Pages

Search This Blog

Showing posts with label atok. Show all posts
Showing posts with label atok. Show all posts

Friday, June 5, 2020

Dia pemandu teksi kesayanganku

-Circa 1993 - 1996-


Lambat

2.10pm.

Aku yang baru belajar membaca waktu di jam tangan analog pada ketika itu. Seperti hari-hari kebiasaan, cuaca memang panas pada waktu-waktu petang begini. Berteduh pula di bawah sebatang pokok yang masih di tahap remaja umurnya, dengan daun yang tidaklah begitu rimbun, memang menambah bahang yang dirasa.

Jalan utama di hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya itu lengang. Berbeza dengan ketika aku keluar dari bilik darjah tadi. Hiruk pikuk, dan penuh dengan kereta-kereta ibubapa yang datang menjemput anak masing-masing. Ada juga budak kelas aku yang tidak dijemput ibubapa, tapi pemandu peribadi yang datang. Status sosial kanak-kanak yang bersekolah disini boleh tahan jugak tau!

"Mana atok ni. Dah sejam Nie tunggu atok kat sini. Selalu atok mesti sampai dalam pukul 1.30", aku mula berdiri, tak nak lagi aku bersila di atas rumput bawah pokok tu.

Hati kanak-kanak aku dah mula risau, tak, aku tak risaukan langsung keselamatan atok. Aku masih kecil masa tu, aku tak pernah fikir atok akan ditimpa musibah semua tu, tak tercapai lagi dek akal aku masa tu.

Apa yang aku risau?

Aku risau atok lupa. Ya, aku syak atok terlupa nak ambil aku. Sebab atok leka bawak teksi.

Berbekalkan syak wasangka yang naif tu, aku pikul beg sekolah, aku mula berjalan kaki.

Macam yang aku cerita dulu, masa zaman sekolah rendah ni, aku tinggal di Flat Sri Pahang masa mak dan abah aku pergi kerja. Setiap pagi, atok akan hantar aku ke sekolah, dan akan jemput lepas sesi persekolahan tamat. Sementara aku kat sekolah, atok sebenarnya adalah seorang pemandu teksi.

Jarak sekolah aku dengan flat adalah lebih kurang 5 minit naik kereta. Boleh tahan dekatnya.

Maka disebabkan jarak yang dekat tu, aku selalu rasa, aku mampu nak berjalan kaki dari sekolah tu, balik ke flat.

Dan, disebabkan juga kerisauan aku yang atok dah terlupa nak ambil aku tu, aku pun mengambil keputusan untuk berjalan saja pulang ke rumah nenek.

Dalam perjalanan, aku jumpa dengan satu public phone. Aku seluk poket pinafore sekolah aku, ada baki syiling lebihan duit belanja yang mak bagi pagi tadi. Beg sekolah aku campak ke rumput, perlahan-lahan aku dail nombor telefon rumah nenek. Nak pastikan yang atok betul-betul ada kat rumah, dan dia memang lupa dah kat cucu sulung dia ni.



"Hah, kenapa kau telefon ni?", tanya nenek sebaik saja aku cakap hello.

"Atok tengah buat apa? Atok lupa jemput Nie ni nek"

"Apa?? Mana ada atok kau kat rumah ni! Kau jangan pergi mana-mana, tunggu balik bawah pokok tu!", nenek sempat memarahi aku walaupun dari nada suara dia, dia kedengaran risau.


Aku serba salah. Panas ni. Nak tunggu sampai bila?

Sebaik gagang aku sangkut balik, aku ternampak teksi atok membelok laju. Muka atok cemas. Aku boleh nampak muka atok kemerah-merahan, lagi pun masa tu, atok tak tutup tingkap.

Sebaik saja dia ternampak aku dekat public phone tu, dia terbrek mengejut. Mujur tak ada kereta lain kat belakang teksi dia.

"MASUK!", atok meninggikan suara. Jarang sekali atok marah aku, tapi kalau dia dah marah ni, faham-faham lah, big trouble!


"Kan atok dah kata, jangan pergi mana-mana!", atok melepuk lengan aku sebaik saja aku duduk di sebelah dia. Aku mula cebik, dan aku menangis.

Sudahlah aku kepanasan, kena marah pulak. Fikir aku masa tu.

Atok diam je sepanjang lima minit perjalanan ke rumah. Sesekali aku tengok, dia mengurut dada.

Sampai di perkarangan letak kereta, aku terus naik tanpa tunggu atok.
Aku merajuk. Bagi aku masa tu, aku tak salah. Atok yang salah, sebab dia lambat.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Aku terus masuk ke bilik air untuk mandi. Niat sebenar, aku nak sambung menangis dalam bilik mandi.

Dari dalam bilik mandi, aku dengar atok dah sampai ke rumah. Nenek dari tadi cuma bereaksi biasa, aku pun tak cerita yang aku kena marah dengan atok.


"Nie telefon tadi, dia takut atok lupa dia kata", nenek memberitahu atok.


"Melampau budak tu, dia dah sampai simpang tepi petronas"

"Ya Allah, iya ke tok? Aku ingat dia telefon dari dalam sekolah! Ya Allah.."

"Iya. Geram betul aku. Nasib baik dia tak apa-apa masa lintas jalan besar nak sampai ke pondok telefon tu, kereta sentiasa banyak", ya, aku terbayang masa aku melintas tu, aku lari je sampai kena honk dengan beberapa kereta.

"Kau lambat kenapa, tok?", tanya nenek.

"Ada orang nak pergi Bangi, aku dekat UIA masa tu. Aku ingat sempat.."


Sumpah, masa ni, aku memang tak tau Bangi tu jauh dari Bangsar..


Gambar pinjam dari blog orang: http://ayerlamned.blogspot.my/

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++



Duduk atas baldi

Senario yang lebih kurang sama dengan cerita di atas.
Keluar dari pagar sekolah, tunggu atok bawah pokok remaja tu.
Cuaca sama, panas.


Yang membezakan senario kali ini dengan cerita di atas, adalah pada pagi tadi, aku bangun lambat.
Mandi dan bersiap dalam keadaan yang pantas dari biasa.
Manakan tidak, nak bertolak dari Balakong ke Bangsar pun dah mengambil masa yang lama, belum campur jalan sesak dan sebagainya.


"Mana atok ni..", aku gelisah. Jam analog di pergelangan tangan aku menujukkan waktu 1.30pm. Tak adalah lambat mana kalau diikutkan, kereta-kereta ibubapa yang lain pun masih ada menjemput anak masing-masing.

Kedua-dua tangan aku tekupkan ke perut. Tali pinggang pinafore ku tanggalkan, aku masukkan dalam beg sekolah.

Aku tidak keruan.
Sekejap aku berdiri.
Sekejap aku duduk.
Sekejap aku berjalan-jalan mundar-mandir mengelilingi pokok remaja tu.
Sekejap aku buat-buat belek buku cerita yang aku bawak ke sekolah.

Peluk mula merecik di dahi, lebih dari kebiasaan.

Kentut? Dah lebih dari sepuluh kali rasanya aku kentut.
Kentut yang 'panas' tu, yang memang menandakan, sikittttt je lagi, angin akan keluar bersama objek lain.

Semuanya sebab aku terlambat bangun.
Bukan je kena marah dengan mak, malah aku tak sempat berak pagi tadi.
T____T


Di saat-saat macam ni, masa terasa berlalu dengan lambat sekali..
tik....tok....tik....tok...

Arghh...
Atok cepatlah atok...

Dan, kudrat kanak-kanak aku tak mampu nak menahan objek tu lagi.

"Pruttt.."

Aku termelepas dalam spender.
Ya, seorang kanak-kanak perempuan comel yang memakai baju sekolah pinafore, berak dalam spender.
T_____T


Tak lama selepas tu, dalam beberapa minit je, atok pun sampai.
Aku bukak pintu belakang teksi hitam kuning tu, aku lempar beg sekolah ke atas tempat duduk.

Aku tau, aku tak boleh duduk atas seat sebelah atok.
Gila nak duduk, melepet la nanti!


"Atok..Nie berak dalam spender"

"Lailahaillallah... kenapa sampai terberak?"

"Nie tak tahan, pagi tadi tak sempat berak"

"Kenapa tak berak kat sekolah?"

"Nie malu..", ya, rasa tercalar ego seorang aku, bila kawan-kawan aku tau yang aku nak pergi berak nanti. Entahlah, mungkin masa ni aku fikir kawan-kawan aku keturunan yang tak ada bontot kot.


Atok turun dari kereta, dia bukak bonet belakang teksi dia. Dia keluarkan baldi kecil warna merah yang dah lusuh. Baldi tu dia selalu guna untuk isi air dan lap teksi dia setiap pagi. Aku tau, sebab setiap pagi bila aku sampai kat Bangsar, atok mesti tengah lap teksi dia bertemankan baldi kecil merah tu.

Atok bentangkan surat khabar atas seat sebelah dia, lepas tu dia letak baldi kecil merah tu.


"Hah, kau duduk atas ni. Duduk elok-elok, jangan jatuh, jangan jatuhkan taik kau!"

Maka aku pun duduk atas baldi selama lima minit sementara nak sampai ke rumah nenek.
Mencabar gila, terhuyung-hayang, dan yang paling challenging, bau. Huk huk..


++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

"Nek..oh nek! Bukak pintu cepat", aku mengetuk pintu laju-laju.

Aku malu, tadi masa naik lif, ada dua tiga makcik dan pakcik dalam tu yang tutup hidung. Diorang tertanya-tanya siapalah yang dalam lif tu yang busuk.

"Cucu pakcik ni ha, dia berak dalam seluar"

Dan, atok pun sangatlah jujur.
T____T

Berderai hilai tawa dalam lif tu tadi, aku tak mampu nak angkat muka.


"Apa yang macam nak roboh pintu rumah aku kau ketuk ni?"

"Cucu kau berak dalam seluar, Ton", atok sengih.

"Ada-ada je kau ni Nie! Dah basuh ke belum?"

"Belum, ada taik ni", tangan aku tunjukkan ke bahagian punggung.

"Ya Allah, yang atok pun kenapa tak dibuang dulu spender tu tadi, pergilah bilik air kat sekolah tu basuh dulu!"

"Iya tak ya jugak, Ton. Aku tak terfikir pulak tadi. Aku suruh dia duduk atas baldi", atok ketawa.

"Itu boleh pulak kau fikir, tok!", nenek marah.


Agaknya atok pun dah panik masa tu.
Yang pasti, kisah aku terberak dalam spender ni jadi bahan mengusik aku berbulan-bulan jugak.
T___T


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Malu


"Atok, jangan hantar Nie depan gate sekolah tau. Atok hantar jauh sikit"

"Kenapa?"

"Nie malu sebab pergi sekolah naik teksi..."

Atok gelak je. Tapi mungkin dia kecik hati.
Aku bodoh dan naif masa tu, aku rasa pergi sekolah naik teksi tu adalah perkara yang memalukan.


Petang tu, sebaik saja sampai rumah aku kat Balakong, abah panggil.

"Nie cakap apa kat atok?", suara abah sedikit meninggi. Dan masa tu, aku pasti, mesti atok dah cerita kat nenek, nenek cerita kat mak, dan mak cerita kat abah, pasal aku malu pagi tadi tu.

Dan, kalau abah yang dah panggil, siaplah.

"Nie malu..kawan-kawan semua bapak diorang hantar naik kereta besar", aku memang tak faham lagi erti kehidupan masa ni.

"Jangan cakap macam tu kat atok. Jangan biadap dengan atok. Atok dah jemput hantar, tak patut cakap macam tu kat atok!", abah marah aku.

Aku menangis. Aku tak tau perkara tu besar. Aku tak tau aku boleh kecik kan hati atok.
Kalau aku tau, aku tak cakap. Fikir aku masa tu.

"Nie tau tak, kawan-kawan Nie semua jeles dengan Nie tau. Nie la yang paling kaya, sebab hari-hari pergi sekolah naik teksi. Bukan semua orang ada duit nak naik teksi tau!", abah cuba kaedah psikologi kat aku.

Dan sebagai seorang kanak-kanak naif, aku senyum.
Dan aku sangat gembira pergi sekolah naik teksi hari-hari.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


Bas Sekolah


"Best ke pergi sekolah naik bas sekolah tu Tok?", soal aku kepada atok, suatu hari sewaktu dalam perjalanan ke sekolah.

"Tak bestlah, berhimpit-himpit. Kalau lambat kena berdiri"

Tapi, seorang kanak-kanak kan, yang orang kata tak boleh, tak best tu lah, yang dia nak rasa.


"Kenapa Nie tak naik bas sekolah tok?"

"Sebab atok kan ada, atok hantar kan. Balik atok jemput, kan senang"

"Ooh.. Nanti atok dah tak ada, Nie naik bas sekolah ye?"

"Iya la kot, atok pun tak tau, sebab atok dah tak ada masa tu"

"Ok, atok matilah cepat. Boleh Nie naik bas sekolah"

Atok ketawa. Kami ketawa.


Aku tak dapat tahan air mata setiap kali aku teringat cerita pasal bas sekolah ni.
Benda dah berlaku lama, lebih dari 20 tahun.
Tapi, kenangan perbualan pasal kenapa aku tak naik bas sekolah ni, masih segar.

Sebab, aku bodoh.
Masa tu, aku tak sedar pun, aku bodoh.

Kalaulah ada mesin cahaya masa, ini antara perkara pertama yang aku nak ubah dalam sejarah hidup aku. Aku akan pastikan, aku bagitau kepada aku masa ni, supaya jangan cakap macam tu.

How I wish I didn't said that.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


Dah 12 tahun atok tinggalkan Nie.
Nie tak sempat balas jasa atok..

Semoga tenang atok di sana, disisiNya.

Rindu atok, sentiasa.
Manakan kita boleh lupa, orang yang bersusah payah jaga kita kan?

Al-Fatihah Hj Joned Bin Agam <3

Aku dan atok, 1987.

Tuesday, August 16, 2016

Nickname Kedai

Aku versi kanak-kanak adalah sangat sinonim dengan tugas tukang pergi kedai.
Selalunya aku willing je nak pergi, tapi kalau masa khidmat aku diperlukan tu, aku diserang angin kus kus (selalunya sebab aku gaduh dengan adik aku, lepas tu aku yang kena marah), aku akan mengelat dan bagi macam-macam alasan.

Tapi siapalah aku yang kanak-kanak tu nak mengelat. Jarang sangat bila aku kata "Taknak pergi kedai", alasan aku diterima. Nak tak nak, aku akan pergi jugak ke kedai, walaupun masa tu muka memang masam gila sampai mak / abah / nenek akan sound "Hah, buat muka! Lemak dah menitik-nitik bla bla bla.. dah naik tocang bla bla bla.."

Biasalah orang tua, kalau tak marah tu maknanya diorang tak sayang kau, kan?
Lepas aku jadi mak ni, itulah jugak skrip aku kat anak-anak aku tu.
Keh keh keh..

Berbalik pada cerita pergi kedai, aku ingat lagi dalam awal-awal 90an, kawasan perumahan aku masa tu masih gonjeng. Tak banyak benda lagi area Taming Jaya, malah Balakong itu sendiri pun orang tak pernah dengar.

Gila kau, aku sekolah dekat Bukit Bandaraya, kan sebab masa aku kecik aku duduk Bangsar masa mak abah pergi kerja, makanya bila aku borak dengan kawan sekelas, aku cakap rumah aku dekat Balakong, diorang mesti akan buat muka pelik.

"Where is that?"
"Why are you living in that strange place?"
"It's hard to pronounce, is that place in KL or what?"

Lebih kurang macam tu lah bebudak melayu celup tu tanya aku.
Oh kat sekolah tu, susah nak jumpa budak cakap melayu. Diorang semua speaking.
Elitis lah sangat kan.
Ahaha (gelak perlahan)

Jadinya, gonjeng tu bermaksud banyak lagi kawasan situ yang belum dibangunkan.
Percayalah cakap aku, dulu dari Petronas Taming Jaya tu, aku lintas jalan je pergi bus stop seberang jalan untuk naik bas nak pergi dating, eh, pergi sekolah, tuisyen dan sebagainya. Sekarang ni ada 8 lane kot??!

Jadi, masa tu, lebih kurang umur aku 8-9 tahun, adalah sederet bangunan rumah kedai dekat area belakang Petronas yang aku cakap tadi, jaraknya dari rumah aku adalah dalam 5 minit berjalan kaki.
Punyalah gonjeng, pokok-pokok pun pendek lagi, kalau mak aku berdiri dekat pagar rumah pun, dia akan nampak aku masuk ke pintu kedai tu.

Masa tu, ada dua kedai runcit utama.
Owner dia dua-dua Cina.

Dekat kedai runcit tu, pesen dia sama je.
Akan ada seorang lelaki, aku syak diorang tokey kedai sebab selalunya selain terima bayaran, diorang akan bagi arahan pada staf diorang, gaya yang sangat bos.

Kedua-duanya bergaya bos yang sama, cuma fizikal diorang je berbeza.

Kedai pertama, lelaki tu kurus dan tinggi.
Kedai kedua, lelaki itu sedikit gempal dan rendah.

Masa tu, rasa susah nak hafal nama kedai mereka.
Sebab dia guna perkataan bahasa cina jadi nama kedai dia.
Dan, sebab utama yang buat aku sampai harini tak ingat nama kedai-kedai tu adalah nenek aku.

Ya nenek.
Nenek yang bersalah dalam hal ini.
Hahahahaha (gelak jahat)


Sebab, nenek telah memberikan jalan mudah kepada aku untuk faham kedai mana yang dimaksudkan untuk aku pergi beli barang.

Kedai pertama, lelaki tu kurus dan tinggi.
Nenek gelarkan kedai tu sebagai Kedai Panjang.

Kedai kedua, lelaki itu sedikit gempal dan rendah.
Nenek gelarkan kedai tu sebagai Kedai Gemok.


"Nie, tolong mak beli kelapa dekat kedai panjang"
"Nanti pergi kedai gemok beli bateri"
"Kalau barang tu tak ada kat kedai gemok, carik dekat kedai panjang"


FYI, nickname kedai tu sangatlah lekat dalam kepala, dan catchy, dan memang seluruh keluarga Hj Joned (Atok aku) guna gelaran yang sama. Pakcik makcik anak buah sepupu sepapat semua tak hafal nama kedai, semua tau kedai tu dengan gelaran yang nenek aku bagi, dan kami tanpa segan silunya akan mention kedai tu sebagai gelaran itu bila berborak dan nak cerita pasal kedai tu.

Paham tak ni?


Oh yes, kami memang gila-gila.
Kah kah kah..


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Ampunkan kami tuan kedai.
Jangan marah lebih-lebih, berpuluh tahun kami shopping kedai korang tau.
eheh..



Gambar hiasan

Friday, February 1, 2013

Hari Lahir Arwah Atok

Memang lately aku tak berapa berjaya nak tidur nyenyak malam-malam.
Mesti akan terjaga, paling kurang dua kali.

Kaki krem lah, tersedak-sedaklah, sejuklah..

Malam tadi dalam keadaan mamai-mamai, aku dengar atok cakap dengan aku.

"Selimut dada kau Nie, kau tu bukan boleh sejuk-sejuk. Tu yang krem lah, batuk lah.."

Aku pun terus je tarik selimut sampai ke dada.

Dan tiba-tiba aku tersedar, dalam bilik tu cuma ada aku dengan zaimi je.
Dan aku dah besar, bukan budak kecik macam yang aku bayangkan masa atok cakap dengan aku tadi.
Dan.. atok pulak dah 4 tahun tak ada.. Ni nak masuk tahun kelima dah..


Nampak sangat aku rindu kat atok, sampai termimpi-mimpi :(

Hari ni, 1 Februari, patutnya birthday dia.. Kalau dia ada lagi, hari genaplah umur dia 82.

Tapi tu lah, Allah lebih sayangkan dia.. Dia ambil semula atok yang dia pinjamkan dekat kami sekeluarga..

Few years back, atok yang paling kanan..

Emm, lama pulak tak pergi tak pergi lawat kubur dia..

Atok, semoga tenang kat sana, Nie selalu rindu atok..

Al-Fatihah~

Forever dalam kenangan

Tuesday, August 30, 2011

Selamat Hari Raya Semua, Selamat Hari Raya Atok


Again, gambar ni.
Gambar ni, everywhere aku dah paste.
Facebook, blog..
Apa yang istimewanya gambar ni?
Hanyalah gambar seorang lelaki tua yang tak berbaju ni?

Actually, ini adalah gambar arwah atok aku yang terakhir.
Gambar ni sehari sebelum dia meninggal..
Gambar terakhir dia, dan kali terakhir dia datang rumah aku..

Atok yang sihat pada sebelah pagi, siap boleh drive pergi pasar, boleh gelak2 call mak aku kat Mekah untuk wish happy birthday.. Dan pada tarikh harijadi mak aku itu jugalah, malamnya atok telah pergi.
Semudah itu.
Secepat itu.

Ya Allah.. Walaupun dah hampir 3 tahun berlalu, semuanya masih segar diingatan..
Tak apalah atok, nanti kita jumpa lagi di sana ya. 
Pengakhiran riwayat atok sangat cemerlang.
Tiada penderitaan sakit terlantar lama..
Dan atok senyum girang.. 

Selamat Hari Raya Atok, ni raya yang ketiga tanpa atok.
Kalaulah tau atok nak pergi, mesti Nie ambil gambar bersama atok, bukan gambar atok sorang.

Dan kalaulah atok masih ada, confirm atok dapat duit raya lebat dari Nie tahun ni, Nie dah keje dah tok :')

Al-Fatihah~

Sunday, January 2, 2011

Bukan Sekadar Hari Lahir ke 25

Hai!
Selamat tahun baru semua!
Apa azam korang tahun ni?

Hari ni 2 hb Januari, beerti hari ni genaplah umur aku 25 tahun..
Alhamdulillah..diberi kesempatan untuk aku melalui umur yang baru oleh Allah..



Hari Lahir aku yang ke 25 ni, bukanlah sekadar hari lahir..
Hari  ni juga genaplah 25 tahun emak dan abah aku menjadi ibubapa kerana aku adalah anak sulung mereka..
Hari ni juga genap 25 tahun nenek aku menjadi nenek sebab aku cucu pertama beliau..hehe..

Hari juga genap 25 tahun Angah, Alang & Ucu aku menjadi Pakcik & Makcik sebab aku adalah anak sedara pertama diorang..

Dan hari ni adalah Birthday aku yang ke tiga tanpa arwah atok..
Dan, hari ini adalah Birthday yang ke lima aku sambut bersama Zaimi..

:)



ps: sudah 25 atau baru 25? huhu..

Saturday, February 27, 2010

Kenduri DI Rumah TOk Alang

Kenduri kahwin anak kepada adik arwah atok aku..
Aku panggil dia Tok Alang aje..
Rumah dia kat Simpang Ampat, Melaka..


Pepagi lagi dah bertolak dari umah aku dah,
perjalanan dalam sejam lebih je, tak jauh sangat pun :)
Oh aku pergi bersimple-simpelan je,
pakai baju kurung lame dan bermekap nipis sahaja..huhu..

Oh saya sedar saya tak lawa, tak perlu kritik..hehe..
Dan memang lain bebenar muka aku dan mak..hua hua..


Memang menitis la jugak air mata aku dan mak bila tengok muka tok alang tadi..
sebab teringat kat arwah atok aku, muka dorang iras, cuma atok aku lebih cerah, lebih berisi, dan bergigi..hehe.. tok alang dah ngongak.. heeee...

Tengok abahku itu, hidung kami sama..haha..


Oh this is my sister.. Baru form 3 yer..huhu..

Kat kenduri ni ramai la sedara2 and sepupu mak aku..
Wajah diorang sume seakan-akan je macam muka arwah atok aku..
Same la dengan muka mak aku sebab muka mak aku macam muka atok aku..
Pe aku merepek ni? Korang paham? haha..

Sebabnya dorang ni sume kebanyakkannya kawen dengan sepupu2 sendiri je, atok aku je kena kawen dengan sepupu dia lari gi KL.. tu yang terjumpa nenek aku tu..heheh..


Ade persembahan..suke2!
Klasik gitu! I loike!


Atara sepupu dan mak sedara mak aku..
Dan antara ramai2 tu, ade gak la terjumpa senior UMT dulu..
rupenye dulu dia pracktical kat rumah tok alang aku ni..
Tok alang aku ni ada kolam ikan air tawar..
Dan dia memang usahasama dengan UMT rasenye..


Disebabkan pengantin baru je sudah acara Khatam Quran dan ngah mekap lak untuk kenduri,
makanya tak dapat la amek gambar dia..amek gambar gerbang je la..hehe..

best jugak sekali sekala balik Melaka ni :)

Friday, February 26, 2010

Mampukah Kita Mencecah Umur 60 Tahun

Salam Maulidur Rasul semua :)

Pagi tadi kami sekeluarga pergi menziarah kubur arwah atok aku di Perkuburan Islam Batu 10 Balakong..


Hanya Allah SWT sahaja yang tau betapa aku merindui arwah..
Kadang2 pandang pusara dia aje dah buat aku sebak..


Then aku tengok2 la sekeliling..
Tengok2 jiran2 atok selepas aku dah sedekahkan apa2 yang patut kat atok..
Aku takleh duk lame2 kat bangku kubur atok, nanti aku nanges...
Makanya aku pun ziarah2 juga mereka2 yang lain..

Mata aku ni gatal lak baca umur2 mereka masa mereka meninggal..
Ya Allah..
Aku benar2 tersentap..
Rata2 jiran2 atok ni, puratanya berumur 50 tahun lebih sahaja..

Bertuahnya arwah atok aku dahulu, dapat hidup selama 77 tahun..
Nenek aku sekarang pun dapat juga berumur 60tahun ++..

Terus aku terfikir..
Andai kata aku pun akan meninggalkan bumi persinggahan ini pada umur 50,
makanya aku hanya ada 26tahun sahaja lagi untuk hidup.
Itu kalau 50, kalau awal lagi?
Ya Allah.. cukupkah amal aku nanti Ya Allah?
Sempatkah aku nak mengumpul amal untuk jadi bekalan aku nanti?
Mampukah aku nak menjawab soalan Munkar Nankir nanti?
Mampukah aku menerima buku amalku dengan tangan kanan pada akhirat nanti?
Aku ni taklah begitu baik..
Aku bertudung tapi tak berstokin..
Dan lain2 perkara lagi..

 :(


Aku hanya berharap Allah ampunkanlah dosa2 aku..
26tahun itu sekejap je..

Pejam celik pejam celik pun, aku dah 24++ dah sekarang..

Hmm..
Semoga atok ditempatkan dikalangan orang2 beriman..



Eh sorry, emosi lak aku arini :)

ps: ape2 pun, jangan tinggal solat ye :)

Friday, February 5, 2010

Malu Konon

Dulu masa aku darjah 1..
aku sekolah dekat Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Bangsar..
Sekolah ni dekat dengan rumah nenek aku, kat Flat Sri Pahang Bangsar..
Sebabnya, waktu mak ngan abah kerja, aku memang diasuh oleh nenek dan Arwah atok aku..

Makanya, arwah atoklah yang menjemput dan menghantar aku ke sekolah..
Mase tu, arwah atok aku ni driver teksi..
selalu jugaklah aku ikut dia pergi cari dan hantar penumpang..


Namun, nak dijadikan cerita..betapa ceteknya pemikiran aku waktu tu..
Aku pernah bertindak bodoh!~
Sekolah ni macam high class sket..semua student speaking je,
ye la, terletak pon kat kawasan elit gak.
well, aku pernah sekelas dengan Sharifah Amani mase aku darjah 2 dulu..huhu..

Balik pada cerita, ramai la kawan2 aku mase tu tergolong anak orang elit2 ni la jugak..
diorang sume gi sekolah dengan kereta besar2.. kereta mahal2..
tetibe lak aku rase malu sebab aku naik teksi je..

satu hari, mase balik sekolah, onthe way ke rumah,
aku cakap kat atok, "Atok, lain kali jangan hantar depan gate tau, Nie malu".

Atok aku memang cool je, dia senyum je mase tu..
Sekali rupenye dia kecik hati, dia repot kat bapak aku..
Apa lagi, berbirat2 la aku kena sebat..
Pastu masa aku nangis2 lepas kene pukul tu, mak pujuk..
mak kate, "Apa la yyang kau nak malu, ko la lagi kaya, hari2 bayar duit teksi tau, ingat tambang teksi murah?"

Pastu aku pun mintak maaf kat atok..
Sejak dari tu, aku tak malu lagi dah..

Tu la, nak kate budak2 kan..
Dah besar2 ni baru tpikir, nape la aku gi cakap macam tu kat atok..

Tapi takpe..aku bangga dengan atok..
Mase aku sekolah menengah, aku tetap suruh atok jugak yang jemput antar aku..
Sebab aku suka naik kereta atok dari bas sekolah..huhu..

Tapi sekarang..
semua tu tinggal kenangan je..

Aku tak mungkin dapat naik kereta same2 dengan atok lagi..
dah setahun lebih atok meninggal..
kereta atok pon tersadai je..


Aku tak pernah berhenti rindukan arwah..
Terima kasih atok sebab banyak jaga Nie..

ps: basah keyboard..aih~ Al-Fatihah..

Thursday, October 22, 2009

10 bulan lepas

Tepat jam 10.45 malam 10 bulan yang lepas, atok telah pergi selamanya..

Seorang lelaki tua yang menjaga aku dari kecil..

We are so close!

We are so close :(


Yang sihat pada sebelah paginya 22 Disember itu..

Allah dah janji, ajal manusia tu tak kan lambat sesaat pon..

That was what happen to him..


Dia pergi tibe2.....~~


Tuhan, aku rindu dia :((


Selamat kat sane ye tok..

Nie nak jumpa atok lagi..

Ade rezeki kite jumpa kat sane ye tok :((


Al-Fatihah untuk arwah Haji Joned Bin Agam..


10 bulan atok dah takde, tak sehari pon Nie tak ingat kat atok..

HAri2 Nie nangis ingat atok..

lebih2 lagi tarikh 22haribulan...


Nie tengok nombor telefon atok dalam henpon Nie..

Nie rindu atok call Nie :(

Nie rindu atok datang rumah tiap2 ujung minggu..

Nie rindu bunyi suara atok, cara atok bercakap, gelak..

Nie rindu bunyi atok berdengkur..

Nie rindu bau atok.....


Nie akan rindu atok, selamanya..

Selamanya...


*can't write anymore...tears*


ps: devastated


teribbly missed

Premium Flexible Related Post Widget for Blogger – Blogspot

Disclaimer


All content provided on this "Syazni Rahim Blog" blog is for informal reading only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information or comments on this site or found by following any link on this site.

The owner will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information.

The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information.

This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.