Tips Mengawal Marah Menurut Mufti

 

Seseorang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah.


Assalamualaikum. Bolehkah berikan beberapa tips dan nasihat untuk saya mengawal sikap panas baran saya?

Jawapan:

Bismillah, Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang meninggalkan kita di atas agama yang suci ini, seterusnya buat ahli keluarga baginda, isteri-isteri baginda, serta mereka yang berpegang dengan ajaran baginda hingga hari akhirat.

 

Marah Satu Perasaan Alami

Marah merupakan satu perasaan yang wujud secara semulajadi dalam diri setiap manusia. Ia juga satu ekspresi yang muncul kadangkala secara spontan tatkala kita disakiti, dizalimi atau menghadapi sebarang masalah. Nabi SAW sendiri pernah berasa marah dalam beberapa keadaan, antaranya peristiwa Usamah bin Zaid yang pernah membunuh seorang musuh di medan perang, meskipun dia telah mengucapkan syahadah. Nabi SAW berkata kepada beliau:

أَقَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَقَتَلْتَهُ ‏‏.‏ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّمَا قَالَهَا خَوْفًا مِنَ السِّلاَحِ ‏.‏ قَالَ ‏"‏ أَفَلاَ شَقَقْتَ عَنْ قَلْبِهِ حَتَّى تَعْلَمَ أَقَالَهَا أَمْ لاَ

Maksudnya: Apakah kamu membunuhnya sedangkan dia telah mengucapkan La ilaha illa Allah? Usamah menjawab: Dia hanya mengucapkannya kerana takut dibunuh. Nabi SAW membalas: Apakah kamu telah membelah hatinya untuk mengetahui samada dia benar-benar beriman ataupun tidak?

Sahih Muslim (96)

Diriwatkan oleh Imam Tirmizi satu hadith marfu’, yang menyifatkan sifat marah Nabi SAW:

لا تُغْضِبُهُ الدُّنْيَا ، وَلا مَا كَانَ لَهَا ، فَإِذَا تُعُدِّيَ الْحَقُّ , لَمْ يَقُمْ لِغَضَبِهِ شَيْءٌ , حَتَّى يَنْتَصِرَ لَهُ ، وَلا يَغْضَبُ لِنَفْسِهِ ، وَلا يَنْتَصِرُ لَهَا

Maksudnya: Perkara keduniaan tidak membuat Nabi marah. Adapun jika menyanggahi kebenaran, tiada apapun yang mampu berdepan Baginda, sehingga Baginda memenangkan kebenaran itu. Nabi juga tidak marah jika ia melibatkan urusan peribadi Baginda, dan tidak berusaha untuk memenangkan diri Baginda.

Al-Syama’il Al-Muhammadiyah (218)

Menahan Amarah

Menahan amarah dan mengawalnya merupakan satu sikap yang amat terpuji dan dituntut. Allah SWT telah berfirman dalam al-Qur’an, tatkala menyifatkan beberapa ciri orang yang bertaqwa:

الذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ

Maksudnya: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.

Surah Ali ‘Imran (134)

Allah SWT juga menyifatkan antara ciri orang yang beriman dan bertawakkal kepada-Nya:

وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ

Maksudnya: ...dan apabila mereka marah, mereka segera memaafkan.

Surah al-Syu’ara’ (37)

Dalam satu hadith yang masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

أَنَّ رَجُلاً، قَالَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَوْصِنِي‏.‏ قَالَ ‏"‏ لاَ تَغْضَبْ ‏"‏‏.‏ فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ ‏"‏ لاَ تَغْضَبْ ‏

Maksudnya: Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW, dan Nabi bersabda: Janganlah kamu menuruti amarah. Dia mengulangi pertanyaannya, dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali.

Sahih al-Bukhari (6116)

Nabi SAW juga pernah bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

Maksudnya: Seorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti; seorang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah.

Sahih al-Bukhari (6114) dan Sahih Muslim (2609)

Nabi SAW dalam sabda Baginda yang lain pula menyebut:

إنَّ اللَّهَ لَمَّا قَضَى الْخَلْقَ كَتَبَ عِنْدَهُ فَوْقَ عَرْشِهِ إِنَّ رَحْمَتِي سَبَقَتْ غَضَبِي

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT sewaktu selesai dengan urusan penciptaan-Nya, telah menulis pada ‘Arasy-Nya: Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemarahan-Ku.

Sahih al-Bukhari (7422) dan Sahih Muslim (2751)

Titipan Pesanan Nabi SAW dalam Mengawal Kemarahan

Terdapat beberapa pesanan yang Baginda SAW titipkan kepada kita sewaktu kita sedang marah, antaranya ialah:

  1. Duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلاَّ فَلْيَضْطَجِعْ

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.

Sunan Abi Daud (4782)

  1. Mengambil wudhu

إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya: Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada apI, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwudhu.

Sunan Abi Daud (4784)

  1. Mengelak daripada Membuat Sebarang Keputusan Besar

لاَ يَحْكُمْ أَحَدٌ بَيْنَ اثْنَيْنِ وَهُوَ غَضْبَانُ

Maksudnya: Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah.

Sahih Muslim (1717)

Mafhum hadith ini juga tidak seharusnya disempitkan kepada bab penghakiman seorang hakim sahaja, tapi seharusnya terpakai dalam keadaan-keadaan lain yang memerlukan penetapan keputusan yang kritikal, terutamanya jika melibatkan urusan orang ramai. Ambil sedikit masa untuk menenangkan diri sebelum mengambil sebarang keputusan.

  1. Diam

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.

Al-Adab al-Mufrad (245)

Berdiam diri sewaktu marah adalah lebih baik, kerana dalam keadaan marah, perkataan-perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain dan mungkin memberi ancaman kepada diri sendiri.

Kesimpulan

Meskipun ia secara umumnya dianggap sebagai satu perasaan dan ekspresi yang negatif, namun dalam beberapa keadaan, rasa amarah itu dibenarkan oleh syarak. Contohnya, rasa marah apabila agama Islam dihina atau marah apabila berlakunya kezaliman dan penindasan ke atas golongan yang lemah. Namun rasa amarah itu tetap perlu dikawal dan disalurkan melalui jalan yang betul, dan tidak membiarkan rasa marah itu menguasai diri hingga membawa kepada tindakan-tindakan diluar batasan syarak.

Pesanan-pesanan Baginda Nabi SAW yang kami nukilkan di atas wajar dijadikan pedoman dalam mengubati sikap panas baran dan mengawal rasa marah agar ia tidak menghilangkan pedoman dan akal waras seseorang.

Wallahu a’lam.

SUMBER


Post a Comment

4 Comments

  1. Bulan posa ni elok kurang2 kan marah...

    ReplyDelete
  2. bila rasa nk marah . lebih baik nerdiam diri kan , bg tenang-tenang

    ReplyDelete
  3. SA hari tu masa fridge rosak..puas menahan marah...geram betul...lepas tu fikir puasa...terus naik atas pasang ekon and cool down...dah pukul 6.45pm baru SA turun bawah...

    ReplyDelete

Setiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di syaznirahim@gmail.com :)

Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at syaznirahim@gmail.com :)

Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.

What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.