Hai semua! Cerpen ini sambungan dari Ikut Hati Mati, dan ada kaitan dengan salah seorang watak dalam Seperti Yang Awak Mahu (ada dalam Terkaitnya Kita)
Selamat membaca, semoga terhibur 😀
PERTEMUAN
Masa ibarat kaku, dunia terhenti putarannya. Terbang melayang-layang segala objek di sekeliling seperti tiada lagi graviti yang wujud ketika ini. Suasana di dalam ruang lingkup ini cuma ada dia dan lelaki di hadapannya ini sahaja. Masing-masing tidak berkelip, cuma saling memandang antara satu sama lain.
Lima belas tahun bukanlah suatu jangka masa yang
singkat. Jika ada seorang bayi yang dilahirkan saat pertemuan terakhir mereka, bayi itu kini adalah seorang remaja yang sedang bersekolah menengah, lebih tepat lagi di tingkatan tiga.
Sosok di hadapannya ini juga turut kelu. Hilang segala modal bicara, sama seperti dirinya. Hendak senyum pun membuahkan
rasa serba salah. Mahu pura-pura tidak kenal pula semestinya sudah terlewat. Serba-serbi
tidak kena, situasi ini sesungguhnya amat janggal sekali.
“Sayang, dah ambil ke pes tomyam yang awak cakap tadi?”, tersentak dengan sapaan suara itu, pecah berderai segala lamunan kenangan Sarihah tentang sosok di hadapannya ini. Segala rak yang terapung bersama objek-objek yang tersusun di atasnya mulai terjerembap dan terpasak kembali ke lantai apabila Borhan memaut kemas
lengannya. Ironi, perkataan jerembab yang diakhiri dengan huruf ‘b’ pula membawa
maksud ‘bertemu dengan tidak disangka-sangka’. Itulah yang berlaku pada
Sarihah dan lelaki di hadapannya ketika ini.
“Ha? Oh sudah, bang. Sudah”, jawab Sarihah ringkas
sambil menarik tangan Borhan lantas berlalu pergi dari celah rak yang menempatkan
pes-pes masakan itu. Dari ekor mata, Sarihah boleh tahu, lelaki tadi masih tidak lepas
memandang ke arah dirinya.
“Sayang ok tak ni? Siapa lelaki
tu?”, soal Borhan sambil tangannya ligat mengeluarkan barang-barang di dalam troli mereka ke atas
kaunter pembayaran. Kepalanya turut terpusing-pusing mencari kelibat lelaki yang
terpacak di depan isteri mudanya ini tadi. Matanya meliar ke setiap ceruk pasaraya.
“Saya ok. Tak ada apa-apalah”,
jawab Sarihah yang turut membantu Borhan mengeluarkan barang dapur yang
berselerak di dalam troli.
“Siapa lelaki tadi tu?”, soal Borhan
sekali lagi. Kali ini bernada cemburu. Lebih-lebih lagi apabila terlihat pipi
Sarihah berubah kemerahan seperti menahan perasaan malu sebentar tadi. Borhan kenal benar
dengan reaksi isterinya yang sebegitu, reaksi yang sama sewaktu mereka baru mula berpacaran dulu.
“Tak kenal pun. Dia tanya pes tomyam
cap apa yang paling sedap je”, tipu Sarihah, cuba berselindung. Borhan menjeling namun tidak
membalas walau sepatah, malas mahu memanjangkan cerita di sini. Namun sanubari Borhan tertanya-tanya juga, apakah yang tersirat disebalik pertemuan empat mata antara Sarihah dan lelaki
itu. Memikirkan perkara itu, hatinya sedikit sakit.
++++++
“Abang nak pergi tandas sekejap”,
Sarihah hanya mengangguk sambil terus menghirup air laici ais yang baru sampai
ke meja mereka. Tekaknya terasa haus benar, macam baru sudah berlari satu pusingan
di padang sekolah, walhal hanya letih membeli barang keperluan rumah di pasaraya saja.
Sarihah terus memandang Borhan yang berjalan menuju ke tandas yang terletak di
hujung bangunan.
Sebaik sahaja Borhan hilang dari pandangan mata, terkejut bukan kepalang Sarihah apabila lelaki yang ditemui di celah rak tadi tiba-tiba muncul. Tanpa segan silu, lelaki itu terus melabuhkan duduk di tempat Borhan.
PFFTTT!
Tersembur air laici yang sedang dihirup oleh Sarihah. Lelaki tadi ketawa besar melihat reaksi Sarihah yang terperanjat sehingga demikian jadinya.
“Sihat?”, soal lelaki itu dengan lagak yang terlalu bersahaja. Sekali lagi Sarihah dirundung perasaan risau dan serba salah,
lebih-lebih lagi apabila mengenangkan dirinya kini berstatus isteri orang. Sarihah sekarang adalah isteri Borhan!
“Jadi.. betullah awak ni.. Ru..
Rudy?”, tergagap-gagap Sarihah bersuara sambil matanya meliar ke arah kawasan
berdekatan tandas. Bimbang sekiranya Borhan terlihat semua ini.
“Ya, Rudy lah ni. Nasib baik ingat lagi! Suami ke tadi tu? Muka
macam Fizz Fairuz”, ujar Rudy, selamba mengambil beberapa batang kentang goreng yang ada di
atas meja lalu dikunyah sambil tersenyum.
“Favourite saya ni, awak pun tau
kot, kan?”, ujar Rudy lagi, menepuk-nepuk garam yang terlekat di hujung jari-jemari sambil ketawa. Sarihah masih lagi bingung dan terus menunduk, tidak tahu apa yang perlu dia lakukan.
“Nah, simpan cepat. Hubungi saya ya? Kita ada perhitungan yang belum selesai kan?”, Rudy menyelitkan sekeping kad
kecil ke bawah bekas kentang goreng tadi sebelum beredar pergi. Pantas Sarihah
mengambil kad kecil itu lalu langsung dimasukkan ke dalam beg tangannya. Bimbang
Borhan dapat tahu pun ya juga.
Awak muncul
kembali, Rudy?
++++++
“Jaga diri. Kunci semua pintu dan tingkap”,
pesan Borhan sewaktu Sarihah mengucup tangannya. “Sayang, tentang permohonan pinjaman untuk beli rumah tu, sayang tak habis pertimbangkan lagi ke?”, soal Borhan sambil mencuit
dagu Sarihah dengan lagak manja. Sarihah menggeleng perlahan seraya mengusap pipi
Borhan sambil tersenyum manis. Kalau diikutkan, hati Sarihah sudah jelak benar
dengan soalan itu. Ini bukan kali pertama Borhan bertanya tentang kesudian
Sarihah untuk membuat permohonan pinjaman bagi urusan pemilikan rumah Borhan dan madunya,
Unaysah.
Sarihah malas hendak menyatakan
ketidaksudiannya itu secara jelas, bimbang mereka berkecil hati. Tetapi nampaknya Borhan dan Unaysah seperti
sengaja buat-buat tidak faham akan gerak-geri dan bahasa tubuh Sarihah yang tidak mahu
‘meminjamkan’ namanya dalam urusan pembelian rumah mereka berdua itu.
“Cepatlah sikit fikir tu! Sudah
lama masa yang abang dan Unaysah bagi kan?”, ujar Borhan sebelum cepat-cepat masuk
ke dalam kereta. Tingkap diturunkan sebaik sahaja pintu kereta ditutup rapat.
“Jangan fikir-fikir lagilah. Setuju saja seeloknya, sayang bukan rugi apa pun.
Hujung-hujung nanti rumah itu akan jadi milik sayang juga”, Sarihah boleh
nampak yang wajah Borhan bertukar masam mencuka secara mendadak. Tanpa menoleh
lagi pada Sarihah, Borhan terus memecut pergi. Melihatkan itu, hati Sarihah terasa
pegal sekali. Terlajak perahu bolehlah Sarihah undur, ini sudah terlajak nikah.
Apa yang boleh Sarihah lakukan lagi?
Selepas mengunci segala pintu dan tingkap, Sarihah segera merebahkan dirinya ke atas katil. Air mata yang meleleh di pipi, disapu perlahan dengan jari-jemarinya yang runcing. Hati terasa seperti digores-gores dengan garpu ketika melihat wajah Borhan berubah serta-merta apabila Sarihah menggelengkan kepalanya tadi. Suara kecil dalam hati juga tidak penat-penat menjerit dan menghasut Sarihah. Tentang Borhan yang sebenarnya tidak mencintai Sarihah pun, cuma mahu menggunakan dirinya atas kepentingan peribadi.
Sakitnya hati!
Sarihah mengguling-gulingkan tubuh genitnya di atas katil, menjerit-jerit bagi melepaskan rasa geram yang membara di hati. Bantal kepala
milik Borhan ditumbuk-tumbuk sebelum kembali dipeluk dan dicium-cium. Ikhlasnya,
Sarihah amat mencintai Borhan, walaupun adakala dia merasa kan seperti bertepuk sebelah
tangan dengan suami sendiri.
Kenapa aku terjebak dalam perkara
ini?
Sekilas, Sarihah terpandang akan beg
tangannya yang tergantung di belakang pintu bilik. Lantas Sarihah teringat
semula kepada Rudy. Segera Sarihah mendapatkan kad kecil
pemberian Rudy tadi sebelum dibaca setiap perkataan yang tertera di
atasnya.
Rudy Hasrat.
Penasihat Kewangan
Rupanya Rudy turut meninggalkan segaris nota
tulisan tangan di atas kad itu selain butiran tentang pekerjaannya yang
bercetak kemas.
“Sar, saya tunggu awak 'call' saya”
Membacanya saja sudah membuat
Sarihah berdebar-debar. Terbayang terus kenangan pertemuan terakhir mereka lima belas
tahun yang lalu.
++++++
“Semudah ini ke awak nak putuskan
hubungan kita, Sar?”, Sarihah memang sengaja mengelak dari memandang wajah Rudy yang sedang berang. Bimbang
jika nekadnya terbantut apabila terpandang anak mata buah hati yang menjadi
pasangan cinta monyetnya ini.
“Saya dah agak yang awak akan
berubah lepas masuk sekolah asrama masa tingkatan empat ni. Hati saya berat betul nak lepaskan awak tau tak!”, Rudy
bingkas berdiri betul-betul berdepan dengan Sarihah yang hanya berpeluk tubuh
di atas bangku hentian bas yang selama ini menjadi tempat berjumpa mereka berdua. Tempat yang selalu menjadi saksi mereka berbual mesra. Namun hari ini, Sarihah hanya diam membatu, luput sudah kehangatan sepasang remaja yang berkasih.
“Sekarang awak memang betul-betul nak ‘clash’
ke?”, soal Rudy lagi, masih tidak berpuas hati kerana Sarihah dengan mudah
sekali mencampakkan dirinya ke tepi. Hendak ajak berjumpa ini pun, puas Rudy pujuk dan rayu. Nasib baik juga sekarang waktu cuti sekolah dan Sarihah turut pulang ke rumah.
“Ya”, jawab Sarihah pendek dan ringkas. “Saya nak putus, sebab saya nak fokus pada pelajaran. Lepas saya habis SPM,
kita jumpa dan selesaikan perkara ini. Manalah tahu ada jodoh kita. Bukan lama,
tak sampai dua tahun pun”, Sarihah tersenyum kelat memandang Rudy.
“Janji lepas awak SPM kita jumpa?”, soal
Rudy penuh harapan.
“Ya”, dan itulah kata-kata Sarihah
sebelum berlalu pergi dari Rudy membawa janji yang dia mungkiri sehingga ke usia ini.
++++++
Berdebar-debar kencang dada Sarihah
ketika ini. Entah bagaimana mudahnya dia dihasut oleh bisikan hati untuk
menghubungi Rudy. Perbualan yang berlangsung malam tadi tidaklah begitu
panjang, namun cukup untuk membawa Sarihah ke sini. Hari ini, Sarihah berjanji mahu bertemu empat mata
dengan Rudy.
Sarihah bukannya tidak tahu hukum agama. Dia tahu, tidak sepatutnya dia bersetuju untuk berjumpa dengan Rudy berduaan sebegini. Apatah
lagi, perkara ini Sarihah rahsiakan seketatnya dari pengetahuan Borhan. Sarihah tegar mengenepikan semua itu kerana mahu menggunakan peluang ini demi memohon ampun dan maaf dari Rudy kerana tidak mengotakan janjinya dahulu.
Tidak, bukan Sarihah lupa pada janji itu, tetapi memang disengajakan. Pada ketika itu, Sarihah merasakan dirinya masih terlalu muda untuk terikat dengan sesiapa. Sarihah mahu bebas ke sana ke mari tanpa perlu memikirkan ada hati yang perlu dijaga. Rudy yang tua tujuh tahun dari dirinya sudahpun menjadi seorang pelajar di IPTA, sudah terlorong masa depannya.
Sarihah pula masih di bangku sekolah, dan mula merasakan kehadiran Rudy mengongkong dan mengekang cita-citanya. Sarihah juga ingin merasa bagaimana indahnya zaman muda di peringkat pengajian tinggi. Itulah sebab sebenar Sarihah tekad untuk berpisah terus dengan Rudy yang dianggap sebagai batu penghalang kebebasannya ketika itu.
“Lama tunggu? Maaf saya lambat
sikit”, lesap segala kenangan lama di minda Sarihah ketika Rudy muncul dan duduk di
kerusi hadapannya.
“Tak adalah lama sangat, dalam
sepuluh minit macam tu saja”, balas Sarihah sambil mengangkat tangan, memanggil pelayan kedai datang ke meja. “Nak makan minum apa-apa, mintalah. Saya belanja ya”,
kata Sarihah lagi. Rudy tersengih menampakkan barisan giginya yang sudah kemas
teratur, berbeza sungguh dari rupanya sewaktu mereka bercinta monyet dulu. Rudy tanpa segan silu terus memesan kentang
goreng dan secawan 'cappucino' panas.
“Masih suka makan ‘french fries’ ya?”,
mendengar soalan Sarihah itu, Rudy hanya ketawa kecil sambil terangguk-angguk.
“Saya masih Rudy yang sama. Orang yang sama, hati yang sama, selera yang kekal sama, Sar”, balas
Rudy sambil merenung ke dalam anak mata Sarihah. Seram sejuk Sarihah melihat
anak mata Rudy yang telah lama tidak dipandangnya itu. Bertambah kencang degupan
jantung yang berdetak deras dari awal tadi.
Aduh!
“So..?”, Rudy mengangkat kedua-dua
bahunya sambil terus merenung tajam wajah Sarihah yang mulai bertukar kemerahan. “Saya
rasa awak ada hutang saya satu penjelasan yang dah tertangguh hampir lima belas tahun kan?”,
ujar Rudy sambil menongkat dagu dengan tangan kanannya. Senyuman Rudy itu
benar-benar membuatkan Sarihah gugup dan tidak keruan.
“Saya minta maaf, Rudy. Cerita ini pun
dah lama berlalu kan”, perlahan suara Sarihah memulakan bicara.
“Lama dan berdebu tak berusik di bawah katil, tapi tak
membawa maksud dah tak ada, kan?”, balas Rudy ringkas.
Sarihah menarik nafas sedalam yang
mungkin sebelum melepaskannya perlahan-lahan bagi menghilangkan gugup dirinya
ketika ini. Cuba menyusun kata setenang mungkin, Sarihah menyatakan sejelas-jelasnya
asbab dia beria mahu memutuskan hubungan dengan Rudy dahulu. Sarihah juga turut menjelaskan kenapa dia
terus menghilang membawa bersama janji untuk menghubungi Rudy selepas tamat
persekolahan. Rudy hanya mendengar sambil terus tersenyum.
“Jadi, saya harap perkara ini dah jelas. Saya harap juga awak boleh maafkan saya. Dan bolehlah kita teruskan kehidupan di jalan yang kita sudah pilih ini. Tanpa hati yang bersarang dengan persoalan kisah lama kita berdua itu”, lega rasanya hati Sarihah selepas membuat pengakuan yang dipendam sekian lama kepada Rudy.
“Kita pun masing-masing ada ‘life’
sendiri kan. Saya dah kahwin, awak pun dah kahwin”, sambung Sarihah lagi sambil menunjuk ke arah cincin di jari manis Rudy. Namun tidak semena-mena kata-kata Sarihah itu membuat Rudy berdekah ketawa secara tiba-tiba.
“Pernah kahwin. Dulu lah. Sekarang? Saya sudah tak
ada sesiapa. Lisa, arwah isteri saya, dah dekat tiga tahun meninggal. Cincin ini? Saya
sengaja pakai, sebab tak mahu orang mengurat. Saya masih tak terasa nak cari
yang baru. Percaya tak, pernah ada seorang perempuan ni, dia gilakan saya sampai minta
cerai dengan suami dia tau! Lepas tu ajak saya kahwin, gila!” terang Rudy sungguh-sungguh apabila terlihat
Sarihah mengerutkan dahi kebingungan ketika melihat dia ketawa tadi.
“Allah, maafkan saya. Saya ingat- ”,
“Dah saya tak nak cakap fasal tu
lagi”, Rudy memotong percakapan Sarihah. Sarihah hanya menganggukkan kepala
tanda memahami.
“Selesai satu hutang. Dan, saya ada
benda nak luah pada awak, Sar. Saya harap awak sudi mendengar. Mungkin juga awak boleh buat pertimbangan untuk terima apa saya nak 'propose' ni?”, tegak
bulu tengkuk Sarihah mendengar Rudy berkata begitu.
‘Terima apa pula ni? Nak ajak bercinta
semula ke? Macam tahu-tahu pula aku tengah dalam dilema dengan perkahwinan aku
ni. Eh? Tapi dia kata dia tak nak cari pengganti Lisa lagi’, getus hati kecil Sarihah. Air liur yang ditelan terasa tersekat-sekat. Air limau ais di hirupnya laju.
Rudy membuat isyarat supaya Sarihah
tunggu sebentar lalu tunduk untuk mengambil beg yang diletakkan di bawah meja.
Jantung Sarihah semakin laju berdetak melihat senyuman Rudy yang sangat menawan di matanya ini. Dulu, kini dan mungkin selamanya?
“Ok, tutup mata awak Sar”, pinta Rudy sambil
tangan kanannya masih berada di dalam beg yang telah pun diletakkan di atas riba. Wajahnya berubah serius.
“Ish perlu ke? Saya dah ada
suamilah Rudy”, Sarihah mula berasa ragu-ragu.
“Ala suami awak bukan ada di sini
pun sekarang. Tutup mata sekejap.. ‘Please’ Sar”, pujuk Rudy dalam nada
suara yang sangat gemalai itu akhirnya membuatkan Sarihah akur untuk menutup
mata. Dalam pejam, Sarihah boleh mendengar Rudy meletakkan sesuatu di atas meja.
“Ok, boleh buka mata sekarang”, dengan
penuh debaran, Sarihah membuka matanya perlahan-lahan. Tidak sabar untuk melihat
apa yang Rudy mahu berikan kepadanya ketika ini.
“Rudy? Awak serius? Sekarang?”,
Sarihah mengetap gigi sambil menggenggam kuat kedua-dua tapak tangannya apabila
terlihat sebuah fail dan beberapa dokumen yang Rudy longgokkan di atas meja
mereka.
“Seriuslah, Sar. Takkan gurau pula. Awak adalah prospek saya
yang sangat sesuai dan berpotensi besar! Satu, sebab awak ada kerja bagus, pendapatan besar! Kedua, awak ingat senang-senang awak nak lepas dari kesalahan awak tinggalkan saya dulu? Jadi, boleh saya gunakan kesempatan ini untuk terangkan tentang Pelan
Hibah dan Takaful ini pada awak sekarang? Boleh ambil untuk suami sekali”, dan
sesungguhnya Sarihah benar-benar mahu mencekik Rudy yang tersengih di hadapannya ini sehingga mati sekarang
juga!
Rudy hanya ketawa sambil terus mengunyah ketang goreng yang sudah mulai lembik dan sejuk.
Syaz Eym | 18112020
++++++
PS: Tidak dibenarkan untuk kongsi tanpa kredit kepada blog ini dan penulisnya. Tidak dibenarkan untuk mencetak atau mengeluarkan mana-mana bahagian dalam isi kandungan cerpen tanpa kebenaran penulis. Berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.
Hahahahaha.. ku dah agak dah, tapi tetap best, hahahahahaha
ReplyDeleteKikiki
DeleteTerima kasih sudi baca 😁
Pandai susun kata. Ending cerita suspen dan lawak ....
ReplyDeleteHehe terima kasih sudi baca 😊
DeleteGambar tu pun Syaz lukis ke. Very talented.
ReplyDeleteEh tak tak, gambar tu edit dan modify guna PhotoLab 😅
DeleteRajinnya menulis. Moga idea sentiasa muncul seperti air mengalir.
ReplyDeleteHehe terkena angin nak menulis tu datang :)
DeleteAMinn.. terima kasih atas doa :D
Kesiannya Sarinah. Laki dia suruh buat pinjaman duit untuk rumah laki dia dan madu dia? Macam suami dia pergunakan dia je..
ReplyDeleteLast sekali lawak la Rudy tu ingat nak kasi suprise apa... Nak promote pelan hibah dan takaful rupanya! 😂😂😂
kikiki.. terima kasih cik TK, sudi baca :D
Deletekesian sarihah terkena pulak menarik cerpem syaz
ReplyDeleteterima kasih kak PI :)
DeleteMacam mana lah Sarihah nak keluar dari situasi ni kan hehe
Dh tau dh style Syaz... suka twist plot.. hihihi... ok cepat sambung 😂😂😂
ReplyDeletehihih.. insyaallah kalau ilham datang :D
DeleteTerima kasih kakmim sudi baca ;)
Rajinnya menulis. Apa² pun semoga terus maju jaya dalam dunia penulisan.
ReplyDeleteAminn terima kasih fiza, insyaallah
Deleteteruslah berkarya
ReplyDeletemengasah bakat anugerah tuhan.
Insyaallah wak, jila ada lagi ilham dan masa 😊
Deletealamak, Rudy ni kira first love la kan , dgn Sar yg sedang bergelut ttg perasaan ni rudy mcm coming at the right time kan
ReplyDeletemungkin right mungkin wrong? hehe
Deleteterima kasih atie, sudi baca :)
best cerpen ni
ReplyDeleteTerima kasih rabia 🤗
Deletehehe..bertimpa-timpa masalah Sar..nak fikir ttg nak beli rumah, insuran/hibah lg...
ReplyDeletenak lagi..hihi..
naif sangat agaknya Sar ni huhu
DeleteKesian tau Sar ni. semua orang nak ambil kesempatan je atas jawatan dan apa yang dia miliki tu. tak baik!
ReplyDeleteHehe itulah, kesian Sarihah :D
DeleteTerima kasih fizah sudi baca ;)
Hahaha. Jarang saya baca cerpen sampai habis. Kejam betul plot twist dia.
ReplyDeletehihihih ;)
DeleteTerima kasih Salbiah sudi baca sampai habis :D
Hahha..Ingat nak jumpa kosong2 je ke?? jumpa kena ada hasilnya..hahahah
ReplyDeletekikiki :P
DeleteTerima kasih kak sudi baca :)
hahahahaah ngok ngek betul rudy ni!!! tapi masa dia nak propose tu da boleh agak dah apa bendanya lepas baca jawatan dia dekat name card tu 😂😂😂
ReplyDeletetugasnya menasihat ahahahaha
DeleteLaaah, ada lagi si Rudy ni, dahla kau kucar kacirkan rumah tangga si Busrain tu smp bercerai berai, hahahh..baca cerita kali ni..ibaratnya perasaan tu tengah mendaki dan berada di puncak sekali,pastu tiba2 bummmm...jatuh bukit..haha..
ReplyDeleteAkk terlepas pulak cerpen yg ni, nasib rajin nak tengok older post.
hihihi alamak sampai jatuh gedebum pulak hahaha!
DeleteTerima kasih kak, sudi baca :D