini aku selalu sangat mengelak dari bermesra dengan dia seperti biasa. Entahlah, hati aku rasa semua itu seperti ada yang tidak kena.

“Kau kata nak pergi cari bahan untuk 'write up'. Kat mana? Bila tu? Nak aku ikut ke?”, soal Elyas menukar topik perbualan.

“Mungkin lusa, ada beberapa barang lagi nak kena siapkan. Tak apa, aku ok saja. Aku boleh pergi sendiri”, balas aku acuh tidak acuh.

“Serius ni?”, terbit riak kerisauan di wajah Elyas, tangan aku digenggamnya.

“Serius”, tangan buah hati aku seorang ini aku balas dengan genggaman erat. Aku sayang lelaki yang di depan aku ini. Jikalau ikutkan nafsu dan kebiasaan, nak saja aku peluk dia kuat-kuat. Tapi macam ada suara kecil dalam hati aku yang berbisik supaya aku tidak melakukannya seperti biasa.

Mungkin nasib aku baik, Elyas ni orangnya penyabar. Dia bukan jenis memaksa dan dia akan berikan aku ‘ruang’ yang aku hendak sekiranya aku memerlukan. “Aku nak lepak dengan Izzat lah, kalau ada apa-apa telefon aku”, kata Elyas sambil mengelus manja pipi aku sebelum keluar.

“Nikah itu suatu yang suci dan wajib kalau nak berhubungan mesra dengan berlainan jantina, macam Raff dengan Elyas tu. Berdosa besar hidup seperti kamu ni. Tapi itulah, kehidupan seperti kamu ni dah jadi biasa di zaman sekarang, di era Bandar Kaca ni. Itulah antara perkara yang Tok rasa ralat. Cuma Tok harap, kamu semua masih sudi untuk mengenal Allah dan peraturan untuk hidup di dunia ciptaan-Nya ini”.

Terngiang-ngiang pesanan Tok Aida pada aku tentang teguran dia berkenaan hubungan aku dengan Elyas. Apa maksud Tok Aida, perkara itu ‘dah jadi biasa’ di zaman aku? Dulu macam mana? Memang kena wajib nikah ke? Entahlah. Tapi yang pasti, apa yang dia cakap tu, buat aku rasa nak hentikan semua hubungan fizikal aku dengan Elyas. Sekurang-kurangnya buat masa sekarang!

=====

“Baik, tunggu kat sana. Sekejap lagi saya sampai”, kata Encik Hidawi sebelum mematikan panggilan telefon. Suasana dekat bangunan kerajaan lama ni agak menyeramkan. Ditambah dengan bau lumut yang kuat, tegak habis segala bulu roma aku. Menyesal pula tak ajak Elyas. Katanya dulu ini kompleks pentadbiran, tapi dari gayanya macam hospital. Tak pasti pula aku asal usul bangunan ini.

Mary kata, Hidawi boleh tunjukkan jalan untuk menyelinap keluar ke hutan di sebelah Bandar Kaca Kuala Lumpur ini. Katanya, Hidawi arif tentang jalan tikus menuju ke pintu usang yang boleh membawa aku keluar dari bandar kaca ini secara haram. Ya, demi menarik pembaca ke blog aku, aku rela merisikokan diri untuk mencari bahan secara haram begini. Mengenangkan jumlah upah yang aku dah bagi pada Mary dan Hidawi ni, semestinya aku mengharapkan ‘pulangan’ yang lumayan. Oh Hidawi I hope you good!

“Maaf Cik Raff, saya terlambat sikit”, tercampak segala aneka yang aku sedang jinjit. Hampeh mamat ni, terkejut aku! “Eh maaf Cik, saya tak berniat nak buat Cik terkejut”, Hidawi lantas menolong aku mengutip semua barang yang sudah berterabur di lantai. Aku cuma mengetap gigi, menahan geram.  “Tak apa, nasib baik saya tak kena sakit jantung Encik Hidawi”, sempat aku menjeling Hidawi yang ketawa kecil sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Ke gatal pun entahlah, nampak macam tak mandi pun ada lelaki ini.

Setelah semua barang kembali dikemaskan, Hidawi menawarkan diri untuk membawakan kesemuanya. “Banyak bawa barang ni cik, rancang nak duduk di sana berapa lama?”, soal Hidawi termengah-mengah mengangkat beg-beg aku yang boleh tahan beratnya tu. “Entahlah, bergantung dengan apa yang saya jumpa”, jawabku jujur. Sebab memang aku tak tahu, apa yang ada di luar sana.

Tapi aku dapat rasakan ada sesuatu. “Saya pasti Cik Raff akan jumpa sesuatu yang Cik tak pernah terfikir akan jumpa. Saya doakan semoga urusan Cik dipermudahkan”, kata Hidawi sambal meletakkan beg-beg aku di atas tanah. Aku terlopong melihat pintu usang yang kini sudah berada di depan mata. Selama ini, aku cuma mampu membayangkan rupanya sahaja. Kalau tak dilihat dengan teliti, pintu ini hanya nampak seperti kepingan dinding kaca yang calar-balar. Tombolnya pun sedikit tersorok dengan longgokan kayu dan kaca yang dibuang di sini.

“Pintu ini dulu antara laluan keluar masuk pekerja projek pembinaan sewaktu bandar kaca bandar ini sedang didirikan. Bila bandar kaca dah siap secara rasmi, semua pintu masuk yang digunakan oleh pekerja pembinaan ditutup terus. Ada yang disimen, ada yang digam, ada yang dipateri. Tapi yang ini tertinggal, tak tahu sengaja atau tidak. Tapi, tidak ramai yang tahu. Lagipun kedudukan dia tersorok di balik longgokan ini semua. Kawasan ini tak ada sesiapa yang jaga, memang jadi tempat pembuangan sampah pepejal yang sukar untuk dikitar semula sahaja Cik”, panjang lebar penerangan Hidawi. Agaknya besar betul mulut aku terlopong tadi.

“Elok-elok ya Cik Raff”, pesan Hidawi seraya membukakan pintu usang itu untuk aku. “Saya kena gerak sekarang, untuk elakkan pihak berkuasa syak kita tengah buat perkara terlarang kat sini”. Ewah gaya bahasa kau Hidawi, macam aku tengah bercengkerama pulak dengan kau!

 “Nanti, lepas saya tutup saja pintu ni, Cik terus ikut denai sebelah papan tanda kuning di sana. Di hujung denai ini ada satu kontena lama, dulu ianya rumah sewa pekerja tapak projek. Umurnya puluhan tahun dah, tapi bolehlah nak buat tumpang berteduh”, Hidawi menambah sambil menyengih menampakkan susunan giginya yang panjang tapi putih bersih tu.

Aku hanya mengangguk tanda faham. Hidawi terus bergegas pergi selepas pintu dia tutupkan kemas. Aku terus memanjangkan langkah menuju ke hujung denai seperti yang diterangkan oleh Hidawi tadi. Aku mendongak ke atas, dan apa yang aku nampak adalah rimbunan kanopi pokok-pokok besar yang saling bersentuhan dedaunnya antara satu dahan dengan dahan yang lain. Adalah beberapa lubang yang kecil, cukup untuk menerangkan denai yang aku sedang lalu ini dengan sinaran cahaya matahari.

Aku sangat teruja, pertamanya sebab ini adalah pertama kali kulit aku terkena sinaran cahaya matahari secara langsung. Manakan tidak, aku tidak pernah pergi ke mana-mana selain dalam Bandar Kaca Kuala Lumpur, kalau yang pernah bergerak ke bandar-bandar kaca yang lain, sekurang-kurangnya mereka pernah juga merasai bagaimana terkena panahan cahaya matahari tanpa kaca menghalang.

Kedua, bau di kawasan berpokok ini sangatlah unik namun sangat sedap untuk dihidu. Aku tarik nafas sedalam yang mungkin, dan melepaskannya perlahan-lahan. Aku rasa sangat bahagia mungkin?

=====

Aku terjaga pagi ini pun sebab cahaya matahari yang masuk melalui tingkap kontena ini membuatkan aku silau. Kontena ini walaupun usang, tapi lengkap. Ada katil lama, meja makan, dan yang paling tak sangka, ada bilik air yang masih berfungsi. Kontena ini seolah-olah dijaga. Seketika duduk di birai katil, aku terhidu aroma kopi yang sangat kuat. Namun sedap dan sangat menenangkan.

 Bingkas aku berjalan menuju ke bahagian beranda di pintu masuk kontena, sebab aku yakin bau kopi ini datangnya dari sana. Berhati-hati, pintu usang kontena ini aku kuak. Kelihatan sepasang manusia yang turut memandang ke arah aku, salah seorang darinya adalah Hidawi. “Cik, mari minum dulu”, pelawa Hidawi sambil menarik kerusi di sebelahnya. Wanita yang duduk di depan Hidawi menuangkan aku kopi yang hitam pekat. Ya aromanya sangat mendefinisikan nikmat, rasanya apatah lagi. Sepertinya melayang aku ke kayangan dengan rasa kopi yang tidak pernah aku rasa sesedap ini seumur hidup aku.

“Ini Nera, isteri saya. Sebentar lagi kami akan bawa Cik ke tempat yang Cik nak pergi”, Hidawi memperkenalkan wanita di hadapannya itu kepada aku. Nera tidak menjawab, cuma terangguk-angguk mengiakan kata-kata Hidawi. “Ke mana?”, soal aku sebelum menyambung hirup kopi yang sudah masuk cawan kedua. “Dunia”, Hidawi mengenyitkan matanya kepada aku.

=====

Tercungap-cungap aku mengikut Hidawi dan Nera yang berjalan sepantas pelesit menelusuri denai di dalam hutan ini. Sesekali aku terasa kulit aku perit digigit sinaran matahari, mungkin sebab aku tak biasa, tetapi aku biarkan. Sebab ini nikmat yang aku tidak mahu sia-siakan.

Langkah aku terhenti ketika tiba di kawasan yang sangat mempesonakan. Kawasan datar bersebelahan dengan air terjun dan sungai yang mengalir jernih. Terdapat beberapa buah rumah kayu yang indah berhias pokok dan bunga-bungaan cantik, rumput yang rapi menghijau serta penduduknya yang sudah bersedia menyambut aku. Yang paling menarik perhatian aku adalah sebuah bangunan berkubah kuning bersinar-sinar dipanah sinaran matahari.

Sangat mendamaikan hati aku memandangnya. Nera mengeluarkan sehelai belacu dari beg galasnya lalu dikerudungkan atas kepala aku. Aku hanya membiarkan tanpa sebarang reaksi. Nera menghulurkan tangannya kepada aku, sebagai tanda mengajak aku lebih dekat ke sana. Tanpa ragu, tangan Nera kusambut dan berpimpinan bersamanya ke arah mereka yang berwajah manis ceria menanti kehadiran aku di nirmala situ.


Syazni Rahim

09102020

 ++++++++++

 Okey saja buat ending tergantung kali ni. 

Bereksperimen dengan cerita genre lain sikit. 

Kalian rasa apa jadi pada Rafflesia lepas tu? 😉

+++++++++++

Terima kasih pada yang sudi singgah dan baca cerpen aku, untuk membaca cerpen-cerpen aku yang lain, boleh klik pada tajuk-tajuk di bawah 😙:


BUKAN PERCUMA

JUN

GALAS

SALAH SIAPA SEBENARNYA

SEPERTI YANG AWAK MAHU

HATIKU ADA KAMU

JANGAN NARSISIS

SELESAI 

PESONA FITRA


PS: Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.

20 comments:

  1. Menarik..Teruskan menulis..jangan sia-siakan bakat yg ada

    ReplyDelete
  2. cerpen futuristik ni boleh cuba hantar ke majalah dewan siswa dbp syaz

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaallah terima kasih kak PI, selalu support penulisan saya ;)

      Delete
  3. terus google apa maksud bandar kaca

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihi.. mereka tinggal dalam kaca yang macam igloo ;)

      Delete
  4. Banyak Bahasa saya belajar.
    Tertanya-tanya maksud telusur bila baca tajuk.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih sudi baca ;)
      telusur tu maksudnya berjalan ikut denai ;)

      Delete
    2. Oh Terima Kasih pencerahannya,
      Walhal selalu berjalan ikut denai.
      Thumbs up.

      Delete
  5. mungkin 50 tahun akan datang? kita semua duduk dalam kaca macam ni...hihih
    sambung la lagi. suka bacaan macam ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. semoga fantasi berkenaan bandar kaca ni tak jadi realiti hehe
      Terima kasih support ;)

      Delete
  6. Cik Raff mungkin menjadi seorang yang lebih baik selepas sampai di Nirmala, tempat yang suci. Tambah lagi Cik Raff dah banyak berubah kepada yang lebih baik bila teringatkan kata-kata Tok Aida.

    bandar kaca yang dimaksudkan rasa macam apa yang berlaku sekarang dengan virus covid-19 yang sedang melanda.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe betul fizah, bandar kaca tu ibarat igloo besar, di mana pekan2 dilitup dengan kaca dan diputuskan hubungan dengan bandar kaca yang lain.

      Terima kasih sudi baca, terharu saya ;)

      Delete
  7. Adoi sian, takdolah kena hujan, angin sepoi2 bahasa...burung2 ada tak? So udara bersih datang dari mana tu agaknya? Hihi..banyak songeh ye dah baca byk plak tanya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihihi terima kasih kak sudi baca ;)
      Semua dari mesin2 kot? hihihi

      Delete

Ada apa-apa nak tulis? ;)

Premium Flexible Related Post Widget for Blogger – Blogspot

Ya it's me