Search This Blog

Tuesday, September 1, 2020

Seperti Yang Awak Mahu | Fiksyen

 Mulai hari ni, rasa nak kembali menulis macam masa remaja-remaja dulu.

Dulu teringin nak jadi penulis.

Jadi, mulai akan share cerpen hasil nukilan sendiri di blog ini.

Saja cuba-cuba menulis, mana tau terus menerus dapat ilham hehe..

Selamat Membaca 😉


SEPERTI YANG AWAK MAHU


Angin malam yang bertiup lembut menyapa wajah Mayah, terasa begitu dingin sekali. Sejuk yang menggigit hingga ke tulang hitam. Hati Mayah walang sekali. Malam ini merupakan malam hari ulangtahun kelahiran anak tunggalnya ini.

Kelopak air jenih yang ditahan sekian lama mula bertakung di pinggir mata. Kemilau cahaya dari bandaraya Kuala Lumpur yang indah langsung tidak memberi walau secalit rasa gembira dihati Mayah ketika ini. Sesungguhnya tahun ini amat berbeda dengan tahun-tahun sebelumnya.

Skrin telefon bimbit yang dipegang sedari tadi kembali direnung. Berselang-seli ibu jari dan telunjuk tangan kanan Mayah mengusap potret-potret anaknya Mimi yang terpampang di skrin. Kenangan peristiwa yang berlaku lebih kurang tiga bulan yang lepas kembali bermain di minda Mayah.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Apa yang awak perkatakan ini Mayah?  Dah habiskah fikiran awak?”, berombak dada Busrain menahan sejuta rasa yang tidak mampu diterjemah tatkala Mayah menyatakan hasratnya itu. Sudahlah lelah seharian memerah keringat bekerja siang tadi masih belum hilang, baru seketika berkesempatan untuk mengisi perut, Mayah lantas melenyapkan terus seleranya.

“Betul bang, Mayah serius”, balas Mayah perlahan, tanpa memandang walau pada satu titik pun di wajah Busrain. “Tapi kenapa Mayah? Apa salah abang? Kurangkah apa yang abang beri pada Mayah selama ini?”, ketar jari jemari Busrain menahan emosi yang mula terasa meranjau di dada.

Wajah Mayah tenang, kelihatan polos. Tiada langsung riak kesal atau rasa bersalah pada Mayah. Mayah tekad untuk mengakhiri hubungan perkahwinannya dengan Busrain yang telah bertahan selama hampir sedekad ini. Melihatkan reaksi Busrain, Mayah bingkas bangun dari kerusi. Suasana yang sengaja Mayah biarkan suram pada malam ini menambah kesebalan dihatinya.

Sejujurnya Mayah memang sudah tidak ada walau secebis hati pun lagi pada Busrain. Jika difikirkan, Busrain memang seorang suami yang baik dan bertanggungjawab. Adalah kurang sedikit sebanyak namun Mayah pun bukanlah sesempurna bidadari kayangan. Namun hatinya sudah tawar pada insan yang dahulu dikasihi sepenuh jiwa raga itu. Saat ini, Mayah hanya ingin lepas bebas dan tidak terikat dengan lelaki itu lagi.

Ketika kaki kanan Mayah mula memijak anak tangga pertama rumah mereka, sempat Mayah melirik pada cermin dinding yang terlekat kemas di hadapan tangga itu. Busrain kelihatan sedang termenung jauh memandang kosong ke hadapan, kaku dan kehilangan kata-kata. Borang permohonan penceraian yang dihulurkan Mayah pada Busrain sebentar tadi masih tidak berganjak dari kedudukannya. Mayah menghela nafas yang panjang, dalam hatinya berharap amat Busrain setuju.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Bagitau abang sayang, apa puncanya permintaan Mayah ini? Mungkin abang terlalu yakin kita bahagia, terlalu buta dengan tindak tanduk yang abang rasakan sudah cukup sempurna, sehinggakan abang tidak menyedari ada sudut lompong yang abang terlepas pandang. Abang mahu selamatkan rumahtangga kita Mayah, abang sayangkan Mayah, abang sayang kita!”, menitis jua akhirnya airmata jantan Busrain pada pagi ini, berusaha memujuk dan merayu Himayah, buah hatinya nan seorang.

“Puas abang berfikir siang dan malam mencari di mana silap abang sejak Mayah menghulurkan borang permohonan cerai dua hari yang lepas. Curangkah abang? Jauh sekali. Jika diturutkan hati, mahu saja borang itu abang siat-siat dan bakar biar jadi debu yang hancur, sehancur hati abang!”, teresak-esak Busrain memujuk rayu Mayah.

Mayah boleh melihat dengan jelas airmata yang membasahi wajah Busrain. Mayah juga sedar, tidak pernah walau sedetik Busrain menyangka Mayah akan meminta untuk memutuskan tali janji mereka berdua. Namun hatinya sudah jelak.

Mayah menyentap tangannya dari genggaman Busrain. Mayah berpaling dari memandang mata Busrain yang berkaca-kaca. Jengkel sungguh rasa hati Mayah, tidak menyangka Busrain akan bersedihan begini. Bukankah lelaki selalu digambarkan sebagai insan yang kuat dan kering hati. Kenapa Busrain beria-ia menangis?

Mata yang pernah membuatkan Mayah tidak lena tidur sewaktu zaman bercinta dulu, mata yang bulat dan bersinar hitamnya kini tiada seri lagi. Hanya terlihat kesengsaraan dari mata itu yang mengharapkan sesuatu dari Mayah yang sudah tidak boleh diberikan lagi. Suatu rasa yang pernah Mayah berikan dengan ikhlas kepada lelaki ini, kini sudah tiada. Sungguhpun masih ada sisa, ianya tersangat pudar.

“Kenapa Mayah?”, Busrain masih menagih jawapan. Sungguh, dia mengharapkan semua ini hanyalah gurauan semata-mata.

“Rudy”. Balas Mayah ringkas dan bersahaja.

“Rudy? Rudy mana?”, terperanjat benar Busrain mendengar nama yang terbit dari bibir mungil isterinya itu.

“Rudy lah. Rasanya kita berdua hanya mengenali seorang Rudy sahaja”, Mayah memusingkan bebola matanya ke atas. Rimas sungguh Mayah memandang Busrain ketika ini. Kalau diikutkan hati, Mayah sudah tak mahu berbincang lagi berkenaan permintaannya untuk bercerai ini.

“Awak ada apa-apakah dengan Rudy? Sejak bila?”, suara Busrain semakin meninggi. Mayah terus membungkam. Rudy adalah bekas rakan sekelas Busrain sewaktu tingkatan lima. Pertama kali Mayah bertemu muka dengan Rudy adalah ketika majlis perkahwinannya bersama Busrain dahulu, selepas itu jarang sekali mereka bertemu dengan Rudy, sehinggalah Rudy kembali menetap di pekan ini beberapa bulan yang lalu selepas kematian isterinya.

Bermula dengan sapaan mesra di laman Facebook, keakraban Rudy dan Mayah semakin bertambah hari demi hari. Lebih-lebih lagi sifat Rudy yang romantic dan begitu mengambil berat tentang Mayah yang sering kebosanan dek tinggal sendirian di rumah pada siang hari sewaktu Busrain keluar bekerja.

“Sejak bila Mayah?!”, suara Busrain semakin tinggi. Badannya terketar menahan marah. Mayah hanya menjeling kepada Busrain. “Perlukah abang tahu?”, Mayah mendecit.

“YA!”, tengking Busrain. Tersentak Mayah dengan laungan suaminya itu. Seketika, kedengaran suara Mimi yang menangis di tingkat atas, mungkin terkejut mendengar jeritan suara ayahnya.

“Sepertimana minyak dan air yang tidak mungkin bersatu, begitulah hati saya sudah tidak mengingini abang lagi”, Mayah dan Busrain bertentangan wajah, terpancar api kebencian meluap-luap di sepasang mata Mayah sebelum dia bergegas mendapatkan Mimi. Busrain terpana dan bertambah gundah, bermundar-mandir di ruang tamu rumahnya sebelum terduduk dan menangis tiada berdaya.

 +++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Serapuh itukah setiamu Mayah, hanya dengan berbalas senyum dan bertanya khabar dirimu tergoda? Semudah itukah hatimu beralih, di kala kasihku masih utuh tercurah hanya padamu, Mayah?

Cuainya dirimu Mayah, merelakan hatimu dicuri dariku yang sesungguhnya berhak ke atasnya Mayah. Puas aku merayu, aku memohon maaf atas khilaf yang aku cari namun tidak kutemui. Tegarnya dirimu Mayah, gigih memasang pagar setebal yang mungkin demi menghalang kasihku menyentuh jiwamu lagi. Kerana di sebalik pagar itu telah kau hiaskan suatu tapak yang indah buat cinta barumu, Rudy. Walau penuh kegesaan. Seteguh karang yang sukar diasingkan dari dermaga, sepayah itulah  untukku melepaskanmu.

Demi kasih dan janjiku untuk senantiasa memastikan dirimu gembira, abang pasrah walaupun tidak ampuh merelakan kau pergi. Pergilah Mayah, kejarlah kebahagiaan barumu. Abang harap Rudy akan membahagiakanmu.”

Mayah mencebik seraya merenyukkan warkah yang ditinggalkan Busrain di atas meja. Bersebelahan dengannya, terletak kemas borang permohonan cerai yang Busrain telah pun tandatangan. Mayah menguntum senyum, hatinya berbunga-bunga. Rumah teres dua tingkat hasil perkongsian hidupnya dengan Busrain terasa kosong sekali ketika ini, sunyi. Kelibat suaminya yang seakan tidak diperlukan lagi itu langsung tidak kelihatan di mana-mana, namun Mayah buat tidak endah. Apa yang penting, Mayah mahu membawa Mimi keluar dari rumah ini secepat mungkin. Bencinya Mayah untuk berada di dalam mahligai cinta yang dibina Busrain ini lagi. Beg pakaian yang sudah siap dikemas disorong keluar dengan pantas. Jelek memikirkan untuk terus menghuni rumah ini.

 +++++++++++++++++++++++++++++++++++

Perkarangan mahkamah yang bakal menjadi saksi peleraian ikatan antara Mayah dan Busrain ini kelihatan tenang. Mayah tetap nekad memberikan jawapan untuk tidak lagi bersama Busrain ketika ditanya oleh suaminya itu sebaik bersua wajah pagi tadi. Kedua-dua mereka tidak banyak berbicara, cuma sesekali Mayah lihat Busrain menyeka air mata yang adakalanya membasahi pipinya. Seketika menanti, nama mereka berdua dipanggil oleh yang arif untuk tampil ke hadapan bagi meneruskan apa yang dihajati Mayah, namun sebelum itu, adalah wajar bagi yang arif agar mereka bermaafan dahulu.

Busrain merenung wajah isteri yang amat dicintainya tanpa jemu sejak dari hari pertama Mayah menyentuh jiwanya. Tangan Mayah digapai lalu digenggam kuat. Mungkin inilah kali terakhir Busrain layak untuk menyentuhnya. Mayah tersenyum kelat. Memandang Busrain pun acuh tidak acuh sahaja. Kalau pihak mahkamah tidak meminta mereka berdua untuk bersalaman dan bermaafan buat kali terakhir begini, Mayah tidak sudi lagi untuk menyentuh jari-jemari Busrain. Memandangnya pun Mayah tidak lagi berselera, apatah lagi berlaga kulit sebegini.

“Mayah, abang doakan Mayah berjumpa dengan apa yang Mayah cari, mungkin ia tiada di rumah kita, dan semestinya tiada pada abang. Abang ralat. Tapi abang redha. Abang ampunkan Mayah seluruhnya, abang juga pinta perkara yang sama dari Mayah. Abang akan pergi dari hidupmu Mayah, seperti yang awak mahu”, perlahan Busrain menuturkan ayat kasihnya pada Mayah bersaksikan tuan hakim dan saksi-saksi. Nyata Busrain sendiri tidak cukup kuat mengucapinya. Mayah mengangguk perlahan, hatinya kontang. Tiada lagi bunga cinta yang mekar untuk Busrain. 

“Himayah Ashraf, aku ceraikan kau dengan talak satu”. Mayah tersenyum bahagia seraya menjeling Busrain yang melawan lara di dalam hati.

 +++++++++++++++++++++++++++++++++++

Mayah mencuka memerhatikan Rudy yang berkerut dahinya seolah terlalu payah mencerna apa yang diungkapkan Mayah sebentar tadi. Mayah masih memegang kemas lengan Rudy, menanti jawapan balas dari lelaki yang diangaukannya itu. Bukan ini reaksi Rudy yang Mayah bayangkan. Bukan, bukan begini. Lebih-lebih lagi selepas apa yang Mayah sudah korbankan demi Rudy.

“Mimi kat mana sekarang?”, soal Rudy cuba berdalih. Mengelak untuk menjawab soalan Mayah yang pada Rudy hanyalah karut semata-mata. “Dengan Busrain. Busrain minta nak luang masa dengan Mimi hari ini”, balas Mayah ringkas, masih tidak berpuas hati dengan reaksi Rudy. “Oh..ok”, jawab Rudy ringkas sambil mengacau kopi di hadapannya yang masih berasap. “Rudy, jawablah!”, desak Mayah yang masih tegar memaut lengan Rudy. “Bukanlah secepat ini. Kita berdua ini belum pun kenal hati budi antara satu sama lain. Edah pun belum habis, sudah nak fikir pasal kahwin?”, Rudy jawab bersahaja. Sungguh dia tidak menyangka Mayah sebegitu serius tentang mereka berdua.

“Awak tahu kan saya minta dilepaskan dari Busrain kerana awak?!”, Mayah menjegilkan matanya memandang Rudy yang tidak memberikan respon seperti yang Mayah harapkan. Rudy mendecit, lengannya yang sedari tadi dipaut Mayah dilepaskan. Kopi yang masih panas dihirupnya perlahan.

“Rudy!”, jerit Mayah. Beberapa pelanggan lain di dalam bistro itu mula memandang ke arah mereka berdua. “Apa?! Janganlah buat kecoh di sini. Saya sekali pun tidak pernah berjanji mahu berkahwin dengan awak. Awak mohon cerai dari Busrain, saya tidak suruh. Itu idea awak, bukan saya”, balas Rudy bernada sebal. “Tapi, awak pernah kata yang awak cintakan saya!”, mata Mayah mula berkaca.

“Apa awak merapu ini Mayah. Seingat saya, saya cuma kata saya selesa bila bersama awak. Ya, saya sukakan awak. Tetapi sekadar sebagai kawan sahaja. Suka bukan beerti cinta. Cinta perlukan masa untuk dipupuk, bukan semudah petik jari”, terang Rudy panjang lebar.

“Apa yang awak katakan ini, Rudy?”, Mayah seolah keranjingan, terasa seperti jantungnya disesah tanpa belas kasihan. Apakah selama ini Mayah menyalah tafsir segalanya?

“Awak yang sudi meluangkan masa untuk melayan saya dikala saya sunyi seorang diri di rumah. Awak yang tanpa jemu menghubungi saya. Ya, saya hargai semua itu dan akui selesa dengan awak, namun bukanlah beerti kita boleh melangkah lebih jauh. Selesa, tidak semestinya sesuai. Saya tak rasa kita serasi untuk hidup bersama, Mayah”, tenang nada Rudy menuturkan kata-kata sambil memegang kemas kedua-kedua bahu Mayah.

Mayah menepis tangan Rudy sekuat hati sambil akalnya menafsir jenakarama apakah yang sedang Rudy persembahkan tatkala ini. Nafasnya dirasakan ketat dan perit memerhatikan Rudy yang langsung tiada riak bersalah sambil mengunyah kentang goreng yang sudah mulai sejuk dihadapan mereka. Rudy tahu Mayah sedang merenung wajahnya dengan amarah, tapi Rudy buat tak endah.

Berbekalkan hati yang tercalar parah, Mayah melangkah pergi meninggalkan Rudy sendirian, manakala Rudy hanya memandang dengan tiada sebarang rasa untuk mengejar Mayah.

 +++++++++++++++++++++++++++++++++++

Dunia Mayah menjadi gelita dan nyenyat sekali, menimbulkan rasa nyeri ke segenap otot tubuhnya. Fikiran Mayah penuh celaru dan buntu. Justeru Mayah memandu keretanya tanpa hala tuju bersama air mata yang merambu-rambu membasahi wajahnya. Soalan demi soalan bertubi-tubi menghenyak benaknya ketika ini. Mengapa dengan naifnya dia tidak mendapatkan kepastian itu dari Rudy sebelum beria-ia ingin berpisah dengan Busrain? Kenapa dia menjadi tidak keruan sebegitu sekali akibat perasaan cintanya yang sarat terhadap Rudy? Kenapa sebegitu mudah dia tewas kepada bisikan syaitan yang sememangnya sudah berjanji untuk menyesatkan manusia sehingga ke akhir masa? Kenapa mata menjadi buta sehingga tidak terlihat semua itu tidak setulus kasih Busrain? Ya Allah, masihkah ada ruang pengampunan buat Mayah?

Di saat ini, Mayah benar-benar menyesali perlakuannya terhadap Busrain. Hatinya merintih sedih.

Abang, maafkan Mayah kerana terleka. Mayah silap. Mayah salah abang, Mayah terpedaya dengan kilauan kaca sehingga terlupa pada permata dalam genggaman Mayah!

Sejenak telefon bimbit Mayah berdering sekaligus mematikan lamunannya. “Hello Mayah, cepat datang sini”, hanya kedengaran bungi suara tangisan yang tenggelam timbul di hujung sana. Butiran yang diperkatakan oleh si pemanggil tidak begitu jelas namun Mayah dapat menangkap yang dia dipinta untuk segera hadir ke Hospital Besar.

 +++++++++++++++++++++++++++++++++++

Salam takziah Mayah. Saya juga ingin meminta maaf di atas segala salah faham yang berlaku antara kita. Saya berjanji untuk tidak  mengganggu awak lagi. Jaga diri.

Tetingkap kiriman Whatsapp dari Rudy segera Mayah padamkan. Hatinya nanar. Apa yang telah berlaku semalam masih lagi seperti mimpi ngeri yang Mayah harapkan segera hilang. Seorang demi seorang yang turut datang menghantar jenazah Busrain dan Mimi untuk pengkebumian hari ini, berlalu pulang. Segala pelukan dan ucapan takziah, menambah rengsa di jiwa Mayah yang terasa kosong. Mayah terpaku, matanya masih tertancap ditimbunan tanah rumah abadi bekas suami dan anak tunggalnya yang disemadikan di lahad yang sama. Sukar untuk Mayah menelan kisah Busrain dan Mimi yang terbabit dengan kemalangan jalan raya semalam, dan kecelakaan itu mengakibatkan kedua-duanya pergi meninggalkan Mayah serta-merta di tempat kejadian.

Pergi tanpa pesan. Lenyap dikala Mayah dimamah nanah dosa. Dosa meminggirkan kasih Busrain dan mengabaikan Mimi sepanjang berkasih penuh noda bersama Rudy. Mengenangkan semua itu, Mayah menangis semahu-mahunya. “Seperti yang awak mahu..”,dan kata-kata terakhir Busrain sebelum melafazkan talak kepada Mayah tempohari terus terngiang-ngiang menghantui Mayah.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Syazni Rahim
31082020

PS: Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.

36 comments:

  1. CERPEN MENARIK..SEDIH KISAHNYA...KESILAPAN YG DISESESALI AMAT...TERUSLAH BERKARYA..SYAZ PENULIS BERBAKAT

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Kak PI, doakan saya terus diberi idea untuk menulis :)

      Delete
  2. Wah...sama mcm akak. Dulu dah pernah karang novel sendiri. Mai kawin semua lempar ketepi.
    Tahniah Shaz ada bakat.

    ReplyDelete
  3. uishhh tak sangka ada bakat menulis...dulu saya pun pernah jugak menulis novel2 untuk bacaan kawan2 aje..hihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hihi.. dah lama saya tak menulis, terasa nak mencuba sekali lagi :D

      Delete
  4. Sedih betul ending dia..andai masa dapat dipatah balik mesti Mayah nak tebus balik kesilapan dia. Berbakat tau tulis novel :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Seribu sesalan Mayah..
      hihi terima kasih sudi baca ;)

      Delete
  5. sedih.... cuma nama watak tu tak berapa moden heheheh... memang ada bakat menulis ini... saya bagi 5 bintang

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sudi baca ;)
      Alamak ok2 nanti saya cari nama modern sikit haha!

      Delete
  6. Wau...tahniah, cerpen yg sangat menarik syaz dan penuh pengajaran, dan ada realiti masakini..
    Tulis lagi ye, seronok akk baca.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih kak sudi baca ;)
      insyaallah ada masa saya tulis lagi hehe

      Delete
  7. geram la dengan perempuan macam ni. Pantang tengok lelaki elok sikit dah rasa tak sayang suami depan mata.

    Ni bukan cerpen biasa2 ni.. Ni yang selalu terjadi dalam masyarakat kita sekarang..

    Tak sangka ada bakat menulis cerpen rupanya.. Best pulak tu. Macam penulis profesional la..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hihi amatur ni kak Diana, terima kasih sudi baca ;)

      Delete
  8. Wah.... Shaz kena ada blog khas untok cerpen... Ataupon buat sub content...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ok jugak cadangan uncle tu, insyaallah kalau dah ada banyak cerpennya hihi

      Delete
  9. Wah! Tak sangka Shaz ada bakat menulis.
    CP setuju dengan cadangan Uncle Gedek untuk Syaz wujudkan blog khas untuk cerpen :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe baiklah, insyaallah boleh ada blog khas cerpen jika terus ada idea menulis cerpen :D

      Delete
  10. Wah..berbakat Syaz ni 👏🏽👏🏽👏🏽
    Cerita pun bagus, ada pengajaran untuk pembaca.

    ReplyDelete
  11. Wau ayat bersusun cantik.. biasa berapa lama amik masa karang cerita ini

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sudi baca, masih banyak saya kena belajar, Untuk Seperti Yang Awak Mahu ni, 1 malam :)

      Delete
  12. Terbaek. Selamat berkarya.

    Jemput join giveaway ✌️

    Jemput join GA --> Giveaway by ejulz & wafacw

    ReplyDelete
  13. Tahniah...flowing..kena asah bakat yg ada..keep up the good work..

    ReplyDelete
  14. wah pandainya bermaian dgn kata2.. karya best

    ReplyDelete
  15. go go syaz..tulis lg..tp betul kata uncle..kena ade blog khas utk karya syaz ni :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih shida, insyaallah akan buat blog asing lepas dah banyak isinya sikit hehe

      Delete

Ada apa-apa nak tulis? ;)

Premium Flexible Related Post Widget for Blogger – Blogspot

Ya it's me