Hukum Marhaban Ketika Cukur Rambut Bayi Baru Lahir

Marhaban adalah dalam bentuk syair yang sering dipersembahkan pada majlis-majlis keramaian

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum marhaban (selawat) untuk anak baru lahir, upacara cukur rambut dan kemudian berat rambut ditimbang di kedai emas? Ini kerana, ada asatizah yang mengatakan haram kerana di dalam majlis bacaan marhaban tersebut ada lelaki dan wanita dan ada pula yang mengatakan harus.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Takrif Marhaban

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, marhaban bermaksud  puji-pujian yang dilagukan untuk memuji-muji Nabi SAW (pada perayaan Maulidur Rasul dan lain-lain). Bagi masyarakat nusantara perkataan Marhaban diambil  daripada perkataan Arab ‘ahlan wa sahlan’ yang membawa maksud ucapan ‘selamat datang’ mengalu-alukan kedatangan tetamu. 

Gambar Hiasan

Marhaban adalah dalam bentuk syair yang sering dipersembahkan pada majlis-majlis keramaian dan keraian seperti majlis perkahwinan, naik buaian/berendoi, cukur jambul bayi, majlis aqiqah, dan meraikan bulan Syawal dalam takwim Islam. Syair yang paling popular adalah daripada kitab ‘berzanji’ di samping kitab-kitab lain seperti Maulid al-Diba’ie, Maulid al-Habshee dan Qasidah Burdah. Marhaban dialunkan sambil berdiri dengan penuh semangat sebagai tanda hormat kepada baginda Rasulullah SAW.

Berkenaan isu di atas ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian yang sebaik-baiknya dilihat dengan neraca ilmu. 

  • Pertama, bahasa yang digunakan dan ayat-ayat tersebut di dalam marhaban biarlah bersandarkan kepada ilmu atau rujukan yang sahih.
  • Kedua, elakkan daripada percampuran lelaki dan wanita dalam erti kata lain, suara wanita diangkat tinggi di khalayak lelaki perlualah dielakkan.
  • Ketiga, saya syorkan wanita boleh bermarhaban bersama mereka dan di kalangan mereka untuk keluar daripada khilaf. Ini jauh lebih baik. 
  • Keempat, menzahirkan kesyukuran merupakan sunnah Rasulullah SAW lebih-lebih lagi apabila dikurniakan anak dengan cara aqiqah, tahnik dan doa mendoakan di samping sedekah serta infak duit kepada fakir miskin. Antara sunnah Nabi SAW apabila mendapat zuriat, sunat didoakan seperti berikut:

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ فِي الـمَوْهُوبِ لَكَ، وَشَكَرْتَ الوَاهِبَ، وبَلَغَ أشُدَّهُ، وَرُزِقْتَ بِرَّهُ

Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu dengan anugerah yang dikurniakan kepadamu, agar engkau mensyukuri Yang Maha Pemberi, semoga anak ini membesar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya, dan agar engkau direzekikan dengan anak itu berbuat baik kepada ibu bapanya.” 

Imam al-Nawawi dalam al-Azkar (hlm. 349) dan Imam Ibn al-Qayyim dalam Tuhfat al-Maudud (hlm. 35) menisbahkan doa ini kepada Hasan al-Basri. Ia asalnya diriwayatkan oleh Ibn al-Ja’d dalam Musnadnya, Ibn Abi al-Dunya, Abu Bakar Ibn al-Munzir dalam al-Awsat dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil.

Dalam al-Futuhat al-Rabbaniyyah ‘ala al-Azkar al-Nawawiyyah, Ibn ‘Allan al-Syafi’i menjelaskan maksud Imam al-Nawawi ini. Beliau berkata:

Imam al-Nawawi tidak menyebut dari manakah riwayat tersebut dikeluarkan. Ulama’ lain menyebut bahawa yang mengatakan seperti itu adalah al-Hasan. Imam al-Suyuti dalam Wusul al-Amani bi Usul al-Tahani mengatakan bahawa riwayat tersebut dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir daripada Kulthum Ibn Jausyan, katanya: “Seseorang pernah datang menemui al-Hasan dan orang tersebut baru sahaja dikurniakan seorang anak. Lalu dia berkata kepada al-Hasan: “Wahai Abu Sa’id, apa yang akan engkau ucapkan?” Lalu al-Hasan pun berkata: ‘بورِك لك في الموهوب، وَشَكَرتَ الواهب، ورزققت برَّه، وبلغ أشُدَّه’ (Semoga anak yang diberikan kepadamu diberkati. Semoga engkau juga bersyukur kepada Yang Memberi. Dan semoga engkau dikurniakan kebaikannya dan dia dapat mencapai dewasa).

Al-Tabarani mengeluarkan dalam al-Du’a daripada jalur al-Yasri bin Yahya, dia berkata bahawa ketika seseorang dikurniakan seorang anak, al-Hasan al-Basri mendoakannya dengan doa: ‘جَعَلَهُ اللهُ مُبَارَكًا عَلَيْكَ وَعَلَى أُمَّةِ مُحَمَّدٍ’ (Semoga dengannya Allah memberi keberkatan untukmu dan untuk umat Muhammad SAW). 

Ibn ‘Alan berkata: Jika kita perhatikan riwayat pertama dan riwayat kedua yang secara jelas menyebut sebagai perkataan al-Hasan al-Basri, maka kita dapat pastikan bahawa yang dimaksudkan daripada riwayat di atas daripada al-Hasan al-Basri (bukan daripada al-Hasan bin ‘Ali) kerana kuniyah al-Hasan al-Basri ialah Abu Sa’id manakala nama kuniyah al-Hasan bin ‘Ali ialah Abu ‘Abdillah. Yang menegaskan bahawa yang dimaksudkan tersebut adalah al-Hasan al-Basri ialah al-Auza’i. Akan tetapi dalam kitab al-Tuhfah oleh Ibn Hajar, tetap dikatakan bahawa yang dimaksudkan ialah al-Hasan bin ‘Ali. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 6/74)

Syeikh Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qahtani menjelaskan: Ungkapan ‘بَارَكَ اللَّهُ لَكَ فِي الـمَوْهُوبِ لَكَ’ bermaksud semoga Allah memperbanyak kebajikanmu atas kelahiran anakmu.

Ungkapan ‘وَشَكَرْتَ الوَاهِبَ’, maksudnya, semoga Allah menjadikan kamu orang yang redha atas apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadamu, lalu kamu bersyukur memuji-Nya. 

Ungkapan ‘وبَلَغَ أشُدَّهُ’ maksudnya semoga ia lekas membesar menjadi dewasa, kuat dan panjang usianya sehingga dia dapat membantu dalam segala urusanmu. Ungkapan ‘وَرُزِقْتَ بِرَّهُ’ yakni semoga Allah menjadikannya anak yang taat kepadamu. (Lihat Syarh Hisn al-Muslim, hlm. 195)

Semoga Allah SWT menjadikan zuriat kita dalam kalangan orang-orang yang soleh dan solehah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa

(Surah al-Furqan:74)

SUMBER

Post a Comment

3 Comments

Setiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di syaznirahim@gmail.com :)

Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at syaznirahim@gmail.com :)

Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.

What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.