Ha, berdasarkan tajuk tu, macam mana pula SR boleh ada di Ai-CHA Kuala Lipis? Sedangkan SR tak ada saudara-mara pun dekat Kuala Lipis. Kami bukan datang bercuti atau berjalan-jalan di daerah ni. Malah, Ai-CHA Kuala Lipis tu bukannya betul-betul berada di tepi jalan utama yang kami lalu.
Jadi, macam mana boleh tiba-tiba tersesat sampai ke sini? Kisahnya... agak sadis. Hahaha.
Tayar Pancit Dalam Perjalanan Balik Kelantan
Hari tu kami dalam perjalanan dari Kajang nak balik ke kampung Zaimi di Wakaf Bharu, Kelantan. Perjalanan memang masih jauh. Sesampainya kami berhampiran simpang masuk ke Kuala Lipis, kami mula perasan macam ada bunyi pelik pada tayar kereta.
Mula-mula macam tertanya-tanya juga, bunyi apa pula tu? Long story short, kami buat keputusan untuk berhenti di tepi jalan dan periksa kereta.
Nooooo! Terkejut beruk SR dengan Zaimi bila tengok tayar depan sebelah kanan dah flat habis. Kempis! Memang cuak bila fikir balik. Mujurlah kami sempat berhenti dan kereta masih dapat dikawal dengan baik. Tak terbabas, tak berlaku kemalangan dan kami semua selamat. Syukur Alhamdulillah, Allah masih melindungi perjalanan kami.
Operasi Tukar Tayar Tepi Jalan
Maka bermulalah operasi tukar tayar.
Zaimi, Adam dan Amir bersusah payah buka tayar yang pancit tu dan gantikan dengan tayar spare. SR? Jadi pemerhati profesional sambil risau-risaukan keadaan bersama-sama Ayu. Hahaha...
| Amir pun sama membantu tukar tayar |
Rata-rata kedai tayar yang kami cari semuanya tutup. Telefon kedai sana, tutup. Telefon kedai sini, tutup. Cuba main terjah, pun tutup. Kami cari kedai tayar berdekatan melalui Google dan telefon satu per satu. Nasib baik semuanya jawab telefon. Terima kasih banyak-banyak sebab angkat panggilan walaupun tengah cuti! Malangnya, jawapan yang diterima tetap sama.
"Tutup."
Akhirnya kami dah mula reda. Dengan tayar spare terpasang dan perjalanan ke Kelantan masih jauh, memang risau juga sebenarnya. Tapi nak buat macam mana kalau semua kedai tutup? Kami pun bercadang nak cari tempat duduk dan minum dulu sebab kepala dah berdenyut, stres pun dah bertandang. Sekali... Eh!
Jumpa Tayaria Kuala Lipis yang Buka!
Tiba-tiba nampak sebuah kedai Tayaria yang BUKA! SR rasa macam nak gosok mata berkali-kali. Betul ke buka ni? Risau juga kot-kot ada hantu mengusik. Kedai sebenarnya tutup tapi dia bagi kita nampak macam buka. Hahahaha!
Tapi memang betul kedai tu buka. Lega bukan main. Terus kami masuk dan buat keputusan untuk tukar kedua-dua tayar depan. Tayar yang bermasalah tu sebenarnya pernah ditampal sebelum ni. Jadi daripada tampal lagi dan SR terus rasa tak sedap hati sepanjang perjalanan jauh, baiklah tukar terus.
Kami ambil dua biji tayar jenama GT Radial, sekali dengan alignment dan balancing. Sebelum ni SR pakai Tayar Goodyear. Tapi dah tak ada dan memang sangat perlukan tayar baru, ons ajelah. Jumlah semuanya...
RM636. Aduhhhh. Menangis di bucu kerusi mengenangkan duit yang terbang begitu sahaja. Tapi bila melibatkan tayar dan keselamatan keluarga, memang tak boleh nak berkira sangat. Lagipun perjalanan kami dari Kuala Lipis ke Wakaf Bharu masih jauh.
Nasib baik juga sebelum ni SR ada tergerak hati buat tabung servis kenderaan dalam MAE. Jadi bila berlaku perkara kecemasan macam ni, sekurang-kurangnya ada duit yang memang dah diperuntukkan untuk kereta. Nampaknya tabung tu memang berguna betul.
Sementara Tunggu Tayar Siap, Jom Ai-CHA Kuala Lipis
Sementara pekerja Tayaria siapkan kereta, SR ajak Adam, Amir dan Ayu berjalan kaki ke Ai-CHA Kuala Lipis yang nampak dari kedai tayar tu. Ha, akhirnya sampai juga jawapan kenapa kami tiba-tiba boleh berada di Ai-CHA Kuala Lipis!
Walaupun nampak dekat, boleh tahan juga berpeluh kepala masing-masing berjalan ke sana. Cuaca Malaysia kan. Jarak nampak macam sekangkang kera, tapi bila berjalan tengah panas, terasa macam ekspedisi kecil pula. Humang aih...
| Ai-CHA Kuala Lipis |
Sampai sahaja, SR terus perasan outlet Ai-CHA Kuala Lipis ni cantik juga. Rasanya outlet ni masih agak baru sebab banyak belon-belon, meja kerusi pun masih cantik berseri. Lokasinya berhadapan dengan Eco-Shop, jadi senang juga nak nampak kalau berada di kawasan tu. Masa kami sampai, ramai juga pelanggan tengah beratur. Mujurlah masih ada meja kosong.
Apa lagi, cop meja dulu!
Belanja Adam dan Amir Sebab Tolong Tukar Tayar
SR belanja sahaja apa yang Adam dan Amir nak minum atau makan di Ai-CHA. Diorang dah bersusah payah membantu Zaimi menguruskan tayar pancit di tepi jalan tadi. Anggaplah ni upah kecil untuk tenaga yang dicurahkan. Hehehe.
Lepas semua dah dapat makanan dan minuman masing-masing, duduklah kami di Ai-CHA sambil melepaskan penat. Masing-masing pegang telefon. Nak berborak pun dah tak larat. Perjalanan dari Kajang dah memenatkan. Kemudian kena pula episod tayar pancit. Lepas tu fikir perjalanan dari Kuala Lipis ke Wakaf Bharu, Kelantan masih jauh lagi... *Yawn*
Jadi masing-masing senyap sambil recharge tenaga dan tunggu kereta siap. Zaimi punya pun dah ada kami belikan secawan, sekejap lagi bolehlah dia minum Milk Tea dia.
Lepas Ai-CHA, Isi Perut Pula
Bila urusan tukar tayar di Tayaria dah selesai, kami kembali ke kereta. Tapi sebelum sambung perjalanan ke Kelantan, kami singgah pula di Alif Maju, kedai yang sebelah aje dengan Ai-CHA tadi. Tak kuasa nak teruskan perjalanan jauh dengan perut kosong selepas segala drama tayar pancit tadi.
Dan begitulah alkisahnya... Daripada sekadar perjalanan biasa dari Kajang nak balik kampung di Kelantan, tiba-tiba tayar pancit berhampiran Kuala Lipis, tercari-cari kedai tayar yang buka pada cuti Merdeka, terpaksa tukar dua biji tayar dan akhirnya boleh pula melepak di Ai-CHA Kuala Lipis. Kadang-kadang tempat yang kita langsung tak rancang nak singgah tu lah yang akhirnya masuk dalam cerita perjalanan kita. Kalau tayar tak pancit hari tu, memang entah bila SR nak sampai ke Ai-CHA Kuala Lipis.
Cuma kalau boleh... Lain kali biarlah singgah sebab memang nak minum Ai-CHA. Bukan sebab tayar pancit lagi. Hahahaha!
Korang dah check ke tayar kereta? Bila akhir tukar?

Setiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di blogsyaznirahim@gmail.com :)
Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at blogsyaznirahim@gmail.com :)
Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.
What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.
Disclaimer: Unauthorized Use of Photos
All personal and family photos on this blog are the exclusive property of syaznirahim.com. These images may not be downloaded, copied, reproduced, or used in any form without prior written permission from the owner. Unauthorized use of these photos is strictly prohibited and may result in legal action. If you wish to use any of the photos, please contact me for permission and licensing terms. Thank you for respecting our rights and the privacy of the individuals depicted.
Penafian: Penggunaan Foto Tanpa Kebenaran
Semua foto peribadi dan keluarga di blog ini adalah hak milik eksklusif syaznirahim.com. Imej-imej ini tidak boleh dimuat turun, disalin, dihasilkan semula, atau digunakan dalam apa-apa bentuk tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik. Penggunaan foto-foto ini tanpa kebenaran adalah dilarang keras dan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang. Jika anda ingin menggunakan mana-mana foto, sila hubungi saya untuk mendapatkan kebenaran dan syarat pelesenan. Terima kasih kerana menghormati hak kami dan privasi individu yang digambarkan.