Adakah Islam Membenarkan Prosedur Membuat Lesung Pipit?

 

Lesung pipit pemanis wajah


Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah seseorang itu membuat lesung pipit palsu dan adakah ia termasuk dalam pembedahan kosmetik yang dibenarkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Lesung pipit

Lekuk kecil di pipi adalah kesan daripada kecacatan genetik pada otot wajah Zygomaticus Major di mana ia terbelah kepada dua bahagian ketika masih dalam janin lagi. Akibat pembelahan secara semula jadi pada otot wajah itu, proses ini membuatkan ia lebih pendek berbanding normal sekali gus menyebabkan muncul sesuatu yang mungkin lebih popular dengan istilah lesung pipit.

Lesung pipit (lekukan pada pipi) lazimnya berlaku dalam keluarga, dan sifat ini diandaikan diwarisi. Lesung pipit biasanya dianggap sebagai sifat genetik yang dominan, yang bermaksud bahawa satu salinan gen yang diubah dalam setiap sel adalah mencukupi untuk menyebabkan lesung pipit. Walau bagaimanapun, sesetengah penyelidik mengatakan bahawa tidak ada bukti bahawa lesung pipit diwarisi. Sedikit penyelidikan telah dilakukan untuk meneroka genetik lesung pipit dan tidak diketahui gen atau gen yang mungkin terlibat.

Lesung pipit adalah anomali otot yang menyebabkan lekuk di pipi, terutamanya apabila individu itu tersenyum. Sesetengah orang mempunyai lesung pipit di kedua-dua pipi, sesetengah yang lain pula hanya di sebelah pipi. Bayi berkemungkinan mempunyai lesung pipit yang disebabkan oleh lemak bayi di pipi mereka. Apabila mereka kehilangan lemak bayi tersebut apabila mereka semakin tua, lesung pipit mereka hilang. Kanak-kanak lain tidak mempunyainya semasa lahir tetapi mungkin membentuknya pada zaman kanak-kanak. Pada sesetengah orang, lesung pipit hanya bertahan sehingga mereka mencapai usia remaja atau awal-awal usia dewasa, manakala pada sesetengah orang lain ia mungkin akan kekal seumur hidup.

Pembedahan Penciptaan Lesung Pipit

Menurut James M. Pearson, pembedahan penciptaan lesung pipit, atau dimpleplasty, dilakukan dalam persekitaran pejabat hanya dengan menggunakan bius lokal dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk dilakukan. Prosedur lesung pipit melibatkan pembentukan lekatan antara kulit dan otot pipi. Apabila otot mengecut semasa tersenyum, lekukan berlaku pada kulit di atasnya. Setelah sembuh, tisu parut secara kekal menyambung kulit dan otot di bawahnya dan mencipta lekukan apabila otot bergerak, satu proses yang sama tetapi tidak betul-betul sama dengan mekanisme normal pembentukan lesung pipit semula jadi.

Dr. Sanjay Saraf pula menyebutkan, pembedahan untuk membuat lesung pipit adalah prosedur pesakit luar (tanpa perlu diwadkan) yang mudah dan dilakukan hanya dengan bius lokal. Lesung pipit dibentuk dengan bantuan instrumen biopsi tebuk melalui pendekatan intraoral di mana teras bulat yang terdiri daripada mukosa, lemak submukosa, dan otot pipi dibuang (melalui tebukan) meninggalkan lapisan kulit. Ini mewujudkan kecacatan berbentuk silinder cetek di bawah lapisan kulit. Jahitan kemudian dilakukan melalui otot pipi pada satu belah kulit dimana kecacatan itu terhasil, kemudian melalui lapisan dermis kulit dan akhirnya melalui otot pipi di sebelah satu lagi kecacatan tersebut. Simpulan jahitan itu kemudiannya diikat dan ini membentuk lesung pipit pada permukaan kulit.

Biasanya, pembedahan lesung pipit adalah prosedur yang sangat selamat, tetapi seperti mana-mana prosedur pembedahan lain, beberapa risiko tetap wujud. Risiko pendarahan semasa atau selepas pembentukan lesung pipit agak rendah. Jangkitan sangat jarang berlaku dan risiko ini diminimumkan dengan penjagaan kebersihan mulut dan pengambilan antibiotik yang betul. Risiko kecederaan pada jaringan saraf bukal muka adalah sangat jarang berlaku. Walau bagaimanapun, kenalpasti awal dan pengurusan komplikasi adalah penting untuk mengelakkan hasil estetik yang tidak cantik akibat daripada prosedur tersebut.

Risiko atau kesan yang mungkin berlaku selepas prosedur dimpleplasty. Di antaranya:

  • Penampilan lesung pipit cacat.
  • Infeksi kuman di tempat pembedahan.
  • Bengkak di sekitar kawasan pipi.
  • Nanah di sekitar kawasan pipi.
  • Kecederaan atau pendarahan tanpa henti.
  • Kesukaran membuka serta menutup mulut.
  • Kewujudan parut yang kekal.
  • Kerosakan sistem saraf muka.
  • Peningkatan risiko kanser kulit.

Hukum prosedur dimpleplasty

Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Dr. Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya: “Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  • Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  • Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  • Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Kesimpulannya

Justeru, berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa prosedur penciptaan lesung pipit, atau dimpleplasty adalah haram dan tidak termasuk dalam pembedahan kosmetik yang dibenarkan syarak. Hal ini kerana jelas ia termasuk dalam bentuk pengubahan yang dilarang oleh syarak. Apatah lagi tujuan prosedur itu adalah semata-mata untuk kecantikan tambahan dan bukannya kerana rawatan ataupun keperluan mendesak. Selain itu, ia juga terdedah kepada risiko atau implikasi bahaya selepas prosedur, sedangkan pada asalnya ia bukanlah suatu keperluan pun untuk melakukannya.

Ini juga selari dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duwali dalam persidangan mereka yang ke-18, di Putrajaya, Malaysia, dari 24-29 Jamadil Akhir 1428 Hijrah, bersamaan dengan 9-14 Julai 2007 khususnya berkaitan tajuk: “Al-Jirahah al-Tajmiliyyah wa Ahkamuha (Pembedahan Kosmetik dan hukum-hukumnya).” Di antara keputusan tersebut adalah tidak boleh melakukan pembedahan kosmetik yang tidak termasuk dalam rawatan perubatan dan bertujuan untuk mengubah kejadian yang asal (normal) kerana menurut hawa nafsu dan keinginan meniru orang lain seperti pembedahan mengubah bentuk muka supaya kelihatan dengan penampilan tertentu, atau bertujuan menipu dan menyelewengkan keadilan, mengubah bentuk hidung, membesarkan atau mengecilkan bibir, mengubah bentuk mata dan membesarkan tulang pipi.[6]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a‘lam.

SUMBER MAKTABAH AL-BAKRI


Post a Comment

2 Comments

  1. Waww, belum pernah dengar lagi ada lesung pipit buatan, anyway good sharing, TQ

    ReplyDelete

Setiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di syaznirahim@gmail.com :)

Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at syaznirahim@gmail.com :)

Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.

What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.