Gambar Hiasan |
Walaupun syarat sah akikah dan korban adalah sama, tetapi terdapat beberapa perbezaan di antara keduanya sebagaimana berikut:
Pertama: Daging akikah sunat disedekahkan sesudah dimasak, sebagaimana dalam majlis-majlis kenduri yang lain. Ia tidak disedekahkan secara mentah, sebagaimana daging korban.
Walau bagaimanapun, para ulama berbeza pendapat berkenaan masakan yang dimasak kepada dua pendapat. Pendapat pertama, daging akikah sunat dimasak dengan masakan yang manis supaya akhlak anak yang diakikahkan itu mulia. Inilah pendapat yang paling sahih lagi masyhur dan pendapat yang diputuskan oleh pengarang al-Muhazzab dan jumhur. Sesungguhnya telah sabit dalam hadith sahih bahawa:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ الحَلْوى، ويُحِبُّ العَسَلَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menyukai manisan dan Baginda juga menyukai madu.”
Riwayat al-Bukhari (5268) dan Muslim dengan sedikit perbezaan lafaz (1474)
Manakala pendapat kedua, daging akikah sunat dimasak dengan masakan yang masam. al-Baghawi telah menukilkan pendapat ini daripada nas Imam al-Syafi‘i. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
نِعْمَ الْإِدَامُ الْخَلُّ
Maksudnya: “Sebaik-baik kuah ialah cuka.”
Riwayat Muslim (2052), Abu Dawud (3820), al-Tirmizi (1839), al-Nasa’i (3796) dan Ahmad (15191).
Namun, jika daging akikah tetap dimasak dengan masakan yang masam, adakah ia dihukumkan sebagai makruh? Terdapat dua pendapat dalam hal ini sebagaimana dinukilkan oleh al-Rafi‘i. Pendapat yang sahih ialah ia tidak dihukumkan sebagai makruh kerana tiada dalil yang melarangnya.
Kemudian, afdhalnya pula masakan itu disedekahkan kepada orang miskin dan dihantar ke rumah mereka berbanding mengajak mereka datang. Sekiranya diajak hanya suatu kaum kepadanya, maka ia dibolehkan. Begitu juga jika sebahagiannya (akikah itu) dibezakan, lalu diajak sebahagian orang untuk pergi ke sebahagian akikah itu, maka ia juga dibolehkan. Begitu juga harus untuk mengkhususkan orang-orang kaya dengannya. Di samping itu, masakan itu juga sunat untuk dimakan dan dihadiahkan sebahagiannya oleh orang yang berakikah.
Kedua: Seberapa yang boleh, tulang binatang akikah sunat tidak dikerat-kerat dan dipecahkan serta dipatahkan. Ia dipotong pada sendi-sendinya sahaja. Namun, jika tulangnya tetap dipecahkan atau dipatahkan, maka perkara itu menyalahi yang lebih utama (khilaf aula).
Ibn al-Qayyim menyatakan dalam Tuhfah al-Maudud bi Ahkam al-Maulud berkenaan perkara ini dengan menyebutkan hadith di mana Nabi SAW memerintahkan pembahagian daging yang diakikahkan untuk Hasan dan Husain, sabdanya:
أَنِ ابْعَثُوا إِلَى القَابِلَةِ مِنْهَا بِرِجلٍ، وَكُلُوا وَأَطْعِمُوا، وَلَا تُكْسِرُوا مِنْهَا عَظْمًا
Maksudnya: “Kirimkanlah kepada bidan kakinya, makan dan beri makanlah kepada orang ramai. Jangan kamu memecahkan tulangnya.”
Ibn Juraih meriwayatkan daripada ‘Ata’ bahawa haiwan akikah hendaklah dipotong mengikut anggota sendinya dan tidak boleh dipecahkan serta dipatahkan tulangnya. Begitu juga riwayat Ibn Munzir daripada Aisyah R.Anha. Mudah-mudahan, anggota anak yang diakikahkan itu selamat.
Hikmah larangan mematahkan tulang, di antaranya:
- Menunjukkan kemuliaan makanan atau pengorbanan ini terhadap jiwa fakir-fakir serta jiran-jiran dengan menghidangkan ketulan-ketulan yang lengkap serta besar yang tidak dipatahkan suatu tulang pun daripada tulang-tulangnya dan tidak meluakkan sedikit daripada anggotanya. Tindakan ini tidak syak lagi memberi kesan yang baik dan mendalam. Ia merupakan suatu tanda yang amat jelas tentang kemurahan hati dan sifat pemberi dalam jiwa penerimanya.
- Perbuatan tidak mematahkan tulang sebagai tanda optimis bagi keselamatan anggota-anggota anak yang baru dilahirkan, kesihatan serta kekuatannya, memandangkan sebagai korban bagi anak yang baru dilahirkan.
Ketiga: Kaki binatang akikah sunat dihadiahkan kepada bidan tanpa dimasak. Hal ini sebagai mengikut perbuatan Fatimah R.Anha atas suruhan Rasulullah SAW. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ali RA bahawa Rasulullah SAW memerintahkan Fatimah dengan sabdanya:
زِنِي شَعْرَ الْحُسَيْنِ وَتَصَدَّقِي بِوَزْنِهِ فِضَّةً وَأَعْطَى الْقَابِلَةَ رِجْلَ الْعَقِيقَةِ
Maksudnya: “Timbanglah rambut al-Husain dan sedekahkanlah ia berdasarkan beratnya dengan nilai perak, serta berikanlah kaki haiwan akikah kepada bidan.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4896) dan beliau menilai sanadnya sebagai sahih dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19298).
Begitu juga Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitabnya, al-Rafi‘i menukilkan bahawa disunatkan untuk memberi kepada bidan kaki haiwan akikah. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith yang terdapat dalam sunan al-Baihaqi daripada Ali RA seperti mana hadith yang telah disebutkan di atas dan ia diriwayatkan secara mauquf ke atas Ali RA.
(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/59-60; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/430-431; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/495; Tuhfah al-Maudud bi Ahkam al-Maulud, hlm. 111-114).
Setiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di blogsyaznirahim@gmail.com :)
Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at blogsyaznirahim@gmail.com :)
Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.
What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.
Disclaimer: Unauthorized Use of Photos
All photos on this blog are the exclusive property of syaznirahim.com. These images may not be downloaded, copied, reproduced, or used in any form without prior written permission from the owner. Unauthorized use of these photos is strictly prohibited and may result in legal action. If you wish to use any of the photos, please contact me for permission and licensing terms. Thank you for respecting our rights and the privacy of the individuals depicted.
Penafian: Penggunaan Foto Tanpa Kebenaran
Semua foto di blog ini adalah hak milik eksklusif syaznirahim.com. Imej-imej ini tidak boleh dimuat turun, disalin, dihasilkan semula, atau digunakan dalam apa-apa bentuk tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik. Penggunaan foto-foto ini tanpa kebenaran adalah dilarang keras dan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang. Jika anda ingin menggunakan mana-mana foto, sila hubungi saya untuk mendapatkan kebenaran dan syarat pelesenan. Terima kasih kerana menghormati hak kami dan privasi individu yang digambarkan.