Sunday, April 11, 2021

DETAK | FIKSYEN

 Rasa nak mula series baru.

Harapnya menjadi. Amin!

Semoga terhibur 😁


DETAK

Pernah kena himpit dengan entiti yang umumnya kita akan sangka itu adalah hantu setiap kali badan tidak mampu kita gerakkan sewaktu tidur? Badan seolah-olah ditekan dan disepit oleh sesuatu yang tidak dapat dilihat zahirnya dengan mata kasar. Ada yang kata itu adalah ‘sleep paralysis’.

Keadaan dimana jika mengikut definisi sains, ‘sleep paralysis’ adalah perasaan sedar tetapi tidak dapat bergerak yang berlaku ketika seseorang berada di antara bangun dan tidur. Semasa peralihan ini, individu yang sedang mengalaminya mungkin tidak mampu bergerak atau bercakap selama beberapa saat. Malah, ada juga berlaku hingga beberapa minit. Sebilangan orang juga mungkin merasakan tekanan di bahagian dada, rasa seperti tersedak mahupun tercekik.

 

Ya, itulah rasa pelik yang bukan sahaja menggangu lenanya tidur Azza, malah siang hari rembang seperti sekarang ini pun, rasa itu memualkan tekak Azza. Entah sudah berapa kali Azza menekan butang refresh di tetingkap yang terpapar di skrin komputer ribanya ini. Hati Azza masih menaruh harapan yang setiap kali butang refresh itu diketik, hantaran baru dari blog kegemarannya ini akan muncul. Namun Azza hampa dan terus hampa.

Sudah hampir dua minggu blog ini tidak dikemaskini oleh pemiliknya. Situasi ini sememangnya pelik kerana M. Adri, pemilik blog ini, amatlah jarang untuk tidak memuatnaik hantaran baru saban hari. Di manakah M. Adri? Hati Azza runsing sekali.

 

“Kondisi diri: Menguak-nguak bagai hidung gajah. Peribahasa lama yang selalu nenek daku gunakan jika ingin menggambarkan situasi cuak dan termengah-mengah.

Itulah yang aku rasakan sekarang. Aku rasa seperti sedang berdiri di ambang yang aku tidak pasti sekukuh mana. Insan sekeliling, samada penting mahupun tidak dalam hidup aku, langsung tidak paranoid dengan aku yang ditolak-tolak melepasi gerbang ini.

Hidup dan mati. Jika hidup, dapat tak aku memijak tujuh baris warna pelangi?

Jika mati, salahkah aku?

Dari kamu? Doa. Doakanlah aku yang perlu bertempur untuk bersiaga.”

Hantaran yang paling akhir di blog M. Adri ini ibarat sudah Azza hafal. Sepertimana tidak lelah hati Azza mengulang baca, seperti itu jugalah hatinya tidak penat berteka-teki tentang apa yang M.Adri maksudkan dalam hantaran akhir di blognya itu.

Azza memang sangat adore dengan isi kandungan blog M. Adri. Bahasanya indah. Maksudnya mendalam. Kupasannya menarik. Tak jemu Azza menikmati baris demi baris kata-kata yang ditaip oleh M. Adri di laman blognya itu. Kata-kata coretan M. Adri memang terasa sangat dekat di hati Azza. Walaupun M. Adri tidak pernah menunjukkan dirinya, namun Azza selalu membayangkan rupa yang indah-indah tentang M. Adri. Ibarat lirik lagu Hanya Di Radio nyanyian Zainal Abidin, seperti itulah hati Azza berlagu riang setiap kali membaca hantaran-hantaran di blog M. Adri itu.

“Seriuslah? Kau tak penat ke asyik ulang baca post sama dari blog M. Adri ni Azza oi”, ibarat gugur jantung Azza ke lantai dek sapaan mengejut beserta cuitan di bahu oleh Tushee. Terkekek-kekek Tushee ketawa melihat Azza terperanjat sehingga terjelepuk jatuh dari kerusi pejabatnya.

 

“Astarghfirrullah Tushee! Sampai hati kau kan!”, jerkah Azza sambil bingkas berdiri kembali. Tangan kanannya sempat mencapai botol air kosong di atas meja lalu dibaling ke arah Tushee yang masih tersengih-sengih geli hati.

 

“Kau tu pun. Punyalah ralit, sampai aku dah berdiri belakang kau dekat lima minit pun kau tak perasan. M. Adri kau tu masih tak update ke blog dia?”, soal Tushee sambil matanya tekun membaca sesuatu di skrin komputer di atas mejanya. Sejak Tushee diambil bekerja di pejabat ini dua tahun lalu, hubungan mereka berdua kian akrab dari hari ke hari. Mungkin kerana Tushee yang agak sekepala dengan Azza, mereka menjadi rapat dalam masa yang singkat sahaja. Banyak rahsia yang mereka berdua kongsikan bersama. Antaranya adalah tentang Blog M. Adri yang Azza minat gila itu.

“Tak”, balas Azza ringkas sambil melepaskan nafas yang berat dan panjang. “Aku risau ni. Otak aku ni jadi tak boleh berhenti berfikir tentang ke mana dia pergi. Hilang, ghaib dari radar dah dekat tiga minggu”, sambung Azza lagi.

 

“Tapi, janganlah disebabkan M. Adri ni kau nak perjudikan prestasi kerja kau pulak. Kau sedar tak, kertas kerja yang bos suruh kau buat tu, kau dah delay empat hari?”, soal Tushee. Azza mengangguk lesu. Azza memang cukup sedar dirinya menjadi malas dan tidak keruan sejak itu.

“Kau rasa dia menyepi ni, ada kaitan dengan aku tak?”, soal Azza sambil memicit-micit dahinya sendiri yang terasa berdenyut-denyut tidak surut-surut.

Tushee menolak perlahan papan kekunci yang sakan diketuk-ketuk jemarinya sebentar tadi. Terbit rasa kasihan pula pada kawannya yang seorang ini. Tushee tahu benar kenapa Azza cuak dan tidak keruan begini. Tangan Azza digapainya perlahan.

“Kau rasa, dia tiba-tiba hilang ni memang sebab kau ke?”, tenang Tushee memancing Azza untuk melepaskan apa yang terbuku dihatinya beberapa hari kebelakangan ini.

 

“Mungkin. Sebab dia hilang ni, lepas dia balas emel aku”, balas Azza sambil tangan kanannya terus menekan lagi butang refresh pada tetingkap blog M. Adri yang masih setia terpapar di skrin komputernya.

“Tapi dia balas emel kau hari tu kan? Dan balasan emel dia tu, tenang je bunyinya kan?”, tanya Tushee lagi.

“Dia balas emoji senyum je”, jawab Azza.

“Tapi aku sebenarnya hairan jugak ni. Kenapa dia nak sentap pulak? Kau ajak dia jumpa untuk makan malam je kan? Apa yang dia nak emo sangat?”, Tushee mencebikkan mukanya seolah-olah jengkel dengan respon M. Adri yang entah apa-apa hanya kerana satu ajakan untuk makan malam dari Azza.

 

“Mungkin dia terkejut. Sebab dalam emel tu, aku.. aku.. hmmm”, berkerut dahi Tushee melihat Azza teragak-agak begitu.

“I can smell that you hide a big dead mouse here”, serius nada suara Tushee kali ini. Kening kirinya yang diangkat tinggi persis Ziana Zain sedang mengalunkan not lagu yang tinggi itu menambah getar di hati Azza. Perlahan-lahan, tetikus digerakkan. Tidak lama selepas itu, skrin komputer Azza memaparkan emel yang dihantar pada M. Adri beberapa minggu yang lalu itu. Terlopong Tushee membaca apa yang ditulis oleh Azza kepada M. Adri. Azza menekup mukanya sendiri dengan kedua telapak tangan. Malu!

“Assalamualaikum Adri. It’s me again. Terima kasih kerana selalu sudi membalas emel dari peminat nombor satu awak ni. Heee..

Hari ini saya emel lagi, seperti biasa yang saya nak bagitahu yang saya sangat setuju dengan pandangan awak tentang isu tudung yang awak kupas di entry terbaru awak tu.

Dan, setelah saya berfikir sedalam-dalamnya, saya rasa saya perlu juga untuk bagitahu awak tentang ini. Saya sebenarnya dah jatuh hati, jatuh cinta sedalam-dalamnya dengan awak. Walaupun kita tidak pernah bersua, tapi saya rasa saya mahu mengenali dan melamar awak menjadi teman hidup saya. Insyaallah jika awak sudi, dan jika Allah izini.

Besarlah hajat saya untuk bertemu empat mata dengan awak, Adri. Jika awak sudi untuk berkenalan dengan saya, saya nak ajak makan malam dengan saya hujung minggu ini.

Yang menanti jawapan sudi dari Adri;

Azza”

 

“Sudah-sudahlah terlopong tu Tushee…”, kata Azza sambil membenamkan mukanya ke atas bantal kecil yang memang tersedia terletak di atas mejanya sedari tadi.

++++++

Lutfi memandang bersilih ganti pada dua wanita yang turut merenung wajahnya yang masih belum mandi pagi. Tangan kanannya masih lagi menepuk-nepuk punggung anak kecilnya yang masih lena dalam dakapannya ketika ini. Lutfi mencerunkan matanya pada Tushee yang sama juga masih belum mandi pagi lagi. Melihatkan renungan ‘maut’ suaminya itu, Tushee hanya tersengih sambil menggaru-garu kepalanya yang masih mengerbang belum bersikat itu.

“Bolehlah ya Lutfi, aku nak pinjam Tushee dua hari. Aku tak tau nak ajak siapa lagi. Lagipun, ‘hal’ penting aku ni, hanya Tushee yang tau”, terang Azza sambil turut tersengih malu-malu. Jelas kelihatan di riak wajah Lutfi yang lelaki itu sedang menahan hangat di hati.

Jangan kata Lutfi, siapa saja yang tak berang jika seawal 6.30 pagi di hari Sabtu, loceng rumahnya ditekan bertalu-talu. Berlari Lutfi turun untuk membuka pintu mendengarkan itu. Bimbang juga sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini di kawasan kejiranannya ini. Namun sangkaan Lutfi meleset sama sekali apabila melihat Azza melambai-lambai padanya dari sebelah luar pagar rumahnya tadi. Azza tahu tindakannya ini agak gila dan melulu, tapi Azza sudah tidak mampu melayan jantungnya yang berdetak lebih kuat dari ritma biasa ini. Penat!

Ketika Azza berguling-guling menanggung seram sejuk seluruh tubuhnya yang belum surut-surut itu malam semalam, tiba-tiba Azza teringat yang dahulu dia pernah mengirimkan sebuah mug tanda seorang peminat yang menghargai blogger yang disayanginya itu. Azza ada alamat M. Adri! Setelah berfikir sedalam-dalamnya, Azza nekad untuk mencari M. Adri di rumahnya! Ya! Azza memang yakin benar dengan keputusan gilanya ini.

Biarlah dia dengar sendiri dari mulut M. Adri bahawa lelaki itu tidak sudi untuk berkenal-kenal dengannya. Biarlah Azza mencuba untuk melupakan apa yang terjadi ini setelah bertentang mata dengan M. Adri. Biarlah semua ini Azza bisa padamkan setelah tahu bagaimana rupa parasnya seorang M. Adri yang selama ini Azza gilakan itu.

Azza nak jumpa M. Adri, walaupun untuk ditolak mentah-mentah! Dan lebih bagus lagi sekiranya M. Adri itu orangnya tidak ada kacak walau sekelumit di wajahnya. Lagi senang Azza nak mula membenci! Kan?

“Jangan marah Tushee, Lutfi. Aku tak bagitahu Tushee pun rancangan aku ni. Aku plan mengejut je malam tadi. Aku minta maaf sebab aku sampai rumah kau awal sangat tadi. Aku tak sabar nak buat benda ni”, sambung Azza lagi sambil berbalas pandang dengan Tushee yang masih lagi dia menikus di sebelahnya. Lutfi melepaskan nafas yang dihelanya dalam-dalam tadi. Kepalanya tergeleng-geleng mencerna permintaan pelik Azza itu.

“Ok, aku izinkan Tushee temankan kau. Aku harap sangat permintaan gila kau ni bagi manfaat dekat kau dunia akhirat. Sebab mengenangkan betapa gilanya kau gegar pintu rumah orang pagi-pagi buta. It better be good, Azza!”, kata Lutfi sebelum berlalu naik semula ke tingkat atas rumahnya. Azza hanya mengangkat ibu jari tangan kanannya ke udara sambil memandang Lutfi yang menjeling tajam ke arah dirinya. Tushee juga membontoti suaminya sambil membuat isyarat agar Azza tunggu sebentar di ruang tamu itu.

“Kau gila Azza, gila!”, getus hati kecil Azza yang terjerit-jerit cuba berbicara dengan dirinya sendiri.

bersambung..

Syaz Eym | 10/4/2021

++++++

Terima kasih pada yang sudi singgah dan baca cerpen aku, untuk membaca cerpen-cerpen aku yang lain, boleh klik di SINI πŸ˜™

PS: Tidak dibenarkan untuk kongsi tanpa kredit kepada blog ini dan penulisnya. Tidak dibenarkan untuk mencetak atau mengeluarkan mana-mana bahagian dalam isi kandungan cerpen tanpa kebenaran penulis. Berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.

9 comments:

  1. wow cerpen menarik suka kak baca

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kak PI sudi baca dan komen 😊

      Delete
  2. Okayy kita tunggu sambungan dia pulakkk :D

    ReplyDelete
  3. waa.... falling in love with the words dlm blog jer.. taktau lagi mcm mna adri tu ! hopefully now someone crazy huhuhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hihi yup twisted ending juga ni, insyaallah 😘

      Delete
    2. jgn itu laki org cukup hahah tak pun perempuan menyamar jadi laki lol

      Delete
  4. simpan dulu, nanti baru baca.. hehhee

    ReplyDelete
  5. Betul betul peminat no.1 Azza ni sampai nak terjah rumah M.Adri. Tak update blog terus jadi tak keruan. Hebat penangan tulisan M.Adri ni sampai buat orang jatuh cinta terus.

    ReplyDelete

Ada apa-apa nak tulis? ;)

Premium Flexible Related Post Widget for Blogger – Blogspot