Saturday, March 13, 2021

DEWI, RUHIL, BRITNEY DAN LAIN-LAIN | FIKSYEN

 Lama tak menukang, rindu pulak nak mencerpen.
Cerpen ini adalah plot berkaitan Dewi (atau nama lamanya Edna), salah satu bab dalam Life Baggage.

Klik untuk baca Dewi.

Semoga terhibur 😁

DEWI, RUHIL, BRITNEY DAN LAIN-LAIN


“Mama tak kesian ke dekat Encik Ikhwan tu? Bersungguh dia suka pada Mama. Ewi boleh nampak keikhlasan dia terhadap Mama tau!”, soal Dewi sebaik sahaja ternampak kelibat Ruhil yang sedang ralit mengunyah kacang di atas sofa. Ruhil cuma tersenyum sewaktu memandang sekilas pada Dewi, sebelum kembali menonton televisyen.

 

“Sampai hati Mama kan?”, soal Dewi lagi, kedengaran benar nadanya tidak puas hati.

 “Ikhwan bagitahu apa dekat Ewi?”, Ruhil bersoal balas acuh tidak acuh. Selenga sahaja mukanya, nampak sangat tidak berminat dengan topik yang Dewi sedang ketengahkan.

 “Ish. Dia tulis ayat-ayat sedih dekat status WhatsApp dialah. Mama tak baca ke?”, ujar Dewi lagi.

 “Oh eh? Ok”, pendek sahaja jawapan Ruhil. Sejujurnya malas sekali Ruhil hendak layan persoalan Dewi dan orang sekeliling tentang apa yang jadi pada hubungannya dengan seorang lelaki yang bernama Ikhwan itu.

“Mama!”, geram dengan fi’il Ruhil, Dewi pantas menekan punat off pada alat kawalan jauh. Gelap terus skrin televisyen yang menayangkan adegan Shahrukh Khan yang sedang memeluk aktres terkenal Bollywood yang Dewi sendiri tidak kenal siapa gerangannya.

 “Eh kamu ni dah melampau”, buntang mata Ruhil memandang Dewi.

 “At least bagitaulah kenapa. Encik Ikhwan tu baik, Ma. Apa lagi yang kurang sampai Mama tolak lamaran dia. Takkan tak ada sekelumit pun rasa suka Mama dekat dia?”, muncung mulut Dewi sambil berpeluk tubuh. Benar, Dewi tidak menyangka langsung yang Mama sanggup tolak lamaran Encik Ikhwan mentah-mentah begitu saja. 

“Dia bukan jodoh Mama”, jawapan klise dari Ruhil sejak dahulu lagi. Setiap kali ada lelaki yang cuba mendekati, yang cuba untuk memperisterikan dirinya, Ruhil akan tolak. Apabila ditanya kenapa, itulah jawapan yang sering diberi.

 

Bukan jodoh. 

“Bukan salah Mama pun kalau Ikhwan anggap Mama lebih dari kawan. Dia yang salah tafsir. Siapa suruh?”, ujar Ruhil lagi. Segelas air sirap yang terletak kemas di atas meja sedari tadi dihirup perlahan. 

“Mama masih dengan pendirian tak akan kahwin selagi Ewi tak kahwin tu ke?”, tersedak Ruhil mendengar soalan yang tajam dari Dewi. Jenuh Ruhil berdehem beberapa kali bagi melegakan sisa batuk yang menyesakkan dadanya sekejap tadi. Dewi hanya menggelengkan kepalanya melihat Ruhil begitu. 

“Betul kan Ma?”, soalan dari Dewi itu dibiarkan sepi tanpa jawapan buat beberapa ketika.  

“Jadi kalau Ewi rasa itu sebabnya, Ewi kahwinlah cepat”, balas Ruhil sebelum terus berlalu pergi meninggalkan Dewi sendirian terkulat-kulat di ruang tamu.

 

++++++

Adakala Dewi rasa yang mama tidak adil. Tidak adil kerana meletakkan dirinya sebagai penghalang kebahagiaan sendiri. Mama telah mengorbankan zaman mudanya dengan menjaga dan membesarkan Dewi. Memang mama letak Dewi sebagai keutamaan hidup. Tak ada masa untuk mama berpacaran dan mengejar cita-cita. Mengenangkan itu, Dewi berasa terkilan dan ralat sekali dalam hatinya. 

Dewi tahu benar yang mamanya perlukan teman. Perlukan seorang lelaki yang boleh dibawa berkasih sayang. Dewi boleh nampak dalam perlakuan dan tindak-tanduk mama ketika bersama dengan beberapa orang lelaki yang pernah mendekatinya sebelum ini.

Namun semuanya berakhir dengan cara yang sama. Mama menolak mereka sebaik sahaja lelaki-lelaki itu mula untuk membawa mama melangkah ke fasa seterusnya. Mama akan freak out, dan memutuskan hubungan. Alasan yang diberi berulang-ulangkali, mama perlu menjaga Dewi. Dari kanak-kanak dahulu, sehinggalah Dewi sudah besar panjang pun, itulah alasannya.

Bukan Dewi tidak pernah bercinta, namun Dewi serik. Serik kerana hatinya pernah hancur ditinggalkan oleh lelaki yang dicintainya sepenuh hati beberapa tahun yang lepas. Aiman. Nama itu tidak pernah benar-benar hilang dari jiwa Dewi. Sehingga hari ini, Dewi tak mengerti apa yang sebenarnya berlaku. Aiman tiba-tiba sahaja meminta untuk memutuskan hubungan. Pergi begitu sahaja tanpa sedikit pun berasa belas dan kasihan pada Dewi yang terpinga-pinga tidak mengerti.

“Mama takkan kahwin selagi aku tak kahwin. Aku nak cari laki kat mana ni?”, getus hati kecil Dewi.

 Teet!

 

Tertera notifikasi dari WhatsApp group kelas Zumba yang telah Dewi sertai beberapa bulan yang lepas. Seperti biasa, rakan-rakan yang baru dikenalinya di kelas itu baik-baik belaka semuanya. Jahra, Hanun, Aisyah, Nancy, semuanya berkarakter gila-gila dan ceria sama seperti dia juga. Sekepala! Itu yang buat Dewi merasa selesa dan terbuka untuk berkongsi tentang pelbagai perkara bersama mereka.

 

“Uolls, I rasa dah sampai masa I cari suamilah macam uolls. Siapa ada calon? Young, handsome, ready nak kahwin dan ada sense of humour..?”

 

Dewi pun tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk bertanyakan hal sebegitu pada teman-teman barunya itu.

 

Ah why not cuba nasib? Mana tahu ada jodoh aku. Boleh juga tengok mama kahwin nanti!

 

++++++

Nasif, Edry, Murad dan Hatim. Empat nama yang diberikan oleh geng kelas Zumba Dewi, menjawab soalan berani mati yang Dewi tanyakan di group tempohari. Entahlah, mungkin kerana Dewi tersepit dengan situasi perlu mencari jodoh secepat mungkin, Dewi berkenalan mesra dengan keempat-empat mereka dalam masa yang sama. Dewi sengaja memaksa dirinya untuk melayan setiap perbualan WhatsApp keempat-empat lelaki itu! 

Rancangannya, selepas berbalas WhatsApp beberapa minggu, Dewi akan mengatur pertemuan secara bersemuka pula. Walaupun Dewi sedar dirinya hipokrit dan langsung tidak telus menjalin hubungan dengan mereka, Dewi tetap perlu memilih seorang untuk dijadikan suami terjun! 

“Tak kisahlah, mungkin cinta boleh disemai lepas nikah! Haha!”, getus hati kecil Dewi. 

Setakat hari ini, Dewi telah bertemujanji dengan Nasif, Murad dan Hatim. Jujur Dewi katakan, Nasif adalah yang paling Dewi tidak akan pertimbangkan! Makan berbunyi-bunyi.

 

Chap chap chap!

Eww geli!

 

Geli geleman pula rasanya apabila Dewi teringatkan pertemuan antara dia dan Nasif. Murad pula berjarak usia agak jauh dengan Dewi. Walaupun orangnya manis dan berbudi bahasa, namun Dewi letakkan Murad dalam senarai KIV dahulu. 

Hatim? Aduhai lelaki ini antara yang Dewi suka. Namun Dewi terpaksa akur dengan apa yang berlaku antara dia dan Hatim. Semuanya kerana Dewi sendiri yang terburu-buru menilai Hatim dari luaran sahaja ketika awal pertemuan mereka berdua. Tidak langsung Dewi menyangka yang dia akan merasa terkilan selepas Hatim pula yang menolak dirinya untuk meneruskan perhubungan yang lebih serius bersama. 

Itu yang membawa Dewi ke pertemuan bersama Edry pula pada hari ini. Walaupun sedikit lambat untuk bertemu berbanding tiga lagi lelaki yang lain, namun itu tidak membantutkan niat Dewi untuk mengenali Edry juga. Namun nasib Dewi tidak begitu baik. Edry yang diperkenalkan oleh Hanun rupanya tidak sihat mentalnya. Edry menghidap penyakit Dissociative Identity Disorder (DID) atau lebih dikenali umum sebagai penghidap ‘split personality’.

 

Padanlah ada ketikanya Dewi merasakan jawapan balas di WhatsApp oleh Edry seperti pelik dan tidak sejajar. Ada hari-hari yang seperti Edry tidak mengenali Dewi. Hari ini, segalanya terjawab!

 

Hanun, I really need your explanation!!

 

Edry, atau seketika tadi dia menyatakan dirinya Britney, telah datang menemui Dewi dalam keadaan marah. Katanya, Dewi cuba untuk merampas Edry dari dirinya. 

“Edry is my husband!”, terngiang-ngiang lagi di telinga Dewi jeritan dari ‘Britney’ yang mengamuk sambil mengetuk-mengetuk tingkap kereta. Bayangkanlah lelaki setinggi enam kaki mengamuk menghentak-hentak pintu dan tingkap kereta kerana marah ‘suami’nya sedang menjalin hubungan dengan Dewi. Dan nasib Dewi baik kerana dia sempat melompat masuk ke dalam kereta sejurus melihat ‘Britney’ mula menunjukkan sikap agresif! 

Yang paling merunsingkan Dewi sekarang adalah tayar keretanya telah pancit. Ketika ‘Britney’ naik hantu tadi, dia dengan sengaja menikam tayar hadapan kereta Dewi berulang-ulang kali. Gila punya mengamuk! Rupanya ‘Britney’ memang telah merancang untuk mencederakan Dewi selepas terbaca pesanan-pesanan WhatsApp antara Dewi dan Edry yang Edry lupa hendak padam seperti selalu. Disebabkan itu, ‘Britney’ membawa pisau Rambo bersamanya.

 Edry, atau pada ketika itu adalah ‘Britney’, akhirnya melarikan diri setelah mengilai-ngilai sekuat hati sambil menikam tayar kereta Dewi yang menjerit-jerit ketakutan keseorangan di dalam kereta, di kawasan parki1r yang tidak begitu ramai orang pada ketika itu. 

++++++ 

Terkebil-kebil Hatim selepas mendengar apa yang Dewi terangkan tadi. Dewi hanya melontarkan pandangan kosong sambil melepaskan keluhan yang panjang. Memang, jangan kata Hatim, sesiapa saja pun yang dengar kisah gila dirinya ini. 

“Jadi itulah sebab sebenarnya awak nak kahwin cepat? Bukan sebab umur yang nak masuk 30 tu?”, soal Hatim sambil memasang kembali skru di tayar kereta Dewi. 

"Dan sampai hati awak berselingkuh, mengempatkan saya??", sengaja Hatim menekan suaranya, kononnya marah dengan apa yang Dewi telah lakukan. 

"Sampai hati awak memperkotak-katikkan hati saya eh? Nasib baik saya bijak untuk clash dengan awak!", tergeleng-geleng kepala Hatim sambil berkata-kata. Dewi hanya tersengih seperti orang tak betul sambil menggaru kepalanya yang mula terasa gatal akibat peluh mula mencurah. Panas, matahari terik benar hari ini.

“Ya. Maaf saya berselindung dari awak hal yang sebenar masa kita jumpa hari tu. Dan terima kasih sebab sudi tolong saya hari ni”, kata Dewi lagi sambil tersengih memandang Hatim yang menyeringai kepanasan. 

“Saya kesiankan mama, kesiankan semua lelaki-lelaki yang cuba nak mendekati mama. Alasan mama tak habis-habis macam itulah. Dia takkan kahwin selagi saya masih tanggungjawab dia”, sambung Dewi lagi. 

“Dewi, nasib baik awak masih belum naik pangkat tau”, ujar Hatim selamba tanpa memandang walau setitik ke wajah Dewi.

 

“Naik pangkat? Apa maksud awak?”, soal Dewi kehairanan. “Kalau diikutkan prestasi kerja saya sebagai REN ni, saya masih amatur lagi. Lambat lagi nak naik pangkat rasanya”, sambung Dewi lagi. Mungkin kerana masih trauma dengan apa yang berlaku dengan ‘Britney’ tadi, Dewi seolah-olah tidak boleh mengaitkan kejadian itu dengan pekerjaannya sebagai perunding harta tanah.

 

“Bukan pangkat kerja. Pangkat dari Cik Dewi, jadi Almarhumah Dewi”, terbeliak mata Dewi mendengar jawapan Hatim itu. 

“Nauzubillah! Apa awak ni!”, terjerit Dewi dek terkejut mendengar jawapan Hatim yang tersengih sambil mengelap peluh yang berjujuran di dahinya. 

“Haha! Kopi Starbucks saya jangan lupa!”, seloroh Hatim selamba menuntut janji dari Dewi yang mengetap bibirnya kerana geram.

Syaz Eym | 12/3/2021

++++++

Terima kasih pada yang sudi singgah dan baca cerpen aku, untuk membaca cerpen-cerpen aku yang lain, boleh klik di SINI πŸ˜™

PS: Tidak dibenarkan untuk kongsi tanpa kredit kepada blog ini dan penulisnya. Tidak dibenarkan untuk mencetak atau mengeluarkan mana-mana bahagian dalam isi kandungan cerpen tanpa kebenaran penulis. Berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.

16 comments:

  1. Replies
    1. Terima kasih Kak PI, sudi baca dan komen 😁

      Delete
  2. Nanti lama lama boleh lah buat novel pulak :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haha insyaallah kalau ada kerajinan untuk teruskan 😁

      Delete
  3. wah sporting betul anak beranak tu

    ReplyDelete
  4. eh ni fatin afeefa bukan dewi..tiberr 😜

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya ambik dia berlakon cerita ni. Ahahaha 😜

      Delete
  5. gambar tu xde kena mengena ngan cerita kan heheh :p

    ReplyDelete
  6. Oh? Menukang ke? Selama ni uncle ingat berkarya! hehehe

    ReplyDelete
  7. kalaulah senang nak cari jodoh ni, dah lama i kawen hahaha

    ReplyDelete
  8. oohh gitu kisahnya. Ada kisah lain pulak antara dewi/edna dan hatim. hatim dah bahagia sekarang. eh, seram pulak dengan britney/edry tu haa..bahaya betul. Dewi pun, terdesak sangat tu demi mama dia.

    ReplyDelete

Ada apa-apa nak tulis? ;)

Premium Flexible Related Post Widget for Blogger – Blogspot