Bolehkah Guna Wi-Fi yang Tidak Diletakkan Password?

 #martabahalbakri


Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah kita menggunakan Wi-Fi yang tidak diletakkan kata laluan (password)? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Wi-Fi

Wi-Fi ialah teknologi wayarles yang digunakan untuk menyambungkan komputer, tablet, telefon pintar dan peranti lain ke Internet. Dalam erti kata lain, Wi-Fi ialah isyarat radio yang dihantar daripada penghala wayarles ke peranti berdekatan, yang menterjemah isyarat kepada data yang boleh anda lihat dan gunakan. Peranti menghantar isyarat radio kembali ke penghala, yang bersambung ke internet melalui wayar atau kabel.[1]

Secara umumnya, masyarakat kita pada hari ini sudah terbiasa dengan penggunaan internet dan wi-fi dalam kehidupan. Kebiasaannya pemilik wi-fi akan meletakkan kata laluan bagi peranti atau wi-fi mereka. Namun, terdapat sebahagian pemilik tidak meletakkan tetapan kata laluan (password).

Pada asasnya, kita dilarang untuk menggunakan atau memakan harta seseorang secara batil. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”[2]

Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya.[3]

Tambahan lagi, al-Maraghi menyatakan bahawa perkataan ‘batil’ bermaksud sia-sia. Namun, dari segi istilah agama pula ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau tanpa kerelaan pemiliknya.[4]

Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa maksud ‘memakan harta dengan cara batil’ ialah dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar‘i seperti riba, judi, rampasan dan menipu dalam timbangan jual beli.[5]

Selain itu, terdapat sebuah hadith daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak halal mengambil harta seseorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya.”[6]

Di samping itu, dalam sebuah hadith lain daripada ‘Abd al-Rahman bin Abu Bakrah, daripada bapanya, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ، وَأَمْوَالَكُمْ، وَأَعْرَاضَكُمْ، بَيْنَكُمْ حَرَامٌ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya: “Sesungguhnya darah-darah kamu semua, harta benda kamu, maruah-maruah (kehormatan) kamu, adalah haram sesama kamu seperti mana haramnya (sucinya) hari ini buat kamu, juga pada bulan ini, dan di negeri ini (Makkah).[7]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak dibolehkan untuk menggunakan Wi-Fi yang tidak diletakkan kata laluan (password) kecuali setelah mendapat keizinan daripada pemiliknya. Hal ini kerana ia termasuk dalam perkara menggunakan harta secara batil yakni tanpa keizinan daripada pemiliknya. Namun, berbeza keadaannya jika Wi-Fi tersebut adalah untuk digunakan secara umum yang diletakkan di tempat-tempat awam atau diketahui bahawa pemilik Wi-Fi tersebut redha dan mengizinkannya, maka dalam situasi ini ia adalah dibolehkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang dimurkai-Nya. Ameen.

Wallahua‘lam.

SUMBER


Post a Comment

7 Comments

  1. Kalau wifi personal di rumah mmg jarang org x letak password.. kalau di shopping mall je selalu tp selalunya slow

    ReplyDelete
  2. good sharing. tapi jarang sgt la wifi yg x de passwaord kecuali la wifi awam..airport, mall.. tu pun slow mlow kan...

    ReplyDelete
  3. jika pemilik wifi tu x letak password, maksudnya dia redha wifinya dikongsi dgn org lain. Begitulah sebaliknya...

    ReplyDelete
  4. So far kalau Wi-Fi private mesti ada password, kalau takde pun saya tak berani guna. Selain takut owner tak redha, takut jugak digital theft

    ReplyDelete
  5. Baru tahu info ni.. Tq SR atas perkongsian info yang bagus.. ;)

    ReplyDelete
  6. Terima kasih atas perkongsian ini SR..

    ReplyDelete
  7. cikkak SR leh wak minta password wifi nya., hahaha #gurau2

    ReplyDelete

Setiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di syaznirahim@gmail.com :)

Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at syaznirahim@gmail.com :)

Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.

What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.