Friday, February 26, 2021

Panas Punggung - Bahagian 3 | Fiksyen | Wattpad

 Cerpen ini ada 2 bahagian awal:
BAHAGIAN 1
BAHAGIAN 2

Panas Punggung - BAHAGIAN 3



2.17 PM

"Tinggi. Aku berani kerat jari, kalau lompat ni, ada harapan bersepai", Lop menggeleng-geleng kepala. Cadangan Ija supaya mereka berempat melompat ke bangunan seberang memang tempting di saat-saat macam ni.

Tapi kalau gagal, kena tiup angin ke misalannya? Ish tak sanggup dia membayangkan dirinya berderai di bawah sana.

"Kau ni gaya je rockers, penakut jugak rupanya", bidas Ad. "Aku ingat kau berani sangat, nampak macam power rupanya pengecut".

"Kau jangan sampai aku cepuk!", Lop merapatkan penumbuk yang dikepal ke muka Ad. Kecik besar kecik besar je dia nampak mamat yang mulanya dia ingat bapok mula- mula tadi. Mana tak, pakai kemeja cutting slim fit, corak pulak bunga ros kecil-kecil.

"Sudahlah! Jangan tambah kusut. Panas ni, kalau rasa rancangan aku tu tak boleh pakai, tolonglah fikir sama, bukan bertumbuk kat sini!", bentak Ija yang dah mula berdiri.

"Lantai ni makin panas, dah tak boleh duduk, ni tapak kasut aku ni pun dah mula rasa hangat", Ija menaikkan sedikit kaki kirinya.

Ad dan Lop saling berpandangan sebelum masing-masing melepaskan satu keluhan panjang.

Ija menjengah ke tingkap sekali lagi. Dia akui, memang tinggi. Tingkat 27 kot. Tapi, mengikut perhitungan dalam kepalanya tadi, jarak bumbung bangunan sebelah yang hanya setinggi 25 tingkat tu tak jauh mana. Dia seakan pasti kalau mereka buat  lompat jauh, pastinya landing atas bumbung itu. Lagipun, dia, Ad dan Lop yang bertubuh kurus rasanya tiada masalah nak melompat.

Cuma Fitri la, dia saja lah kot yang mungkin susah sikit.

"Hangpa takpa la, kuruih. Aku ni, jangan kata nak lompat pi tang tu, aku celuih ka dak nak keluaq ikut tingkap tu pun aku tak tau", seakan boleh membaca fikiran Ija, Fitri mula melahirkan kerisauannya.

Kedua tapak tangannya menekup muka.

Fitri mula menangis. Biaq pi la, depa ni pun aku tak tau berapa lama ja lagi nak ingat rupa aku ghiau ni, kata Fitri dalam hati.

Lop hanya menyeka kesemua rambut paras bahunya ke belakang. Ad menepuk-nepuk bahu Fitri.

Think. Think.
The clock is ticking!

++++++

8.52 AM | Fitri

"Selamat pagi encik Fitri", tegur Syikin sebaik sahaja Fitri menekan butang On pada Cpu di bawah meja tempat kerja barunya.

Perasaannya masih lagi bercampur baur antara teruja dan gemuruh. Kalau selama ini dia hanyalah seorang pekerja biasa di syarikat kecil, hari ini dia mula diberi kepercayaan untuk menjadi ketua di jabatan kecil syarikat ini. Di pejabat lama, cuma ada tiga pekerja majikannya termasuklah dia, tapi di sini, jabatan kecil yang akan dia pimpin ini saja sudah ada lapan orang pekerja.

Pimpin. Ceh. Fitri sendiri terasa geli hati dengan perkataan itu.

Mungkin berkat dia kerja lama di syarikat terdahulu, menyebabkan dia terpilih untuk menyandang jawatan yang agak up sikit dari dulu.

Fitri hanya tersenyum kepada gadis manis berhidung mancung yang mula meletakkan beberapa fail di atas meja barunya ini.

Lawa. Bergetar jugak tulang rusuk aku tengok hang ni. Berkumandang lagu Milik Siapakah Gadis Ini di kepala Fitri. Dahlah hang kata aku comey semalam. Fitri menelan air liur memandang Syikin.

"Ini fail meja untuk post Encik Fitri ni, orang yang lama dah susun dan atur dah sebelum dia berhenti kerja haritu", sambung Syikin.

"Panggil Fitri je. Tak payahlah encik encik", tersekat-sekat suara Fitri dalam cubaan pertama dia berkomunikasi dengan Syikin. Syikin ketawa kecil, tapak tangan kanannya ditekup ke mulut.

Eh, tiada cincin. Single lagi ni. Fitri serkap jarang.

"Baiklah encik, eh, baiklah Fitri. Saya Asyikin. Panggil Syikin je. Maaflah kalau tak selesa saya panggil encik tadi. Bukan apa, ada sesetengah pegawai, diorang sangat mementingkan rank dalam pejabat ni. Kalau Fitri tak kisah, kami lagi tak kisah. Lagipun, kita semua hampir sama baya kot kan", Syikin masih lagi tersenyum memandang Fitri.

"Oh ya ka, takpa, saya tak selesa orang panggil encik ni, bukannya bos besaq mana pun", Fitri menyeringai macam kerang busuk. Hatinya berdebar-debar tak berhenti dari tadi.

"Kenapa macam takut-takut je? Macam nervous je ni? ", soal Syikin.

Sebab hang lawa sangatlah ceq oi. Aku selalu nampak marka lawa, tapi hang ni tahap apa tak tau? Hang jatuh dari langit ka?

Jawab Fitri dalam hati sambil menggaru-garu kepalanya yang taklah gatal mana pun.

"Sebab saya lapaq kot, tak dan nak breakfast pagi tadi. Takut lambat masuk office baru", jawab Fitri penuh keyakinan, supaya Syikin tak perasan dia menggelabah ini adalah sebab perasaan suka. Cet. Hang apa hal ni Fitri?

"Oh, belum makan jugak ke? Jomlah. Saya pun ingat nak turun cafe sekejap ni, jom", pelawa Syikin.

Dalam banyak-banyak pengalaman manis dalam hidup, mungkin ini boleh menjuarai carta top 10 dalam hidup Fitri.
Tak pernah sepanjang 32 tahun hidup, ada awek ajak aku pergi makan. Syikin ni rabun ka, terlebih peramah ka, atau dia suka kat aku?

"Ok, sat nak simpan beg"
"Alright, saya tunggu kat lif?"

Fitri cuma angguk sambil tetap tersengih-sengih sambil matanya memerhatikan Syikin berlenggang-lengguk menghanyunkan pinggul berjalan menuju ke pintu keluar pejabat.

Gulp.

Mak, ceq tak tau nak habaq macam mana, tapi ceq rasa ceq dah jumpa bakal menantu mak. Kan mak pernah habaq, kalau ada jodoh ceq, orang tu mesti tak kisah rupa ceq, dan terima ceq seadanya.

Bayangan wajah ibunya bermain di mata.

Dan tiba-tiba bayangan ibunya itu turut mengingatkan Fitri akan satu lagi pesanan yang ibunya selalu sebut, malah sejak kecil lagi.

"Jangan duk sakan suka sangat, satgi menangis".

Ish mak ni. Potong.

++++++

3.06 AM | Lop

Bzzztt...

Telefon pintar yang memang sengaja diselitkan bawa bantal kepalanya bergetar panjang. Kalau ikut percaturan dalam kepala Lop yang mamai, itu tandanya ada personal Whatsapp masuk. Sebab dia set long vibrate untuk personal Whatsapp. Manakala untuk Whatsapp group, dia set kepada tidak perlu vibrate.

"Siapalah yang mesej pagi-pagi buta ni", getus Lop di dalam hati. Tangan kanannya menyeluk masuk ke bawah bantal kepalanya, meraba-raba mencari gerangan si telefon pintar.

 Lop, abang Zin Besi dah tengok video kau nyanyi cover lagu Mengintai Dari Tirai Kamar tu sekejap ni.

Dia kata on.

Dia suka kau, memang masuk dia kata.

Jadi dia nak jumpa kau esok kat port dia meniaga.

Lop menggosok-gosok matanya yang masih lagi terasa perit menahan silau dari skrin telefon pintarnya itu.

Biar betul?

Jarinya laju menyentuh keypad, pesanan ini wajib dibalas! Seram ada, terkejut ada, teruja apatah lagi!

Kau cakap betul-betul ke main-main ni, Jit? Pukul berapa? Kat mana port dia?

Lop inginkan kepastian.

Tak kuasa aku nak main-main dengan kau pagi-pagi yang subuh pun belum ni.

Datanglah esok, dia kata dalam 11.30 pagi macam tu, sebelum customer ramai.

Wisma Lee Corp, KL.

Esok aku jumpa kau kat sana terus. Chow, aku nak sambung mengayat Neelofa dalam mimpi aku tadi.

Panjang lebar jawapan Jit.

Jit dan Lop kawan sekampung, keduanya berasal dari Ayer Keroh. Jit memang ahli kumpulan muzik, sekali dengan Zin Besi. Lop dah lama bercita-cita nak jadi penyanyi, tapi tak ada peluang lagi. Kebetulan Dicky, vokalis asal kumpulan tu buat taik. Jit terus suruh Lop buat satu video cover untuk ditunjukkan pada Zin Besi. Untung-untung, Lop boleh jadi vokalis.

"Ok, kejap lagi sudah je solat subuh, akan aku lenjan motor EX5 abang aku", Lop mula berkira-kira sendiri dalam kepala.

KL, kau tunggu aku datang!

++++++

9.15 AM | Ad

"Betul ke Mr Yap tak ada hari ni?", mata Ad bersinar mendengar rakan sepejabatnya, Ghani memberitahu tentang ketiadaan bos mereka hari ini.

Dahlah dia memang letih semalam seharian di pejabat, Alif pula meragam di sebelah malam menyebabkan dia tak cukup tidur. Kalau betul lah Mr Yap tak ada, chances baik untuk qada' tidur ni!

"Betul, adik dia balik dari US for good harini, katanya dah 20 tahun menetap kat sana. Dengarnya, satu bas family Mr Yap pergi jemput kat KLIA sana", tambah Ghani.

"Patutlah lengang je pejabat harini, semua pergi mengular la ni ya?", Ad gelak besar. Ghani mengangkat-angkat keningnya tanda mengiyakan kata-kata Ad.

"Aku, Joe dengan Mirul nak pergi main bowling, jom Ad, 2 lawan 2!", Ghani mengajak. Ad mengherotkan bibirnya sambil berfikir, nak pergi ke tidak ya? Kena buat pertimbangan betul-betul ni. Bukan senang nak dapat peluang macam ni.

"Tak apalah, korang pergilah. Aku ingat nak tidurlah. Ini peluang keemasan aku ni, untuk tidur tanpa gangguan, bukan selalu dapat ni!", Ad tersengih memikirkan betapa nikmatnya jika dia dapat tidur sebegitu lama. Nak nak sejak ada Alif.

"Okay la bro, kitorang gerak dulu", Ghani menghulur salam sebelum beransur pergi.

"Hai miss bun, harini kita boleh bersendirian dengan aman kat bawah meja ni", Ad tersenyum sambil menepuk-nepuk bantal yang memang sudah sedia tersimpan rapi di dalam beg kitar semula di bawah mejanya.

Perlahan-lahan, lapik meja diselak dan Ad merangkak masuk ke bawah meja.

++++++

2.20 PM

Panas semakin membahang. Api yang masih belum habis-habis dipadamkan oleh pihak bomba pastinya sudah merebak hingga ke tingkat 26.

Tak kan nak naik setingkat lagi?
Lagi tinggi, lagi jauh dengan bumbung bangunan sebelah.

"Hangpa kata nak terjun. Duk tunggu apa lagi?", soal Fitri dalam suara yang masih berbaki esakan tangis.

"Aku tak rasa senang- senang je tingkap tu boleh dipecahkan. Ini tingkat 27 kot,confirm cermin tingkap tu kebal", kata Ad sambil menjuihkan bibir ke arah tingkap yang Ija cadang untuk dipecahkan tadi.

"Tapi boleh cuba kan?", Ija masih berharap ideanya menjadi.

"Nak pecahkan dengan apa? Bilik pejabat pengarah wisma ni bukan ada barang sangat. Kerusi pun bersalut kusyen empuk ni ha", Lop menghenjut-henjutkan badannya di atas kerusi kusyen beroda yang diduduki dari tadi.

"Untung jadi orang kaya kan", sambung Lop. Matanya merenung ke segenap penjuru pejabat itu. Hiasan minimalis, tetapi masih menampakkan ciri kemewahan.

"Untung apa, kaya pun kalau gila sampai merbahayakan nyawa orang nak buat apa!", bentak Ad.

Perasaannya bercampur-baur. Takut, risau, rindu, ralat, dan yang paling ketara di saat Lop menyatakan kekaguman pada pengarah wisma itu tadi, adalah marah.

Kaya, tapi pendek akal.

"Kau kenal ke orang gila yang buat hal ni?", soal Ija kepada Ad.

"Kenal lah, semua yang kerja dalam bangunan ni mesti kenal dengan Dato' Lee. Dia owner bangunan ni. Bulan lepas katanya dia mula jatuh cinta dengan Elliot, budak office aku. Budak tu pun melayan. Ini entah apa hal yang jadi sampai Dato' Lee jadi mereng pergi bakar bangunan sendiri", terang Ad.

Dalam kekalutan kejadian yang berlaku hari ini, itu antara cerita yang kawan-kawan office update dalam group Whatsapp. Ad malas nak baca sangat, apatah lagi respon. Dia mangsa yang nasib tak tentu hala lagi ni!

"Ni, dekat group Whatsapp office aku pulak, depa kata Dato' Lee dah mati. Lepas dia curah habis minyak tanah dari tingkat 15 sampai 20, dia curah perabih atas badan dia, pastu bakaq diri", Fitri menambah.

Tiga pasang mata bertumpu pada Fitri. Semua tak tau nak bereaksi bagaimana dengan cerita Fitri tadi.

"Kenapalah kita je yang tak sempat turun tadi..", keluh Lop.

Sekarang nak buat apa ni?

++++++

Syaz Eym | 2016

++++++

Terima kasih pada yang sudi singgah dan baca cerpen aku, untuk membaca cerpen-cerpen aku yang lain, boleh klik di SINI πŸ˜™

PS: Tidak dibenarkan untuk kongsi tanpa kredit kepada blog ini dan penulisnya. Tidak dibenarkan untuk mencetak atau mengeluarkan mana-mana bahagian dalam isi kandungan cerpen tanpa kebenaran penulis. Berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.

4 comments:

  1. Lawak betul kisah dorang terperangkap. Lama terperangkap masih xde jalannya. Fitri tu macam syok sendiri pun ada. huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihihi terima kasih fiza, sudi baca dan komen. Akak pun tak tau nak habiskan cerita macam mana hahaha

      Delete
  2. terbaik syaz novel bakalterbit ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih kak sudi baca dan komen.
      Tentang novel tu entahlah hahaha

      Delete

Ada apa-apa nak tulis? ;)

Premium Flexible Related Post Widget for Blogger – Blogspot