Bolehkah Solat Jamak dan Qasar Ketika di Kampung Ibu Bapa?

 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dan suami bekerja dan menyewa di sebuah rumah di kawasan Cheras, Kuala Lumpur. Adakah saya dibolehkan qasar dan jamak, jika saya pulang berhari raya ke kampung ibu bapa di Perlis dalam tempoh tiga hari tidak termasuk hari masuk dan hari keluar. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Walaupun puan hanya menyewa di kawasan Cheras, tetapi puan dianggap sebagai mukim di situ kerana puan mencari rezeki dan menetap bersama suami di situ dalam tempoh dan masa yang panjang. Apabila puan pulang ke kampung halaman di Perlis dan kurang daripada 3 hari, maka puan boleh melakukan qasar dan jamak kerana masih menganggap sebagai musafir dan menziarahi ibu bapa. 

Kami nyatakan hal ini dengan sebuah hadith al-Ala` bin al-Hadhrami RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ لِلْمُهَاجِرِ بَعْدَ الصَّدَرِ

Maksudnya: “Tiga hari bagi orang Muhajirin (boleh menetap di Makkah) selepas al-sadar (yakni selesai manasik Haji).”

                                                                              Riwayat al-Bukhari (3933) dan Muslim (1352)

Justeru, saya katakan puan dan suami boleh melaksanakan solat jamak dan qasar dalam perjalanan dan ketika berada di Perlis selama tiga hari. Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (41-42)

SUMBER

Post a Comment

5 Comments

Setiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di syaznirahim@gmail.com :)

Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at syaznirahim@gmail.com :)

Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.

What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.