Monday, January 25, 2021

Papa Ray | Fiksyen

 Hai semua!

Up cerpen yang aku pernah nak try hantar ke majalah, tapi sampai ke sudah senyap aje tak ada jawapan.

Up sini ajelah.

Dari terperam, ada juga yang baca..

Agitcheww..

PAPA RAY



Hari ini emak terlewat menjemput aku di sekolah. Agak lama aku menanti di bawah pondok menunggu ini. Mujur aku tidak keseorangan, ada beberapa orang kanak-kanak yang senasib dengan aku turut sama-sama sugul memikul beg sekolah masing-masing. Mata aku tidak jemu memandang pada sekumpulan abang-abang darjah lima dan enam yang sedang melakukan senaman ringan pemanasan badan di tepi padang sekolah.

Mereka cukup terkenal di sekolah ini kerana mereka adalah pasukan bola sepak yang mewakili sekolah kami. Warna ungu dan kuning yang menjadi corak jersi yang dipakai mereka turut menambah kesegakkan mereka semua. Jauh di sudut hati, aku juga teringin untuk menyertai pasukan bola sepak itu. Tetapi, usahkan menyepak bola, membaling bola yang terkeluar dari padang pun aku tidak pandai.

Semua itu kerana tiada siapa yang boleh memberikan tunjuk ajar tentang selok-belok bermain bola sepak dengan betul kerana aku adalah seorang budak yang tidak berayah. Ayah aku telah pergi menghadap Ilahi sejak aku berumur dua tahun akibat kemalangan di tempat kerjanya. Semenjak dari itu, tinggallah aku berdua bersama emak yang sudah semestinya tidak tahu untuk mengajar aku bermain bola sepak seperti abang-abang itu.

“Beto!”, kedengaran emak melaungkan namaku dari pintu kereta. Betapa ralitnya aku sehingga tidak sedar yang emak sudahpun sampai. Lalu aku pergi mendapatkan emak untuk pulang ke rumah. Ketika aku membuka pintu kereta bahagian penumpang hadapan, aku perasan tempat duduk aku itu sudah diduduki oleh seorang lelaki muda, mungkin sebaya emak. Aku tidak pernah melihat dia sebelum ini. Kelihatan dia tersenyum manis pada aku, namun aku kaget dan tidak tahun untuk memberikan tindakbalas yang sepatutnya.

“Beto apa khabar? Nama pakcik Ray. Beto boleh panggil pakcik Papa Ray”, terang lelaki itu sebaik sahaja aku masuk ke dalam kereta. Aku berkerut kening kerana hairan. Aku tidak mengerti, tapi aku boleh lihat emak turut mengangguk dan mengiakan kata-kata lelaki yang aku harus gelar Papa Ray ini.

++++++++++++++++++++++++++

Pada petang semalam, ada ramai orang datang ke rumah membawa hadiah kepada emak. Aku juga ada melihat emak memakai pakaian yang sangat cantik dan berkilat-kilat, wajah emak juga tampak lebih berseri. Emak mengenakan gincu berwarna merah terang, matanya juga bercelak tebal. Senyuman tidak lekang dari mulut emak. Dalam ramai-ramai orang yang datang ke rumah, lelaki yang bernama Ray itu pun ada bersama. Dia memakai baju melayu berwarna putih dan bersamping hitam yang cantik sekali coraknya. Nenek mengajak aku untuk duduk bersama nenek dan emak, bersama-sama dengan orang lain di tengah ruang tamu rumah kami.

Ada seorang lelaki tua yang paling banyak bercakap di situ. Aku tidak faham pun apa lelaki tua yang memakai kot berwarna hitam itu katakan. Sesekali aku lihat emak menyapu airmatanya dengan tisu. Selepas Papa Ray bersalam dengan lelaki tua itu, kedengaran semua orang gembira dan mula membaca doa. Sejujurnya, aku masih tidak tahu apa yang terjadi, dan yang paling membuatkan aku sedih, malam itu aku tidak boleh tidur bersama emak kerana Papa Ray akan menjaga emak mulai hari ini kata nenekku.

++++++++++++++++++++++++++

Pagi keesokkan harinya, aku merajuk dengan emak kerana membiarkan aku tidur bersama nenek. Aku tidak mahu bersarapan pagi bersama-sama mereka semua. Aku keluar ke halaman rumah dan duduk menangis di atas buaian besi berwarna perang ini. Hatiku sedih kerana terasa seperti dipinggirkan oleh emak. “Assalamualaikum Beto, boleh Papa Ray duduk bersama-sama?”, tegur Papa Ray yang sedang berdiri memandang aku. Aku tidak rasa mahu menjawab salam itu kerana aku masih berkecil hati, tetapi Papa Ray terus sahaja duduk di sebelah aku.

Bahu aku dipegang mesra sambil tersenyum. “Boleh Papa Ray tanya, kenapa nama anak Papa Ray ini Beto?”, dia menyoalku. “Emak kata, arwah ayah dahulunya terlalu meminati seorang seniman tanah air yang bernama Beto Khusyairy”, jawabku ringkas berdasarkan jawapan yang emak pernah berikan sewaktu aku bertanya soalan yang sama dahulu. Aku mendengar Papa Ray ketawa kecil sambil berkata “Papa Ray pun minat juga pada seniman itu, sedap nama Beto”. Aku masih diam seribu bahasa.

“Emak ada beritahu Papa Ray, Beto hendak menyertai pasukan bola sepak di sekolah Beto ya?”, soalan Papa Ray itu membuatkan aku terkejut. Aku anggukkan kepala untuk mengiakannya. “Kalau Beto hendak tahu, dulu Papa Ray adalah salah seorang ahli pasukan bola sepak di sekolah juga, Papa Ray boleh ajarkan Beto cara-cara bermain bola sepak dengan betul, bolehlah Beto sertai pemilihan ahli pasukan baharu yang akan diadakan hujung tahun nanti” tutur lembut Papa Ray kepada aku sambil mengukirkan senyuman. Hatiku berbunga-bunga riang.

++++++++++++++++++++++++++

Semenjak dari hari itu, Papa Ray akan membawa aku ke padang di sebelah balairaya kampung untuk berlatih bermain bola sepak. Aku sangat teruja dengan semua itu, kerana aku tidak pernah merasakan perasan gembira seperti ini. Papa Ray juga ada membelikan aku sebiji bola sepak yang baharu beserta sepasang kasut bola yang cantik sekali.

Papa Ray memberitahuku, ada beberapa kemahiran yang aku perlu kuasai sekiranya aku benar-benar serius mahu menjadi pemain bola sepak untuk sekolahku. Kemahiran-kemahiran itu adalah seperti menendang, menyerkap, menggelecek, memberi hantaran, menanduk dan juga mempertahankan gawang gol.

Ada beberapa jenis tendangan yang berlainan yang telah Papa Ray ajarkan kepada aku hari ini, seperti tendangan leret, tendangan lambung dan juga tendangan voli. Papa Ray juga ada menunjukkan cara dia menggelecek dan menanduk bola. Aku sangat kagum melihat kebolehan Papa Ray melakukan semua itu, dan Papa Ray pula tidak jemu memberikan aku tunjuk ajar.

“Esok Papa Ray akan ajar Beto cara-cara melakukan hantaran silang, hantaran ke hadapan serta hantaran ke sisi pula”, kata Papa Ray sewaktu kami menaiki kereta untuk pulang ke rumah kerana hari sudah menjelang senja. Pada waktu malam, Papa Ray akan mengajar aku membaca Al-Quran pula, jadi aku sudah tidak perlu lagi untuk pergi berguru mengaji di rumah Tok Esah.

++++++++++++++++++++++++++

Hari yang dinanti-nanti telah pun tiba. Hari ini akan diadakan sesi pemilihan ahli pasukan bola sepak sekolah bagi menggantikan pelajar darjah enam yang akan menamatkan persekolahan tahap rendah mereka tidak lama lagi. Pagi-pagi lagi Papa Ray telah mengejutkan aku untuk bangun dan bersiap-sedia. Selepas aku siap mandi, emak memberikan aku sehelai baju jersi pasukan Liga Inggeris kegemaran Papa Ray yang bersaiz kanak-kanak. Aku sangat gembira menyarungkan baju jersi yang sangat selesa itu. Kata emak lagi, baju jersi ini Papa Ray belikan khusus untuk aku pakai ke sesi pemilihan itu nanti. Riang dia hatiku bukan kepalang lagi. Sesudah bersarapan, kami bertiga segera menuju ke sekolah bersama-sama.

Sesampainya kami di sana, aku lihat terdapat ramai kanak-kanak lelaki lain yang mahu turut mencuba nasib mereka. Mereka semua kelihatan begitu tegap dan penuh keyakinan. Pemandangan itu sedikit sebanyak membuatkan aku takut dan gugup. Aku membisikkan kepada emak yang aku mahu pulang ke rumah kerana aku tidak yakin yang aku boleh terpilih.

Papa Ray memegang bahu aku sambil tersenyum tenang. Peluh yang membasahi dahi aku, Papa Ray lapkan dengan sapu tangan miliknya. “Beto, cuba bayangkan nanti Beto akan ada sehelai jersi rasmi pasukan sekolah, yang di belakangnya tertulis B.E.T.O beserta nombor kesukaan Beto. Beto mahu letak nombor berapa di baju jersi Beto nanti?”, Papa Ray mengangkat-angkat keningnya sambil memandang aku. “26”, jawabku penuh semangat sebelum menarik tangan emak ke meja pendaftaran.

++++++++++++++++++++++++++

Cuaca yang panas terik tidak mematahkan semangat aku dan peserta-peserta lain. Semua berusaha keras menunjukkan kemahiran dan teknik-teknik bermain bola sepak kepada para jurulatih yang membuat penilaian untuk kelayakan. Sesekali aku memandang ke arah emak dan Papa Ray yang setia menanti di tepi padang sekolah yang memberi sokongan kepada aku. Setiap kali bertentang mata, emak dan Papa Ray akan memberikan aku tepukan semangat.

Sesi pemilihan itu berlangsung sehingga tengahari. Selepas sesi rehat ini, nama peserta yang terpilih akan diumumkan. Kami dimaklumkan bahawa terdapat hampir sembilan puluh orang kanak-kanak lelaki darjah tiga sehingga darjah lima yang mendaftar pagi tadi. Tetapi, hanya lima orang sahaja yang akan dipilih. Ketika ini, hatiku berasa gusar dan takut sekali.

Seketika kemudian, aku nampak Cikgu Arufin mula berjalan ke tiang mikrofon yang dipasang di tepi padang. Ditangannya ada sekeping kertas. “Nama yang saya sebutkan dikira layak untuk menyertai pasukan bola sepak sekolah, dan diminta untuk tampil ke hadapan”, kata Cikgu Arufin yang mula memanggil nama-nama pelajar yang layak.

“Adam Zuhairi”, aku bertambah gelisah ketika melihat pelajar itu berjalan dengan riang dan berdiri di hadapan Cikgu Arufin yang masih meneruskan pengumumannya, “Khalis Affendi. Sugu anak lelaki Mariappa. Wong Wei Sin”, dan tanpa diduga, kertas yang dipegang oleh Cikgu Arufin terlepas dan jatuh ke tanah sebelum sempat menyebut nama yang kelima. Hatiku berdegup deras sekali ketika melihat Cikgu Arufin membongkok untuk mengutip kembali kertas itu.

“Dan yang terakhir, pelajar yang layak untuk menyertai pasukan bola sepak sekolah kerana memiliki markah penilaian yang tertinggi pada hari ini adalah Beto Baihaqi”, serentak dengan itu, bergema kawasan padang sekolah dengan tepukan yang sangat gemuruh sambil memandang kepada aku yang segan-segan berjalan ke hadapan untuk berbaris bersama empat lagi pelajar yang layak tadi. Aku tersenyum riang memandang ke arah emak dan Papa Ray yang masih belum berhenti bertepuk tangan.

++++++++++++++++++++++++++

Hari ini adalah kali pertama aku bersama-sama dengan ahli pasukan bola sepak yang lain datang ke sekolah di daerah bersebelahan untuk mewakili sekolah kami dalam perlawanan bola sepak kalah mati. Jersi yang tertera namaku BETO di bahagian belakang kusarung dengan penuh bangga. Aku sudahpun berlatih bersungguh-sungguh di sekolah, dan selepas pulang dari sekolah, aku dan Papa Ray masih meneruskan rutin latihan kami, lebih-lebih lagi selepas aku beritahu yang aku akan menyertai pertandingan ini kepadanya. Selain itu, Papa Ray juga selalu menunjukkan kepada aku video-video aksi permainan bola sepak oleh pemain bertaraf professional dan antarabangsa untuk memberikan aku semangat.

Ketika ini, perlawanan akhir yang masih berbaki kurang dari lima minit amat mendebarkan. Atas kerjasama berpasukan yang baik, pasukan sekolah aku berjaya untuk sampai ke pusingan akhir ini. Namun, keputusan semasa yang seri satu sama ini sungguh mencemaskan. Jika kami cuai sedikit sahaja, pasukan lawan akan menjaringkan gol sekaligus menewaskan pasukan kami.

Aku ternampak Papa Ray berlari-lari anak di tepi padang sambil memberikan aku tepukan semangat agar meneruskan perjuangan. Melihat Papa Ray yang tidak pernah penat memberi sokongan, aku menjadi tekad untuk memenangi perlawanan ini. Berbekalkan teknik dan ajaran dari Cikgu Arufin dan Papa Ray, aku berlari ke arah Adam Zuhairi yang sedang membawa bola. Seperti faham apa yang ada difikiran aku, Adam Zuhairi membuat hantaran leret. Aku yang telah pun bersedia berdiri menghala ke arah bola yang datang, menggerakkan kaki kananku untuk menyerkap bola itu sambil mencondongkan badan sedikit agar seimbang.

Sejurus berjaya menyerkap bola, aku menggelecek bola beberapa ketika sebelum menendang dengan cermat tetapi kuat ke arah gawang gol. Gegak-gempita seluruh manusia yang ada di padang apabila bola yang aku sepak menyebabkan jaring gol bergeduyut menerima terjahan bola.

Rakan-rakan sepasukan datang memeluk aku sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan oleh pengadil. Aku terus teringat kepada Papa Ray yang telah banyak berjasa membantu aku menjadi pemain bola sepak yang berjaya seperti hari ini, lantas aku terus berlari mendapatkan dia yang masih tidak jemu bertepuk tangan di tepi padang. Aku peluk Papa Ray erat-erat, dia menjulang tubuh aku ke atas. Aku tahu dia sangat bangga dengan aku ketika ini walaupun dia cuma ayah tiriku. Namun bagi aku, dialah satu-satunya ayah yang aku ada dan kasihi.

Terima kasih Tuhan kerana menganugerahkan aku dan emak seorang lelaki yang baik dan penuh tanggungjawab seperti Papa Ray!

Syaz Eym | 25012021

++++++

Terima kasih pada yang sudi singgah dan baca cerpen aku, untuk membaca cerpen-cerpen aku yang lain, boleh klik di SINI ðŸ˜™

PS: Tidak dibenarkan untuk kongsi tanpa kredit kepada blog ini dan penulisnya. Tidak dibenarkan untuk mencetak atau mengeluarkan mana-mana bahagian dalam isi kandungan cerpen tanpa kebenaran penulis. Berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.

14 comments:

  1. wah rajin nya dia menulis!!!
    keep it up!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insyaallah, terima kasih sudi baca dan komen ye retna 😊

      Delete
  2. Eh best apa cerpen ni, rugilah majalah tu tak twrbitkan.
    Akk cerpen apa pun syaz tulis akk baca dgn seronok

    ReplyDelete
    Replies
    1. Allahu alhamdulillah terima kasih kak azimah 😘
      Terima kasih selalu sokong penulisan saya, terharu saya sebab tahu ada orang terhibur dengan cerita2 saya 😊

      Delete
  3. Beto Baihaqi pulak.. tahniah syaz.. nnt buat ceta psl pemblog pulak boleh? Hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hihihi insyaallah, mana tau tiba2 ada ilham kan hihi 😊

      Delete
  4. Rezeki Beto dapat papa Ray yang baik dan ajar Beto main bola sampai Beto terpilih. Happy ending :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hihi. Terima kasih fiza sudi baca dan komen. Cerpen kanak2 sebenarnya, taoi mungkin tak capai level keanak -anakan tu kot huhu

      Delete
  5. ada ke papa mcm ni skrg?����

    ReplyDelete

Ada apa-apa nak tulis? ;)

Premium Flexible Related Post Widget for Blogger – Blogspot