Search This Blog

Friday, October 16, 2020

Demi Restu | Fiksyen

 Hai semua!

Hari ni aku apply cuti, jadi semalam tertaiplah sebuah lagi cerpen sambungan ANTARA DUA dan SEPERTI YANG AWAK MAHU.

Selamat membaca, sudi-sudilah komen pada jalan cerita ya 😉


DEMI RESTU


Bak membelah kepayang muda, ditelan mabuk, dibuang sayang.  Itulah situasi yang menimpa diri Muhib ketika ini. Mak Yah pula sejak dari waktu maghrib tadi masih tidak keluar dari biliknya, sehinggakan Pak Din terpaksa mengayuh kerusi rodanya sendirian ke dapur untuk makan malam.

Perasaan serba salah ibarat menghenyak-henyak fikiran Muhib. Malu juga Muhib pada Akalili dan Amna Hamra kerana ibunya terus sahaja berlalu meninggalkan ruang tamu tanpa sebarang kata. Terkulat-kulat mereka berempat lantaran kelu untuk berkata-kata.

“Ibu tak makan malam ke ayah?”, soal Muhib sambil menuangkan air kepada Pak Din dan dirinya sendiri. Terasa letih pula mengharung jalan yang sesak di pekan tadi, jika bukan untuk menghantar kedua-dua buah hatinya ke stesyen bas untuk pulang ke Kuala Lumpur, tidak mungkin Muhib sanggup meredah. Pak Din cuma mencebik sambil mengangkat bahu, dan Muhib faham benar itu adalah isyarat bahawa Pak Din mahu Muhib tahu ada akibat tidak baik dari perbuatannya.

Muhib melabuhkan punggung di atas kerusi makan bersebelahan Pak Din yang begitu berselera sekali menyuap nasi tomato air tangan Mak Yah. “Ibu marah Muhib ya?”, dan Pak Din masih juga tidak menjawab soalan dari anaknya itu. Muhib termangu-mangu sendirian.

++++++

Sebaik sahaja terjaga dari tidur, Muhib mendengar bunyi orang menyapu daun kering di halaman rumah. Muhib terus bingkas berlari ke arah bunyi itu kerana sudah semalaman Muhib tidak boleh melelapkan mata dengan lena, walang benar rasa dihati apabila Mak Yah seolah-olah sengaja menjauhkan diri. Dari muka pintu rumah, Muhib boleh lihat ibunya sedang terbongkok-bongkok mengais daun-daun pokok manggis yang berselerakan di atas tanah. Segera Muhib berlari menuruni anak tangga dan mendakap ibunya dari belakang.

“Ibu, maafkan Muhib kalau Muhib ada buat salah dengan ibu. Tapi janganlah sampai tak nak bercakap dengan Muhib, berdosa Muhib ibu”, berjujuran airmata Muhib menuturkan kata maaf. Mak Yah tidak menjawab apa-apa dan hanya membiarkan anak terunanya itu meluahkan perasaan di kala itu buat seketika. “Sudahlah, malu kalau orang kampung lalu lalang nampak Muhib menangis macam ini”, perlahan-lahan Mak Yah meleraikan dakapan Muhib lalu menepuk-nepuk belakang badan Muhib. Persis anak kecil, Muhib menangis tersedu-sedan di sebelah Mak Yah.

Mak Yah menarik tangan anak manjanya itu ke arah pangkin di bawah pokok langsat. “Muhib tak sedar ke, apa yang Muhib buat semalam adalah perkara yang tidak patut?”, soal Mak Yah sebaik mereka duduk bersila di atas pangkin itu. Muhib hanya menggelengkan kepalanya perlahan. “Ibu tak larang Muhib nak berkahwin dengan mereka, Amna Hamra ibu setuju, Akalili pun ibu suka. Tapi Muhib boleh teruskan niat Muhib dengan memilih seorang saja!”, tegas Mak Yah, suaranya sedikit meninggi sambil merenung wajah Muhib yang masih menunduk.

 

“Tapi, Muhib boleh beristeri empat kan? Muhib pun mampu saja dari sudut kewangan”, Muhib menjawab takut-takut. “Muhib yakin boleh adil membahagikan kasih sayang dan perhatian?”, Mak Yah melemparkan pandangannya ke arah halaman rumah yang masih belum siap disapunya tadi. Muhib tidak menjawab.

“Ibu tahu anak ibu mampu dari segi wang ringgit, tapi ibu risau anak ibu menjadi punca anak orang lain makan hati. Awal-awal mungkin masih sepakat, kemudian hari apabila timbul isu anak, mertua dan sebagainya, yang akan nampak salah dan jahat dalam senario itu adalah Muhib”, jelas Mak Yah berharap Muhib faham apa yang mahu disampaikan.

“Hati manusia ini Muhib, lebih rapuh dari sarang labah-labah. Mudah sangat nak koyak. Nak jaga sikit punya susah, tapi nak rosakkan senang sangat. Muhib ingat lagi kan apa yang Himayah buat pada abang Busrain?”, bergenang airmata Mak Yah saat bertentang mata dengan Muhib, menimbulkan perasaan sayu pada hati Muhib.

“Ibu pernah saksikan anak ibu menderita dek patah hati, ibu tak sanggup memikirkan anak ibu juga akan menjadi si pematah hati anak orang lain. Akalili dan Amna Hamra itu orang yang baik, mereka ada ibubapa yang menjaga anak dara mereka bagai menatang minyak yang penuh sejak mereka kecil. Tergamakkah Muhib nak mereka terjebak dengan kemelut rumahtangga yang kalau diikutkan, mereka boleh elak dari awal?”, panjang berjela Mak Yah menyusun kata-kata.

Ya Muhib masih ingat lagi betapa sengsara arwah abangnya ketika mendapat tahu isterinya curang. Arwah Busrain yang lahiriahnya periang dan ceria bertukar menjadi separuh gila, menangis tidak kira masa mengenangkan isteri yang dicintai sepenuh hati tergamak meninggalkannya dengan begitu mudah dan tanpa rasa bersalah. Lantas Muhib terkenang detik-detik akhir bersama arwah Busrain beberapa tahun dahulu.

++++++

“Bus, berhenti Bus! Cukup!”, Muhib menyentap Busrain yang sedang menghantukkan kepalanya ke dinding berkali-kali sehingga dahinya mulai luka berdarah. Namun Busrain melawan, ditolaknya Muhib sehingga jatuh ke lantai. “Kau jangan sibuk Muhib! Berambus! Keluar dari bilik aku!”, teriak Busrain sambil menendang-nendang Muhib yang sedari tadi terjelepuk di lantai lalu menyebabkan kejantanan Muhib tercabar. Muhib bangkit dan melepaskan tumbukan di muka Busrain.

Adegan tumbuk-menumbuk, sepak-menyepak antara dua beradik itu berlanjutan dari dalam bilik Busrain sehingga ke ruang tamu. “Allahuakbar, Muhib, Bus!’, jerit Pak Din yang terkejut melihat dua anak lelakinya itu bergomol sebegitu dasyat terus datang menerpa untuk meleraikan. Namun tanpa sengaja Busrain tertendang ayahnya sehingga Pak Din tercampak keluar dari tingkap jatuh ke bawah rumah. “Abang!”, teriak Mak Yah sambil berlari menuruni tangga ke tanah. Kaget, kedua-dua Muhib dan Busrain turut berlari mendapatkan ayah mereka yang sudah tidak mampu untuk bergerak ketika itu.

++++++

 Muhib mengerling Busrain yang diam membatu di kerusi penumpang. Timbul perasaan kasihan terhadap abangnya itu. Sejak berpisah dengan Himayah, Busrain seolah-olah hilang arah tuju, hanya bersembunyi di rumah ibu dan ayah. Termenung jauh sudah menjadi rutin tetap pada Busrain. Tubuhnya semakin melidi, wajahnya cengkung sekali. Muhib tahu, Busrain pasti rasa bersalah terhadap apa yang menimpa Pak Din. Akibat terpelanting keluar dari tingkap petang semalam, Pak Din mengalami kecederaan tulang pinggul yang menyebabkan Pak Din tidak boleh berjalan seperti biasa lagi. Itulah apa yang diterangkan oleh doktor kepada mereka.

“Aku memang ditakdirkan untuk jadi anak yang sial”, tiba-tiba Busrain bersuara memecah sunyi antara mereka. Muhib berdecit sambil menepuk perlahan peha Busrain. “Aku dah agak, kau mesti akan salahkan diri kau dalam perkara ini”, tenang nada Muhib membalas.

“Memang salah aku kan? Aku yang terajang ayah! Aku dah gila Muhib, gila!”, Busrain menekup mukanya sambil teresak-esak menangis. “Ayah tak salahkan kau pun. Kami semua faham. Cuma aku harap, kau jangan terbawa-bawa sangat dengan perasaan. Ingat Tuhan, Bus! Kau rasa patutkah kau jadi mereng macam ni akibat perempuan?”, balas Muhib mengharap Busrain sedikit tenang. “Nanti biar aku saja yang pergi ambil Mimi di rumah Himayah. Lepas tu, kau bawalah dia melawat ayah. Orang tua tu sudah rindu sangat dengan cucu dia”, sambung Muhib lagi. Busrain cuma mengangguk tanpa sepatah kata.

Itulah kenangan terakhir Muhib bersama Busrain sebelum abangnya maut dalam kemalangan bersama anak saudaranya Mimi ketika dalam perjalanan untuk melawat Pak Din di hospital petang itu.

++++++

“Muhib fikirlah masak-masak. Renungkan baik dan buruknya. Buat solat sunat istikharah supaya Allah berikan petunjuk membantu Muhib buat keputusan”, kata-kata Mak Yah sebelum beredar ke dalam rumah mematikan lamunan Muhib tentang hari terakhirnya bersama arwah Busrain sebentar tadi.

Muhib menampar-nampar pipinya sendiri, mengenangkan bagaimana dia tidak berfikir sejauh itu sebelum melafazkan kata-kata cinta dan sayang kepada Akalili dan Amna Hamra. Muhib juga tidak menyangka yang gadis berdua itu boleh bersetuju dengan cadangan Muhib untuk memperisterikan mereka berdua sekaligus. Sungguh, ketika Muhib menyatakan perasaan dan hasrat kepada mereka, Muhib membayangkan salah seorang dari mereka akan mengalah dan berlalu pergi, tapi sebaliknya yang berlaku. Kedua-dua Akalili dan Amna Hamra turut melahirkan perasaan sayang dan kasih mereka terhadap Muhib dan rela untuk berkongsi kasih. Ajaib bukan?

Selama beberapa minggu Muhib cuba untuk bercinta dengan kedua-duanya sekali, langsung tidak ada sebarang masalah. Mereka sangat ‘cool’ berkongsi Muhib! Dan sekarang ibu minta supaya muhib lepaskan salah seorang, Muhib berasa tidak betah. Runsing memikirkan silapnya kerana terlanjur menyayangi kedua-duanya serentak. Siapa yang harus dilepaskan?

++++++

Muhib meletakkan dua buah bekas berbentuk segi empat yang kosong di atas meja sejurus selepas pelayan restoran selesai mengambil pesanan mereka bertiga. Akalili dan Amna Hamra berpandangan sesama sendiri, tidak faham apa yang mahu Muhib sampaikan ketika ini. Muhib juga masih belum memberitahu kepada mereka berdua tentang permintaan Mak Yah agar melepaskan salah seorang dari mereka.

Muhib masih membuat pertimbangan, situasi ini amat genting buat Muhib. Muhib akui dia tamak, mahukan dua-dua sekali. Namun Muhib akur bahawa restu ibu juga penting untuk memulakan sebuah ikatan suci. Kisah yang menimpa Busrain juga sedikit sebanyak menyedarkan Muhib khilaf dirinya ini.

“Beli di mana bekas ni abang? Comel, macam abang”, Amna Hamra melirik manja sambil menggigit jari telunjuk kanannya. “Betul tu, abang bagi kami hadiah ya? Terima kasih abang. Adil betul abang sayang kami ni, sebiji ‘tet tet’ rupa bekas-bekas ni”, Akalili juga sama teruja sambil mengenyitkan matanya yang bundar kepada  Muhib. Tipulah kalau Muhib kata hatinya tidak bergetar laju ketika ini. Lebih-lebih lagi apabila sekumpulan lelaki di meja sebelah yang sedari tadi memandang kepada mereka bertiga. See the leg lah bro!

Muhib berdehem membasahkan tekak sebelum memulakan bicara. Ada hajat yang mahu Muhib sampaikan kepada buah hatinya berdua ini. “Abang teringin nak makan sambal sotong air tangan Akalili dan Amna. Boleh masakkan untuk abang? Pagi esok letak atas meja pejabat abang, boleh?”, soal Muhib berlagak telus. Akalili dan Amna Hamra mengangguk laju menandakan persetujuan kepada permintaan Muhib.

“Esok, tulis nama atas ‘masking tape’, lekatkan di bawah bekas. Pastikan abang tak nampak nama awak berdua. Boleh sayang sayang abang?”, Muhib menyeringai riang diikuti gelak tawa mesra Akalili dan Amna Hamra. Sempat Muhib mengangkat dagu wajah berlagak sinisnya kepada lelaki-lelaki di meja sebelah yang ternyata jelek melihat mereka bertiga. “Sekejap lagi kita pergi beli barang-barang untuk masak ya sayang sayang abang”, sengaja Muhib menerankan suaranya agar didengari oleh lelaki-lelaki meja sebelah yang mula membuat gaya seperti sedang termuntah dek kegelian. Dengki lah tu!

++++++

Setibanya Muhib di pejabat pagi itu, sudah terletak kemas dua buah bekas comel berbentuk segi empat yang diberi kepada Akalili dan Amna Hamra semalam. Tidak sabar Muhib untuk merasa kedua-dua sambal sotong air tangan kekasihnya berdua itu. Berdebar-debar Muhib ketika ini, kerana sambal sotong ini sebagai pemutus kata tentang siapa yang harus Muhib lepaskan.

Muhib telah bertekad akan memilih tukang masak sambal sotong yang paling sedap antara dua ini. Dengan berbekalkan sebungkus nasi lemak tanpa sambal dan nasi lebih yang Muhib beli dari gerai di bawah pejabatnya, Muhib mula mencedok sambal sotong yang pertama untuk digaul bersama nasi lemak tersebut. Bismillah…

++++++

Muhib telah mengenalpasti sambal mana yang lebih sedap. Sebaik selesai mencuci tangan, tibalah masa untuk Muhib melihat nama siapa yang tertulis di bawah bekas yang memenangi seleranya. Sebaik terbaca nama itu, Muhib tersenyum simpul sambil mengusap perutnya yang telah pun kenyang.

 Syazni Rahim | 16102020


+++++++

Terima kasih pada yang sudi singgah dan baca cerpen aku, untuk membaca cerpen-cerpen aku yang lain, boleh klik pada tajuk-tajuk di bawah 😙:


BUKAN PERCUMA

JUN

GALAS

SALAH SIAPA SEBENARNYA

SEPERTI YANG AWAK MAHU

HATIKU ADA KAMU

JANGAN NARSISIS

SELESAI 

PESONA FITRA 

TELUSUR NIRMALA 

ANTARA DUA

PS: Semua gambar cover yang digunakan hanyalah hiasan dan imaginasi penulis semata-mata. Semua cerita adalah rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia.

35 comments:

  1. Menarik cerpen ni. Ala Syazni, tergantunglah pula. Nak tahu juga siapa yang Muhib pilih. Mudah sangat cara memilih di antara dua orang kekasih - siapa yang dapat mengikat perut dia, eermm

    ReplyDelete
    Replies
    1. rasa-rasanya siapa? ;)
      Terima kasih sudi baca :D

      Delete
  2. menarik ceritanya. jika buat e-book n jual di shopee pasti laku keras...

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih abam kie, selalu support saya :)
      Insyaallah diusahakan :D

      Delete
  3. sukaaa..mesti ada sambungan ya..tak sabaq...

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau ada ilham dan permintaan insyaallah sambung ;)
      terima kasih sudi baca :D

      Delete
  4. aduhhh...jangan makcik cleaner opis yang masak lagi sedap sudah lah..

    ReplyDelete
    Replies
    1. aduh seram!
      hehehe terima kasih MY sudi baca ;)

      Delete
  5. Cuti sempena apa ni Syaz? Sempena dapat ilham?

    ReplyDelete
    Replies
    1. ahahaha! bukan uncle, nanti akan update sebab apa coti hehehe

      Delete
  6. Wowww..kagumnya akk boleh sambung kait pulak dengan kisah si himayah dan busrain ek. Apa sudahnya kisah si himayah tu, hehe..

    Alaaa..suspenlah syaz ni, sapelah yang berjaya menambat hati si Muhib dengan kelebihan kredit sambal sotong tu, tak sabar nak tau ni, sbb mesti Muhib kena bagitau juga kehendak mak dia kan,betuk tak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihik terima kasih kak azimah sudi baca dan komen membina ;)
      Ahaa..tunggu..insyaallah jika ada permintaan sambungan :P

      Delete
  7. Sedih pulak Mak Yah merajuk. Iyelah kan, keputusan Muhib nak beristeri dua tu memang tak masuk akal betul. Jeng jeng, masakan sambal sotong siapa paling sedap tu. Next pleaseee

    ReplyDelete
    Replies
    1. rasa-rasa siapa terel masak? hihik
      Terima kasih fiza sudi baca :D

      Delete
    2. Dah ada jawapan dia ke belum lagi tu kak? Kita teka Amna kot. Dia kan pandai buat kopi. hihi

      Delete
    3. hihi jawapan masih dalam pembikinan ;)

      Delete
  8. main game pula muhid ni, nak tutup2 nama ishhh

    ReplyDelete
  9. Nama siapa yang Muhib pilih tu ye

    ReplyDelete
  10. teruskan berkarya dan selamat maju jaya.

    ReplyDelete
  11. wah
    silap-silap nanti boleh buat telemovie nih :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. fuh berpandangan jauh ni hehe.. mana tau ada rezeki kan? hehe..
      Terima kasih sudi baca :D

      Delete
  12. Replies
    1. insyaallah jika masih diberi ilham dan masa lapang :D

      Delete
  13. Sambal sotong siapakah yang menjadi pilihan? AH atau Akalili? Rasa mcm tgk ceta korea pulak kena tgu next episode... hahahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. ahaa.. rasa2 siapa masak yang kena dengan tekak Muhib? hihi

      Delete
  14. semoga terus berjaya syaz...bukan senang nak buat cerpen ni ... sb ummi pernah try buat..tp tak jadi..hehehe.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih sis :)
      Semoga saya terus dapat ilham hehehe

      Delete
  15. Wahhh nanti awak boleh buat ebook ni tau. Karya awak ni menarik

    ReplyDelete

Ada apa-apa nak tulis? ;)

Premium Flexible Related Post Widget for Blogger – Blogspot

Ya it's me