Empat Beranak Terbang Last Minute



Kisah throwback ini sebenarnya dah hampir setahun berlalu. Berlaku sekitar Oktober 2025, tapi bila SR teringat balik, memang masih boleh rasa debar, penat dan kelakarnya. Inilah antara pengalaman SR bawa anak-anak naik flight tanpa Zaimi. Walaupun anak-anak dah besar, percayalah, unsur huru-hara itu tetap ada. Hahaha.


Masa tu Zaimi terpaksa balik ke Wakaf Bharu secara mengejut sebab mak mentua SR sakit dan perlu dimasukkan ke wad. Pada awalnya Zaimi tak bercadang pun nak berada lama di Kelantan, tapi rupanya agak lama juga mentua SR kena duduk dalam wad. Selepas beberapa hari SR ditinggal dengan anak-anak, Zaimi minta SR beli tiket kapal terbang pergi dan balik. Katanya dia bayarkan, asalkan SR dan anak-anak balik sekejap untuk tengok keadaan mak dia, dan dia pun dah rindukan anak-anak.


Beli Tiket Hari Ini, Terbang Hari Ini

Masalahnya, Adam dan Amir pula ada tournament bola sepak dalam masa terdekat. Asalnya SR dengan Zaimi merancang agar SR dan anak-anak balik dari hari Khamis sampai Sabtu. Tapi dua orang budak lelaki tu dah kalut sebab tak mahu terlepas tournament pada hari Jumaat.


Maka hari Selasa tu Zaimi bagi cadangan, hari yang sama juga decide untuk bertolak ke kampung! Tengah hari itu, sebaik sahaja jemput anak-anak balik dari sekolah, SR terus buka Airpaz dan cari tiket penerbangan dari Subang ke Kota Bharu. Mujur ada tiket! Apa lagi, terus beli tiket untuk empat orang. Lepas tu kemas beg sepantas kilat dan tempah Grab ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.




Harga tiket kapal terbang last minute untuk empat orang memang boleh tahan keras juga. Tapi Zaimi kata tak apa, beli sahaja. SR akurlah sebab benda pun bukan jadi suka-suka. Asbab musibah kan. Yang paling kartun sekali, kami dah berada dalam Grab menuju ke Subang, tapi tiket masih belum masuk ke e-mel SR! Hahahaha! 


Bayangkan perasaan SR dalam kereta tu. Jalan pula jem. Adam dengan Amir dah lentok tidur. Ayu pun dah mamai. SR seorang je duduk tengok telefon berkali-kali sambil dalam kepala fikir, "Tiket mana tiket ni? Arhhhhh!" Mujurlah sebelum kami betul-betul memulakan segala urusan di lapangan terbang, tiket akhirnya masuk ke e-mel. Alhamdulillah. Lega!


Adam, Amir, Ayu di SZB


Dah Lupa Macam Mana Nak Naik Flight

Masa tu SR sebenarnya dah lama tak naik kapal terbang. Kali terakhir masa ke Jepun pada tahun 2023. Jadi campur pula dengan keadaan kalut, memang rasa macam pertama kali nak naik flight semula. Nasib baik semua MyKid anak-anak SR bawa. SR cuba tenangkan diri dan baca arahan daripada Airpaz betul-betul. SR pilih untuk buat self check-in. Kemudian bab beg pula, anak-anak dah tak mahu pikul semua beg yang dibawa. Maka bermulalah satu lagi episod SR terkial-kial dekat mesin self bag check-in. Hahaha.




Mula-mula SR tak pergi pun ke kaunter yang ada staf. Kononnya nak buat sendiri. Last-last datang juga seorang staf perempuan membantu. Agaknya dia tengok SR ni dah macam mak ayam hilang arah dengan tiga ekor anak ayam dekat belakang. Terima kasih banyak, puan!




Selesai urusan beg, anak-anak mula lapar. Dekat lapangan terbang pun kami boleh cari mamak. Kah kah kah! Jadi kami makan sekejap sebelum masuk ke pintu berlepas.


Omak Seorang, Anak Tiga

Bahagian nak masuk ke pintu berlepas pun boleh tahan mencabar. Kena keluarkan dan tunjuk MyKid anak-anak, pastikan semuanya beratur elok-elok, tak tertinggal barang dan tak berjalan merata.




Dalam kepala SR pula macam-macam fikir. Walaupun penerbangan domestik, SR tetap pesan anak-anak supaya jangan sesuka hati pegang atau bawa barang orang lain. Nak pastikan tiga orang anak bergerak serentak, naik tangga, masuk kapal terbang dan duduk di tempat masing-masing pun dah boleh buat omak berpeluh.




Kami naik Firefly ke Kota Bharu. Itu juga kali pertama SR naik Firefly. Seronok juga sebab dapat pengalaman naik kapal terbang melalui tangga dari pintu belakang. Kapal terbangnya comel sahaja pada mata SR. Rasa macam naik bas versi terbang. Hihi. Tempat duduk kami pula memang di bahagian belakang sekali, dekat sangat dengan bahagian galley dan pintu keluar masuk. Amir duduk dengan Ayu, manakala SR duduk bersebelahan dengan Adam.







Masa kapal terbang mula take-off, SR pegang tangan Ayu sebab itu kali pertama dia naik kapal terbang. Abang-abangnya memang pernah naik sebelum ni, tapi masa tu mereka masih kecil sangat sampai dah tak ingat. Jadi boleh dikatakan pengalaman kali ini macam pengalaman pertama untuk mereka bertiga.


SR pula suka juga Lapangan Terbang Subang sebab tak terlalu besar. Tak perlu berjalan terlalu jauh. Dalam keadaan dah penat menguruskan anak-anak, perkara macam ni memang sangat SR hargai.


Sampai Kota Bharu Dah Malam

Kami sampai di Kota Bharu waktu malam dan Zaimi datang jemput. Lepas tu terus pergi makan sambil SR bertanya perkembangan mentua. 




Keesokan harinya, baru SR dengan Adam pergi melawat mentua di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II. Amir dan Ayu tinggal di rumah dengan FIL SR sebab mereka tak dapat naik ke wad. Tak mengapalah. Dapat jumpa ayah dengan Tok Ayoh pun mereka dah gembira, walaupun tak dapat jumpa Tokma. SR dengan Adam pula pergi ke hospital naik Grab sebab kereta berada dengan Zaimi yang memang sedang menjaga mak dia di hospital. Lawatan kami memang pendek. Esoknya, hari Khamis, dah kena balik semula ke rumah.


Balik Dengan Batik Air Pula

Untuk penerbangan balik, kami naik Batik Air. Kali ini SR dah lebih bersedia. Dah buat check-in awal-awal dan untuk masuk nanti hanya perlu tunjuk kod QR. Sebelum masuk, sempatlah kami bersarapan dengan Zaimi di gerai di depan lapangan terbang.








Untuk penerbangan kali ini, SR siap beli tempat duduk sebab nak bagi peluang Ayu pula duduk di window seat. Masa naik Firefly sebelum tu, Adam dan Amir yang dapat tempat tepi tingkap. Jadi SR fikir, "Balik ni bagi Ayu pula tengok awan."


 



Susunan tempat duduk Batik Air pula tiga sebelah kiri dan tiga sebelah kanan. SR letakkan Adam dan Amir bersama di sebelah kanan. Mereka duduk bersebelahan walaupun tempat tepi tingkap di bahagian mereka dah ada penumpang lain.




SR pula pilih tempat duduk di baris yang sama di sebelah kiri. Ayu SR letakkan di window seat, SR duduk tengah dan seorang penumpang lain duduk di bahagian aisle. Cantik dah perancangan omak, kan? Sekali bila masuk kapal terbang... Tempat duduk Ayu tak ada tingkap! HAHAHAHAHA!


Window seat tanpa window hahaha


Ya Allah, kesian anak dara SR. Beria SR bayar pilih tempat duduk sebab nak bagi dia pengalaman duduk tepi tingkap. Sekali bahagian dinding sebelah dia memang tak ada tingkap seperti yang kami bayangkan. Gelak dalam tangisanlah Ayu. Kami empat beranak pun gelak besar sebab memang tak sangka. Dah susun elok-elok kononnya nak bagi adil seorang dapat pengalaman duduk tepi tingkap.


Tak ada rezeki Ayu nak tengok awan dari situ. Next time ya, Ayu...


Dari KLIA Balik Kajang

Kali ini kami tak turun di Subang tetapi di KLIA. Aduhai. Bila dah suka dengan airport Subang yang kecil, berjalan di KLIA terasa jauhnya pintu tu. Memang penat betul SR masa tu. Anak-anak pun dah kepenatan.


Untuk balik ke Kajang, SR ambil limo KLIA sahaja. Bila semua dah masuk kereta, masing-masing terus senyap. Anak-anak memang berdengkur tidur sepanjang perjalanan. Barulah SR boleh duduk diam dan fikir balik apa yang berlaku dalam tempoh beberapa hari tu.


Beli tiket last minute. Kemas beg macam kena kejar tornado. Naik Grab dalam keadaan tiket belum masuk e-mel. Terkial-kial buat self check-in. Urus beg. Jaga tiga orang anak dekat lapangan terbang. Terbang ke Kota Bharu. Pergi hospital. Kemudian terbang balik semula.


Memang penat, tapi sekarang bila dikenang balik, jadi satu memori yang SR tersengih sendiri. Walaupun anak-anak SR dah besar, bila omak kena bawa mereka bertiga seorang diri, tetap ada juga episod huru-hara. Bezanya sekarang mereka dah boleh urus diri sendiri sedikit sebanyak dan sebenarnya banyak juga membantu SR sepanjang perjalanan.


Mentua SR pula, alhamdulillah, tak lama selepas itu dibenarkan keluar dari hospital. Semoga Tokma terus diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan.


Dan sekarang bila SR menaip kisah ni... Eh, tiba-tiba rindu pula nak naik kapal terbang. Bilalah agaknya nak terbang lagi? Cuma kalau boleh, window seat Ayu yang betul-betul ada tingkap ya. Hahaha.


Penafian: Catatan ini merupakan perkongsian pengalaman peribadi penulis pada Oktober 2025. Prosedur penerbangan, perkhidmatan, harga tiket dan kemudahan lapangan terbang mungkin berubah mengikut semasa.

Catat Ulasan

7 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
  1. dpt seat tepi tingkap syok..tp blk dgn ank2 je kalo tk biasa mmg riso juga kan walaupun domestik...pernah naik flight sorg2 outstation ke sabah..neves juga sbb biasa outstation ada teman sekejrja tp bos kata ..you can handle sorang projek di sabah..fuh berdebar juga la tp alhamdulillah dipermudahkan segalanya

    BalasPadam
  2. Dah selamat semuanya, alhamdulillah. Walalu entry TB.. tetap terasa debarnya..

    BalasPadam
  3. Ayo ke jakarta Syaz 😉. Nanti saya ajak keliling di sini.

    Tapi untungnya anak2 saat itu dah bisa paham diberitahu yaaa. Tak lah masih kecil sangat.

    Sayapun saat pergi traveling ajak anak sulung pas masih baby, menyerah. Saya bawa sekali babysitter nya saat itu 😂😂. Memang tak sanggub handle sendiri.

    Kasian ya ayu, dah beli window seat tapi tak dapat. Tak bisa refund ya?

    BalasPadam
  4. Mencabar juga tu. Alahai kesian Ayu takde tingkap rupanya ye.

    BalasPadam
  5. haha kesian ayu, nak window seat dapat dah tapi window pulak takde. Aduhai. Ammi baca pengalaman SR dengan ammi-ammi sekali rasa tercungap macam terkejar-kejar. tetiba rasa perasaan anxiety itu...kalau ammi dalam grab otw ke Subang tu confirm tangan dah menggigil2 sebab tak dapat tiket

    BalasPadam
  6. Bila dah kalut-kalut tu, hilang semua pengalaman kan SR.. Tapi bab window seat Ayu tu.. Adoilah..

    BalasPadam
  7. Alhamdulillah saya ada je pengalamana naik fire fly. Tapi dah cukup lama dulu.

    BalasPadam

Setiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di blogsyaznirahim@gmail.com :)

Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at blogsyaznirahim@gmail.com :)

Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.

What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.

Disclaimer: Unauthorized Use of Photos

All personal and family photos on this blog are the exclusive property of syaznirahim.com. These images may not be downloaded, copied, reproduced, or used in any form without prior written permission from the owner. Unauthorized use of these photos is strictly prohibited and may result in legal action. If you wish to use any of the photos, please contact me for permission and licensing terms. Thank you for respecting our rights and the privacy of the individuals depicted.

Penafian: Penggunaan Foto Tanpa Kebenaran

Semua foto peribadi dan keluarga di blog ini adalah hak milik eksklusif syaznirahim.com. Imej-imej ini tidak boleh dimuat turun, disalin, dihasilkan semula, atau digunakan dalam apa-apa bentuk tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik. Penggunaan foto-foto ini tanpa kebenaran adalah dilarang keras dan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang. Jika anda ingin menggunakan mana-mana foto, sila hubungi saya untuk mendapatkan kebenaran dan syarat pelesenan. Terima kasih kerana menghormati hak kami dan privasi individu yang digambarkan.

Top Post Ad