Search This Blog

Friday, October 2, 2020

SELESAI | Fiksyen

SELESAI


Sadah seakan bermimpi, seboleh-boleh Sadah cuba untuk bangun dari mimpi buruk ini. Namun semakin kuat Sadah memicit pehanya, semakin sakit yang dirasa, namun tidaklah pula ada tanda-tanda yang ini semua adalah mimpi. Ini adalah realiti yang terasa pahit sekali untuk Sadah terima.

“Maafkan kami Cik Sadah, kita boleh cuba untuk teruskan rawatan pilihan yang saya terangkan tadi, tapi seperti yang yang saya maklumkan, ianya cuma boleh melewatkan sedikit kesan buruk kanser itu kepada Encik Rizal dalam beberapa bulan sahaja, paling lama setahun. Semuanya terpulang kepada Allah SWT”, wajah Doktor Putri tenang sahaja menerangkan segalanya kepada Sadah sejak minit pertama pertemuan mereka tadi.

Sadah mengangguk lesu, dalam hatinya ketakutan. Bukan ini yang dia bayangkan akan terjadi kepada Rizal. Terlalu awal, masih dikira muda. Mencongak di dalam kepala, apakah dosa mereka sehingga Tuhan mahu menghukum dia begini? Rizal kelihatan begitu tenang sekali, sepertinya sudah redha dengan apa yang berlaku.

Sadah sendiri sememangnya kelu, tiada daya untuk terus memikirkan berkenaan kanser dalam buah pinggang Rizal yang telah diketahui kewujudannya sedari Rizal berumur lima belas tahun. Pelbagai jenis rawatan mereka telah cuba, bergolok bergadai sehingga habis harta, tahu-tahu saja sudah di peringkat empat pada hari ini. Lebih memilukan, hayat Rizal cuma berbaki antara enam bulan ke setahun sahaja. Rizal menggenggam tangan Sadah erat-erat.

++++++++

“Kak, apa kau menungkan lagi? Bukannya baru pagi tadi kita tahu aku ada kanser kak, benda macam ni sepatutnya kita dah boleh jangka”, tersentak Sadah yang sedari tadi merenung kosong ke arah televisyen. Fikirannya entah ke mana. Remuk-redam hati mengenang adiknya akan pergi meninggalkan dirinya tidak lama lagi. Itulah satu-satunya ahli keluarga yang dia masih ada. “Bukan benda baru kak.. Dah sepuluh tahun pun”, sambung Rizal bernada lesu. Sadah melepaskan nafas yang panjang.

Ayah sudah meninggal dunia sewaktu Sadah baru memasuki darjah satu. Emak pula meninggalkan mereka lapan tahun yang lepas, diserang tebuan tanah sewaktu membersihkan kebun kecil mereka. Semenjak itu, tinggallah Sadah dan Rizal yang tidak begitu mampu untuk menguruskan dirinya sendiri. Rawan sungguh hati Sadah mengenangkan semua itu.

“Kak, kau ingat tak ada seorang perempuan dalam Kumpulan Sokongan Pejuang Kanser aku, yang ada kanser tulang tu?”, tersentak Sadah dari lamunan mendengarkan soalan dari Rizal. “Hani yang rambut kerinting besar-besar tu?”, teka Sadah. Rizal menguntumkan senyum sambil mengangguk-angguk. “Kenapa dengan Hani?”, soal Sadah sedikit kehairanan. Tak pernah pula Rizal menyebut tentang gadis itu atau mana-mana perempuan lain sebelum ini.

“Sebenarnya, aku dah lama saling berbalas Whatsapp dengan Hani, adalah dekat setahun juga berhubungan”, jeda seketika sebelum Rizal meneruskan kata-katanya membuat Sadah semakin tidak sabar mendengar. “Kebetulan, masa kita dapat khabar duka tu kelmarin, Hani pun dapat berita yang lebih kurang serupa kak”, Rizal menundukkan kepala mengenangkan apa yang didengarinya dari mulut Doktor Putri.

Sadah masih tidak mengerti apa yang hendak disampaikan oleh Rizal ketika ini. Mata Sadah masih tertancap kemas pada wajah polos Rizal yang semakin cengkung, menanti dengan penuh sabar sambungan kata-kata dari Rizal. “Kami dah sepakat yang kami nak bernikah kak”, ujar Rizal sambil menutup mukanya dengan bantal. Jelas kelihatan kedua-dua telinga Rizal merah menyala menahan malu. Sadah terlopong dan terperanjat.

++++++++

Sadah memang sangat sayangkan Rizal, sememangnya sejurus pulang dari hospital tempohari, Sadah telah berbincang secara hati ke hati dengan Rizal. Sadah ingin menunaikan apa sahaja impian dan permintaan adiknya itu. Rizal memberi cadangan yang dia cuma mahu lima sahaja impiannya untuk ditunaikan. Yang pertama, Rizal mahu makan malam di Restoran Berputar Menara Kuala Lumpur. Yang kedua, Rizal mahu bercuti di Pulau Tioman. Seterusnya, Rizal mahu ‘me time’ di Perpustakaan Negara selama satu hari, bermula sepuluh pagi sehingga lima petang. Yang keempat dan agak mudah, Rizal mahukan sepasang selipar baru.

Manakala permintaan yang kelima, Rizal minta sedikit waktu untuk berfikir tentangnya. Dan tanpa Sadah sangka, permintaan Rizal yang kelima itu telah membawanya ke rumah Encik Hairil dan isterinya Puan Azizah pada petang yang indah ini, untuk menyunting anak gadis mereka yang bernama Hani. Rombongan yang mengiringi Sadah dan Rizal pada hari ini tidaklah begitu ramai, cukuplah sekadar ada untuk mengelakkan kejanggalan yang mungkin berlaku sekiranya Sadah hanya datang berdua bersama Rizal. Keluarga Encik Hairil dan Puan Azizah pula menyambut mereka dengan penuh kemesraan dan baik budi.

“Maafkan saya Encik Hairil, Puan Azizah. Saya lupa nak karang pantun yang lebih baik, tapi izinkan saya mencuba”, berdebar-debar jantung Sadah tatkala ini, tidak pernah terlintas di minda untuk mengetuai rombongan meminang, lebih-lebih lagi untuk adiknya Rizal! Encik Hairil kelihatan tersenyum manis sambil memperkemaskan duduk silanya.

“Membawa cincin belah rotan,

Kebaya nyonya kainnya jarang,

Jika tuan puan tidak keberatan,

Ingin kami pinang anak dara nan seorang”, 

tersipu-sipu Sadah sebaik menuturkan pantun yang baru direkanya sejurus sebelum keluar dari pintu kereta sebentar tadi. Encik Hairil mengelus lembut janggutnya sebelum berdehem perlahan, bersedia untuk membeli pantun yang dijual Sadah. Isterinya, Puan Azizah yang setia menemani di sebelah Encik Hairil juga tidak lekang dengan senyuman.

“Cincin belah rotan milik Saloma,

Turut dipuji si emak Dara,

Sebulat hati pinangan diterima,

Tanda dua keluarga bersetuju bersaudara”, 

tenang Encik Hairil menuturkan baris-baris pantunnya. Termeterailah janji kedua-dua pihak, untuk menyatukan Rizal dan Hani dalam tempoh dua minggu lagi. Encik Hairil faham situasi yang menimpa Rizal, itulah juga yang menghimpit anak gadisnya, jadi sebolehnya Encik Hairil mahukan pernikahan itu berlangsung segera. Cuma Puan Azizah meminta agar diberi tempoh dua minggu untuk persiapan kenduri, dan berjanji akan menanggung segala perbelanjaan berkaitannya. Alhamdulillah, Sadah memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.

++++++++

Sadah segera melepaskan kain yang diguna untuk mengelap meja makan sebentar tadi dan mendapatkan Rizal yang mengerang kesakitan secara tiba-tiba di ruang tamu. Kelihatannya Rizal sedang merasakan sakit yang tidak mampu untuk ditanggungnya ketika ini. Rizal mencengkam pinggangnya dengan kedua-dua tangan sekuat hati. Kanser buah pinggang yang dihadapinya ini sekali sekala akan menyebabkan Rizal merasakan bisa sekali di kiri dan kanan pinggangnya.

Menitis laju air mata Sadah melihat penderitaan adiknya itu. Tubuh Rizal dipaut sebelum didukung masuk ke dalam kereta. Setelah hampir sepuluh tahun menghadapi senario ini, tubuh Rizal tidak dirasakan sukar lagi untuk Sadah kendong. Seketika, kereta Sadah laju meluncur membelah pekat malam menuju ke hospital.

++++++++

“Maafkan aku kak. Aku nak kahwin tu, kau rasa ianya suatu eskapisme ke kak?”, Rizal tersedu-sedan sambil memegang tangan Sadah, sedih kerana merasakan dirinya begitu lemah dan tidak berguna. Sadah hanya menggelengkan kepala sambil kembali menggenggam tangan Rizal. Air mata yang berjujuran di pipi Rizal disekanya perlahan. “Jangan cakap macam tu, kita kan adik-beradik. Aku janji, selagi aku ada, aku akan jaga kau Rizal”, Sadah memberikan janji.

Kedengaran suara memberi salam di muka pintu wad yang menempatkan Rizal, terjengul kepala Hani bersama Encik Hairil dan Puan Azizah, Sadah membalas salam beserta senyuman sebelum kembali berpaling pada Rizal dan berkata, “Lepas kau kahwin nanti, Hani juga akan aku jaga, selagi diizini Tuhan”. Dahi adiknya itu dikucup lembut sebelum beredar dan memberi ruang kepada Hani sekeluarga.

Semenjak pertunangan antara Rizal dan Hani beberapa hari yang lepas, Rizal dan Hani sama-sama sudah tekad bagi menunaikan hasrat mereka berdua untuk merasai alam perkahwinan, walaupun mungkin sementara cuma. Dan mungkin itulah permintaan terakhir yang bisa mereka semua realisasikan.

++++++++

Sadah merasakan tubuhnya kebas-kebas, lengannya diurut-urut. Mungkin sebab kepenatan menguruskan persiapan majlis pernikahan Rizal seorang diri. Majlis itu tinggal beberapa hari sahaja lagi. Jikalau mengikut perkiraan kasar Sadah, hampir semua perkara berkaitan majlis itu sudah dibereskan, kecuali beberapa dulang hantaran yang belum siap dihias serta perlu membawa Rizal ke butik pengantin pada petang ini untuk mengambil sepersalinan pakaian nikah Rizal.

“Kak, jom”, sapa Rizal yang telah siap untuk ke butik pengantin bersama kakaknya. Perlahan-lahan, Sadah memimpin lengan Rizal ke kereta. Rizal yang selalunya tidak begitu banyak bercakap di dalam kereta, kelihatan berlainan sekali pada hari ini.

Tidak berhenti-henti mulutnya riuh berbicara tentang hari pernikahan yang bakal tiba tidak lama lagi. Ulang bercerita tentang keikhlasan Hani dan keluarganya menerima diri Rizal seadanya. “Aku tak pernah sangka ada orang yang sangat ikhlas sayang pada diri aku kak. Hani lah orang pertama yang betul-betul ikhlas menyayangi, nak bersama dengan aku dalam susah dan senang, walaupun seketika kak”, sekilas Sadah terlihat mata Rizal bercahaya kegembiraan. Sadah tumpang gembira di dalam hati. “Pertama kali dalam hidup aku, aku rasa disayangi sepenuh hati kak”, ujar Rizal penuh ceria.

++++++++

Sadah berasa lega sekali apabila Rizal berjaya diijabkabulkan dengan Hani hanya dengan sekali lafaz sahaja. Tambahan pula, Sadah bersyukur kerana Allah SWT telah memudahkan urusan penyatuan kedua mempelai itu. Mungkin berkat doa orang ramai, Rizal dan Hani berada dalam kondisi yang amat baik sepanjang majlis pernikahan berlangsung, begitu juga dengan hari-hari sebelumnya.

Usai majlis di rumah Encik Hairil dan Puan Azizah, Sadah memohon untuk pulang ke rumah walaupun hatinya risau mahu meninggalkan Rizal di sana. Panjang lebar pesanan Sadah kepada Rizal, tentang apa yang Rizal perlu lakukan seandainya sakit Rizal datang tiba-tiba. “Tak mengapa kak Sadah, abah dan mama ada untuk jaga kami di sini”, ujar Hani sambil memeluk kakak iparnya erat.

Sadah mengeluarkan dua keping sampul surat dari tas tangan yang dijinjit sedari tadi dan dihulurkan kepada Rizal. Keningnya diangkat-angkat sebagai tanda menyuruh Rizal membuka sampul-sampul itu. Rizal tersengih dan terus membuka sampul yang pertama.

Di dalamnya terdapat empat keping tiket kapal terbang bersama ‘itinerary’ percutian untuk empat orang ke Pulau Tioman. “Lagi dua tu untuk mama dan abah Hani, ‘honeymoon’ sama-sama”, kata Sadah sambil mengenyitkan matanya kepada Hani.

“Buka yang satu lagi”, arah Sadah kepada Rizal. Rizal hanya menuruti, di dalam sampul yang kedua pula terdapat resit tempahan makan malam untuk dua orang di Restoran Atmosphere 360 pada minggu hadapan. Rizal terus mendakap Sadah sekuat hati, kedua-dua beradik itu tidak memperdulikan langsung pada yang memerhatikan mereka ketika itu. “Aku harap kau suka Rizal, sepertimana kau suka dengan selipar baru dan waktu ‘me time’ kau di Perpustakaan Negara hari tu”, tutur Sadah sambil masih memeluk adik kesayangannya itu.

“Aku tunggu kau dan Hani di rumah esok”, ujar Sadah sebelum berlalu pergi meninggalkan Rizal dengan penuh tawakkal kepada Tuhan.

++++++++

Padanlah salam dari Rizal dan Hani yang pulang ke rumah tidak bersahut, puas Rizal memanggil, namun Sadah langsung tidak menjawab. Rupanya Sadah sudah kaku sendirian di atas katil di dalam bilik tidurnya. Rizal seolah-olah tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku. Kakak yang berkorban menjaga dirinya selama ini telah pergi meninggalkannya selama-lamanya. Wajah Sadah kelihatan tenang dan seolah-olah sedang tersenyum. Matanya rapat seperti sedang tidur yang amat lena kerana keletihan.

Tubuh Sadah dirangkul Rizal, dia menangis hiba semahu-mahunya. Saat itu semua kenangan bersama Sadah bermain-main difikiran. Tentang betapa besarnya pengorbanan Sadah demi menjaga dirinya yang tidak menentu itu.

Sadah rela melepaskan jawatannya di pejabat dan berdikit-dikit belajar berniaga secara atas talian sejak emak meninggal dunia kerana tiada siapa akan menjaga Rizal di rumah. Sadah juga telah mentah-mentah menolak pinangan beberapa jejaka kerana tidak mahu membahagikan kasih dan tanggungjwabnya terhadap Rizal. Ternyata, Sadahlah insan yang paling ikhlas terhadap Rizal selama ini. Dan ironinya, status Facebook Sadah yang terakhir, mungkin sebelum Sadah tidur untuk selamanya malam tadi tertulis “Selesai”.

Semoga Allah kurniakan kau syurganya wahai kakakku sayang.

Syazni Rahim | 20/09/2020

                                                        ++++++++

Terima kasih pada yang sudi singgah dan baca cerpen aku, untuk membaca cerpen-cerpen aku yang lain, boleh klik pada tajuk-tajuk di bawah 😙:

BUKAN PERCUMA

JUN

GALAS

SALAH SIAPA SEBENARNYA

SEPERTI YANG AWAK MAHU

HATIKU ADA KAMU

JANGAN NARSISIS

PS: Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.




20 comments:

  1. Apsal rasa mcm pendek ah? Tapi skrol2 tengok boleh tahan panjang..emmmm...maknanya cerita yg berkesan smp akk baca pun rasa mcm sekejap sangat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang pendek sikit kak azimah kalini hehe.. Terima kasih kak sudi baca ;)

      Delete
  2. sedihnya citer ni. apakata syaz buat antologi cerpen dlm bentukd pdf n jual di shopee? pasti ada yg nak beli..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih abam kie atas cadangan, insyaallah kalau ada rezeki, saya memang ada merancang :D

      Delete
    2. Moga ada rezeki menjual hasil penulisan syaz :) terbaik syaz!

      Delete
  3. besarnya pengorbanan seorang kakak.. huhu nangess

    ReplyDelete
  4. Rajin menulis. Tentu jiwa Syazni halus berseni.

    ReplyDelete
  5. alaaaaa tak suka lah... sedih huhuhuhu

    best lah nanti tulis lagi

    ReplyDelete
  6. Tahniah la buat orang nangis.. Biasa dia tu!!!

    sedih la cerita nih.

    ReplyDelete
  7. Pengorbanan seorg kakak..sedih..

    ReplyDelete
  8. Ala kenapa sedih..pengorbanan dan kasih sayang seorang kakak untuk adiknya.

    ReplyDelete

Ada apa-apa nak tulis? ;)

Premium Flexible Related Post Widget for Blogger – Blogspot

Ya it's me