Pernah tak buka laptop dengan semangat berkobar-kobar nak kemas kini blog, tetapi selepas 20 minit, skrin masih putih bersih?
Tajuk tak ada. Ayat pertama pun tak muncul. Jari pula sibuk buka Facebook, tengok TikTok, baca blog orang lain dan akhirnya terus lupa tujuan asal buka laptop tadi. Hahaha! Kalau pernah, selamat datang ke dunia writer's block.
Sebagai blogger, SR rasa writer's block ini antara cabaran yang memang susah hendak dielakkan. Lagi-lagi bila kita sudah lama menulis blog. Kadang-kadang bukan tak ada benda hendak diceritakan. Cerita banyak sangat sebenarnya, tetapi tak tahu hendak mula dari mana.
Apa Itu Writer's Block?
Secara mudahnya, writer's block ialah keadaan apabila seseorang penulis mengalami kesukaran untuk menghasilkan idea atau meneruskan penulisan.
Untuk blogger pula, situasinya mungkin nampak seperti tiada idea untuk menulis blog, susah hendak memulakan perenggan pertama atau sudah ada tajuk tetapi tiba-tiba tidak tahu apa lagi yang hendak ditulis.
SR pernah juga berada dalam situasi begini. Buka ruangan entri baharu, tulis dua tiga ayat, baca balik, padam. Tulis lagi, rasa tak sedap, padam lagi. Lebih-lebih ketika badan penat dan letih atas urusan lain. Sudahnya, tutup laptop. Kah kah!
Kenapa Blogger Boleh Ketandusan Idea?
Kadang-kadang writer's block datang kerana kita terlalu memaksa diri untuk menghasilkan tulisan yang sempurna. Kita mahu tajuk yang menarik, ayat cantik, mesra SEO, gambar lawa dan isi pula mesti bermanfaat. Belum mula menulis lagi, kepala sudah fikir macam-macam. Ada juga masanya kita memang penat.
Urus rumah, keluarga, kerja dan macam-macam perkara dalam kehidupan seharian boleh menyebabkan otak sudah tidak mempunyai banyak ruang untuk berfikir tentang kandungan blog.
Bagi SR, bila terlalu lama tidak menulis pun boleh menyebabkan momentum hilang. Makin lama blog tidak dikemas kini, makin susah pula hendak menulis semula.
Cara Hadapi Writer's Block
Satu perkara yang SR belajar ialah jangan tunggu idea sempurna. Kalau tiba-tiba teringat sesuatu, catat sahaja dahulu. Idea sekecil pengalaman membeli barang dapur, mencuba kedai baharu, mengemas rumah atau satu persoalan yang bermain di fikiran sebenarnya boleh dikembangkan menjadi entri blog.
SR juga suka bermula dengan cerita. Daripada memikirkan, "Apa artikel SEO yang SR patut tulis hari ini?", kadang-kadang lebih mudah bertanya, "Apa yang berlaku dalam hidup SR kebelakangan ini?"
Dari situlah cerita biasanya mula mengalir. Satu lagi cara mengatasi writer's block untuk blogger ialah membaca semula entri lama. Kadang-kadang satu tulisan lama boleh melahirkan lima idea baharu. Kita boleh buat kemas kini, sambungan cerita, perbandingan atau berkongsi perspektif selepas beberapa tahun.
Tak Perlu Menulis Setiap Hari
SR rasa blogger juga tak perlu rasa bersalah kalau blog senyap beberapa hari atau minggu. Menulis sepatutnya menjadi sesuatu yang kita nikmati, bukannya satu beban yang menyebabkan kita semakin malas membuka blog.
Kalau hari ini cuma mampu menulis 100 patah perkataan, tulislah 100 patah perkataan. Esok sambung lagi. Kadang-kadang writer's block bukan bermaksud kita sudah tidak pandai menulis. Mungkin otak cuma perlukan sedikit ruang untuk mencari cerita seterusnya.
Dan lucunya, idea itu kadang-kadang muncul ketika tengah mandi, tengah memandu atau beberapa saat sebelum hendak tidur. Masa itulah laju pula idea datang!
Jadi kepada blogger yang sedang termenung di hadapan ruangan entri kosong, jangan cepat mengalah. Tulis sahaja dahulu. Sebab kadang-kadang, satu ayat yang kita paksa keluar itulah yang akhirnya membuka jalan kepada 500 patah perkataan seterusnya. Macam entri yang SR sedang tulis ini. Hehehe!
Penafian: Artikel ini berdasarkan pengalaman dan pandangan peribadi penulis mengenai aktiviti penulisan blog. Kaedah mengatasi writer's block mungkin memberikan hasil berbeza bagi setiap individu.

Setiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di blogsyaznirahim@gmail.com :)
Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at blogsyaznirahim@gmail.com :)
Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.
What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.
Disclaimer: Unauthorized Use of Photos
All personal and family photos on this blog are the exclusive property of syaznirahim.com. These images may not be downloaded, copied, reproduced, or used in any form without prior written permission from the owner. Unauthorized use of these photos is strictly prohibited and may result in legal action. If you wish to use any of the photos, please contact me for permission and licensing terms. Thank you for respecting our rights and the privacy of the individuals depicted.
Penafian: Penggunaan Foto Tanpa Kebenaran
Semua foto peribadi dan keluarga di blog ini adalah hak milik eksklusif syaznirahim.com. Imej-imej ini tidak boleh dimuat turun, disalin, dihasilkan semula, atau digunakan dalam apa-apa bentuk tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik. Penggunaan foto-foto ini tanpa kebenaran adalah dilarang keras dan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang. Jika anda ingin menggunakan mana-mana foto, sila hubungi saya untuk mendapatkan kebenaran dan syarat pelesenan. Terima kasih kerana menghormati hak kami dan privasi individu yang digambarkan.