Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum pawah lembu? Dan apakah syarat-syarat serta akad jual beli pawah. Mohon penjelasan penuh. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pawah bermaksud membahagi dua hasil yang diperoleh daripada sawah, binatang ternakan, dan lain-lain antara pengusaha (penjaga) dengan tuan punya ternakan atau tanaman. Justeru, lembu pawah ialah tuan punya lembu menyuruh orang lain mengusahakan dan menternak lembu tersebut dengan membahagikan hasilnya kepada dua bahagian.
Dalam istilah muamalat, amalan pawah ini diqiyaskan kepada pajak atau musaqah kepada tanaman. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (7/25), pengertian musaqah menurut bahasa, musaqah ialah siraman. Menurut istilah syara’ pula, musaqah ialah kontrak antara pemilik tanaman dengan pihak lain yang akan melakukan kerja-kerja pemeliharaan, penjagaan dan segala kerja yang diperlukan. Sebagai balasannya, pihak kedua tadi (pengusaha) akan mengambil kadar tertentu daripada hasil yang diperolehi.
Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma:
أَعْطَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْبَرَ بِشَطْرِ مَا يَخْرُجُ مِنْهَا مِنْ ثَمَرٍ أَوْ زَرْعٍ، وفِي رِوَايَةِ: عَامَل أَهْلِ خَيْبَرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW memberikan kepada (penduduk) Khaibar sebahagian buah atau tanaman yang dihasilkan. Dalam riwayat yang lain: Baginda melakukan kontrak muamalat dengan penduduk Khaibar.”
Riwayat al-Bukhari (2328) dan Muslim (1551)
Hikmah pensyariatan musaqah ialah bagi memenuhi keperluan manusia dan memudahkan mereka memenuhi kepentingan bersama tanpa memudaratkan diri sendiri atau orang lain. Ini kerana berkemungkinan ada pihak yang memiliki tanah dan tanaman tetapi tidak mempunyai keupayaan untuk menjaga dan memanfaatkannya. Sementara itu, pihak lain pula mungkin tidak mempunyai tanah, tanaman atau ternakan tetapi mempunyai keupayaan fizikal dan kepakaran dalam menjaga dan menyuburkan tanaman.
Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata: Terdapat ramai orang yang memiliki tanaman tetapi mereka tidak mampu mengusahakannya sama ada tiada kemahiran atau kekangan tertentu. Namun, dalam masa yang sama adanya orang yang mempunyai kemahiran dan kemampuan untuk mengusahakan tanaman sehingga dapat menuai hasil, tetapi mereka tidak memiliki tanaman. Oleh itu, pemilik tanaman dan orang yang mempunyai kemampuan untuk mengusahakan memerlukan antara satu sama lain. Justeru, akad musaqah ini diharuskan bagi memenuhi keperluan urusan manusia. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/246)
Rukun-rukun Musaqah
Terdapat enam rukun dalam kontrak musaqah iaitu:
- Pertama: Pemilik
- Kedua: Pengusaha
- Ketiga: Sighah (lafaz kontrak)
- Keempat: Subjek
- Kelima: Kerja
- Keenam: Hasil
Selain itu, dalam kitab Manar al-Sabil (1/407) dinyatakan: “Adalah dibenarkan memberikan binatang ternakan atau lebah atau seumpamanya kepada orang yang menjaganya dalam jangka masa tertentu sebagai ganjaran sebahagiannya dengan jelas. Imam al-Bukhari menyebutkan dalam kitab Sahihnya, dan Ma’mar mengatakan:
لَا بَأْسَ أَنْ تَكُونَ الْمَاشِيَةُ عَلَى الثُّلُثِ وَالرُّبُعِ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى
Maksudnya: Tidak mengapa jika ternakan diberikan sepertiga atau seperempat kepada orang lain untuk jangka waktu yang ditetapkan. (Lihat Sahih al-Bukhari, 3/104)
Dan hasil ternakan adalah milik kedua-duanya, iaitu milik pemberi dan penerima berdasarkan hak milik mereka, kerana hasil ternakan itu terjadi disebabkan oleh kerja mereka. Tidak sah pemberian itu kecuali jika hasil itu seperti emas, anak kambing, bulu dan madu. Hal ini bermaksud tidak sah untuk dapatkan hasil itu tanpa melakukan kerja-kerja ternakan. Dan pekerja berhak mendapatkan upah yang setara kerana dia memberikan manfaatnya sebagai ganti balasan yang tidak diserahkan kepadanya. (Lihat Manar al-Sabil, 1/407)
Jika perjanjian dilakukan bahawa penternak bertanggungjawab atas pemeliharaan dan perawatan, dan dia akan mendapatkan separuh binatang ternakan atau separuh harga jika dijual, maka hal ini dibenarkan.
Justeru dalam isu ini, pawah yang disebutkan adalah bahawa pemilik ternakan akan mendapatkan modalnya iaitu harga asal ternakan tersebut kemudian keuntungan daripada pertumbuhan ternakan akan dibahagikan bersama dengan perntenak, dengan penambahan harga dan nilai, serta hasilnya.
Dinyatakan dalam kitab al-Furu’: “Diriwayatkan daripada Imam Ahmad bahawa beliau membenarkan memberikan binatang ternakannya atau kurma-kurmanya kepada orang yang menjaganya sebagai ganjaran sebahagian daripada pertumbuhannya dan ternakannya. Dan pendapat ini dipilih oleh syeikh kami, dan mazhab kami iaitu, Tidak boleh memberikan hasil tanpa dilakukan kerjanya, kerana pertumbuhannya diperoleh tanpa kerjanya sendiri. Namun, diperbolehkan memberikan sebahagian daripadanya untuk jangka waktu yang ditentukan, dan hasil ternakannya itu adalah kepunyaan mereka berdua.” (Lihat al-Furu’, 4/395)
Ibn al-Qayyim berkata: “Demikian juga, seseorang boleh memberikan ternakannya seperti lembu, kambing, atau unta kepada orang lain untuk diuruskan, dan hasil susu serta keturunannya dikongsi antara mereka… Semua ini merupakan bentuk perkongsian yang sah yang diperbolehkan berdasarkan dalil-dalil nas, qiyas, ijma’ para sahabat, dan kepentingan dan maslahah umum. (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 4/15).
Beliau berkata lagi: “Mereka yang melarang amalan perkongsian hasil tersebut kerana mereka menganggap semua itu sebagai bentuk sewa dan balasan dalam bentuk sewa adalah tidak pasti, maka akadnya itu tidak sah. Yang sahih adalah bahawa semua itu dibenarkan, dan itu adalah hasil daripada prinsip-prinsip asas syariah dan hukumnya. Ini adalah bentuk perkongsian di mana pekerja menjadi rakan kepada pemilik, seorang memberikan modal dan yang lain memberikan kerja. Apa yang Allah berikan adalah di antara mereka berdua. Menurut sekumpulan dalam kalangan kami, ini lebih utama daripada sewa. Syeikh al-Islam berkata: “Perkongsian ini lebih halal daripada sewa kerana penyewa memberikan wangnya dan mungkin mencapai tujuannya, atau mungkin tidak. Jadi, pemilik mendapat wang dan penyewa berada dalam risiko, kerana ia mungkin menyempurnakan hasilnya dan mungkin juga tidak menyempurnakan hasilnya. Ini berbeza dengan perkongsian hasil di mana kedua-dua yang berkongsi itu sama-sama mendapat keuntungan atau tidak mendapatnya. Jika Allah memberikan keuntungan, maka keuntungan itu dikongsi di antara mereka berdua. Jika Allah menghalangnya, maka keduanya sama-sama terhalang daripadanya. Dan inilah keadilan yang sempurna.
Syariat tidak datang dengan menghalalkan sewa dan mengharamkan perkongsian ini. Nabi SAW mengizinkan mudharabah (bentuk perkongsian) sebagaimana yang berlaku sebelum Islam. Sahabat-sahabat baginda SAW terlibat dalam bentuk amalan ini semasa hidup dan setelah baginda wafat. Umat pun bersepakat mengenainya. Kota Khaibar diserahkan kepada orang Yahudi untuk dikelolanya dan ditanaminya dengan setengah daripada hasil buah-buahan atau tanaman sebagai imbalannya, dan ini tidak dimansuhkan, tidak dilarang, dan tidak dihalangi oleh para Khulafa’ al-Rasyidin dan para sahabat setelah mereka. Bahkan, mereka melakukannya dengan tanah dan harta mereka, memberikannya kepada mereka yang mengelolanya dengan memberikan sebahagian daripada apa yang dihasilkan, sementara mereka sendiri sibuk dengan berjihad dan urusan lainnya. Tidak ada yang melarangnya kecuali dalam hal-hal yang dilarang oleh Nabi SAW. (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 4/15).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum pawah lembu dan selainnya adalah diharuskan dalam syara’ sebagaimana perbahasan yang kami kemukakan di atas. Justeru amalan pawah lembu, ternakan atau tanaman boleh dilakukan dengan beberapa cara, antaranya:
- Pemilik bersetuju bahawa penternak akan mendapatkan separuh daripada binatang ternakan yang dibiaknya.
- Pemilik bersetuju bahawa penternak hanya akan mendapatkan separuh hasil sahaja, manakala ternakan asal itu kekal menjadi milik pemilik tersebut.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kecik-kecik dulu selalu dengar orang kampung sebut lembu pawah.
BalasPadamOooo begini rupanya hukumnya. Tq for sharing Syaz.
Terima kasih atas perkongsian. Baru tahu apa tu pawah bila baca entri ni.
BalasPadamTerima kasih atas perkongsian yg bermanafaat ini, SR.
BalasPadamOh.... good info! TQ share
BalasPadamdibolehkan janji cukup syaratnya kan.... dapat juga membantu meningkatkan ekonomi jugak kan...
BalasPadamSetiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di blogsyaznirahim@gmail.com :)
Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at blogsyaznirahim@gmail.com :)
Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.
What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.
Disclaimer: Unauthorized Use of Photos
All photos on this blog are the exclusive property of syaznirahim.com. These images may not be downloaded, copied, reproduced, or used in any form without prior written permission from the owner. Unauthorized use of these photos is strictly prohibited and may result in legal action. If you wish to use any of the photos, please contact me for permission and licensing terms. Thank you for respecting our rights and the privacy of the individuals depicted.
Penafian: Penggunaan Foto Tanpa Kebenaran
Semua foto di blog ini adalah hak milik eksklusif syaznirahim.com. Imej-imej ini tidak boleh dimuat turun, disalin, dihasilkan semula, atau digunakan dalam apa-apa bentuk tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik. Penggunaan foto-foto ini tanpa kebenaran adalah dilarang keras dan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang. Jika anda ingin menggunakan mana-mana foto, sila hubungi saya untuk mendapatkan kebenaran dan syarat pelesenan. Terima kasih kerana menghormati hak kami dan privasi individu yang digambarkan.