DEWI | FIKSYEN

Hallu! 

Cerpen ini adalah salah satu bab dalam Life Baggage.

Cerpen ini dahulunya bertajuk Edna. Nama watak Edna telah diubahsuai menjadi Dewi atas sebab-sebab yang tertentu.

Moga terhibur 😉

DEWI


Jika diikutkan, Fendi mahu menyerahkan sahaja rumah kecil milik ibunya ini kepada Hatim. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang boleh menjaga rumah peninggalan ini, tambahan pula mereka akan menetap di London untuk beberapa tahun selepas ini.

Namun Hatim menolak pelawaan Fendi itu dengan baik. Bukan tidak sudi, tapi Hatim memang tidak mahu merebutnya dari Fendi yang dirasakan lebih berhak. Biarlah Hatim datang untuk membantu membersihkannya sekali-sekala sahaja.

Segalanya telah Hatim kemas dan bersihkan bersama Fendi dan Jahra beberapa hari lepas. Hari ini Hatim cuma masuk kembali ke rumah Mayamin ini untuk mengambil beberapa barangannya yang masih berbaki. Terbit perasaan sayu di hati kecilnya memandang ke setiap inci rumah yang pernah dihuni bersama seseorang yang dipanggil isteri. Walaupun cuma beberapa bulan, namun tetap memberikan kesan.

Perkahwinannya dengan Mayamin dahulu dibina bukan atas dasar cinta. Lebih kepada rasa ingin membantu Fendi dan ibunya yang sakit sahaja. Namun ianya sedikit sebanyak berjaya mengisi hatinya yang tandus. Hati yang selama ini tidak pernah terjalin perasaan dengan mana-mana wanita pun.

Sejak menjadi suami kepada Mayamin, Hatim mula merasakan suatu rasa yang tidak mudah untuk diterjemahkan dalam bentuk perkataan. Suatu rasa yang membuatkan serba-serbi penitian kehidupannya seharian terasa bermakna.

Penting dan diperlukan.

Dihormati dan dikasihi.

Pemergian Mayamin sekaligus merentap segala rasa itu bersamanya ke alam baqa. Sepertimana kosong dan sepinya rumah ini sekarang, seperti itulah jua terasa lohongnya suatu bahagian di hati Hatim yang menempatkan segala rasa itu selama bergelar ‘suami’. Lamunan Hatim terhenti sewaktu membuka laci almari solek di bilik tidurnya. Kelihatan sekeping sampul surat berwarna hijau muda yang tertulis ‘daddy’ di atasnya.

Ini kerja Jahra ni!

Perlahan-lahan, isi sampul itu dikeluarkan lalu dibaca dengan penuh teliti.

Hi daddy! Haha.. Ok ok.. Hi Tim!

Aku saja buat surprise tinggalkan surat ni untuk kau. Aku tahu kau mesti akan jumpa surat ni. Aku nak ucap terima kasih atas segala jasa kau pada kami sekeluarga. Dari menggalas tanggungjawab menjaga mommy sehinggalah menasihati aku dan Fendi. Aku tak nak kau sedih dan sendirian lagi ok? Be happy for yourself Tim!

Sebagai tanda terima kasih, aku nak bagi nombor telefon seorang kawan aku ni. Kebetulan dia juga sedang mencari jodoh. Jadi aku ada ‘promote’ kau pada dia. Dia kata why not? Jadi dia akan tunggu kau contact dia.

Dewi – 010723156.

Love, Jahra~

Air liur yang ditelan Hatim kini terasa seperti batu!

++++++

Setelah merenung nombor telefon Dewi yang telah disimpan dalam senarai kenalan dalam telefon bimbitnya itu selama berhari-hari, akhirnya Hatim membulatkan tekad untuk mencuba nasib.

Tak cuba tak tahu kan? Aku pun bujang, so why not?

Dahi Hatim mula dibasahi peluh. Tangan dan jari-jemari terasa kebas sekali ketika Hatim menaip pesanan ringkas di aplikasi WhatsApp untuk Dewi.

Assalamualaikum. Ini Dewi ke? Saya dapat nombor awak dari seseorang. Boleh saya nak kenal-kenal dengan awak? Kalau awak sudi, balaslah message ini. Kalau tak sudi, atau mungkin saya sudah terlewat, abaikan saja.

 

Telefon bimbit lantas diletakkan diatas meja di hadapannya. Cuma diintai melalui celahan jari tapak tangan kiri yang menutup kedua-dua biji matanya. Penuh debaran, Hatim menyentuh butang berbetuk segitiga yang membawa maksud ‘hantar pesanan’.

Hatim terus memerhatikan skrin telefon bimbitnya dengan perasaan yang cemas. Sejurus sahaja terlihat pesanan yang dihantar tadi telah mendapat dua tick berwarna biru, Hatim terus melambungkan dirinya ke belakang sofa. Refleks, Haifa yang sedari tadi duduk di sebelah Hatim turut melompat sama ke belakang sofa itu. Terperanjat dia apabila Hatim berbuat demikian tadi!

“Apa hal kau ni!? Tiba-tiba terbang pergi belakang sofa? Ada lipas ke? Ular ke?”, marah Haifa sambil menepuk perlahan dadanya beberapa kali sebelum menampar belakang badan abangnya itu sekuat hati.

Hatim hanya tersengih-sengih sambil menyangkutkan dagunya pada penyandar sofa. Matanya terus tertancap kemas pada skrin telefon bimbitnya itu. Seketika, jantung Hatim seakan-akan terhenti apabila nama Dewi tertera di tetingkap WhatsApp. Spontan, Hatim terus memanjat semula sofa itu lalu menggelongsor ke hadapan untuk mengambil semula telefon bimbit itu dengan rakus dan pantas.

“Kau ni kena sawan apa ni Tim? Perangai macam budak-budak belum baligh ni!”, soal Haifa sedikit berang dan kehairanan.

Benar-benar tidak mengerti maksud perilaku Hatim yang terus terkinja-kinja tidak tentu arah ketika ini.

“Diamlah! Sibuk je!”, ujar Hatim sambil terlompat-lompat berlari riang ke bilik tidurnya, meninggalkan Haifa yang terpinga-pinga tidak mengerti.

++++++

Berjanji untuk bertemu di zaman pandemik ini sedikit sebanyak membantu juga buat Hatim. Penggunaan pelitup muka ini sedikit sebanyak berjaya menyembunyikan bahagian muka si pemakai dari paras hidung ke bawah. Sekiranya berlaku sebarang reaksi yang boleh memalukan individu yang bertemu empat mata dengan individu yang lain, pelitup mukalah penyelamatnya!

Seperti yang baru sahaja berlaku kepada Hatim sebentar tadi. Sudahlah terpesona benar dengan haruman minyak wangi yang dikenakan oleh Dewi, rahang Hatim seperti terlepas ke lantai ketika gadis muda itu menanggalkan pelitup muka fabrik yang dipakainya. Ternganga Hatim dek terpukau dengan kecantikan rupa paras seorang Dewi ini. Detik-detik waktu terasa berlalu dengan begitu perlahan ketika senario itu berlaku.

Kedengaran kuat sekali bunyi petikan gitar yang memainkan intro lagu Antara Gadis oleh kumpulan Dinamik di benak Hatim. Pemandangan yang begitu mengasyikkan sanubari lelakinya.

Suasana kafe ini terus bertukar menjadi kabur seperti teknik bokeh ketika mengambil gambar. Dan wajah Dewi adalah fokusnya.

“Apa awak pandang saya macam tu?”, tegur Dewi menjeling dan tersenyum sinis, sekaligus mengembalikan Hatim ke aliran masa berkadaran normal. Hilang terus bunyi petikan gitar yang berlagu indah di mindanya sebentar tadi.

“Saja nak simpan detik ini dalam ingatan”, balas Hatim ringkas. Pelitup muka dirinya sendiri masih belum dibuka lagi. Terasa segan pula jika orang sekeliling terlihat dirinya yang tidak seberapa ini bersama gadis secantik Dewi. Dewi pula sekadar tersenyum kelat mendengar jawapan Hatim itu.

“Bukalah mask tu. Kan kita nak makan ni”, ujar Dewi sambil membuat gaya seperti menurunkan pelitup muka ke bawah.  Jelas kelihatan Dewi memutarkan mata hitamnya yang menawan itu ke atas. Melihatkan wajah Dewi yang seperti tidak selesa berada disitu, membuatkan Hatim bertambah serba salah untuk membukanya.

“Dah lama Dewi kenal Jahra?”, soal Hatim cuba mengalihkan topik perbualan. Terasa janggal pula dengan kelakuan Dewi yang sebegitu.

“Dalam tahun lepas. Sama kelas Zumba dulu”, balas Dewi acuh tidak acuh. “Awak pulak kawan dia dari sekolah ya?”, soalnya kembali. Hatim hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum kelat dalam pelitup mukanya.

Entah kenapa perasaan teruja dan gembira yang meluap-luap sejak pagi tadi terasa semakin pudar setelah bertemu secara berhadapan dengan Dewi. Lain benar perawakan Dewi secara bersemuka begini berbanding sewaktu berbual melalui WhatsApp. Dewi tidak seceria yang Hatim gambarkan.

“Memang tak nak cabut ke benda alah tu? Memang tak nak tunjuk muka ke?”, soal Dewi lagi sambil mengacau Iced Mocha yang dipesannya berulang kali. Nada suaranya sebal sekali. Hatim boleh mendengar dengan jelas gadis ini merengus halus. Macam jengkel benar Dewi melihat dirinya.

“Maaf saya tanya, awak nampak macam tak selesa berada kat sini. Kenapa ya?”, soal Hatim, tidak mahu terus berteka-teki lagi. Ketara benar Dewi seperti tidak mahu berada bersama Hatim di kafe ini. Dewi hanya diam tidak berkutik.

“Saya bukan jenis memaksa. Dan saya terbuka untuk sebarang pendapat. Saya rasa itulah tujuan kita jumpa hari ni kan? Untuk berkenalan lebih dekat”, ujar Hatim tenang. Dari riak wajah Dewi, Hatim boleh agak ada sesuatu yang Dewi tidak puas hati dengan pertemuan mereka ini. Perlahan-lahan Hatim membuka pelitup mukanya. Dewi hanya memandang sekilas sebelum memusingkan lagi matanya ke atas.

“Inilah saya. Hatim Mohamed yang dah bermesej dengan awak selama hampir dua minggu ini. Ikhlas saya cakap, saya memang tertarik dengan awak sepanjang perkenalan kita di alam WhatsApp tu”, kata Hatim.

“Awak dalam gambar profile tu, tak secantik awak yang sebenar ni. Lagilah buat saya tertawan! Tapi sekarang, saya rasa macam ada sesuatu yang tak kena”, kata Hatim panjang lebar. Cuba untuk menjadi serasional yang mungkin walaupun hatinya sedikit tercalar. Harapan yang dikendong selama dua minggu ini seperti terlerai jatuh satu persatu.

Sakit juga penangan cinta ni rupanya..

“Lepaskanlah apa yang terbuku di hati. Saya boleh tolong dengar”, tambah Hatim lagi, cuba menyerkap jarang. Dewi melepaskan satu keluhan yang panjang mendengar kata-kata Hatim itu.

“Saya minta maaf ya. Saya tak sepatutnya buat awak macam ni”, kata Dewi.

“Buat apa? Saya tak faham”, balas Hatim sambil merenung wajah Dewi yang sudah mulai tenang sedikit, tidak sekeruh seawal pertemuan mereka tadi.

“Lagi lima bulan, umur saya dah nak masuk tiga puluh. Saya belum ada calon suami pun lagi. Sebab tu saya tanya kawan-kawan, kot ada calon untuk saya jadikan suami”, terang Dewi bersungguh-sungguh.

“Jadi sebab tu lah Jahra bagi saya nombor telefon awak ya?”, Dewi hanya mengangguk perlahan bagi mengiakan soalan dari Hatim itu.

“Dan dalam ramai-ramai kawan awak, Jahra saja yang kata ada kenal dengan lelaki bujang?”, soal Hatim lagi. Tenang. Sambil menggaulkan cebisan daging dan cendawan pada kuah Spaghetti Carbonara di hadapannya. Dewi masih terangguk-angguk.

“Yang paling sedih, saya ni pulak tak menepati citarasa awak kan? Sebab tu lepas nampak saya depan-depan, awak terus ‘turn off’ kan? Tapi nak tak nak awak tetap kena terima saya, dan kahwin dengan saya kan? Kalau tak nanti awak malu, sebab umur dah 30 tapi masih bujang. Takut orang gelar anak dara tua?”, soal Hatim selamba sambil menyuapkan Spaghetti Carbonara itu ke dalam mulut.

“Kan?”, sambung Hatim lagi.

“Wah hebat awak meneka situasi! Semuanya betul! Kagum saya!”, bersinar-sinar mata Dewi yang buntang itu merenung wajah Hatim selepas mendengar semua tekaan Hatim tadi.

“Macam mana awak boleh tau semua tu?”, soal Dewi lagi.

“Tekaan rambang je. Orang cantik macam awak ni, mestilah nak yang sepadan. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Kalau dengan saya ni, memang tak padanlah kan. Saya tinggi, awak ketot”, ujar Hatim cuba berseloroh.

“Tak mengapa Dewi, let it go ya. Saya ok”, ujar Hatim lagi. Dewi hanya memandang Hatim tanpa berkata apa-apa. Terkesima dengan jawapan yang cukup matang dari Hatim.

“Tak apa, saya faham. Cuma kenapa nak terburu-buru kahwin selagi tak jumpa calon yang betul-betul sesuai? Usia 30an bukanlah tua sangat pun”, Hatim cuba memancing penerangan dari Dewi yang masih diam membisu. Hanya mata hitamnya yang bulat bersinar seperti terus berbicara di dalam hati, sambil memandang Hatim.

“Kalau awak rasa perempuan yang berumur 30an dan masih belum berkahwin itu suatu status yang perlu dirisaukan, awak silap Dewi. Berkahwin atau tidak, bukanlah kayu pengukur kejayaan seseorang. Awak ada kerja bagus, muka cantik, dan saya yakin awak juga ada sedikit harta. Jadi kenapa perlu terburu-buru nak masukkan seorang lelaki yang awak tak betul-betul suka dalam hidup awak, semata-mata untuk memuaskan hati orang sekeliling?”, panjang lebar Hatim berkata-kata.

Memandang wajah Dewi yang sugul ini, membuatkan Hatim teringat pada adiknya sendiri pula. Terasa perlu pula untuk Hatim menasihati gadis ini agar tidak membuat keputusan yang boleh disesalkan kemudian hari.

“Tak perlu memulakan keluarga kalau sekadar mengikut-ikut orang. Dari elok-elok bahagia, tiba-tiba kena menjeruk rasa menanggung biawak hidup? Atau terpaksa menghadap seseorang yang tak menepati piawaian awak sampai mati? Nak?”, Dewi hanya menggeleng perlahan mendengar kata-kata Hatim. Benar semuanya itu, tidak dapat Dewi nafikan. Terusik pula hatinya ketika ini.

 

"Inikan pula nak kahwin dengan saya. Nak ke?", tambah Hatim lagi sambil ketawa. Dewi hanya tersenyum. Merah pipinya diserang malu dek soalan selamba dari Hatim.

“Oh Tapi kan, tapi! Saya kalau dah baling batu dalam sungai, saya tak terjun ambil balik. Tak payah pandang saya dengan mata bercahaya macam tu, kita baru je clash sepuluh minit yang lepas. Saya dah tak available untuk awak! Turn off!” berderai tawa mereka berdua mendengar seloroh Hatim itu.

“See? Saya tak terburu-buru nak kahwin. Tak sesuai, kenapa nak kahwin? Ingat hidup ni drama melayu yang pukul 7 tu ke? Apa tu, jatuh dari langit? Tak lah!”, ungkap Hatim lagi penuh keyakinan. Dewi hanya menelan air liur mendengar kata-kata Hatim itu. Tidak langsung Dewi sangka yang Hatim sangat cool seperti ini.

“Saya tak jatuh dari langit. Tapi saya mungkin akan jatuh dalam hati jodoh saya nanti. Yang pasti bukan Dewi kot namanya”, sambung Hatim lagi sambil ketawa. Dewi hanya mencebik.

Menyesal lah tu! Haha!

“Kita kawan sajalah ya Dewi. Saya doakan awak akan temui jodoh yang terbaik dan sesuai sekali dengan awak. Doakan saya juga. Benda jodoh ni tak molek dipaksa kalau dari awal dah rasa tiada chemistry”, ungkap Hatim lagi. Dewi terus mengangguk sambil mencebik lagi. Pedih pula hatinya dicaras  tanpa berlapik lagi oleh lelaki bernama Hatim ini.

“Padanlah dengan muka aku. Siapa suruh aku buat perangai dulu awal-awal tadi. Pandai lelaki ni pulang paku buah keras pada aku on the spot!”, getus hati kecil Dewi.

“Sebagai kawan, saya nak cakap satu perkara boleh?”, soal Dewi sambil tersengih menampakkan sebaris giginya yang cantik.

“Cakaplah”, balas Hatim pendek sambil turut tersenyum.

“Lain kali, gambar dekat WhatsApp tu, janganlah guna gambar yang over sangat filter nya! Hahaha!”, berdekah tawa mereka berdua.

“Awak guna apps apa? Sampai nampak macam Fattah Amin!” tambah Dewi lagi membuatkan mereka berdua terus ketawa dan menambah kemeriahan suasana dalam kafe itu pada petang ini.

++++++

Terima kasih pada yang sudi singgah dan baca cerpen aku, untuk membaca cerpen-cerpen aku yang lain, boleh klik di SINI 😙

PS: Tidak dibenarkan untuk kongsi tanpa kredit kepada blog ini dan penulisnya. Tidak dibenarkan untuk mencetak atau mengeluarkan mana-mana bahagian dalam isi kandungan cerpen tanpa kebenaran penulis. Berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.

Post a Comment

12 Comments

  1. pagi subuh duk ralit baca cerpen syaz

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kak PI sudi baca cerpen2 saya 😊

      Delete
  2. Oh edna tu memilihla plak, tapi yelah..org cantik, ada kedudukan...betullah mesti nak cari yg sepadan.
    Kita tunggu plak kisah hatim dgn najah ye..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insyaallah 😊
      Terima kasih kak sudi baca dan komen 😊

      Delete
  3. tetiba imagine mcm manalah rupa si hatim ni... hodoh sgt x mungkin pulak kan?

    ReplyDelete
  4. terima kasih bagi baca cerpen ni.. dulu selalu baca cerpen dalam media hiburan hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe terima kasih nard sudi baca an komen, nanti baca lagi tau hehehe

      Delete
  5. Mujurlah Hatim tak terus kahwin dengan Edna. Edna pun terdesak sangat kan. Nanti mesti Hatim berjodoh dengan Najah ni. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Edna risau orang sekeliling mengata dia hehe.. Hatim pulak memang suka bagi nasihat free 😜
      Terima kasih Fiza sudi baca dan komen 😘

      Delete
  6. hahaha apa hal la pakai filter teruk sngt !! hahaha kan expectation dah tinggi

    ReplyDelete
    Replies
    1. dia rasa dia tak hensem la kot ahahah
      Terima kasih atie sebab selalu baca dan komen ;)

      Delete

Setiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di syaznirahim@gmail.com :)

Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at syaznirahim@gmail.com :)

Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.

What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.