Search This Blog

Sunday, October 18, 2020

Haruskah Aku Pulang | Fiksyen

 HARUSKAH AKU PULANG

Kereta yang diparkir di hadapan rumah-rumah di Lorong 11 pada pagi ini banyak dari kebiasaan. Walau dari jarak lebih kurang 200 meter, Ismat boleh lihat rumah yang hendak ditujunya ada ramai orang, kebanyakkan dari mereka adalah lelaki dan berkopiah putih. Ah , sudah meninggal agaknya.

Mungkin inilah sebab kenapa majikannya tidak menghubungi pagi tadi seperti biasa . Tertunggu-tunggu juga Ismat akan panggilan dari wanita yang sudah Ismat anggap seperti kakaknya sendiri itu. Selalunya jika Ismat terlewat bangun dan lambat ke sana, pasti majikannya itu akan telefon. Beruntung rasa dirinya ini, mendapat majikan yang sangat menjaga kebajikannya walaupun hanya bekerja sebagai pembantu sahaja.

Perlahan-lahan, Ismat turun dan menyorong motorsikal tuanya ke arah pokok mangga di hadapan rumah majikannya itu. Terjengah-jengah, Ismat terlihat sebuah jug air kaca yang terisi kepingan-kepingan duit di atas meja bersebelahan pintu masuk. Sah, ada kematian di rumah ini. Serba salah pula Ismat hendak melangkah masuk dengan pakaian yang sedang dipakai ketika ini. Tempat duduk motorsikal dibuka segera, kopiah yang selalu digunakan untuk solat Jumaat dicari. Nasib baik ada si lepat ni!

Ikatan rambut panjang paras dadanya dilerai sebelum diikat semula dengan lebih ketat, kali ini rambut tidak dibiarkan terjurai, namun disiputkan. Setelah kopiah putih yang sudah berbulu itu dipakai, Ismat memberanikan diri untuk ke dalam rumah. Beberapa orang lelaki separuh abad yang sedang duduk berbual di halaman rumah ketika itu Ismat salam satu persatu.

Kelihatan sekujur jenazah sedang terbaring kaku di ruang tamu rumah majikannya ini, dikelilingi oleh beberapa orang lelaki dan perempuan yang duduk bersila mengalunkan bacaan surah Yassin. Ismat tercari-cari kelibat majikannya, namun tidak kelihatan. “Nah abang”, refleks, Ismat segera menyambut senaskhah buku surah Yassin yang dihulurkan oleh kanak-kanak perempuan tadi sebelum duduk bersandar di dinding bersebelahan pintu masuk.

Bacaan Yassin Ismat mula alunkan perlahan, cukuplah sekadar telinganya sendiri yang mendengar. Dari ekor mata, Ismat boleh lihat ada seseorang datang dan duduk di sebelah Ismat. Peha Ismat ditepuk oleh tangan yang kurus berurat timbul. Terkejut bukan kepalang apabila Ismat mendapati yang sedang duduk di sebelahnya ketika ini adalah Rizal, orang yang Ismat sangka sedang dikelubung oleh kain batik lepas di tengah ruang tamu itu.

“Allahuakbar, Rizal. Aku minta maaf, aku ingat kau- ’’

“Kau ingat aku yang mati kan?”, belum sempat Ismat menghabiskan ayatnya sebelum dipotong oleh Rizal.

Ismat hanya mengangguk laju sebelum dirinya dipeluk oleh Rizal yang teresak-esak menangis. Ismat keliru benar ketika ini. “Siapa yang meninggal?”, soal Ismat tergagap-gagap. Badannya seram sejuk menanti jawapan Rizal. Janganlah dia!

“Kak Sadah. Kak Sadah dah tak ada Ismat”, terpisat-pisat Ismat mendengar jawapan dari Rizal, adik tunggal majikannya itu. Dada Ismat terasa senak sekali seolah-olah tidak mempercayai apa yang didengarnya.

“Apa yang jadi sebenarnya? Bukan ke semalam kau nikah?”, soal Ismat kepada Rizal yang masih belum surut tangisannya. Rizal mengangguk perlahan mengiakan apa yang disoal oleh Ismat. “Kalau ikut apa yang doktor cakap, Kak Sadah meninggal dunia dalam tidur. ‘Heart attack’ katanya”, jawab Rizal. Pandangan Ismat menjadi berbalam-balam, terasa seperti mahu pitam menerima berita yang amat mengejutkan ini. Baru dua hari lepas Ismat berbual dengan Sadah, tiba-tiba hari ini Sadah telah tiada, Ismat rasa bagaikan bermimpi ngeri.

++++++

Usai urusan pengkebumian Sadah petang tadi, Ismat terus pulang ke rumah sewanya. Nak makan pun tiada selera. Mungkin masih terkejut, tapi yang pasti Ismat terasa sangat kehilangan, seperti hilang tempat bergantung.

Sejak bergaduh besar dengan keluarganya, Ismat tekad hidup seorang diri di Shah Alam ini. Semuanya gara-gara ayah yang tidak dapat menerima keputusan Ismat untuk tidak meneruskan pengajiannya lagi di UiTM. Ismat bukannya tidak berfikir panjang, namun Ismat tidak minat dengan bidang pengajiannya ketika itu. Ismat lebih cenderung bermain muzik dan lebih gembira menjadi ‘busker’ berbanding menghadiri kelas dan kuliah. Buat apa nak paksa benda yang kita tidak suka, kan?

Tapi sungguh Ismat tidak menyangka, keputusannya itu benar-benar mencalarkan hati orang tuanya, terutama ayah. “Selagi kau tak batalkan niat untuk berhenti belajar, kau jangan balik ke rumah aku!”, kata-kata ayah sewaktu pertemuan terakhir Ismat bersama ibubapanya masih terngiang-ngiang di ingatan. Kata-kata yang sangat menyentap hati Ismat, seolah-olah memilih untuk menjadi pemuzik itu sesuatu yang sangat keji. Dan mungkin kerana ego berdarah muda, Ismat langsung memutuskan terus semua hubungan dengan ahli keluarganya.

Walaupun perit untuk Ismat akui, ada benarnya kata-kata orang tuanya. Kehidupan sebagai ‘busker’ tidaklah seindah yang disangka Ismat. Bukan semua orang mahu memberikan ‘tip’ ketika Ismat bermain gitar sambil menghiburkan mereka di jalanan. Ismat juga bukan tidak pernah mencuba nasib menjadi artis rakaman mahupun ‘Youtubers’, namun rezeki memang tidak pernah memihak kepada Ismat. Mungkin kerana minatnya itu tidak pernah direstui.

Ada suatu hari, Ismat menahan lapar di tepi jalan kerana sudah beberapa hari tidak berduit untuk membeli makanan, ketika itulah Ismat bertemu dengan Sadah. Mungkin Sadah berasa kasihan, selain membelikan Ismat makanan, Sadah turut menawarkan Ismat pekerjaan sebagai pembantu Sadah. Tugasnya tidaklah terlalu susah, Ismat perlu membantu Sadah membungkus pesanan barangan yang dibeli dari atas talian, dan mengeposnya setiap petang. Setimpal dengan bayaran yang Sadah berikan.

Sadah tidak larat untuk melakukan perkara itu sendirian sejak jumlah pesanan yang diterima semakin tinggi saban hari, tambahan pula Sadah adakalanya perlu membawa adiknya yang menghidap kanser itu ke hospital. Dan yang paling Ismat terharu dan menjadi sayang kepada majikannya itu, Sadah turut menyewakan Ismat sebuah rumah teres kos rendah setingkat, serta memberikan Ismat motorsikal arwah emak Sadah untuk kegunaan Ismat. Ada lagi ke majikan sebaik Sadah atas dunia ini?

Jadi dengan perginya Sadah ke alam baqa, sedikit sebanyak merunsingkan hati Ismat kerana Rizal sudah terang-terang mengatakan dia tidak mampu untuk meneruskan perniagaan Sadah seperti biasa.

++++++

“Maafkan pakcik ya Ismat. Pakcik harap Ismat faham, sejak Cik Sadah meninggal, sewa rumah yang Ismat duduk ini sudah nak masuk empat bulan tidak berbayar. Ismat boleh terus tinggal di sini kalau Ismat dapat jelaskan sekurang-kurangnya dua bulan sewa yang tertunggak”, Ismat hanya membatu mendengar kata-kata Pak Leh, tuan rumah sewanya itu tengahari tadi. Benar, selama ini kehidupan Ismat ditanggung oleh Sadah hampir sepenuhnya.

Setelah hampir empat bulan pemergian Sadah, Ismat seperti hilang arah. Ismat tidak tergamak untuk menghubungi Rizal. Malu! Ismat hanya meneruskan hidupnya di Shah Alam ini dengan ‘busking’, namun berapa ringgit sangatlah yang mampu Ismat dapat.

“Walau apa pun yang terjadi, keluarga kitalah jua yang akan menerima kita seadanya. Baliklah Ismat, ibu ayah mana yang akan marah anak mereka selama-lamanya? Ismat tetap darah daging mereka”

Kata-kata arwah Sadah suatu masa dahulu terdengar-dengar di telinga Ismat ketika ini. Ismat menghela nafas yang terasa amat terhimpit sekali ketika ini, ibarat ada bongkah besar yang menekan dada Ismat. Terbakar kampung kelihatan asap, terbakar hati siapa yang tahu?

Dengan perasaan yang berat, Ismat mula mengemaskan pakaian dan barangan peribadinya setelah mempertimbangkan untuk pulang ke kampung memohon ampun dan maaf dari orang tuanya. Besar harapan Ismat mereka sudi memaafkan dan menerimanya kembali setelah hampir lapan tahun tidak bertanya khabar. Sekeping gambar yang telah lama Ismat selitkan di bawah beberapa dokumen di dalam laci ditatap lama. Menitis air mata Ismat melihat keceriaan ibu ayah bersama Ismat empat beradik di dalam gambar itu. Dan itulah gambar terakhir Ismat bersama mereka.

++++++

“Sial betul lah!”, jerit Ismat seraya menendang motorsikal buruknya yang secara tiba-tiba tidak boleh dihidupkan kembali setelah termati enjinnya tadi. Matahari yang bersinar terang tanpa dilitupi secalit awan menambah lagi sakit di hati Ismat.

Sudahlah masih belum menjamah sebarang makanan sejak pagi, situasi Ismat ketika ini sudah seperti jatuh ditimpa tangga pula. Menyirap benar rasa di hati Ismat, terasa silap pula keputusan yang dia ambil untuk pulang ke kampung menunggang motorsikal buruk ini. Ismat teringat pesan cikgunya dahulu, kalau rasa marah, duduk. Kalau duduk pun tidak jadi, baring. Maka berbaringlah Ismat di sebelah motorsikal buruknya sambil memeluk gitar dengan harapan panas hatinya cepat reda walaupun sedikit mustahil untuk hilangkan panas hati di bawah terik matahari ini.

Pin Pin!

Sebuah teksi yang kelihatan sedikit usang berhenti betul-betul di sebelah tempat Ismat berbaring. Ismat bingkas duduk bersila.

“Hah, hidup lagi. Aku ingat mangsa langgar lari tadi”, bersuara pemandu teksi tersebut sebaik sahaja keluar dari teksinya. Ismat ketawa kecil mendengar kata-kata itu. “Kenapa baring kat sini?”, soal pemandu teksi itu lagi.

“Rosak bang. Tak boleh hidup”, jawab Ismat acuh tidak acuh sahaja. “Sekejap aku tengokkan” tawar pemandu teksi tadi. Ismat mengundur ke belakang sedikit untuk memberi ruang. Sempat Ismat melihat di dalam teksi itu, ada seorang gadis sedang lena tidur di tempat duduk belakang. Letih benar nampaknya sehingga ternganga mulutnya. Lucu pula Ismat memandang gadis itu, lebih-lebih lagi gadis itu turut memeluk beberapa papan petai di dadanya. Kelakar, tapi menarik untuk dipandang.

“Motor kau ni, dah elok naik taraf jadi tukun kat kolam pancing sana tu”, ujar pemandu teksi tadi sambil menunjukkan tangannya ke arah sebuah kolam pancing di seberang jalan. Ismat memandang wajah pemandu teksi itu dengan riak marah. Suka hati kau je kan?

“Apa maksud abang?”, soal Ismat bernada tersinggung. “Sudahlah, aku gurau saja tentang tukun tu. Tapi, motor kau ni memang dah teruk, banyak nak baiki ni. Kena ‘overhaul’ tau”, kata pemandu teksi itu sambil menepuk-nepuk bahu Ismat. “Kau tinggal saja dulu motorsikal kau di sini, nanti datang semula untuk bawa ke bengkel. Buat masa sekarang, marilah aku hantar kau ke mana kau nak pergi”, sambung pemandu teksi itu mengajak Ismat masuk ke dalam teksinya.

“Jomlah, panas berdenting ni”, tegas pemandu teksi itu kerana melihat Ismat masih teragak-agak sebelum menghilang ke dalam teksinya. Tiada pilihan, Ismat memikul gitarnya dan masuk lalu duduk di sebelah gadis yang masih lena tidur itu. “Maaflah tak dapat nak beri kau duduk depan, kerusi depan ni ‘spring’nya dah terkeluar dari ‘span’. Tak sempat aku nak baiki lagi”, ujar pemandu teksi itu lagi sebelum meneruskan perjalanan.

“Kau nak ke mana?”, soalnya lagi kerana Ismat tidak pula memberitahu ke mana Ismat mahu pergi. “Kampung Daching”, jawab Ismat pendek.

“Eloklah tu, sama dengan budak perempuan ni. Kau tak kenal ke?”, soal pemandu teksi itu lagi. Ismat hanya menggelengkan kepalanya. Matanya masih tertancap pada wajah manis gadis itu, walaupun dalam keadaan ternganga sebegitu. Pinggir bibirnya juga sudah mula dibasahi air liur basi. Terbit perasaan kasihan pula Ismat melihat gadis yang memeluk petai ini. Perlahan, Ismat mencuit bahu gadis itu dengan hujung telefon bimbitnya.

Terpisat-pisat gadis itu terjaga kerana dicuit oleh Ismat. Janggal, Ismat tersenyum sambil mengangkat tangan kanannya seperti menyapa ‘hai’ kepadanya. Kelam kabut gadis itu menyapu air liur yang membasahi dagunya. Ismat tertawa kecil memandang aksi spontan gadis itu.

“Bang, sejak bila pula saya kongsi teksi ini?”, laung gadis itu tidak berpuas hati sambil menjeling Ismat yang masih terhinggut-hinggut menahan geli hati.

“Dia dalam kesusahan, tak salah kita tolong dia kan? Lagipun dia nak ke Kampung Daching juga”, balas pemandu teksi itu bersahaja. Gadis itu mendecit walaupun pasrah. Pandangan dilemparkan ke luar tingkap, malu sungguh dia dengan Ismat kerana tidur sehingga meleleh air liur basi.

++++++

Sesudah solat asar, Ismat berjalan semula ke arah teksi yang menumpangkannya tadi. Kelihatan gadis tadi sedang menyandar di badan teksi sambil menyeka air mata. Tangan kirinya masih memeluk beberapa papan petai tadi. Kelibat pemandu teksi tadi tidak pula kelihatan, agaknya dia pergi mengisi perut di gerai berhampiran.

“Awak ok tak ni?”, soal Ismat yang mula dihurung rasa kasihan pada gadis bertudung bawal bunga-bunga ini. Gadis itu hanya menggelengkan kepala.

“Memandangkan perjalanan kita ada lebih kurang sejam lagi, apa kata kita berborak? Saya pun bosan juga ni”, tertib Ismat menyusun kata-kata sambil memandang wajah gadis itu yang merah jambu hidungnya akibat menangis.

“Sayang betul awak dengan petai tu?”, soal Ismat masih mencuba memulakan perbualan.

“Entahlah awak. Petai ni saya harap dapat membantu saya mencuba nasib”, sebek wajah gadis itu sebelum kembali membungkam selepas menjawab.

“Awak nak masuk pertandingan memasak ke maksudnya?”, soal Ismat cuba memahamkan apa yang mahu gadis itu sampaikan.

“Lebih kuranglah”, balas gadis itu ringkas dan malas.

“Ada pertandingan memasak ke di Kampung Daching?”, Ismat masih belum mengalah. Wajah gadis itu terus direnungnya. Manis perempuan ini, milik siapalah agaknya.

“Ish banyak tanyalah awak ni!”, gadis itu menjegilkan matanya pada Ismat. Ismat mengangkat kedua tangannya ke paras bahu memberi tanda dia mengalah dan tidak mahu bertanya lagi.

“Ada ke orang yang makan nasi lemak dengan petai?”, soal gadis itu sambil tersedu-sedan. “Hah?! Apa maksud awak, saya tak faham?”, ujar Ismat kehairanan. Tadi tak nak bercakap, ini tanya soalan pelik pula.

“Patut ke saya ditinggalkan kekasih saya hanya sebab saya masak sambal sotong tak campur petai? Ada ke patut makan nasi lemak dengan sambal sotong ada petai? Patut ke awak rasa?”, berjujuran air mata gadis itu memandang wajah Ismat yang memang jelas menunjukkan riak hairan.

“Ya, mungkin ada. Sebab selera orang kan macam-macam”, bertambah kuat gadis itu meraung mendengar jawapan Ismat. Kaget juga Ismat dibuatnya. Bahu gadis itu dicuit perlahan sambil meletakkan jari telunjuk kirinya ke bibir, meminta gadis itu bertenang dan berhenti menangis. Ish perempuan ni, nanti orang ingat aku pula yang memperapa-apakan kau!

“Siapa kekasih yang tinggalkan awak tu? Orang Kampung Daching ke?”, soal Ismat. Gadis itu mengangguk lesu sebelum menjawab “Muhib”.

“Muhib Bin Din?”, terperanjat Ismat mendengar nama itu. Lama benar dia tidak mendengar nama abangnya itu disebut orang. Tidak sangka sungguh gadis ini bekas kekasih abangnya yang sudah lama Ismat tidak ketemu. Gadis itu menganggukkan kepalanya perlahan. Wow hebat abang aku, lawa ni!

“Dia pilih sambal sotong yang campur dengan petai. Saya rasa tak adil. Saya nak buktikan sambal sotong saya lagi sedap dari yang seorang lagi tu, saya nak masak sambal sotong campur petai juga untuk dia!”, Ismat menggaru-garu kepalanya kerana semakin tidak faham apa yang gadis ini katakan.

“Ok, boleh tak awak ceritakan dari awal. Saya tak faham. Sekarang saya memang nak sangat untuk faham”, bulat mata Ismat merenung gadis di depannya ini. “Oh ya sebelum itu, saya Ismat. Awak?”

 

Syazni Rahim | 17102020


+++++

Cerpen ini adalah sambungan dari cerpen Selesai dan Demi Restu 😀

+++++++

Terima kasih pada yang sudi singgah dan baca cerpen aku, untuk membaca cerpen-cerpen aku yang lain, boleh klik pada tajuk-tajuk di bawah 😙:


BUKAN PERCUMA

JUN

GALAS

SALAH SIAPA SEBENARNYA

SEPERTI YANG AWAK MAHU

HATIKU ADA KAMU

JANGAN NARSISIS

SELESAI 

PESONA FITRA 

TELUSUR NIRMALA 

ANTARA DUA 

DEMI RESTU

PS: Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.

37 comments:

  1. Ismat pulak muncul dah.. jeng jeng jeng

    ReplyDelete
    Replies
    1. jeng jeng jeng ;)
      Terima kasih kak mim sebab sudi baca :D

      Delete
    2. Oh by the way kak mim, saya try nak drop komen dekat blog wajah baru kak mim tadi tapi tak boleh pula hehe

      Delete
  2. Ada ek sambal sotong campur petai? Biasa udang dengan petai.. mungkin cik tk yang tak penah perasan...

    Btw, bagus la kisah ni.. tak sabar tunggu sambungannya

    ReplyDelete
    Replies
    1. mungkin sebab itu gadis tu tak puas hati?
      Hehehe terima kasih CIk TK sudi baca :D

      Delete
  3. oo..ada kaitan jg dgn Antara Dua..hehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihi kita rungkai satu persatu ahaks!
      Terima kasih sis sudi baca :D

      Delete
  4. Hebat. Lama tak baca cerpen. Best. Good luck ya 😊

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sis!
      Jemput baca prequel2 dia sekali ;)

      Delete
    2. Wow! such a beautiful story. It does made my day reading it Thanks. Ceria selalu.

      Delete
    3. Thanks Pak Idrus for reading them :)

      Delete
  5. jgn la ismat ni tiba2 nak pasang dua mcm muhid pula nanti huhuhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe nanti kita tengok ending dia macam mana ahaha, terima kasih atie sebab baca dan komen :D

      Delete
  6. Sampai kampung Ismat boleh jadi juri masakan la ye

    ReplyDelete
  7. Menarik cerpen syaz ada pelbagai unsur tapi dalam dialog monolog letakkan tanda koma di atas sebagai pembuka n penutup 'saya' ckdr brkongsi ilmu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ooo baik Kak PI, terima kasih atas perkongsian :D

      Delete
  8. NAk tanya. Syaz ni lecture apa? Pandai nau menulis? Ada sangkut paut?

    ReplyDelete
    Replies
    1. ahahaah! ini impian yang tak kesampaian ni uncle..kikiki

      Delete
  9. Wow macam best je. Kena baca dari awal ni. Kelakar yang pasal kena reject pasal sambal tak letak petai tu. Hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihi nanti baca dari:

      Seperti yang awak mahu
      Selesai
      Pesona Fitra
      Antara Dua
      Demi Restu

      ;)

      Terima kasih sudi baca :D

      Delete
  10. Best citer ini syaz. Sambung lagi yea :)

    ReplyDelete
  11. Wah semakin menarik nih, dah boleh jadi sebuah novel la syaz. Tak sabar nak tau kisah selanjutnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe insyaallah kak azimah, kalau ada rezeki, doa2 kan ya ;)

      Delete
  12. Alalala..siapa dia? Amna ke Akalili ni..aduhaiii

    baru perasan cerita rizal dan sadah tu berkait dengan cerita muhib ni. hihi. adoii lambat pulak into the scene.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihi nanti kita rungkai :P
      Terima kasih fizah sudi baca seperti selalu ;)

      Delete
  13. menarik! psl sambal pun boleh jd cerita hehehe

    btw, kalau nak cuba nasib utk terbitkan buku, roger2 laa sy ya... sy akan tlg yg termampu ;-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe..
      Ada juga berkehendak, nanti boleh kita roger2 ya, yeayy ;)

      Delete
  14. Hari ni blog walking banyak jumpa petai pula membuat kan terasa nak makan petai. Uhuks. Mana nak cari ni.

    ReplyDelete

Ada apa-apa nak tulis? ;)

Premium Flexible Related Post Widget for Blogger – Blogspot

Ya it's me