Search This Blog

Monday, September 7, 2020

Jun | Fiksyen

 JUN




Nabil dapat melihat perempuan yang sudah 10 minit berada di bahagian tempat duduk belakang kereta sedannya sedikit resah. Macam ada yang tidak kena. Kalau diikutkan, semenjak menjadi pemandu ‘e-hailing’ sepenuh masa, Nabil memang bukan jenis pemandu yang rajin mengajak penumpang bersembang. Memang azalinya Nabil jenis berat mulut dengan orang yang tidak dikenali. Tapi, perempuan yang menjadi penumpang dia ketika ini kelihatan mencurigakan.

“Cik ok ke?”, soal Nabil memecah sunyi di dalam kereta itu. Baru Nabil sedar, dia lupa nak pasang radio.  

“Ha..? Oh ok encik, ok..”, balas perempuan itu perlahan sambil kembali membuang pandangan kosongnya ke luar tingkap. Dari cermin pandang belakang, Nabil boleh nampak perempuan itu sedang memeluk erat sebuah beg pakaian bersaiz sederhana. Entah apa yang ada dalam beg tu, peluk bukan main kuat.

Melihatkan perempuan itu juga tidak berminat meneruskan perbualan, Nabil kembali cuba untuk fokus kepada pemanduannya. Lagu OAG Generasiku berkumandang sebaik sahaja Nabil menekan punat ‘on’ di radio. Melihatkan di skrin telefon bimbitnya yang disangkutkan bersebelahan dengan stereng kereta, masa perjalanan untuk tiba ke destinasi perempuan ini ada lebih kurang 20 minit lagi.

“Err.. abang, nanti saya nak singgah dekat depan tu sekejap boleh? Sebelum kita teruskan perjalanan ke Flat Serindit tu?”, hampir termelatah Nabil apabila perempuan itu mengetuk bahunya dengan jari. Nasib baik tak terbabas, paling penting, nasib baik tak melatah! Kalau tidak, hilanglah macho aku! Ish budak ni!

“Oh nak stop sekejap ke? Boleh tu boleh, tapi janganlah lama-lama ya. Rugi trip saya nanti”, balas Nabil sambil mengurut dada yang berdegup kencang. Terperanjat aku!

“Kejap je bang, saya nak singgah hantar ‘something’ je”, dari cermin pandang belakang, mata mereka bertentang. Bulat mata perempuan itu mengharapkan Nabil bersetuju untuk singgah seketika. “Sini bang, berhenti sini”, perlahan Nabil pun memberhentikan keretanya di bahu jalan. Nabil membongkokkan sedikit badannya untuk melihat ke luar, ke arah rumah flat yang setinggi lima atau enam tingkat yang berada di sebelah kirinya.

“Ok, lima minit je”, jawab Nabil acuh tidak acuh. “Abang..”, kedengaran halus suara perempuan itu memanggil Nabil sebaik pintu kereta dibuka. “Ya”, Nabil memalingkan muka ke arah tempat duduk penumpang di belakang. “Abang tolong jaga beg ni sementara saya nak naik atas ni sekejap ya. Tapi andai kata lepas lima minit saya tak datang balik, abang tinggalkan je beg ni atas ‘rumah api’ ni. Terima kasih abang”, perempuan itu terus tergesa-gesa pergi sebelum sempat Nabil membalas apa-apa.

Rumah api? Oh, kotak agihan TNB ni yang dipanggil rumah api oleh perempuan tu rupanya. Mata Nabil menyorot pada beg baju yang ditinggalkan atas tempat duduk belakang. Beg itu kelihatan kembung, seperti penuhnya baju disumbat di dalam beg itu. Ah tak ada kaitan dengan aku pun sebenarnya. Nabil mengambil kesempatan itu untuk membaca tweet – tweet terkini dari akaun Twitternya.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Perempuan yang meninggalkan beg baju di atas tempat duduk belakang kereta Nabil tadi masih juga tidak kunjung tiba walaupun Nabil sudah bagi ‘extra’ lagi 10 minit. Sudah 15 minit Nabil tercongok di tempat duduk pemandu. Punggung Nabil sudah mulai panas, lenguh pun ya jugak.

Nabil mendongak memandang ke deretan rumah yang ada di flat yang tersergam di hadapannya ini. Pakaian yang tersidai di ampaian berkibar-kibar ditiup angin. Nabil mendecit, jam tangan yang dipakai di tangan kiri direnung sekali lagi. Hari dah semakin lewat petang. Hai perempuan ni buat hal la pulak, ini yang aku malas nak ambil penumpang yang nak bayar ‘cash’ ni.

Sekejapan Nabil yang sudah naik angin merentap keluar beg pakaian yang ditinggalkan oleh perempuan itu, namun entah macam mana, beg itu terlepas dari pegangan nabil dan terlempar ke bahu jalan. Terkesima Nabil melihat tepung putih bertaburan keluar dari celahan zip beg itu yang sedikit terbuka ketika jatuh terhempas tadi.

Apa benda pulak tu?!

Perlahan-lahan Nabil menghampiri beg pakaian tinggalan perempuan tadi. Beg itu Nabil angkat, terasa sangat berat. Kalau diikutkan penaakulan dalam kepala Nabil, adalah dekat sepuluh kilogram beratnya beg ini. Dalam keadaan mencangkung, Nabil menarik zip beg itu untuk meninjau isi di dalamnya.

Berkerut dahi Nabil mentafsir apa benda semua bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi serbuk putih di dalamnya. Ikut congak Nabil, rasanya ada dalam lebih kurang sepuluh bungkus paket kecil. Ada satu bungkusan yang dah terkoyak, mungkin impak terhempas tadi. Nabil mendekatkan hidungnya untuk menghidu, manalah tau jika serbuk putih ini ada sebarang bau. Tapi belum sempat otak Nabil dapat meneka dengan lebih tepat isi kandungan beg pakaian tadi, bahu Nabil terasa seperti disentuh seseorang.

Kelihatan dua orang pegawai polis segak lengkap beruniform berdiri di belakang Nabil. Terkelip-kelip mata Nabil, tidak tahu nak memberi respon bagaimana. Cuma yang dia sempat fikirkan, untuk menekan punat di alat kawalan jauh keretanya agar kereta itu terkunci.

“Encik, sila ikut kami ke balai”, tekak Nabil terasa seperti menelan pasir. Wajah anak dan isteri terbayang di mata.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Nabil berteleku di depan balai polis di mana dia dibawa dengan menaiki kereta polis lewat petang semalam. Macam tak percaya apa yang dia dah lalui. Seperti mimpi. Macam drama kelakar pun ada.

Mungkin Nabil selalu menonton drama melayu yang banyak ditayangkan di kaca televisyen, Nabil dengan jelasnya terbayang senario dia dibawa dengan keadaan kepala dilitup kain hitam, menuju ke tali gantung. Terbayang isterinya Suri menangis teresak-esak sambil berpelukan dengan anak-anaknya, Bobi dan Icah. Sewaktu berada dalam perut kereta polis semalam, entah berapa kali Nabil pitam. Memikirkan betapa bodohnya dia sanggup menjadi mangsa penipuan sindiket pengedaran dadah. Teringat tentang perempuan semalam, tentang betapa ‘hampeh’ nya perempuan itu, harap muka saja cantik, tapi jahat!

Dipendekkan cerita, rupa-rupanya bungkusan-bungkusan itu semua hanyalah tepung gandum. Tepung gandum! Abang polis tu tahan Nabil sebab Nabil kelihatan mencurigakan, lebih-lebih lagi kerana Nabil berada hampir setengah jam di tepi flat itu seperti menunggu seseorang. Rupanya, ketika Nabil menunggu perempuan itu, ada dua orang pegawai polis sedang memerhatikan Nabil.

Mengenangkan itu semua, Nabil terasa kepalanya pening. Matanya dipejamkan rapat, cadangnya untuk tidur sekejap sebelum berjalan kaki ke arah keretanya yang ditinggalkan di tepi flat setinggi lima atau enam tingkat itu.

“Abang, assalamualaikum abang”, perlahan-lahan Nabil membuka matanya yang diterjah silau matahari pagi. Di hadapan Nabil kini berdirinya seorang perempuan yang Nabil masih ingat. Perempuan semalam!

“Eh kau..kau! Kau yang buat aku hadap semua ni! Kau sengaja nak ‘prank’ aku dengan tepung-tepung kau ke hah?!”, tengking Nabil. Ikutkan hatinya yang marah, mahu saja dia menampar perempuan ini, tapi dia masih ingat pesanan ibunya, jangan sesekali kasari wanita.

“Maafkan saya abang, sumpah saya tak ada niat langsung nak mengenakan abang semalam”, terketar-ketar perempuan itu menuturkan kata maaf, sambil tangannya menghulurkan not RM20 kepada Nabil sambil menolak cermin mata hitamnya rapat ke batang hidung. “Ini duit tambang yang saya tak sempat bayar semalam”.

Nabil perasan yang kelopak mata perempuan itu lebam, mungkin sebab itu dia pakai cermin mata hitam dan melabuhkan sedikit ‘shawl’ menutupi wajahnya. “Macam mana kau tau aku kat sini?”, soal Nabil. “Polis ‘call’ suruh ambil beg. Katanya mereka dapat ‘detect’ saya dari data ‘e-hailing’ abang”, balas perempuan itu. Di tangannya ada beg pakaian yang sama seperti semalam, mungkin polis telefon suruh dia datang ambil tepung-tepung dia semula agaknya, fikir Nabil di dalam hati. Amarahnya surut dan reda sedikit.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Panggil Jun je bang”, jawab perempuan itu ringkas ketika Nabil bertanyakan namanya sewaktu mereka jalan bersama-sama menuju ke kereta Nabil yang tertinggal di tepi jalan semalam. Hati Nabil terdetik untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Jun. Sepertinya, naluri Nabil tiba-tiba meluap-luap kuat ingin tahu.

“Err..Jun. Jom kita minum kat mamak tu sekejap. Saya letih, lapar pun iya jugak. Beg tepung awak ni boleh tahan beratnya”, cadang Nabil ringkas dan bersahaja. Tidaklah juga nampak terlalu beria-ia nak mengorek cerita dari Jun.

Sebaik sahaja pelayan kedai mengambil pesanan, Nabil kembali memerhatikan Jun yang seperti tidak senang duduk, kepalanya berpusing menoleh kiri dan kanan beberapa kali, seperti mencari sesuatu di kawasan sekitar. “Awak ok tak?”, soal Nabil. Jun hanya mengangguk.

“Apa cerita tepung-tepung ni?”, Nabil mula menyoal, sumpah dia benar-benar nak tahu apa sebenarnya kisah di sebalik tepung-tepung ini semua.

“Oh.. Tepung tu saya beli pukal dengan kawan. Dia dapat stok dari Kelantan, ambil dari Siam kot. Murah sikit berbanding beli dari kedai biasa kat sini”

“Awak nak buat apa tepung-tepung tu?”

“Saya dengan mak berniaga jual cekodok dan kuih-kuih lain dekat bawah Flat Serindit tu. Saya tinggal kat sana. Petang-petang kami berniaga, bolehlah bang, meniaga kecil-kecilan”, ulas Jun panjang lebar. Nabil terangguk-angguk mendengar, sambil mengoyakkan roti canai yang baru sampai di atas meja mereka. “Abang pun tau kan, sekarang ini plastik yang ada semua jenis lembik, yang ‘recyclable’ punya tu, mana tahan nak angkut tepung banyak-banyak macam ni. Itu yang saya guna beg baju je, senang”, Jun tersengih menampakkan barisan giginya yang putih tersusun.

Nabil turut tergelak kecil mendengar penerangan dari Jun. Begitu kisahnya bagaimana beg pakaian itu penuh dengan bungkusan tepung.

“Jadi semalam tu, singgah pergi rumah siapa? ‘Boyfriend’?”, Nabil cuba untuk serkap jarang. Manalah tahu mengena. Budak-budak zaman sekarang ni, lebih-lebih lagi yang ada rupa macam Jun ni, mana mungkin tak ada teman lelaki.

“Suami”, balas Jun malas sambil mengacau teh aisnya dengan straw. Tersedak Nabil yang sedang leka mengunyah roti canai tadi. Terasa nak putus nafas Nabil terbatuk-batuk, sampai ‘ane’ yang ambil pesanan tadi datang ke meja dan tolong menepuk-nepuk belakang badan Nabil. Jun yang duduk bertentangan tersengih takut-takut.

“La, isteri orang rupanya awak ni. Maaflah saya ingat awak belum kahwin, tak patut saya ajak isteri orang makan macam ni”, Nabil mengurut-urut dadanya yang sudah kembali seperti sediakala. Jun hanya tersenyum pahit.

 “Mata awak lebam tu, suami awak ke yang pukul?”, Nabil pun tidak tahu dari mana datang keberanian dia untuk bertanya soalan itu kepada Jun.

“Abang nampak ke?”, Jun seolah-olah terperanjat kerana Nabil masih boleh melihat lebam di matanya walaupun dia telah sehabis daya menyembunyikan.

“Gila tak nampak, jelas kot”, jawab Nabil sambil menepuk perlahan meja di hadapannya.

“Lebam lamalah, saya jatuh tangga hari tu”, Jun cuba berdalih. Jari telunjuk tangan kanannya menolak cermin mata hitam itu semakin rapat dengan batang hidungnya.

“Tipu. Saya ingatlah, semalam mana ada mata awak lebam”, Nabil tahu Jun sengaja mencipta cerita palsu. Dia ingat sangat keadaan mata Jun sewaktu mereka bertentang mata melalui cermin pandang belakang keretanya semalam.

“Biasalah abang, bergaduh suami isteri. Lagipun, saya ni cuma isteri kedua abang Hashim. Kahwin atas pilihan keluarga. Ayah kata, kalau saya dah kahwin, ringan sikit beban dia nak tanggung. Tapi itulah, agaknya sebab jarak umur yang jauh, abang Hashim selalu tidak sependapat dengan saya. Bila dah mula bertekak, saya dapatlah habuan saya. Biasalah tu”, Jun menyeringai selepas menerangkan panjang lebar kisah hidupnya. Entah kenapa Jun berasa tidak mengapa untuk menceritakan semua itu kepada orang asing yang dia tidak pernah jumpa sebelum ini.

“Biasa? Apa maksud awak ‘biasa’?”, Nabil menggayakan jari telunjuk dan jari hantu kedua-dua tangannya ke udara, seperti menggambarkan perkataan ‘biasa’ itu di dalam ‘inverted coma’. “Selalu ke kena pukul dengan 'what’s his face', Hisham tu?”, Nabil sambung menyoal dengan penuh rasa ingin tahu.

“Hashim”, balas Jun pendek.

“Hah, Hashim tu”, mata Nabil mencerun memandang wajah jun yang semakin menunduk.

“Betul lah, isteri kalau buat suami sakit hati, memang mendapatlah”, jawab Jun dengan suara yang tertahan-tahan. Aku ada salah cakap ke? Kenapa brother ni beria pulak ni?

“Siapa cakap??!”, keras suara Nabil kali ini.

“Abang ni kenapa? Biasalah isteri kena pukul dengan suami. Mak saya pun macam tu jugak dengan ayah saya, keluarga saya semua macam tu”, Jun menyandar ke belakang sambil berpeluk tubuh. Dari gerak badan Jun, Nabil boleh agak yang Jun masih remaja. Kasihan, Jun berada dalam keluarga yang toksik. Toksik kerana membiasakan perkara yang salah, sehingga dianggap betul dan normal.

 

“Jun, look. Untuk ‘normalized’ penderaan kepada perempuan ni, bukan benda ‘biasa’ Jun. Suami dan ayah Jun, atau mana-mana ahli keluarga Jun buat tu, salah. Maafkan saya, tapi bagi saya, benda itu semua tak patut berlaku pada awak dan mak awak Jun”, serius Nabil menuturkan kata-kata.

“Abang ni cakap bunyi macam orang masuk university lah”, Jun cuba mengalih topik perbualan.

“Look, sekarang bukan tengah cakap pasal saya, tapi awak. Mungkin sebab itulah Allah takdirkan kita berjumpa. Dan yes, saya pernah masuk university”, balas Nabil sebelum menyambung, “Awak pun sepatutnya berada di university, bukan hari-hari serah diri kena henyak dengan laki!”, Nabil mengetuk meja dengan jari telunjuk tangan kirinya.

“Abang cakap senanglah”, Jun mula berasa rimas dengan Nabil. Tapi, Jun mula terfikir ada benarnya kata-kata Nabil itu. Kawan-kawan sekolah dia dahulu semua sudah hampir tamat belajar di university. Tapi Jun? Berkahwin pada usia yang muda, sengsara.

“Keluarga abang bukanlah orang yang alim ulamak ke apa, tapi kami semua tahu bahawa wanita, perempuan, bukanlah untuk dikasari. Isteri, sepatutnya tidak dizalimi. Isteri perlu dibela, dibelai dan dijaga sebaik mungkin oleh suami, amanah Allah tu!”, rasa tidak tertelan air liur Nabil. Terbayang wajah anaknya Icah, tak sampai hati nak membayangkan anak perempuannya itu dikasari oleh lelaki! Jun hanya membatu. Tidak ada perkataan yang mampu Jun tuturkan ketika itu. Benar apa lelaki ajnabi ni cakap.

“Semalam Hashim pukul awak sebab apa?”, Nabil bertanya ingin tahu, apa berat benarkah kesalahan Jun sehingga Hashim tergamak mencederakannya.

“Sebab saya tersalah beli barang pendidikan seni anak dia, saya singgah semalam sebab nak hantar barang tu ke rumah Kak Lina, abang Hashim ada dekat sana semalam”, terang Jun naif sambil menguis mee goreng yang sejak dari tadi belum dijamah. Terasa hilang segala selera apabila Nabil mula serius membicarakan tentang hidupnya yang memang sudah sediakala malang dari dulu.

“Sekarang Hashim tu dekat mana?”, kalau diikutkan hati Nabil, mahu saja dia menjadi hero seperti Farid Kamil atau Zul Ariffin dalam drama melayu yang dia selalu tonton itu. Pergi mencari Hashim, melepaskan beberapa penerajang kerana kedayusan Hashim memukul wanita sebelum disorak-sorai oleh Jun akibat keberanian yang Nabil tunjukkan.

Namun segala bayangan Nabil menjadi hero drama melayu tadi bertukar menjadi kepulan asap apabila bahunya terasa dicuit seseorang dari belakang.

“Sial kau buat apa dengan bini aku hah!”, seraya dengan itu dunia Nabil terasa gelap seiring dengan jeritan Jun. Sedar-sedar dia sudah terlentang di lantai kedai mamak, samar-samar dia nampak Jun meronta-ronta lemah diheret pergi oleh seorang lelaki yang Nabil agak berumur dalam lingkungan 40an, berbadan besar dan tinggi.

Kasihan Jun. Kasihan juga pada aku.

 

Nabil bingkas duduk sambil menekup rahangnya yang terasa teralih akibat tumbukan padu lelaki tadi. Hashim mungkin.

Kalau aku yang lelaki ni pun macam nak pitam kena penumbuk, macam manalah dengan Jun? Ah yang pasti aku dah trauma bila ada orang sentuh bahu aku lagi selepas ini. Dari semalam jadi benda pelik-pelik bila orang pegang bahu aku!

 ++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

 “Jadi you nak buat apa sekarang?”, soal Suri sambil menuam pipi suaminya yang terbaring keletihan di atas sofa di ruang tamu rumah mereka. Dia sendiri pun masih pening nak menghadam apa yang Nabil ceritakan pada dia tadi. Patutlah tak dapat dihubungi semalaman, ingatkan Nabil tertidur dalam kereta di mana-mana. Rupanya siap kena cekup polis, dapat habuan penumbuk pula lagi.

Nabil menarik nafas dalam-dalam, hatinya masih teringatkan apalah nasib Jun lepas diheret oleh Hashim. “Entahlah Suri, I pun tak tau. Buat masa ni I cuma mengharapkan Jun ok”, Suri cuma mengangguk-angguk mengiakan kata-kata suaminya itu sambil matanya tertancap kemas pada skrin televisyen yang memapar drama melayu. Ketika itu, ‘scene’ kejar mengejar antara polis dan orang jahat, cerita apa Nabil tak pasti, tapi dia boleh nampak betapa segaknya Faizal Husin menuturkan dialognya di dalam drama itu.

Tiba-tiba, Nabil mendapat ilham.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Jangan risaulah Nabil, tahulah kami buat kerja”, Inspektor Yusof menepuk-nepuk bahu Nabil. Nabil menyengetkan badannya menjauhi tapak tangan pegawai polis yang segak bergaya itu sambil tersengih, “Maaf tuan, saya trauma dengan tepukan di bahu”. Mereka berdua ketawa serentak.

Petang semalam Nabil pergi menemui kembali pegawai polis yang menyoal siasat dirinya di balai polis lewat petang kelmarin. Sedikit sebanyak Nabil menerangkan pada Inspektor Yusof tentang kisah Jun. Pihak polis sangat menghargai laporan dari Nabil, dan berjanji akan mengambil tindakan kepada Hashim.

 +++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Malam ini, entah kenapa Nabil terasa mahu berada berhampiran dengan flat tempat tinggal isteri pertama Hashim, kebetulan ada seorang penumpang yang turun tidak jauh dari kawasan tersebut. Sebaik sahaja selesai urusan bayaran tambang, Nabil terus matikan sistem ‘ping e-hailing’ nya itu. Seperti ada yang memanggil-manggil, Nabil memandu perlahan dan meletakkan keretanya berhampiran dengan kawasan rumah flat itu.

Mata Nabil tertancap ke arah kotak agihan TNB yang mana dia menurunkan Jun beberapa hari lepas. Adakah ini cinta? Sebaik sahaja hati nakalnya menuturkan ayat itu, terus terbayang imej Suri memegang sebuah parang yang diacukan secara bergurau kepadanya. Nabil ketawa kecil, mana mungkin dia bisa menduakan perasaannya kepada Suri.

Ini bukan cinta, ini rasa tanggungjawab seorang masyarakat kepada ahli masyarakatnya yang lain. Nabil sendiri pun kadang-kadang tak faham dengan monolog hatinya ini. Kadang-kadang ‘deep’, tapi selalunya merapu.

Sedang Nabil leka melayan perasaannya seorang diri sambil menyandar di tepi kereta, matanya terpandang akan sebuah kereta yang berhenti betul-betul di tempat yang sama dia menurunkan Jun tempohari.

Bingo!

Yang turun dari kereta itu adalah Jun, sambil memikul beg pakaian yang sama. Tepung dia lah tu. Tanpa menunggu lebih lama, nombor telefon Inspektor Yusof didail oleh Nabil. Biarlah mungkin malam ini Hashim tidak berbuat apa-apa pada Jun, tapi gerak hati Nabil tetap merasakan Jun akan dibelasah lagi pada malam ini..

 +++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

 Telahan Nabil benar, sungguhlah gerak hatinya malam itu tepat. Jun sekali lagi menjadi mangsa kepada Hashim. Entah apa pula lah salah perempuan muda itu di mata Hashim. Dari jauh, Nabil menyaksikan Hashim digari dan dihumban masuk ke dalam perut kereta polis. Kelihatan Inspektor Yusof sedang bercakap sesuatu dengan Jun yang sedang dipapah oleh dua orang petugas kesihatan.

Nabil memberanikan diri menghampiri lokasi untuk menyapa Jun. Inspektor Yusof menepuk bahu Nabil tanda mengucapkan terima kasih, dan kali ini Nabil turut membalas tepukan di bahu Inspektor Yusof sambil tersengih seperti kerang busuk.

“Terima kasih abang”, Jun memulakan bicara. Nabil tidak membalas. Tiada perkataan yang mampu Nabil ungkapkan ketika dia merenung wajah Jun. Kedua-dua matanya lebam dan bengkak, bibirnya terdapat lelehan darah yang merah menyala. Tergamaknya seorang lelaki segagah Hashim buat begini pada perempuan seperti Jun.

“Kali ini sebab apa?”, Nabil gagahkan diri untuk bertanya. “Saya salah beli rokok dia bang”, Jun menjawab lesu sebelum ditolak masuk ke dalam ambulance. Nabil menggeleng-gelengkan kepalanya. Susah nak faham apa yang ada dalam otak manusia seperti Hashim, dan seperti bapa Jun sendiri.

Di mana silapnya? Didikan agamakah? Atau kerana sudah menjadi darah daging, membesar dalam keluarga yang ‘abusive’ sedemikian, sehingga tiada langsung sekelumit rasa apa yang dilakukan itu salah, dan tiada langsung rasa untuk mempertahankan diri bagi yang wanita?

“Jun, larilah jika boleh! Lari Jun, dunia ini luas! Terokalah dunia ini Jun! Saya doakan awak berbahagia dan tidak menderita lagi!”, laung Nabil kepada Jun sejurus sebelum pintu ambulance ditutup. Harap Jun dengar. Semoga dilindungi Allah Jun.

 ++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Pakcik, ada kakak suruh bagi ni”, terkejut Nabil ketika dicuit di bahu di saat dia sedang leka menghirup cendol di bawah pokok. Belum sempat Nabil bertanya, budak lelaki yang lebih kurang sebaya anaknya Bobi itu terus menghilangkan diri di celahan orang ramai. Nabil merenung tisu serviette yang diberi kepadanya tadi. Apa ni? Bahu ni kalau ada orang cuit, ada je benda pelik nak dapat ni.

Perlahan-lahan tisu serviette itu Nabil buka lipatannya. Ada beberapa baris ayat tulisan tangan menggunakan dakwat pen berwarna biru.


“Terima kasih abang, sebab kehadiran abang dalam hidup Jun beberapa bulan yang lalu telah mencelikkan mata Jun tentang apa hak Jun sebagai wanita. Jun dah tuntut cerai dari Hashim. Dan sejak ayah meninggal dunia, Jun, mak dan adik-adik dah berpindah dan mulakan hidup baru. Terima kasih sekali lagi abang, kerana abang, baru Jun tahu yang dunia ini indah, sangat indah. Dan kebahagiaan sebenar boleh Jun kecapi, rupanya bahagia itu bukan sekadar drama melayu di kaca TV”

 

Nabil tersenyum sendirian. Tisu serviette itu dilipat kemas dan dimasukkan ke dalam dompetnya. Teringat Nabil kepada antara pesan ibunya yang beribu, “Jangan lokek untuk membantu orang, kerana mungkin Allah menjawab doa hamba-Nya yang lain, melalui kita”.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Syazni Rahim

04092020


PS: Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.


18 comments:

  1. Kesian jun..Alhamdulillah ada org baik mcm nabil digerakkan hati oleh Allah utk membantu.
    Btw teruk juga Nabil kena ek, kesian juga kat nabil tu.
    Menyampah betul lelaki kejam mcm hasyim tu, padan muka kena tangkap polis.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kak sudi baca ;)
      Nasib baik Nabil follow gerak hati dia kan :D

      Delete
  2. Ramai iateri yang macam ni. Rela jadi punchbag suami panas baran. Entah apa la yang nak setianya dengan lelaki jenis nih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mungkin ramai yang macam Jun, tak jumpa 'jalan keluar' huhu..

      Delete
  3. Perghh...free je Nabil makan penumbuk.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Roti canai pun dia tak sempat habiskan hehe..
      Terima kasih sudi baca ;)

      Delete
  4. saspen betul ingatkan bungkusan apa warna putih tu. kesian nabil tapi dapat juga dia bantu jun keluar daripada jadi mangsa keganasan. nice story :) ♕Tiara Sapphire♕

    ReplyDelete
  5. Nasib baik Jun sedar walau byk kali dipujuk di brainwash.. nowadays.. klu sayang.. jadi punch bag pun takpe :(

    ReplyDelete
    Replies
    1. worse kalau macam Jun, dia tak berapa nak sayang, tapi terpaksa..huhu
      Terima kasih atie sudi baca :)

      Delete
  6. TAHNIAH SYAZ PANJANG CERPEN T BOLEH CUBA HANTAR DEWAN SASTERA..NI KAK NK MINTA ALAMAT SYAZ NK KIRIM BUKU KAT ANAK2 PMKAK KAT FB R EMEL paridahishak@gmail.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih kak PI, baik saya akan hubungi akak :)

      Delete
  7. Ingatkan barang terlarang tadi. Rupanya tepung! Baik hati Nabil ni, tak pasal kena makan penumbuk. Bagus juga dia bantu dengan cara yang betul. Silap cara jadi lain pulak. Finally Jun bahagia. happy ending cerita ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe terima kasih sudi baca dan komen, aah kalini happy ending :D

      Delete
  8. Nice storyline :) mula-mula cerita tu buat suspen betul baru nak marah dekat jun. Rupanya tepung

    ReplyDelete
  9. Suspens mulanya..baru nk kesian kt Nabil..haha..nice..

    ReplyDelete

Ada apa-apa nak tulis? ;)

Premium Flexible Related Post Widget for Blogger – Blogspot

Ya it's me