Orang Islam Boleh Makan Burung Unta Tak?

 Assalamualaikum wbt


Adam bersama burung unta di Nabila Agro Farm

SR ada buat satu post tentang pengalaman kami sekeluarga ke Nabila Agro Farm pada awal 2023 ni. Masa kami ke sana, SR ingatlah yang anak SR ada tanya yang burung unta tu sebenarnya boleh dimakan ke? 

SR rasa boleh, sebab macam pernah aje nampak burger ostrich semua tu kan. Tapi SR carilah juga bahan bacaan yang lebih reliable untuk SR rujuk. Baru-baru ni SR ada terbaca lagi di Maktabah Al- Bakri, SR punya fav bacaan berkaitan agama.

Ada dikupas juga tentang hukum makan burung unta. SR kongsikan juga pada semua ya.

+++

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum memakan burung unta? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صَافَّاتٍ وَيَقْبِضْنَ ۚ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحْمَٰنُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Mulk: 19)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan bahawa ayat ini mengandungi teguran dan dorongan untuk memperhatikan keadaan burung yang ditundukkan Allah SWT serta Allah menundukkan udara dan angin untuknya. Burung mengepakkan sayapnya untuk terbang dan menjaganya agar tidak jatuh ke tanah. Burung tetap bertasbih ketika berada di udara dan mengulang-ulangnya sesuai dengan kehendak dan keperluannya. Tidak ada yang dapat menahannya di udara selain Allah SWT kerana Dia-lah yang menundukkan langit bagi burung dan menjadikan tubuh badannya dalam bentuk yang boleh membuatkannya terbang. Justeru, sesiapa pun yang memperhatikan dan merenung keadaan penciptaan burung, akan mengetahui bahawa burung itu menunjukkan kepada kekuasaan Allah Yang Maha Pencipta serta pengawasan-Nya. Hanya Dia semata-mata Tuhan yang berhak disembah. Dia-lah yang mengatur para hamba-Nya dengan segala sesuatu yang sesuai bagi mereka sebagaimana tuntutan hikmah-Nya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/877).

Burung unta

Burung unta merupakan burung terbesar yang masih hidup. Dengan ketinggian sehingga 2.5 meter (8 kaki), ia cukup besar untuk seseorang dewasa berbadan kecil menunggang mereka dan telah digunakan disesebahagian Afrika Utara dan Arab sebagai tunggangan lumba. Burung ini tidak boleh terbang dan termasuk dalam kumpulan primitif yang kurang dikenali, iaitu ratit (Palaeognaths). Nama sainsnya Struthio camelus.

Burung unta berasal dari savana dan separa-gurun Afrika di utara dan selatan zon hutan khatulistiwa. Spesies yang terdapat di Timur Tengah, yakni S. c. syriacus, telah pun pupus. Ahli lain kumpulan Palaeognaths termasuk burung Rea, emu, kasuari serta burung terbesar diketahui tetapi sekarang terpupus, burung Aepyornis.

Burung unta biasanya suka memakan biji-bijian, rumput-rampai, buah-buahan dan bunga-bungaan; mereka juga memakan serangga seperti locust.[1] Mempunyai gigi yang sikit dan lemah, juga ada yang langsung tidak ada gigi, mereka kebanyakkan menelan makanan mereka bersama batu kerikil yang berfungsi sebagai gastrolith untuk menggiling makanan di rempela.

Burung unta boleh bertahan tanpa meminum air untuk beberapa hari, dengan menggunakan cecair metabolik tubuh dan kelembapan ketika menghadam tumbuhan sebagai sumber pendapatan air badan, namun mereka juga sangat menyukai air dan acap kali bermandi jika air ada di sekeliling mereka. Burung ini bersarang secara terkumpul di mana beberapa ekor burung betina akan bertelur dalam satu sarang, untuk diramkan oleh seekor betina alfa pada waktu siang dan jantan alfa pada waktu malam. Telur burung unta adalah telur terbesar.[2]

Hukum memakan burung unta

Pada asasnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya: “Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, semua burung yang mempunyai darah yang mengalir (darah merah), namun tidak memiliki kuku untuk memburu dan bukan juga kebiasaan makanannya adalah bangkai. Ini adalah seperti ayam, itik, angsa, merpati jinak, merpati liar, burung fakhitah[3] (Laughing dove), burung ‘usfur, burung qabaj (Chukar partridge), burung jenjang, burung layang-layang, burung hantu, burung dubsi,[4] burung sulsul,[5] burung bangau, burung liham[6] (flamingo), burung hudhud, burung surad (Shrike) dan kelawar.

Semua jenis burung ini adalah halal dimakan menurut ulama mazhab Hanafi. Manakala ulama mazhab Maliki pula berpendapat, semua jenis burung ini harus dimakan meskipun memakan kotoran (iaitu haiwan jallalah) mengikut pendapat masyhur dalam kalangan mereka, melainkan kelawar. Hal ini kerana menurut pendapat masyhur dalam kalangan mereka, hukum memakannya adalah makruh. Begitu juga terdapat dalam kalangan mereka yang menghukumkan sebagai makruh untuk memakan burung hudhud dan burung surad. Hal ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih, daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW melarang daripada membunuh empat binatang yang melata iaitu semut, lebah, burung hudhud dan burung surad.[7] Ada juga dalam kalangan mereka yang menghukumkan sebagai makruh untuk memakan burung layang-layang, dan sebahagian mereka mengkhususkan hukum makruh tersebut pada burung layang-layang yang bersarang di rumah sebagai menghormati orang yang tinggal bersama mereka.

Manakala ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali pula bersepakat mengenai perincian-perincian berikut pada jenis-jenis burung ini, dalam menentukan status kehalalan mereka. Mereka menyebutkan bahawa haram untuk memakan mana-mana burung yang diperintahkan untuk dibunuh, mana-mana burung dilarang daripada dibunuh, dan juga burung-burung yang dianggap jijik dan kotor, dan dibolehkan untuk memakan jenis burung yang tidak sedemikian. Akan tetapi mereka berselisih pendapat pada mengaplikasikannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/137).

Dalam menjawab soalan di atas, burung unta termasuk dalam sesuatu yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Bahkan di sana terdapat nas daripada jumhur fuqaha berkenaan keharusan memakannya.  Di antaranya, al-Sarakhsi dalam kalangan mazhab Hanafi menyatakan, diriwayatkan daripada seseorang, katanya: Ada sebahagian penduduk suatu tempat memiliki burung unta, lalu seseorang telah memukulnya dengan teruk, lalu mencampakkannya ke tempat pembuangan sampah dan ia masih lagi hidup. Maka, kami bertanya kepada Sa‘id bin Jubair dan beliau menjawab: “Sembelihlah ia dan makanlah.” Inilah juga pendapat kami kerana haiwan yang dipukul jika sempat untuk menyembelihnya (sebelum ia mati) adalah halal untuk dimakan berdasarkan kepada firman Allah SWT:

إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ

Maksudnya: “kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya).

(Surah al-Ma’idah: 3)

Hal ini juga kerana terhasilnya apa yang dimaksudkan iaitu mengalirnya darah najis (dari haiwan itu melalui sembelihan syar‘i) dan ini merupakan dalil yang mengharuskan untuk memakan burung unta. (Lihat al-Mabsut, 11/222).

Di samping itu, al-‘Imrani juga menyatakan bahawa halal untuk memakan burung unta kerana para sahabat menghukumkan padanya dengan unta (sebagai ganti) jika orang yang dalam ihram membunuhnya. Justeru, ini menunjukkan ia termasuk dalam jenis haiwan buruan. (Lihat al-Bayan, 4/505). Begitu juga Ibn Qudamah dalam al-Kafi (1/557) turut menyebutkan, diharuskan untuk memakan lembu, antelope dan burung unta kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang dianggap baik-baik. Bahkan para sahabat memutuskan ke atas orang yang berihram yang memburunya dengan gantian (unta). Demikian juga Imam al-Syafi‘i juga ada menyatakan, jika orang yang dalam ihram memburu burung unta, maka dia dikenakan fidyah (denda) dengan seekor unta. (Lihat al-Umm, 2/210).

Tambahan lagi, ketika membicarakan tentang penyembelihan yang memudahkan binatang dimatikan, mereka menyebutkan, penyembelihan hendaklah dilakukan pada lehernya jika lehernya itu pendek, dan dilakukan pada lubbah jika lehernya itu panjang seperti unta, burung unta dan angsa kerana ia lebih memudahkan keluarnya roh (iaitu lebih cepat mematikannya). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/221).

Selain daripada itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga pernah ditanya berkenaan hukum memakan burung unta. Mereka menjawab, harus untuk memakan burung unta dan tidak ada larangan dalam syarak berkenaan memakannya. Hal ini kerana burung unta termasuk dalam sesuatu yang tidak disebutkan dalam nas syarak mengenai pengharamannya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu diharuskan dan halal.[8]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa burung unta adalah halal untuk dimakan. Apatah lagi ia termasuk dalam jenis haiwan yang dianggap baik dan bukannya dianggap kotor mahupun jijik. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Bahkan al-Damiri dan Ibn Qudamah menukilkan ijma‘ berkenaan kehalalan dan keharusan memakannya. (Lihat al-Najm al-Wahhaj, 9/554; al-Mughni, 9/411).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

SUMBER

Post a Comment

13 Comments

  1. suka daging burung unta..sedap!

    ReplyDelete
  2. Tang mana nak letak pisau tu kan? 'panjang' pilihannya!

    ReplyDelete
  3. Nice sharing..SA ada nampak orang jual burger daging burung unta..so memang masa tu fikir oooo...memeng boleh makan and yes jawapan kat sini ada dah...

    ReplyDelete
  4. Terima kasih share. Rasa macam tak tertelan pulak kalau disuruh makan. hehe...

    ReplyDelete
  5. Dulu masa sekolah sempatlah Cuya merasa burger burung unta
    tapi tk ingt dah dia rasa apa...hehehe

    ReplyDelete
  6. dah makan mmg sedap cuma yg tak tahan mahal jer hahaha :D

    ReplyDelete
  7. Daging burung unta ni pernah femes satu masa dulu, masa mula2 nak komersialkan burung unta di Malaysia. Tapi harganya mahal so tak pernah try lagi.

    ReplyDelete
  8. Terima kasih atas perkongsian SR
    Belum pernah makan lagi. Burger ostrich pun tak pernah jumpa huhuuu

    ReplyDelete

Setiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di syaznirahim@gmail.com :)

Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at syaznirahim@gmail.com :)

Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.

What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.