Hallu!
Cerpen ini adalah salah satu bab dalam Life Baggage.
Cerpen ini dahulunya bertajuk Edna. Nama watak Edna telah diubahsuai menjadi Dewi atas sebab-sebab yang tertentu.
Moga terhibur 😉
DEWI
Jika diikutkan, Fendi mahu menyerahkan sahaja rumah kecil milik ibunya ini kepada Hatim. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang boleh menjaga rumah peninggalan ini, tambahan pula mereka akan menetap di London untuk beberapa tahun selepas ini.
Namun Hatim menolak pelawaan Fendi itu dengan baik.
Bukan tidak sudi, tapi Hatim memang tidak mahu merebutnya dari Fendi yang
dirasakan lebih berhak. Biarlah Hatim datang untuk membantu membersihkannya
sekali-sekala sahaja.
Segalanya telah Hatim kemas dan bersihkan bersama
Fendi dan Jahra beberapa hari lepas. Hari ini Hatim cuma masuk kembali ke rumah
Mayamin ini untuk mengambil beberapa barangannya yang masih berbaki. Terbit
perasaan sayu di hati kecilnya memandang ke setiap inci rumah yang pernah
dihuni bersama seseorang yang dipanggil isteri. Walaupun cuma beberapa bulan,
namun tetap memberikan kesan.
Perkahwinannya dengan Mayamin dahulu dibina bukan
atas dasar cinta. Lebih kepada rasa ingin membantu Fendi dan ibunya yang sakit
sahaja. Namun ianya sedikit sebanyak berjaya mengisi hatinya yang tandus. Hati
yang selama ini tidak pernah terjalin perasaan dengan mana-mana wanita pun.
Sejak menjadi suami kepada Mayamin, Hatim mula
merasakan suatu rasa yang tidak mudah untuk diterjemahkan dalam bentuk
perkataan. Suatu rasa yang membuatkan serba-serbi penitian kehidupannya
seharian terasa bermakna.
Penting dan diperlukan.
Dihormati dan dikasihi.
Pemergian Mayamin sekaligus merentap segala rasa
itu bersamanya ke alam baqa. Sepertimana kosong dan sepinya rumah ini sekarang,
seperti itulah jua terasa lohongnya suatu bahagian di hati Hatim yang
menempatkan segala rasa itu selama bergelar ‘suami’. Lamunan Hatim terhenti
sewaktu membuka laci almari solek di bilik tidurnya. Kelihatan sekeping sampul
surat berwarna hijau muda yang tertulis ‘daddy’ di atasnya.
Ini kerja Jahra ni!
Perlahan-lahan, isi sampul itu dikeluarkan lalu
dibaca dengan penuh teliti.
Hi daddy! Haha.. Ok
ok.. Hi Tim!
Aku saja buat
surprise tinggalkan surat ni untuk kau. Aku tahu kau mesti akan jumpa surat ni.
Aku nak ucap terima kasih atas segala jasa kau pada kami sekeluarga. Dari
menggalas tanggungjawab menjaga mommy sehinggalah menasihati aku dan Fendi. Aku
tak nak kau sedih dan sendirian lagi ok? Be happy for yourself Tim!
Sebagai tanda terima
kasih, aku nak bagi nombor telefon seorang kawan aku ni. Kebetulan dia juga
sedang mencari jodoh. Jadi aku ada ‘promote’ kau pada dia. Dia kata why not?
Jadi dia akan tunggu kau contact dia.
Dewi – 010723156.
Love, Jahra~
Air liur yang ditelan Hatim kini terasa seperti
batu!
++++++
Setelah merenung nombor telefon Dewi yang telah
disimpan dalam senarai kenalan dalam telefon bimbitnya itu selama berhari-hari,
akhirnya Hatim membulatkan tekad untuk mencuba nasib.
Tak cuba tak tahu kan? Aku pun bujang,
so why not?
Dahi Hatim mula dibasahi peluh. Tangan dan
jari-jemari terasa kebas sekali ketika Hatim menaip pesanan ringkas di aplikasi
WhatsApp untuk Dewi.
Assalamualaikum. Ini Dewi
ke? Saya dapat nombor awak dari seseorang. Boleh saya nak kenal-kenal dengan
awak? Kalau awak sudi, balaslah message ini. Kalau tak sudi, atau mungkin saya
sudah terlewat, abaikan saja.
Telefon bimbit lantas diletakkan diatas meja di
hadapannya. Cuma diintai melalui celahan jari tapak tangan kiri yang menutup
kedua-dua biji matanya. Penuh debaran, Hatim menyentuh butang berbetuk segitiga
yang membawa maksud ‘hantar pesanan’.
Hatim terus memerhatikan skrin telefon bimbitnya
dengan perasaan yang cemas. Sejurus sahaja terlihat pesanan yang dihantar tadi
telah mendapat dua tick berwarna biru, Hatim terus melambungkan dirinya
ke belakang sofa. Refleks, Haifa yang sedari tadi duduk di sebelah Hatim turut
melompat sama ke belakang sofa itu. Terperanjat dia apabila Hatim berbuat
demikian tadi!
“Apa hal kau ni!? Tiba-tiba terbang pergi belakang
sofa? Ada lipas ke? Ular ke?”, marah Haifa sambil menepuk perlahan dadanya
beberapa kali sebelum menampar belakang badan abangnya itu sekuat hati.
Hatim hanya tersengih-sengih sambil menyangkutkan
dagunya pada penyandar sofa. Matanya terus tertancap kemas pada skrin telefon
bimbitnya itu. Seketika, jantung Hatim seakan-akan terhenti apabila nama Dewi
tertera di tetingkap WhatsApp. Spontan, Hatim terus memanjat semula sofa itu
lalu menggelongsor ke hadapan untuk mengambil semula telefon bimbit itu dengan
rakus dan pantas.
“Kau ni kena sawan apa ni Tim? Perangai macam
budak-budak belum baligh ni!”, soal Haifa sedikit berang dan kehairanan.
Benar-benar tidak mengerti maksud perilaku Hatim
yang terus terkinja-kinja tidak tentu arah ketika ini.
“Diamlah! Sibuk je!”, ujar Hatim sambil
terlompat-lompat berlari riang ke bilik tidurnya, meninggalkan Haifa yang
terpinga-pinga tidak mengerti.
++++++
Berjanji untuk bertemu di zaman pandemik ini
sedikit sebanyak membantu juga buat Hatim. Penggunaan pelitup muka ini sedikit
sebanyak berjaya menyembunyikan bahagian muka si pemakai dari paras hidung ke
bawah. Sekiranya berlaku sebarang reaksi yang boleh memalukan individu yang
bertemu empat mata dengan individu yang lain, pelitup mukalah penyelamatnya!
Seperti yang baru sahaja berlaku kepada Hatim
sebentar tadi. Sudahlah terpesona benar dengan haruman minyak wangi yang
dikenakan oleh Dewi, rahang Hatim seperti terlepas ke lantai ketika gadis muda
itu menanggalkan pelitup muka fabrik yang dipakainya. Ternganga Hatim dek
terpukau dengan kecantikan rupa paras seorang Dewi ini. Detik-detik waktu
terasa berlalu dengan begitu perlahan ketika senario itu berlaku.
Kedengaran kuat sekali bunyi petikan gitar yang
memainkan intro lagu Antara Gadis oleh kumpulan Dinamik di benak Hatim.
Pemandangan yang begitu mengasyikkan sanubari lelakinya.
Suasana kafe ini terus bertukar menjadi kabur
seperti teknik bokeh ketika mengambil gambar. Dan wajah Dewi adalah
fokusnya.
“Apa awak pandang saya macam tu?”, tegur Dewi
menjeling dan tersenyum sinis, sekaligus mengembalikan Hatim ke aliran masa
berkadaran normal. Hilang terus bunyi petikan gitar yang berlagu indah di
mindanya sebentar tadi.
“Saja nak simpan detik ini dalam ingatan”, balas
Hatim ringkas. Pelitup muka dirinya sendiri masih belum dibuka lagi. Terasa
segan pula jika orang sekeliling terlihat dirinya yang tidak seberapa ini
bersama gadis secantik Dewi. Dewi pula sekadar tersenyum kelat mendengar
jawapan Hatim itu.
“Bukalah mask tu. Kan kita nak makan ni”, ujar Dewi
sambil membuat gaya seperti menurunkan pelitup muka ke bawah. Jelas kelihatan Dewi memutarkan mata hitamnya
yang menawan itu ke atas. Melihatkan wajah Dewi yang seperti tidak selesa
berada disitu, membuatkan Hatim bertambah serba salah untuk membukanya.
“Dah lama Dewi kenal Jahra?”, soal Hatim cuba
mengalihkan topik perbualan. Terasa janggal pula dengan kelakuan Dewi yang
sebegitu.
“Dalam tahun lepas. Sama kelas Zumba dulu”, balas Dewi
acuh tidak acuh. “Awak pulak kawan dia dari sekolah ya?”, soalnya kembali.
Hatim hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum kelat dalam pelitup mukanya.
Entah kenapa perasaan teruja dan gembira yang
meluap-luap sejak pagi tadi terasa semakin pudar setelah bertemu secara berhadapan
dengan Dewi. Lain benar perawakan Dewi secara bersemuka begini berbanding
sewaktu berbual melalui WhatsApp. Dewi tidak seceria yang Hatim gambarkan.
“Memang tak nak cabut ke benda alah tu? Memang tak
nak tunjuk muka ke?”, soal Dewi lagi sambil mengacau Iced Mocha yang dipesannya
berulang kali. Nada suaranya sebal sekali. Hatim boleh mendengar dengan jelas
gadis ini merengus halus. Macam jengkel benar Dewi melihat dirinya.
“Maaf saya tanya, awak nampak macam tak selesa
berada kat sini. Kenapa ya?”, soal Hatim, tidak mahu terus berteka-teki lagi.
Ketara benar Dewi seperti tidak mahu berada bersama Hatim di kafe ini. Dewi
hanya diam tidak berkutik.
“Saya bukan jenis memaksa. Dan saya terbuka untuk
sebarang pendapat. Saya rasa itulah tujuan kita jumpa hari ni kan? Untuk
berkenalan lebih dekat”, ujar Hatim tenang. Dari riak wajah Dewi, Hatim boleh
agak ada sesuatu yang Dewi tidak puas hati dengan pertemuan mereka ini.
Perlahan-lahan Hatim membuka pelitup mukanya. Dewi hanya memandang sekilas
sebelum memusingkan lagi matanya ke atas.
“Inilah saya. Hatim Mohamed yang dah bermesej
dengan awak selama hampir dua minggu ini. Ikhlas saya cakap, saya memang tertarik
dengan awak sepanjang perkenalan kita di alam WhatsApp tu”, kata Hatim.
“Awak dalam gambar profile tu, tak secantik awak
yang sebenar ni. Lagilah buat saya tertawan! Tapi sekarang, saya rasa macam ada
sesuatu yang tak kena”, kata Hatim panjang lebar. Cuba untuk menjadi serasional
yang mungkin walaupun hatinya sedikit tercalar. Harapan yang dikendong selama
dua minggu ini seperti terlerai jatuh satu persatu.
Sakit juga penangan cinta ni rupanya..
“Lepaskanlah apa yang terbuku di hati. Saya boleh
tolong dengar”, tambah Hatim lagi, cuba menyerkap jarang. Dewi melepaskan satu
keluhan yang panjang mendengar kata-kata Hatim itu.
“Saya minta maaf ya. Saya tak sepatutnya buat awak
macam ni”, kata Dewi.
“Buat apa? Saya tak faham”, balas Hatim sambil
merenung wajah Dewi yang sudah mulai tenang sedikit, tidak sekeruh seawal
pertemuan mereka tadi.
“Lagi lima bulan, umur saya dah nak masuk tiga
puluh. Saya belum ada calon suami pun lagi. Sebab tu saya tanya kawan-kawan,
kot ada calon untuk saya jadikan suami”, terang Dewi bersungguh-sungguh.
“Jadi sebab tu lah Jahra bagi saya nombor telefon
awak ya?”, Dewi hanya mengangguk perlahan bagi mengiakan soalan dari Hatim itu.
“Dan dalam ramai-ramai kawan awak, Jahra saja yang
kata ada kenal dengan lelaki bujang?”, soal Hatim lagi. Tenang. Sambil
menggaulkan cebisan daging dan cendawan pada kuah Spaghetti Carbonara di
hadapannya. Dewi masih terangguk-angguk.
“Yang paling sedih, saya ni pulak tak menepati
citarasa awak kan? Sebab tu lepas nampak saya depan-depan, awak terus ‘turn
off’ kan? Tapi nak tak nak awak tetap kena terima saya, dan kahwin dengan
saya kan? Kalau tak nanti awak malu, sebab umur dah 30 tapi masih bujang. Takut
orang gelar anak dara tua?”, soal Hatim selamba sambil menyuapkan Spaghetti
Carbonara itu ke dalam mulut.
“Kan?”, sambung Hatim lagi.
“Wah hebat awak meneka situasi! Semuanya betul!
Kagum saya!”, bersinar-sinar mata Dewi yang buntang itu merenung wajah Hatim
selepas mendengar semua tekaan Hatim tadi.
“Macam mana awak boleh tau semua tu?”, soal Dewi
lagi.
“Tekaan rambang je. Orang cantik macam awak ni,
mestilah nak yang sepadan. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Kalau dengan
saya ni, memang tak padanlah kan. Saya tinggi, awak ketot”, ujar Hatim cuba
berseloroh.
“Tak mengapa Dewi, let it go ya. Saya ok”,
ujar Hatim lagi. Dewi hanya memandang Hatim tanpa berkata apa-apa. Terkesima
dengan jawapan yang cukup matang dari Hatim.
“Tak apa, saya faham. Cuma kenapa nak terburu-buru
kahwin selagi tak jumpa calon yang betul-betul sesuai? Usia 30an bukanlah tua
sangat pun”, Hatim cuba memancing penerangan dari Dewi yang masih diam membisu.
Hanya mata hitamnya yang bulat bersinar seperti terus berbicara di dalam hati,
sambil memandang Hatim.
“Kalau awak rasa perempuan yang berumur 30an dan
masih belum berkahwin itu suatu status yang perlu dirisaukan, awak silap Dewi.
Berkahwin atau tidak, bukanlah kayu pengukur kejayaan seseorang. Awak ada kerja
bagus, muka cantik, dan saya yakin awak juga ada sedikit harta. Jadi kenapa
perlu terburu-buru nak masukkan seorang lelaki yang awak tak betul-betul suka
dalam hidup awak, semata-mata untuk memuaskan hati orang sekeliling?”, panjang
lebar Hatim berkata-kata.
Memandang wajah Dewi yang sugul ini, membuatkan
Hatim teringat pada adiknya sendiri pula. Terasa perlu pula untuk Hatim
menasihati gadis ini agar tidak membuat keputusan yang boleh disesalkan
kemudian hari.
“Tak perlu memulakan keluarga kalau sekadar
mengikut-ikut orang. Dari elok-elok bahagia, tiba-tiba kena menjeruk rasa
menanggung biawak hidup? Atau terpaksa menghadap seseorang yang tak menepati
piawaian awak sampai mati? Nak?”, Dewi hanya menggeleng perlahan mendengar
kata-kata Hatim. Benar semuanya itu, tidak dapat Dewi nafikan. Terusik pula
hatinya ketika ini.
"Inikan pula nak kahwin dengan saya. Nak
ke?", tambah Hatim lagi sambil ketawa. Dewi hanya tersenyum. Merah pipinya
diserang malu dek soalan selamba dari Hatim.
“Oh Tapi kan, tapi! Saya kalau dah baling batu
dalam sungai, saya tak terjun ambil balik. Tak payah pandang saya dengan mata
bercahaya macam tu, kita baru je clash sepuluh minit yang lepas. Saya
dah tak available untuk awak! Turn off!” berderai tawa mereka
berdua mendengar seloroh Hatim itu.
“See? Saya tak terburu-buru nak kahwin. Tak sesuai,
kenapa nak kahwin? Ingat hidup ni drama melayu yang pukul 7 tu ke? Apa tu,
jatuh dari langit? Tak lah!”, ungkap Hatim lagi penuh keyakinan. Dewi hanya
menelan air liur mendengar kata-kata Hatim itu. Tidak langsung Dewi sangka yang
Hatim sangat cool seperti ini.
“Saya tak jatuh dari langit. Tapi saya mungkin akan
jatuh dalam hati jodoh saya nanti. Yang pasti bukan Dewi kot namanya”, sambung
Hatim lagi sambil ketawa. Dewi hanya mencebik.
Menyesal lah tu! Haha!
“Kita kawan sajalah ya Dewi. Saya doakan awak akan
temui jodoh yang terbaik dan sesuai sekali dengan awak. Doakan saya juga. Benda
jodoh ni tak molek dipaksa kalau dari awal dah rasa tiada chemistry”,
ungkap Hatim lagi. Dewi terus mengangguk sambil mencebik lagi. Pedih pula
hatinya dicaras tanpa berlapik lagi oleh
lelaki bernama Hatim ini.
“Padanlah dengan muka aku. Siapa suruh aku buat
perangai dulu awal-awal tadi. Pandai lelaki ni pulang paku buah keras pada aku
on the spot!”, getus hati kecil Dewi.
“Sebagai kawan, saya nak cakap satu perkara
boleh?”, soal Dewi sambil tersengih menampakkan sebaris giginya yang cantik.
“Cakaplah”, balas Hatim pendek sambil turut
tersenyum.
“Lain kali, gambar dekat WhatsApp tu, janganlah
guna gambar yang over sangat filter nya! Hahaha!”, berdekah tawa mereka
berdua.
“Awak guna apps apa? Sampai nampak macam
Fattah Amin!” tambah Dewi lagi membuatkan mereka berdua terus ketawa dan menambah
kemeriahan suasana dalam kafe itu pada petang ini.
++++++
Terima kasih pada yang sudi singgah dan baca cerpen aku, untuk membaca cerpen-cerpen aku yang lain, boleh klik di SINI 😙
PS: Tidak dibenarkan untuk kongsi tanpa kredit kepada blog ini dan penulisnya. Tidak dibenarkan untuk mencetak atau mengeluarkan mana-mana bahagian dalam isi kandungan cerpen tanpa kebenaran penulis. Berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.
12 Comments
pagi subuh duk ralit baca cerpen syaz
ReplyDeleteTerima kasih kak PI sudi baca cerpen2 saya 😊
DeleteOh edna tu memilihla plak, tapi yelah..org cantik, ada kedudukan...betullah mesti nak cari yg sepadan.
ReplyDeleteKita tunggu plak kisah hatim dgn najah ye..
Insyaallah 😊
DeleteTerima kasih kak sudi baca dan komen 😊
tetiba imagine mcm manalah rupa si hatim ni... hodoh sgt x mungkin pulak kan?
ReplyDeleteMuka beshe2 je kot, manis2 gitu hehehe
Deleteterima kasih bagi baca cerpen ni.. dulu selalu baca cerpen dalam media hiburan hehe
ReplyDeleteHehe terima kasih nard sudi baca an komen, nanti baca lagi tau hehehe
DeleteMujurlah Hatim tak terus kahwin dengan Edna. Edna pun terdesak sangat kan. Nanti mesti Hatim berjodoh dengan Najah ni. :)
ReplyDeleteEdna risau orang sekeliling mengata dia hehe.. Hatim pulak memang suka bagi nasihat free 😜
DeleteTerima kasih Fiza sudi baca dan komen 😘
hahaha apa hal la pakai filter teruk sngt !! hahaha kan expectation dah tinggi
ReplyDeletedia rasa dia tak hensem la kot ahahah
DeleteTerima kasih atie sebab selalu baca dan komen ;)
Setiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di syaznirahim@gmail.com :)
Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at syaznirahim@gmail.com :)
Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.
What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.