Search This Blog

Tuesday, October 13, 2020

Antara Dua | Fiksyen

 Cerpen ini adalah sambungan dari cerpen Pesona Fitra.

Selamat membaca 😉

ANTARA DUA


Muhib bukannya tidak dengar, malahan Muhib boleh nampak perkataan ‘IBU’ tertera di muka telefon bimbit yang sengaja Muhib biarkan bergetar di atas meja. Sengaja Muhib biarkan panggilan dari Mak Yah dan Pak Din tidak berjawab. Tiada sekelumit niat untuk menjadi anak yang derhaka, tetapi Muhib inginkan masa untuk bertenang. Apa yang telah berlaku padanya hujung dua minggu yang lalu sangat mengusutkan fikiran. Malu!

Muhib, janganlah macam ini, nak. Risau ibu dan ayah. Nanti telefon kami.

Muhib hanya membalas dengan perkataan ‘ok’ pada kiriman Whatsapp dari Mak Yah. Setelah dua minggu bercuti untuk menguruskan apa yang patut, hari ini Muhib kembali semula ke pejabat. Tubuhnya disandarkan pada kerusi pejabat, mata mulai tertutup rapat, namun segera dicelikkan kembali apabila wajah Fitra Malihah datang bertandang di ruangan fikiran. Muhib menampar-nampar pipinya sendiri. Walaupun perit, Muhib tahu dia perlu segera lupakan Fitra Malihah. Isteri orang tu!

Ralat sungguh rasa di hati Muhib. Bagaimana dia boleh secuai itu dalam perkara yang sebegitu besar? Terpesona benar ketika memandang wajah Fitra Malihah buat kali pertama, sehingga Muhib menjadi tuli. Kasihan juga kepada Fitra Maziyah atas semua salah faham yang berlaku. Namun Muhib bersyukur yang bekas bakal isterinya itu cukup matang dan kekal tenang ketika Muhib menyatakan hasrat untuk tidak meneruskan pernikahan mereka. Muhib tahu remuk redam hati wanita itu, namun Muhib benar-benar merasakan dia tidak mampu untuk ikhlas menjadi suami. Bukanlah kerana Fitra Maziyah itu terlalu tua bagi Muhib, orangnya baru berumur 47 tahun, masih cantik juga seperti kata Mak Yah. Namun isunya adalah malu. Serta Muhib tidak pasti dia boleh menjadi ‘ayah’ kepada wanita yang dia gilai selama beberapa minggu itu.

+++++

Pagi itu Muhib perasan yang meja di kubikel kosong sebelah bilik pejabatnya tidak seperti kebiasaan. Komputer telah terpasang, dan ada secawan kopi yang masih berasap di atasnya. Terdapat sebuah tas tangan berwarna ‘lilac’ di atas kerusi. “Assalamualaikum, Encik Muhib ya?”, tegur seorang wanita yang hampir membuatkan Muhib termelatah. Sambil membetulkan tali beg yang tergalas silang di dada, Muhib mengangguk tanpa suara. Seingat Muhib, memang tiada sesiapa yang ditempatkan di kubikel ini sepanjang Muhib bekerja di sini.

“Oh hai Encik Muhib, lupa pula saya nak perkenalkan diri. Saya Akalili, pembantu peribadi Encik Muhib. Saya baru kerja di sini minggu lepas, cuma semalam saya cuti, tak berapa sihat”, terang wanita itu dengan wajah yang manis menguntum senyum. “Pembantu peribadi?”, soal Muhib kehairanan. Seraya dengan itu Muhib terasa bahunya dipegang seseorang. Kelihatan pengarah syarikatnya juga turut tersenyum manis kepadanya. Entahlah, mungkin semua orang bersimpati dengan apa yang terjadi, sejak kembali bekerja di pejabat semalam, Muhib dapat rasakan semua orang tersenyum tanpa henti kepadanya.

“Muhib, saya rasa awak perlukan seorang pembantu buat masa sekarang ini. Jadi saya pinjam Akalili dari jabatan di tingkat atas untuk bantu awak apa yang patut”, tenang Encik Ghani menerangkan asbab Akalili ada di situ. Muhib memandang wajah Encik Ghani dan Akalili bersilih ganti tanpa menjawab walau sepatah, hatinya sebal mengenangkan betapa Encik Ghani tidak yakin dengan kemampuannya bekerja di kala ini sehingga perlu diberi pembantu.

+++++

Ku melihat manusia kuat dalam dirimu. Hadapi hari ini dengan semangat.

-       A.H.

Sejak Akalili menjadi pembantu peribadinya, boleh dikatakan setiap pagi Muhib mendapat secawan kopi panas yang tertampal ‘sticky note’ yang ditulis dengan madah kata semangat di atas cawan gabusnya. Namun Muhib tidak pernah pula bertanya secara langsung kepada Akalili tentang pemberinya. Patutkah aku bertanya?

“Akalili, boleh saya jumpa awak sekejap?”, soal Muhib sebaik menjengulkan kepala di muka pintu pejabatnya. Akalili hanya menurut dan mengikuti Muhib ke dalam ruangan pejabat Muhib.

“Rasanya kita tak pernah berbual selain hal kerja kan?”, soal Muhib sebaik Akalili duduk di kerusi hadapannya. Akalili tidak menjawab, cuma anggukkan kepala beserta senyuman yang dibalas. “Awak tahu ke kisah saya?”, Muhib cuba berlagak selamba, walau dalam hatinya ada sedikit gentar bersemuka dengan Akalili sedekat ini sekarang.

“Kisah apa ya Encik Muhib?”, soal Akalili naif.

“Tentang bagaimana tiba-tiba Encik Ghani bagi saya pembantu, sedangkan dah dekat sepuluh tahun saya bekerja di sini, saya tak ada pembantu pun”, balas Muhib tenang.

“Oh. Saya tahu sikit-sikit saja. Pada saya cerita tu terlalu peribadi untuk saya tahu secara lebih-lebih. Saya hanya mengikut arahan pihak atasan untuk membantu Encik Muhib”, gincu rona warna jingga ‘nude’ yang dikenakan menambah seri wajah Akalili ketika menjawab soalan Muhib. “Awak sebenarnya puan atau cik Akalili?””, Muhib pun terkejut dengan dirinya sendiri kerana tidak semena-mena bertanyakan soalan sedemikian. Wajahnya kemerahan menahan malu sambil menunduk memandang kasutnya sendiri. Akalili tertawa kecil sebelum menjawab “Cik”. Muhib berasa segan untuk memandang wajah Akalili, cuma tangan kanannya diangkat keudara sambil menunjukkan isyarat ‘ok’.

“Saya minta diri dulu”, Akalili berpaling untuk keluar dari pejabat Muhib kerana berasa janggal melihat Muhib begitu. “Terima kasih untuk kopi ini di sini setiap hari”, kata-kata Muhib membuatkan Akalili berpaling semula sebelum berkata “Tak ada masalah encik Muhib, enjoy your coffee”. Dan Muhib memegang dada kirinya yang mula berasa sesuatu melihat lirikan mata Akalili. Sekali lagi?

+++++

Benarlah kata orang tua-tua, tak kenal maka tak cinta. Dan jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Setelah hampir dua bulan bekerja bersama Akalili, Muhib tanpa sedar tidak sengaja memendam perasaan terhadap Akalili. Gadis ini sangat professional ketika bekerja, dan pada masa yang sama sering memberikan semangat kepada Muhib untuk kembali bangkit setelah apa yang telah terjadi kepada Muhib beberapa bulan yang lalu.

Selain kopi dan nota cinta, Muhib juga sudah mula berbalas surat cinta dengan si pemberi kopi. Setiap hari, sebelum balik ke rumah, Muhib akan meninggalkan sepucuk surat kepada ‘A. H.’, dan sepucuk surat balas akan berada di atas meja Muhib keesokkan harinya. Begitulah rutin Muhib sejak kebelakangan ini, bercinta cara orang lama. Muhib seronok sekali begitu, perasaan ternanti-nanti jawapan balas dari surat yang dikarangnya setiap hari, telah menjadi pemangkin untuk Muhib pergi ke tempat kerja. Bayangan wajah Fitra Malihah juga sudah hilang dari ingatan.

Petang ini, Muhib memberanikan diri. “Akalili, awak lapang malam ini? Saya ingat nak ajak awak makan malam balik kerja nanti?”, Muhib memandang kepada gadis yang telah melenyapkan bayang Fitra Malihah di mindanya. “Err.. Ok”, jawab Akalili teragak-agak kerana terkejut dengan pelawaan ketuanya itu.

+++++

Muhib tidak lepas merenung wajah Akalili sejak duduk bertentang dengan buah hatinya itu sejak tadi. “Apa pandang saya macam itu Encik Muhib, malulah saya”, Akalili mencebik sambil tersipu-sipu malu. Muhib tersengih menampakkan sebaris giginya yang rapi tersusun.

“Tak payahlah malu, buat biasa-biasa saja. Kalau awak malu, saya lagilah malu”, balas Muhib cuba berlagak tenang. Di dalam hati, hanya Allah yang tahu betapa kuatnya debaran jantung Muhib berdetak. Jeda seketika, masing-masing kelu untuk berbicara. Muhib berdehem sebelum menyambung bicara, “Cantik gelang kunci dari Phuket yang awak beri pada saya hari tu. Saya guna untuk ikat kunci rumah saya”.

“Gelang kunci? Phuket? Maaf encik Muhib saya tak faham”, berkerut dahi Muhib mendengar jawapan dari Akalili. Mungkin gadis ini sengaja hendak bergurau, atau dia benar-benar tak dapat tangkap apa yang aku sampaikan?

Muhib lantas menyeluk saku seluarnya untuk mengeluarkan segugus kunci rumah yang yang telah dirantai bersama gelang kunci berbentuk tapak sulaiman yang tertulis ‘Phuket’ di atasnya. “Saya maksudkan ini”, Muhib menggoyang-goyangkan gugusan kunci itu di depan muka Akalili yang terpinga-pinga.

“Maafkan saya encik Muhib, gelang kunci itu bukan saya yang bagi. Saya tak pernah sampai ke Phuket pun”, teragak-agak nada suara Akalili, bingung dengan apa yang cuba Muhib sampaikan kepadanya.

“Kan awak yang masukkan dalam surat yang awak tulis pada saya, dan awak cakap itu pemberian ikhlas dari awak sebagai tanda ingatan kepada saya?”, soal Muhib juga teragak-agak.

“Oh, surat-surat atas meja encik Muhib itu ke? Encik Muhib ingat saya yang bagi semua itu?”, terhinggut-hinggut badan Akalili menahan tawa. Padanlah Muhib merenungnya lain macam, siap ajak keluar makan malam bersama pula.

“Habis tu siapa yang bagi? Awak kan yang letak kopi dan surat tu setiap hari?”, air liur yang ditelan terasa berpasir, Muhib merasakan badannya seram sejuk. Adakah pisang akan berbuah dua kali?

“Cik Amna Hamra dari ‘HR Department’. Dia yang belikan kopi, tulis ‘notes’, dan tinggalkan dan ambil surat-surat di atas meja encik Muhib setiap hari. Saya tolong letakkan saja. Saya ingat encik Muhib sudah tahu”, balas Akalili sambil tersenyum sumbing. Ada terbit sedikit kecewa dalam hatinya kerana Muhib mengajaknya keluar bukanlah kerana dirinya, tetapi kerana Muhib menyangka dialah pengirim surat kepada Muhib saban hari.

“Amna Hamra? Saya tak berapa ingat siapa orangnya. Selama ini saya ingatkan A. H. itu Akalili Hamdan. Rupanya yang saya gilai itu bukan awak!”, Muhib dirundung perasaan malu kerana tersalah orang lagi sekali. Apalah nasib aku, selalu malang, sudahlah baru hendak belajar bercinta!

“Maafkan saya encik Muhib, saya balik dahulu”, pantas Akalili berlalu meninggalkan Muhib yang termangu-mangu sendirian. Sejujurnya Muhib terasa seperti mahu pitam mendengar jawapan Akalili tadi, dan Akalili juga begitu.

+++++

Pagi ini, meja Akalili kosong sebaik sahaja Muhib tiba di pejabat. Ralat mulai bersarang di hati Muhib mengingatkan apa yang terjadi malam tadi antara mereka berdua. Aroma kopi menusuk hidung sebaik sahaja Muhib mendekati meja pejabatnya. Seperti biasa, di atas meja Muhib ada secawan kopi panas, sepucuk surat, cuma kelainannya hari ini terdapat dua ‘sticky note’ yang terlekat di cawan kopi itu. Satu tertulis kata-kata indah seperti selalu, satu lagi tertulis “Selamat Maju Jaya Encik Muhib, nice working with you. Saya diminta kembali ke department asal. Akalili”. Entah kenapa, Muhib terasa seperti hilang sesuatu yang berharga ketika membaca pesanan Akalili itu.

Surat bersampul merah jambu dicapai dan dibaca Muhib. Seperti biasa, surat itu tidak pernah gagal membuatkan hati Muhib berbunga-bunga. Nukilannya indah sekali, sarat dengan kasih sayang yang menghangatkan sanubari Muhib. Muhib melepaskan nafas yang panjang. Tidak pernah terlintas di fikiran Muhib, dia akan mengalami masalah sebegini. Dalam masa beberapa bulan sahaja, dia terlibat dalam kancah pergolakan cinta dengan ramai wanita. Kelakar pun ada.

Muhib tekad untuk bersemuka dengan Amna Hamra, untuk menghilangkan segala teka-teki yang mengganggu fikirannya sejak malam tadi. Cukuplah hidup dalam tanda tanya, sudah dua kali Muhib terkena. Kusut dibuatnya! Muhib mengambil kesemua surat dari A. H. yang berada di dalam laci meja, dan memasukkan ke dalam sebuah beg kertas, tanpa berlengah Muhib bergegas ke ‘H. R. Department untuk mencari Amna Hamra.

+++++

“Saya Amna Hamra. Awak nak jumpa saya?”, setelah menunggu kira-kira lima minit di dalam bilik perbincangan jabatan, tercegat seorang wanita tinggi lampai di sebelah Muhib. “Ada urusan apa ya?”, soal wanita itu tenang. Muhib terpana memandang wajah wanita yang bernama Amna Hamra ini. Sungguh tidak disangka, gadis semolek ini sudi berbalas khabar dengannya saban hari. Muhib bingkas berdiri dari sofa empuk yang didudukinya sambil membongkokkan badannya sedikit, memberi isyarat supaya Amna Hamra duduk di sebelahnya.

Muhib melambakkan kesemua sampul surat berwarna merah jambu yang dibawa dalam beg kertas tadi. Tajam mata Muhib memandang Amna Hamra. Muhib boleh nampak wajah Amna Hamra berubah kemerahan. “Saya nak kepastian, sebab saya sudah penat berteka-teki. Saya tak pandai berteka-teki. Tahun ini saja, saya dah tewas dua kali. Sakit awak tahu!”, Muhib terus merenung mata Amna Hamra sehingga gadis itu menjadi tidak keruan. “Awak A. H. ke?”, Muhib menyoal lagi.

“Ya, sayalah A. H. Saya yang tulis kesemua surat ini pada encik Muhib”, Amna Hamra tidak berani untuk terus bertentang mata dengan Muhib, terasa jantungnya gugur ke lantai dek berdetak terlalu laju, sedangkan Muhib terus menerus merenung mukanya seperti mahu ditelan.

“Kenapa?”, soal Muhib inginkan jawapan. Muhib tidak mahu dipermain-mainkan lagi.

“Saya memang sudah lama menaruh hati pada encik Muhib, sejak mula bekerja di syarikat ini beberapa tahun yang lalu. Tapi saya malu nak tegur encik Muhib. Saya dengar encik Muhib tak jadi nikah, saya terfikir untuk mencuba nasib”, Amna Hamra memejamkan matanya serapat mungkin menahan perasaan malu yang semakin menebal. Muhib terdiam seribu bahasa.

+++++

Mak Yah dan Pak Din memang sudah bersedia menanti kepulangan Muhib dari tengahari tadi. Sejak Muhib menghubungi mereka malam tadi, mereka jadi tidak senang duduk. Nada suara Muhib agak serius, tapi tidak pula diberitahu apa yang hendak dibincangkan. Jadi, ketika kereta Muhib memasuki perkarangan rumah mereka, kedua-duanya terus menerpa ke muka pintu untuk mendapatkan anak lelaki mereka itu.

Muhib terus mendakap Mak Yah dan Pak Din selepas tangan mereka dikucup Muhib, rindu sungguh dengan kedua orang tuanya ini. Sejak peristiwa nikah tidak jadi tempohari, Muhib tidak sekalipun pulang ke rumah orang tuanya ini lagi. Muhib tidak keseorangan, tetamu yang dibawa turut mengekori mereka ke ruang tamu rumah selepas bersalaman dengan Mak Yah dan Pak Din yang masih tertanya-tanya apa yang mahu disampaikan oleh Muhib ketika ini.

“Apa yang Muhib nak beritahu ibu dan ayah sampai tidak boleh cakap di telefon dahulu ini?”, soal Mak Yah sambil memandang ke arah tetamunya bersilih ganti dengan Muhib. Muhib tersengih-sengih seperti kerang busuk mendengar soalan ibunya itu. Pak Din pula tidak berkutik, masih cuba untuk menghadamkan apa yang disaksikan depan matanya ketika ini.

“Muhib dah buat keputusan, Muhib nak lunaskan impian ayah untuk tengok Muhib mendirikan rumahtangga”, telus sahaja jawapan Muhib. Mak Yah dan Pak Din memanjatkan kesyukuran apabila mendengar hajat Muhib.

“Alhamdulillah, terbuka semula hati Muhib. Risau ibu Muhib jadi serik selepas apa yang jadi beberapa bulan lepas”, ujar Mak Yah. Pak Din di sebelah mengangguk setuju. “Jadi, yang mana satu pilihan Muhib?”, soal Pak Din tersenyum riang.

“Itulah yang Muhib nak minta pendapat ibu dan ayah ni, ibu dan ayah rasa, siapa yang sesuai jadi isteri nombor satu, dan siapa yang sesuai jadi isteri muda Muhib?”, soal Muhib sambil bangun dan berdiri di belakang Akalili dan Amna Hamra yang sedari tadi tersipu-sipu malu.

Mak Yah dan Pak Din terlopong memandang mereka bertiga, tak tahu nak respon apa.


Syazni Rahim

12102020


+++++

Ada yang nak sambungan kisah Muhib lagi? Hahaha

Terima kasih pada yang sudi singgah dan baca cerpen aku, untuk membaca cerpen-cerpen aku yang lain, boleh klik pada tajuk-tajuk di bawah 😙:


BUKAN PERCUMA

JUN

GALAS

SALAH SIAPA SEBENARNYA

SEPERTI YANG AWAK MAHU

HATIKU ADA KAMU

JANGAN NARSISIS

SELESAI 

PESONA FITRA 

TELUSUR NIRMALA

PS: Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.

36 comments:

  1. Hamboi.. terus dua sekali.. hahaha..
    Muhib.. muhib..

    ReplyDelete
  2. hahah.. memula tak dapat apa..bila dah dapat, sekali dua pulak..bertuahnya badan..hahahah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Untung sabut timbul :p
      terima kasih sudi baca ;)

      Delete
  3. Wah dari tak jadi terus dapat dua, bikin banyak lelaki cemburu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. dua isteri, double tanggungjawab..ahaks
      terima kasih sudi baca ;)

      Delete
  4. haha...dpt 2 sekali.. office romance is a no-no..bikin awkward..

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha! muhib kena pindah ofis lepas ni
      terima kasih sudi baca ;)

      Delete
  5. Allah si muhib ni sekali dua2 dia angkut ^_^

    ReplyDelete
  6. Mula akk pikir dia pilih amra sbb dia jatuh cinta pandang pertama, lepas tu akk pikir dia akan pilih akalili sbb sikit sebanyak dia dah kenal si akalili ni, tiba2 sekali dua2 orang dia angkut..haishhh..Muhib2x..tuah ayam nampak di kaki betulla.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha :P
      terima kasih kak azimah, selalu sokong penulisan saya ;)

      Delete
  7. Aduh Muhid, sila jalankan dan berlaku adil la ye :)

    ReplyDelete
  8. Adeh adeh... rembat 2 sekali ke? 2-2 pun rela dimadukan? Mcm x puas hati jer ni.. hahahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. kan? macam mana boleh setuju dengan aman tu?
      hehehe terima kasih sudi baca :D

      Delete
  9. Hilang sorang lepas tu dapat dua terus. Haha

    ReplyDelete
  10. Hadoii lain macam Muhib ni. Sekali dua dia nak. Macam nak balas dendam 2 kali menanggung malu ke tu. Mula mula macam kesian kat Muhib. Hujung hujung tepuk dahi. Mana tak terlopong mak ayah dia. Hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. muhib yang unpredictable hihihih
      Terima kasih sudi baca :D

      Delete
  11. Uncle baru tahu 'kubikel' tu ada dalam perkataan melayu!

    ReplyDelete
  12. Amboiiii Muhib! Payah jatuh cinta kununn 🤣🤣

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha bila jatuh, bertubi2 kikiki
      Terima kasih sudi baca :)

      Delete
  13. Cerpen sendiri eh...nanti nak baca dari episode 1 laaa

    ReplyDelete
  14. hah? dengan kita2 sekali terlopong tau tak?? hahahahah sabor jer lerrrr...dedua sekali ko nak hangkut ye muhib!

    ReplyDelete
    Replies
    1. ahahaha jangan marah haa :P
      Terima kasih sudi baca ;)

      Delete

Ada apa-apa nak tulis? ;)

Premium Flexible Related Post Widget for Blogger – Blogspot

Ya it's me